Perbukitan
Talang Putih
BAGARO berlari pantas membelah malam yang kelam. Jalan tikus
yang dipenuhi oleh duri-duri yang tajam sudah tidak diendahkan lagi olehnya.
Selepas ditewaskan oleh Shafi sebentar tadi, dia langsung tidak berani menoleh
ke belakang lagi. Malahan, hendak memperlahankan ayunan kakinya pun sudah tidak
sanggup. Dia takut diekori dan dibunuh oleh lelaki sakti itu.
Kekalahannya terhadap lelaki itu membuatnya
merengus-rengus kencang. Shafi telah meragut air mukanya. Kehebatan anak muda
itu menyakitkan hati. Malah, Bagaro langsung tidak berjaya menyentuh Shafi
sebentar tadi. Ilmu persilatan yang ditunjukkan oleh Shafi sungguh hebat dan
penuh rahsia.
Pangeran
Aring menampar muka Bagaro. Dia tersungkur. Baru sebentar tadi Bagaro gagal
menjalankan tugasnya. Dia merengus kesakitan. Hendak melawan tetapi kudratnya
terbatas. Kala inilah Pangeran Aring menghunus sebilah pisau belati. Dia ingin
menamatkan riwayat Bagaro. Ketika hendak membenamkan bilah pisau belati,
pergelangan tangan Bagaro disambar angin hitam. Pisau belati itu serta-merta
terlepas dari genggamannya. Dia lantas menghunus sebilah pedang dan diayun-ayun
ke sana-sini. Kedengaran suara parau ketawa terbahak-bahak. Suara itu tidak
berjasad.
“Siapa
kau?” Pangeran Aring bertempik.
“Kau
sangat lemah seperti dia, Pangeran Aring.” Pemilik suara parau tersebut kembali
ketawa terbahak-bahak.
“Keluar!
Aku akan mencantas batang lehermu.” Darah Pangeran Aring semakin tersirap naik
kebahagian kepala. Mukanya kemerahan menahan amarah.
“Duppphh!”
Satu daya tolakan yang menyerupai angin menghempas batang tubuh Pangeran Aring.
Dia terhumban ke belakang dan terhempas di tanah.
“Siapa
kau? Kita tidak pernah bermusuhan.” herdik Pangeran Aring sambil mengusap
dadanya yang terasa sakit.
“Kau
terlalu sombong Pangeran. Tapi aku suka, hahahaha…” Seraya itu, satu lembaga
berselubung hitam yang lesu muncul dari sudut malam. Dia-makhluk bernyawa
panjang. Dia menapak ke arah Pangeran Aring. Pangeran Aring terundur-undur ke
belakang. Manakala Bagaro hanya terlopong kerana terkejut, dan sesekali,
mengurut batang lehernya. Tujahan Shafi tadi sungguh menyakitkan. Sesakit
hatinya. Sakit yang sangat sukar disembuhkan.
“Si...
siapa kau?” Kegagahan Pangeran Aring hilang. Seperti tertimbus di dalam tanah
yang sangat dalam.
“Aku...
aku makhluk bernyawa panjang Pangeran Aring.” Dia mencebik, bau busuk
menyelubungi suasana.
“Ap…apa
yang kau mahu makhluk, bernyawa panjang? Bagaimana kau tahu namaku?” Pangeran
Aring terketar-ketar.
“Itu
tidak penting! Aku mahu nyawamu untuk memanjangkan nyawaku, Pangeran.”
“Tolonglah
jangan bunuh aku, ambillah nyawa orang suruhanku itu.” Pangeran Aring semakin
takut. Kedinginan malam tidak menghalang keringatnya daripada mengalir
membasahi badan. Dia di ambang maut.
“Hahaha…
darahnya tidak dapat memanjangkan nyawaku Pangeran. Hanya darah orang yang
terlalu banyak buat dosa yang dapat memanjangkan usiaku.” Dia menyeringai.
Tangan dibentangkan ke hadapan. Masa inilah kuku-kuku tumbuh memanjang dengan
cepat di hujung jari-jemarinya. Ketajamannya bak buluh belati. Sekali cantasan
sahaja berupaya membunuh.
