Tanah
Nusantara
SHAFI tenggelam dalam khusyuk. Selepas menunaikan solat
maghrib tadi dia melanjutkan dengan amalan-amalan sunat. Sesudah itu, dia
membasahkan lidahnya dengan zikrullah. Hatinya tenang kala ini. Jasadnya di
dunia manakala rohnya seperti terbang jauh, sejauh mata memandang menerawang
langit yang merah nian. Khusyuknya kepada Maha Pencipta ternyata mengatasi
segala-galanya. Sesungguhnya, jasad dan hatinya hanyalah untuk ALLAH Tuhan
sekalian alam.
Desiran
angin membuai lembut dedaunan. Shafi yang sudah selesai bermunajat perlahan
membuka kelopak mata. Hatinya sebak ketika melafazkan kalimah-kalimah ALLAH
yang tersangat indah. Angin sepoi perlahan menyeka matanya yang bergenang.
Perlahan Kiai Jabar menyentuh belakangnya dengan penuh lembut.
“Bapa.”
Shafi menoleh lalu berjabat tangan dengan bapa asuhannya lalu mencium
tangannya.
“Apa
yang bermain di fikiranmu, nak” Kiai Jabar seperti biasa, bertutur dalam
lembut.
“Aku
terkenang dosa-dosaku yang lampau, bapa.”
“Mintalah
keampunan ALLAH wahai anakku, mohonlah dengan serendah-rendah hati. Kita memang
seharusnya sentiasa takut dengan dosa-dosa kita, kerana setiap anak Adam itu
pasti ada silapnya.”
“Baik, bapa.” Shafi menyimpan nasihat itu di setiap
penjuru hatinya.
“Bagaimana
dengan gadis itu, apakah pernah menjenguk alam tidurmu lagi?” Kiai Jabar
merujuk kepada wanita yang hadir dalam mimpi Shafi tempoh hari.
“Sejak
sehari dua ini, dia tidak pernah muncul kembali, bapa.” Shafi ingat-ingat lupa mengenai
gadis itu.
“Mohonlah
petunjuk ALLAH, anakku. Mungkin sudah sampai masanya kau menjenguk dunia luar.
Bermusafir itu satu tuntutan agama jika untuk kebaikan. Sampaikan lah dakwahmu
walaupun hanya satu ayat, itu lebih baik daripada meninggalkan semuanya.” Kiai Jabar
merenung sayu anak asuhannya.
“Insya-ALLAH,
bapa.”
“Ingat,
kau tidak boleh sombong anakku, di atas langit masih ada langit lagi. Hanya ALLAH
yang maha Kuat lagi Perkasa.”
“Terima
Kasih, bapa.” Hati Shafi luruh dengan kata-kata yang berunsur nasihat daripada
bapa asuhannya selaku gurunya juga.
“Bersegeralah
nak, tidak lama lagi akan masuk waktu Isyak, laungkanlah seruan ALLAH.”
“Baik,bapa.”
Shafi lantas berdiri dan mengambil air wuduk padahal dia masih ada wuduk.
Kota
Amuriah
SUHAIL mengusap-usap busurnya. Fikirannya ligat
berfikir tentang kejadian yang berlaku siang tadi. Gerakan dan getaran yang
berlaku pada tali busur itu membuatnya tidak rasa tenang. Seperti ada sesuatu
yang tersembunyi di sebalik seni binaan warisan berharganya itu. Dia renung
lama-lama busur kesayangannya. Mata dipicing, jiwanya seperti sudah sebati
dengan semangat panah itu.
“Keluarlah.”
Suhail seakan-akan menyeru sesuatu di sebalik busur itu.
“Aku
adalah tuanmu, penaklukmu.” Suhail semakin diamuk resah apabila tali busur yang
diletakkannya di lantai bergerak perlahan. Dia tersenyum kelat.
Perubahan
busurnya semakin ketara, ia mengeluarkan bunyi yang berdesing. Pemegangnya pula
seakan-akan berubah bentuk.
“Kemarilah
wahai taklukanku.” Suhail merentangkan tangannya ke depan. Busurnya perlahan
terangkat dan meluru ke arahnya. Seperti ada satu daya yang sengaja membekukan
ketumpatan udara. Suhail menyambut busurnya dengan kemas menggunakan tangan
kiri. Tangannya kejap menggenggam.
Dia
terkejut sebaik sahaja tangannya menggenggam busur itu. Kelihatan seperti
akar-akar pokok tumbuh dengan cepat dan melingkari tangannya. Benda yang
seakan-akan akar itu berwarna seperti warna busur tersebut. Lingkaran semakin
kejap. Suhail yang terkejut dengan perubahan drastik itu hanya menahan sakit
apabila satu demi satu daripada benda yang seakan-akan akar itu berhenti
melingkar.
