Home Novel Seram/Misteri Manusia Iblis
Manusia Iblis
Meja Editor
11/11/2024 09:13:19
1,355
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 1

Penghujung 1960-an

MALAM yang dingin begitu mendamaikan, malah rintik-rintik hujan juga mula mengguyur bumbung rumah. Kanak-kanak itu sudah lama lena dibuai mimpi-mimpi yang indah. Kanak-kanak lelaki itu tinggal sendirian dek kedua-dua ibu bapanya yang masih belum pulang daripada melawat rakan sekerja. Kebiasaannya, mereka akan mengajaknya ikut bersama. Namun, kerana kanak-kanak lelaki itu kepenatan dan tertidur lebih awal, mereka terpaksa meninggalkan dia di rumah.

Kanak-kanak berusia lingkungan lapan tahun itu tersentak dan terus terbangun daripada tidur dengan wajah yang berkeringat. Matanya membulat kiri dan kanan seolah-olah mencari sesuatu. Dia melihat ke arah dinding kamar tidurnya. Waktu sudah pun menghampiri pukul 12.00 tengah malam. Kanak-kanak itu mula resah, dia bingkas bangun dari katilnya dan berjalan keluar dari kamar.

"Ayah, mak?" kelur kanak-kanak lelaki itu.

Namun, tiada sebarang jawapan. Ruang luar kamar kelam, tanpa cahaya yang benderang. Dia fikir mungkin ibu bapanya sudah lama beradu. Akhirnya kerana tidak mahu mengganggu mereka tidur, kanak-kanak itu mengambil keputusan untuk berlalu ke tandas. 

Dia tidak tahu kenapa dia harus mengalami igauan berat yang menyeramkan. Di tandas, kanak-kanak itu membasuh mukanya dan termenung di hadapan cermin singki seperti memikirkan sesuatu. 

"Mimpi ... hanya mimpi," ujar kanak-kanak itu.
Bunyi guruh kedengaran. Hujan mula turun dengan lebat, menambah rasa dingin pada malam itu. Kanak- kanak lelaki itu terdengar bunyi sesuatu di ruang tamu rumah. Wajahnya berkerut. Dia menyangka mungkin bapanya yang belum tidur. Akhirnya, kanak-kanak itu keluar dari tandas menuju ke ruang tamu. 

Tiada sesiapa pun yang berada di situ. Hanya lampu di pekarangan luar rumah yang terbuka. Kanak-kanak itu mula berasa tidak sedap hati. Ketika dia sedang bergerak kembali ke kamarnya, tombol pintu rumah mula bergetaran dan terpusing-pusing seperti ada seseorang sedang cuba membuka. Debaran di dalam dadanya semakin kuat menerjang. Kanak-kanak itu mendengar suara menderam kasar dari luar daun pintu rumah.

"Ayah ... ayah ... ada orang nak masuk ke dalam rumah!"
Kanak-kanak itu berlari menuju ke kamar ibu bapanya sambil memanggil bapanya berkali-kali.Namun tiada sahutan daripada bapanya itu. Kanak-kanak itu menguatkan lagi suaranya memanggil bapanya. Tetapi tetap sama. Tiada sahutan yang diterima.
Dam! Dam! Dam!

"Ayah! Ayah! Ada orang nak masuk rumah kita!" laung kanak-kanak itu sambil memukul daun pintu kamar ibu bapanya.

Dum! Dum! Dum!

Bunyi dentuman daun pintu di ruang tamu lebih kuat berbanding ketukan kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu semakin tidak keruan. Kali ini, anak telinganya mendengar bunyi daun pintu di ruang tamu berjaya dibuka dan ditolak dengan kuat. Malah, angin dingin dari luar menerobos masuk ke dalam rumah, membuatkan ketakutan di dalam dada kanak-kanak itu semakin mencengkam.

Kerana tidak tertahan dengan asakan yang menyerbu di dadanya, kanak-kanak itu tidak bertangguh lagi terus membuka pintu kamar ibu bapanya. Saat pintu kamar terkuak, barulah dia sedar yang ibu bapanya tiada di rumah bersamanya.

