Home Novel Cinta Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/1/2025 09:17:59
765
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

KETIKA Jannah membuka pintu, dia sangkakan penghantar makanan sudah sampai bersama mi tarik yang dipesannya.

"Kau rupanya. Asal balik rumah?" tanya Jannah dengan nada kelat.

Leila berdecit.

 "Kau ni, ngah. Macam tu ke cara sambut adik?"

"Kalau adik aku duduk jauh dah tak balik sepuluh tahun, mungkinlah aku sambut beria-ia. Ini baru beberapa jam. Kau nak suruh aku bentang karpet merah ke?"

Leila tidak menjawab. Dia terus melangkah masuk lalu menghempaskan tubuhnya ke atas sofa.

"Kau balik rumah naik apa? Aku tak dengar bunyi kereta pun?" soal Jannah sambil mengintai ke luar. Kelihatan kereta si adik diparkir di luar pagar.

"Aku kan ninja," balas Leila seraya menanggalkan tudungnya.

"Woi, kau tak kerja ke apa ni?" Jannah bercekak pinggang dengan tangan kirinya.

"Syyy ...." Leila mengurut pangkal hidungnya. "Aku nak berfikir."

"Tak boleh berfikir kat ofis ke? Wajib kena berfikir kat rumah?"

"Ngah, you're not helping."

"Ngah, nyenyenye ...." Jannah mengejek.

Leila baru hendak membebel lebih panjang, tetapi bunyi hon motosikal penghantar Foodpanda berjaya mengalih perhatiannya. Dia memanjangkan leher memerhatikan si kakak terhincut-hincut membawa masuk bungkusan makanan tengah harinya dan terus diletakkan di meja makan.

"Kau tak masak ke?" 

"Malas. Busy. Kau kata hari ni nak balik lambat." 

Leila tidak membalas.

Jannah tidak tahu drama apa lagi yang dibawa pulang oleh Leila kali ini. Kali terakhir gadis itu pulang ke rumah pada waktu pejabat disebabkan bergaduh besar dengan rakan perniagaannya, Nik.

Tetapi Jannah malas mahu bertanya. Yakin benar si adik akan merungut panjang lagi. Dia tiada masa nak dengar. Hari ini, dia perlu menghantar manuskrip. Hari penghantaran manuskrip bukan hari untuk mendengar masalah Leila.

Jannah kembali ke meja kerjanya bersama mangkuk mi tarik yang masih panas. Skrin masih memaparkan Microsoft Word yang ditaburi puluhan ribu perkataan mengenai hidup seorang usahawan wanita yang berjaya menjadi jutawan menerusi perniagaan produk kecantikan timbang katinya.

"Ngah." Suara Leila muncul dari ruang tamu. 

Jannah mengerling si adik yang sedang merenung permaidani.

"Hmm?"

"Tak ada apa-apalah," ujar Leila setelah lama mendiamkan diri.

Jannah ikut diam. Dia sedang fokus membaca perenggan terakhir yang telah disunting tadi sambil menghirup sup yang menyegarkan. 

"Ngah."

"Hmm?"

Leila mengeluh. "Tak apalah." 

Jannah tergeleng-geleng lantas menyambung kerjanya semula.

"Ngah."

"Ya RABBI, kau nak apa?"

"Katakan ex-boyfriend angah telefon ofis masa angah tak ada kat ofis, lepas tu dia kata nak telefon angah semula. Angah akan jawab tak panggilan seterusnya tu?"

Jannah menoleh ke arah Leila, tetapi si adik masih merenung permaidani.

"Pertama sekali, aku tak ada ex-boyfriend."

"Hypothetical ex-boyfriend."

"Kedua, aku tak ada pejabat."

"Hypothetical office."

Jannah menghela nafas panjang. "Okey. Kalau aku punya hypothetical ex-boyfriend telefon aku guna nombor hypothetical office aku, aku akan hypothetically jawab dan tanya, 'Kau nak apa, syaitan?'. Lepas tu, baru decide nak buat apa."

"Okey. Kalau dia bukan syaitan? Kalau dia lelaki yang baik tapi clueless?"

"Kalau macam tu, aku tanya ajelah dia nak apa tanpa perlu tambah perkataan syaitan tu. Lepas tu, barulah fikir nak buat apa. Kalau kau tak jawab telefon, macam mana kau nak tahu dia nak apa, kan? Kenapa? Siapa telefon kau?" 

Leila membenam mukanya ke sofa.

"Mwomwi ...."

"Siapa?"

Leila mengangkat muka semula. Menyembur habuk yang masuk mulut. Kemudian, mengulang jawapan. 

"Mawi."

Terangkat kening Jannah. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi.

"Asmawi tu ex-boyfriend kau? Bila masa kau bercinta dengan dia?"