Suhail
berang apabila lingkaran itu tidak dapat dibuka. Dia menghentak-hentak panah
itu di dinding kerana geram, tetapi menghentikannya apabila tangannya terasa
kebas dan kemerah-merahan. Sejenak itu pandangannya berbinar, di berasa
seolah-olah seperti berpusing-pusing kemudian jatuh pengsan. Lingkaran itu
perlahan longgar kemudian busur itu kembali ke bentuk asal. Sebenarnya, busur
kesayangannya itu hanya ingin bersatu dengan tuannya.
SUASANA indah pantai kerajaan Langkasuka sememangnya
sangat mengagumkan. Desiran angin lembut membuai pepohon. Ombak laut yang ganas
menghempas pantai yang memutih. Begitulah hati Puteri Irdina Farihin, kelihatan
tenang tapi gundah dalam diam. Fikirannya jauh terbang menerawang awan-gemawan
lalu jatuh ke dasar lautan yang paling dalam. Ternyata wajah jernih lelaki yang
hadir dalam mimpinya tempoh hari menjadi penunggu setia hatinya. Rindunya
semakin ‘bernyawa’.
Puteri itu hanya berhenti berkelakuan seperti ini
apabila menjelang tidur tetapi masih berharap supaya Shafi akan muncul dalam
mimpinya. Dia tersentak apabila angin utara semakin kencang bertiup. Rambutnya
terurai ditiup angin. Rindunya berkecai terkubur di lautan Hindi.
“Perasaan
apakah ini, kenapa beta asyik teringat sahaja dengan lelaki itu?” Puteri Irdina
Farihin bermonolog.
Perasaan
itu amat mengganggu ketenteramannya. Namun amat sukar untuk disingkirkan, malah
tidak sanggup untuk menyingkirkannya dari hati. Indah perasaan cintanya,
melebihi keindahan istana agam kerajaan Langkasuka.
“Apakah
kau wujud, aku teringin sekali bertemu denganmu. Aku sudah tidak tahan menahan
rindu.” Puteri Irdina Farihin tertunduk. Matanya berkaca. Hati hawanya pilu,
rindu semakin mencarik urat-urat jantungnya. Teramat sakit dikenang tetapi
sangat indah dirasa.
“Anakanda.”
Raja Mahadewa memanggil lembut nama puterinya dari belakang. Panggilan tidak
bersahut. Raja Mahadewa mengukir senyuman lalu menghampiri puterinya lantas
memegang bahu anak kesayangannya itu. Puteri Irdina Farihin tersentak lalu
pantas menoleh.
“Ayahanda,
maafkan anakanda kerana tidak menyedari kedatangan ayahanda.” Puteri Irdina
Farihin tersenyum.
“Kenapa
tidak khabarkan kepada ayahanda yang kamu sudah sembuh, anakku?” Raja Mahadewa
membelai rambut Puteri Irdina Farihin.
“Anakanda
ingin membuat kejutan, tapi ternyata ayahanda mengetahuinya terlebih dulu.”
Puteri Irdina Farihin tergelak kecil.
“Ayahanda
pergi ke kamarmu tadi, tapi anakanda tidak berada di sana, ayahanda lantas
bertanya kepada dayang-dayang itu. Pada mulanya mereka enggan menjawab tapi
ayahanda ugut akan memecat mereka.” Ternyata kesembuhan penyakit puterinya
telah mengubati resah hatinya.
“Anakanda
yang menyuruh mereka supaya tidak membuka mulut.” Puteri Irdina Farihin
tersenyum.
“Baiklah,
ayahanda akan mengadakan pesta besar-besaran sempena kesembuhan anakanda.” Raja
Mahadewa memegang bahu puterinya apabila tidak memberikan sebarang reaksi.
“Anakanda
teringatkan siapa?”
“Oo, hmm..
anakanda teringatkan mendiang ibunda, ayahanda.” Puteri Irdina Farihin
berdalih. Ingin sahaja dia mengatakan bahawa ada seorang lelaki yang mencuri
hatinya, namun hati kecilnya meningkah.
“Sabarlah
anakku, ayahanda juga selalu teringatkan ibunda.” Raja Mahadewa tidak
mempamerkan sebarang reaksi. Ingatannya terhadap isteri tercinta mekar semula
setelah sudah sepuluh tahun lamanya hati mereka terpisah oleh kematian.
“Mari
kita masuk ke istana anakanda, hari sudah semakin gelap.” Raja Mahadewa
memimpin tangan anaknya. Puteri Irdina Farihin hanya tersenyum.