Bunyi dengusan kasar dan derap tapak kaki yang besar serta berat menggegarkan dada kanak-kanak itu. Dia resah ketakutan. Apa yang terlintas di fikirannya kini hanyalah masuk  bersembunyi di dalam kamar ibu bapanya. Pintu kamar ibu bapanya ditutup kemas. Kanak-kanak itu melihat ke kiri dan kanan ruang kamar yang luas itu sebelum mengambil keputusanuntuk bersembunyi di bawah katil. 

Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu bersembunyi. Mungkin nalurinya menyatakan dia perlu cepat menyorok kerana apa yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya itu bukanlah manusia! Mana mungkin manusia mampu menggegarkan lantai simen ketika berjalan. Hentakan tapak kaki makhluk misteri itu seolah-olah membuatkan lantai rumah pecah berderai! Kanak-kanak itu meniarap di bawah katil dan diam memerhati di celah bawah pintu kamar.

Di bawah pintu yang sedikit renggang itu, retina mata kanak-kanak itu terpandang satu bayang-bayang hitam yang berjalan mundar-mandir di hadapan bilik tidur itu. Hentakan demi hentakan kaki kedengaran kuat sekali seolah-olah susuk tubuh makhluk yang sedang berjalan di luar kamar itu memakai kasut bertapak besi yang berat!

"Ayah ... mak ...." kelur kanak-kanak itu separa berbisik.

Perasaan takut dan seram semakin kuat merangkul dirinya ketika ini apabila bayang-bayang kaki penceroboh itu sudah berdiri tepat menghadap daun pintu kamar ibu bapanya itu. Dentuman guruh di luar jendela menambah ketakutan dalam diri dan pemikiran kanak-kanak berusia lapan tahun itu.

Dam! Dam! Dam!

Kini bunyi daun pintu kamar pula dihentak dengan kuat dari luar. Dan hentakan kali ketiga itu membuatkan pintu kamar itu terkuak melebar. Angin dari luar menerobos masuk ke dalam kamar. Kanak-kanak itu masih diam di bawah katil tanpa mampu berkata apa.

Ketakutan merangkul hati dan perasaannya. Kanak-kanak itu menekup mulutnya dengan kedua-dua belah tangan dan memejamkan matanya serapat mungkin. Dia berharap igauan ngeri yang sedang melanda itu berlalu dengan segera.

Ketika ini, hanya anak telinganya sahaja yang terpasang mendengar setiap bunyi. Jantungnyaberdegup laju apabila mendengar bunyi menggeruh kasar dan menderam bertingkah-tingkah. Tatkala anak telinganya mendengar bunyi hentakan kaki yang kuat masuk ke dalam kamar itu, dia terasa ingin membuka mata melihat kaki milik sang penceroboh itu.
Ketika matanya terbuka, kanak-kanak itu terpandang sepasang kaki milik penceroboh sedangberdiri tepat menghala ke arah katilnya. Apa yang membuatkan kanak-kanak itu hampir menjerit ketakutan, dia melihat sepasang kaki milik penceroboh itu jelas dan nyata bukan milik kaki manusia, tetapi mirip seperti kaki haiwan! Seperti kaki seekor kambing gurun!

"Warghhh!"

Satu raungan panjang yang menyakitkan telinga kedengaran kuat oleh kanak-kanak itu. Raungan kasar, parau dan menggetarkan dada itu membuatkan kanak-kanak itu turut sama menjerit dengan semahu-mahunya. Katil yang menjadi tempat persembunyian kanakkanakitu, akhirnya dibongkar dengan satu kekuatan yang luar biasa. Kini terdedahlah tempat persembunyian kanak-kanak itu dan apa yang membuatkan dia terus menjerit apabila di hadapannya ketika ini berdiri satu susuk makhluk besar dan sasa. Makhluk yang bertubuhmanusia yang kekar, berkaki binatang dan berkepala kambing gurun bertanduk lebar serta besar. 

Mata makhluk itu merah menyala mencerlung tajam ke arah kanak-kanak itu. Renungan yang menyeramkan itu sudah cukup membuatkan kanak-kanak lelaki itu menangis dan menjerit ketakutan. Raungan kanak-kanak itu tidak lama, dia merasakan tubuhnya seperti digoncangkan seseorang sehingga bergetaran seluruh tubuhnya.

Dia tidak mahu membuka mata kerana tidak sanggup melihat keseraman dan ketakutan yang tidak pernah dia alami seumur hidup itu. Akhirnya, dek terlalu takut dan panik, kanak-kanak itu diserang sawan. Dia menggelupur bersama mulutnya yang berbuih-buih sebelum dia pengsan tidak sedarkan diri. 

