Kota
Amuriah, Mesir
RAJA
BAYTIZAN berdiri di beranda istana.
Pandangan matanya tajam memamah seluruh Kota Amuriah. Nama kota ini adalah
sempena nama permaisurinya dahulu iaitu - Amuriah. Meninggal dunia ketika
peperangan di antara Kerajaan Amuriah dengan Kerajaan Bastiyar. Dua buah kerajaan
yang mempunyai kepercayaan yang sama. Menyembah patung. Namun mereka
bersengketa kerana sifat tamak. Perebutan kuasa yang membuta. Kesannya pula
ditanggung rakyat. Situasi yang sangat tidak adil.
Fikiran
Raja Baytizan terimbau mendiang isterinya. Sekali gus mengundang memori silam
bagaimana seorang panglima kerajaan Bastiyar menyelinap masuk melalui pintu
belakang membejatkan otaknya.
Imbas
kembali - Perang Kerajaan Amuriah-Bastiyar…
SUASANA perang di luar istana Kayangan, Kota Amuriah
semakin membingit. Hari ini merupakan hari yang sangat menggemparkan bagi dua
buah kerajaan besar yang saling tamakkan kuasa dan jajahan takluk. Puteri
Amuriah sedang mengintai di sebalik jendela kaca di dalam kamar peraduannya.
Hatinya kusut. Sekusut suasana di luar. Puteri Amuriah kemudiannya keluar ke
beranda istana untuk menemani suami tercinta. Raja yang dianggap agung ketika
itu. Namun Raja Baytizan tidak dapat menyertai perang kerana permaisurinya
sedang gering. Puteri Amuriah memegang bahu suaminya.
“Kita
akan menang dalam perang ini, wahai permaisuriku.” Raja Baytizan bermukadimah
tanpa menoleh ke arah permaisurinya.
“Adinda
risau, nama Kerajaan ini akan terkubur di tanah sendiri, kekanda.” Puteri
Amuriah melahirkan rasa risaunya.
“Tentera-tentera
kita sangat terlatih, dinda. Kita tidak akan kalah.” raja Baytizan mengepal
buku limanya menjadi satu. Ketika inilah seorang panglima Kerajaan Bastiyar
yang berjaya masuk melalui pintu belakang sedang membidik panah dari arah
belakang Raja Baytizan. Puteri Amuriah yang melihat situasi itu segera memeluk
suaminya dari belakang.
“Dush!”
Anak panah terbenam di belakang sebelah kiri Puteri Amuriah. Darah pekat
mengalir lesu dari lukanya. Raja Baytizan yang terkejut dengan kejadian tadi
lantas membaling sebilah pisau ke arah panglima tadi. Balingannya tidak
sia-sia. Mata pisau terbenam di sebelah bahu kiri. Panahnya terjatuh. Ketika
inilah Raja Baytizan menerpa lalu menendang dan memijak panglima itu sehingga
pengsan.
Darah
menyeruak keluar setelah anak panah dicabut. Raja Baytizan memangku isterinya
yang pucat lesi. Tangannya digenggam erat. Keegoannya hilang apabila air mata
mula menuruni lekuk pipinya. Terbayang-bayang satu perpisahan besar akan
berlaku sebentar lagi.
“Maafkan
adinda, wahai kanda.” Suara Puteri Amuriah tersekat-sekat di rengkungan. Namun,
dia masih mampu mengulas senyuman untuk suaminya.
“Tolong
jangan tinggalkan kanda, dinda. Puteri Qaisara amat memerlukan adinda.” Raja
Baytizan separuh meraung apabila nafas permaisurinya beransur hilang.
“Adinda
sangat mencintai kekanda. Tolong jaga puteri kita sebaik mungkin.” Setelah
mengucapkan kalimah itu, matanya terkatup perlahan. Kepalanya teroleng ke
sebelah kanan. Secara perlahan badannya menjadi sejuk dan pucat.
“Adinda!”
Raungan sayu Raja Baytizan menenggelamkan
suasana hingar di luar yang sayup-sayup kedengaran. Dia memeluk erat
jasad isterinya. Matanya segera berkalih ke arah Panglima tadi yang baru sahaja
sedar. Gigi gerahamnya bergeseran. Fikirannya dikuasai amarah.
Raja Baytizan lantas bangun dan mengayunkan satu
sepakan ke arah muka Panglima itu. Pedang yang tersisip kemas di dinding
dicapai. Muka Panglima itu dituris hingga menimbulkan tiga garisan yang
mengunjur ke bawah. Panglima itu meraung kesakitan.
“Kau akan
beta seksa. Biar mati secara perlahan.” Raja Baytizan merengus kencang.
“Tolonglah,
ja..jangan bunuh aku.” Panglima itu merayu-rayu.
Raja
Baytizan memijak dadanya. “Baiklah, katakan apa kelemahan tentera kamu?” Raja
Baytizan bijak mengumpan. Nyawa digadai dengan sebuah rahsia. Panglima itu
sudah tidak peduli dengan ikrar yang pernah dilafaznya dulu. Demi harta yang
paling berharga-NYAWA.
“Ba… baik,
serang di bahagian Timur. Pertahanan di sana sangat lemah. Selepas itu hantar
pasukan pemanah di perbukitan. Di sana adalah tempat peraduan Raja Bastiyar.”
Panglima itu mengalami ketakutan yang teramat sangat.
“Ribuan
terima kasih, panglima.” Zasss! Mata pedang menembusi dada sebelah kirinya. Serta-merta
dadanya tidak berombak. Malaikat Izrail telah selesai menjalankan tugasnya iaitu
– mencabut nyawa.
PERANG semakin sengit di sebelah utara. Raja Baytizan
mengarahkan sebahagian daripada bala tenteranya ke arah yang disebutkan oleh
Panglima itu. Taktik itu berjaya. Kawasan mereka berjaya ditawan, manakala Raja
Bastiyar terbunuh. Mayatnya diheret dengan menggunakan kuda di seluruh kota.
Sedikit-banyak, kemenangan itu telah mengubati kekecewaan hati Raja Baytizan.
Namun, jauh di sudut hati, kehilangan permaisuri tercintanya membuatkan Raja
itu rasa terlalu menderita.
“Ayahanda”
Puteri Qaisara mengembalikan ingatan ayahnya di alam yang realiti. Raja
Baytizan mengusap-usap mukanya.
“Minggu
hadapan anakanda ingin mengikuti rombongan pelayar kerajaan kita menyelusuri
Sungai Nil.” Puteri Qaisara memicit-micit bahu ayahnya.
“Baiklah,
anakanda.” Raja Baytizan seolah-olah masih mamai dengan peristiwa perang yang
membungkus fikirannya tadi. Fikirannya kusut, sekusut sarang burung tempua.