“Jangan
bunuh ak.. aku. Aku akan menuruti segala perintahmu wahai makhluk bernyawa
panjang.” Kematian sedang berlegar-legar di depan mata Pangeran Aring.
“Hahaha...
kenapa tidak dari tadi kau berkata begini, Pangeran.” Dia bukan menyoal,
melainkan seperti memberikan satu saranan yang lebih baik.
“Aku
dihambat kejutan.” Jawab Pangeran Aring.
“Baiklah,
tapi kau bersama orang suruhanmu itu akan aku ikat dengan satu sumpah, Pangeran.”
Makhluk bernyawa panjang itu menyeringai.
“Ba...
baik.” Pangeran Aring secara langsung telah pun terikat dengan satu janji. Bagaro
hanya menyembunyikan rasa tidak puas hatinya kerana bimbang nyawanya akan
melayang begitu sahaja.
“Kamu
akan aku jadikan makhluk yang sangat gagah, Pangeran.” Dia lantas menyuruh
Pangeran Aring dan Bagaro supaya melutut. Mulutnya berkumat-kamit menggumamkan
sesuatu yang tidak difahami oleh mereka berdua.
Malam
yang sunyi tadi bertukar suasana. Angin berpuput kencang. Manakala Pokok-pokok
kayu bergeseran. Bulan yang dilindungi awan tadi terserlah. Burung hantu
bersahutan, seperti sangat merindui sang bulan yang telah menampakkan
bayangannya.
“Arghhh!”
Pangeran Aring dan Bagaro menjerit kesakitan. Satu kuasa yang bersifat ghaib
sedang menyelusur masuk melalui urat-urat darah. Darah merah kehitaman bertukar
menjadi kehijauan. Pangeran Aring dan Bagaro hairan melihat perubahan diri
mereka.
Saiz badan mereka membesar. Bulu-bulu kasar
menyelaputi badan. Apabila mereka berdua saling berpandangan, mereka terkejut
bukan kepalang. Bentuk badan Bagaro seperti seekor binatang buas yang sangat
menakutkan, kepalanya berbentuk seperti kepala seekor serigala jantan, manakala
badannya seperti badan seekor singa. Matanya merah, mulutnya bertaring tajam
yang jauh lebih tajam seperti sebelumnya.
Sebenarnya, Bagaro ialah manusia sumpahan sebelum ini. Dia akan menjadi
serigala ketika bulan mengambang. Manakala Pangeran Aring pula berubah menjadi
makhluk bertanduk. Struktur badannya masih menyerupai manusia tetapi mempunyai
dua tanduk di kepala. Kakinya seperti kaki binatang liar yang sukar diketahui jenisnya.
Manakala tangannya seperti tangan orang hutan liar tetapi berkuku runcing.
Seluruh badannya ditumbuhi bulu hitam.
“Ingat,
kamu berdua terikat dengan janji sekarang.” Dia menoreh telapak tangannya
lantas menyuruh Pangeran Aring dan Bagaro meminum darahnya yang berwarna hijau
kehitaman. Mereka menghisap dengan rakus. Dia lantas tersenyum sumbing. Selepas
siap meminum darah itu, mereka berdua menderam seperti binatang yang sedang kelaparan.
“Ingat, kamu berdua harus membunuh semua manusia yang
taat kepada agama baharu iaitu Islam.” Dia lantas menghaibkan dirinya bersama
satu pusaran angin kecil dalam kabus yang membaluti malam.
Pangeran Aring dan
Bagaro hanya terkebil-kebil kerana tidak pernah mendengar nama agama itu.
Mereka kemudiannya meraung dengan suara yang sangat menakutkan. Bunyi yang
sangat menggerunkan, tidak menyerupai bunyi mana-mana binatang. Tetapi jika
didengar dari jauh, bunyinya akan kedengaran seperti lolongan serigala jantan
yang sedang merintih mencari pasangannya di perbukitan. Bunyi sayu yang tidak
mampu menyentuh hati.