"SAYA pulang saja dari rumah, terdengar si Fadil menjerit dan diserang sawan di ruang tamu. Sejak kebelakangan ni, dia sering mengadu termimpi yang bukan-bukan. Rata-rata mimpi yang dialaminya tu menyeramkan. Saya sendiri tak tahu bagaimana dia boleh berada di ruang tamu malam itu. Apa yang membimbangkan saya, kalau berlanjutan seperti ni, anak saya mungkin akan lemah tak bermaya seumur hidupnya," luah bapa kanak-kanak itu kepada seorang lelaki yang berkopiah putih dan berjanggut di ruang tamu rumahnya.

Lelaki berkopiah putih itu hanya diam dan dia melihat persekitaran rumah yang dia singgah itusebelum kembali menatap wajah pemiliknya yang berusia lingkungan 40-an itu. Tidak jauh dari ruang tamu itu, kelihatan seorang kanak-kanak yang masih lemah dan sedang dijaga ibunya sambil menyua makanan ke mulut di meja makan. Lelaki berkopiah itu melihat sahaja wajah pucat kanak-kanak itu dan lambat-lambat dia mengukirkan senyuman.

"Apa yang saya tahu, anak encik ni mempunyai satu kelebihan."

"Kelebihan? Kelebihan apa tu tuan Haji Ali?" soal bapa kepada kanak-kanak itu.

"Anak encik ni ada deria keenam. Dalam erti kata yang lain, dia boleh melihat, merasa dan mampu berinteraksi dengan makhluk lain selain manusia," jelas lelaki berkopiah yang bernama Haji Ali itu.

"Maksud tuan Haji?"

"ALLAH berikan dia sedikit kelebihan yang tidak ada pada diri kita. Dia istimewa."

"Tapi kelebihan ni menyusahkan kami. Sekarang dia sering sakit-sakit dan mudah diserang sawan," tukas bapa kanak-kanak yang bernama Fadil itu.
"Jangan bimbang, peringkat awal memang begini. Nak serasi dan menerima apa yang tak biasa memang memakan masa sedikit. Ramai yang mempunyai kelebihan seperti Fadil, malah ada lagi yang lebih teruk," ujar Haji Ali.

"Saya tak mahu anak saya terus melihat makhluk-makhluk halus dan terus diganggu igauan ngeri. Kesian dia yang masih tak kenal apa-apa lagi. Kalau saya berjumpa dengan hantu pun saya menjerit, apatah lagi kanak-kanak seperti Fadil," ujar bapa Fadil.

Haji Ali mengangguk faham. Dia tidak pula berkata apa-apa, jauh sekali meningkah kata-kata bapa kepada Fadil itu.

"Tuan Haji boleh tolong tak? Tolong tutupkan hijabnya," pinta bapa Fadil.

Haji Ali diam seribu bahasa. Dia memandang Fadil yang sedang ditemani ibunya dan kembali memandang ke arah bapa Fadil.

"Saya tak berjanji boleh tutup hijabnya secara total. Tapi apa yang saya boleh bantu, saya boleh ajar Fadil selok-belok dunia melalui pandangan agama kita sendiri. Saya boleh ajar Fadil ilmu ALLAH dan ilmu duniawi," jelas Haji Ali.

"Boleh, boleh. Saya setuju. Bagi saya itu dah cukup baik buat anak saya. Dan saya berharap apabila dia belajar dengan Tuan Haji, hijabnya akan tertutup dengan sendirinya," ujar lelaki berkaca mata itu kepada Haji Ali.

"Insya-ALLAH," balas Haji Ali dengan senyuman.

Dia memandang ke arah Fadil yang masih lemah dan perlahan-lahan dia mengukirkan satu senyuman yang manis buat kanak-kanak itu.

'Kau budak yang istimewa Fadil. Ada asbab kenapa ALLAH berikan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Mungkin satu hari nanti, kau akan dapat membantu mereka yang memerlukan.' Detak hati kecil Haji Ali berkumandang.

Dia turut merasakan kanak-kanak itu mempunyai satu keistimewaan yang akan dapat memberikan bantuan kepada mereka yang mengalami musibah. Terutama kepada anak Adam yang terganggu dek makhluk suruhan iblis!

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.