"Hisy ... bukanlah ex-boyfriend. Orang dah kata, kan? Hypothetical. Susahlah orang nak explain, ngah."

Bagaimana dia nak jelaskan kepada kakaknya tentang cintanya yang hanya bertepuk sebelah tangan? Bahawa suatu masa dahulu, dia pernah menyangka hubungan dia dan lelaki itu akan menjadi lebih daripada sekadar kawan? Tentang Asmawi yang menjadi lelaki pertama yang dicintainya dengan tulus dan ketulusannya itu dibalas dengan air mata? Bagaimana dia hendak menjelaskan tanpa membuatkan si kakak memandangnya seolah-olah dia sedang menyampaikan plot Telenovela pukul 7.00 malam?

Jannah terus merenung adiknya yang masih telangkup di sofa sebelum mengalihkan semula pandangan ke skrin apabila si adik mengubah kedudukannya dan kembali telentang.

"Kau tengah buat apa, ngah?" soal Leila.

Jelas sekali mahu mengalihkan perhatian Jannah daripada pertanyaan sebelum ini.

"Edit buku Dato' itulah."

"Ewww. Apa lagi tip mengarut dia pasal business?"

"Dia kata, kalau kita nak buat business, kita tak boleh fikir banyak. Buat aje. Jangan fikir pasal rugi sebab duit sentiasa boleh dicari. Itu tip nombor tiga. Semua sekali ada sepuluh tip. Tip ada sepuluh aje, tapi buku dia dalam 400 muka surat."

Leila ketawa mengejek.

"Orang yang datang daripada keluarga berduit bolehlah cakap macam tu. Macam Nik. Masa awal-awal start business dulu, dia kata berhenti aje terus. Jangan fikir banyak kali. Dia bolehlah buat macam tu. Bapak dia ada restaurant chain. Kalau business lingkup, boleh cover atau urus aje one of the chains. Kita ni kalau buat business? Business lingkup, semua pun lingkup."

Jannah sekadar tersenyum. Ada kalanya dia terasa seperti si adik cemburukan kehidupan Nik walaupun dia sendiri tidak pernah bertemu dengan teman adiknya itu biarpun sudah begitu lama Nik dan Leila bekerja dalam syarikat yang sama. 

Dalam kebanyakan rakan Leila, dia cuma pernah berjumpa Mahima. Itu pun kerana wanita berbangsa India itu pernah tinggal di taman perumahan yang sama sebelum mendirikan rumah tangga. 

Hakikatnya, Leila sukakan privasi dan tidak mahu kehidupan di rumah dicampuradukkan dengan kehidupan sosial. Si adik memang begitu sejak dahulu.

"Apa lagi tip dia?"

"When you are in love, do not trust easily. Tip nombor lapan rasanya."

Leila ketawa besar.

"Kenapa dia fikir dia layak bagi tip pasal relationship? Dia ada affair dengan suami orang kut!"

Jannah mengangkat bahu. Entahlah. Dia juga tidak tahu. Apa yang dia tahu, dia hanya seorang ghost writer yang dibayar oleh seorang jutawan kosmetik untuk menulis biografi. Pada masa yang sama, harus juga memastikan sesiapa sahaja yang membeli buku itu tidak akan mengesyaki bahawa si jutawan kosmetik menggunakan khidmat ghost writer.

Sudah berpuluh-puluh buah buku ditulisnya atas nama selebriti dan orang kenamaan. Ia satu kemahiran yang sia-sia kerana tiada siapa yang tahu. Bukannya ada anugerah sastera atau anugerah buku untuk seorang penulis siluman. Namanya juga  menyedihkan. Siluman.

Nurul Jannah, siluman.

Apabila tiada lagi soalan terbit dari bibir Leila, Jannah menganggap si adik mahu diberi ruang untuk berfikir. Leila memang begitu sejak dulu lagi. Mungkin mulutnya bising. Mungkin Leila kuat membebel dan merungut.

Mungkin ada sahaja perkara yang tidak memuaskan hati adiknya itu. Tetapi, Leila juga amat mementingkan privasi. Apatah lagi dalam soal hati dan perasaan.

Asmawi.

Jannah masih ingat lelaki itu. Memorinya mula membayangkan Asmawi, seorang pemuda awal 20-an yang sering muncul di gerai makannya suatu masa dahulu untuk membeli sarapan sebagai bekal ke kuliahnya. Lelaki itu gemar mengusik Leila tatkala si adik datang membantu di gerainya setiap petang usai waktu sekolah. Apabila Leila diterima masuk ke universiti yang sama, Asmawi menawarkan diri untuk membantu Leila menyesuaikan diri.

Jannah tahu Leila rapat dengan Asmawi ketika itu. Sebagai kakak, dia juga ada rasa risau jika lelaki itu akan menyakiti adiknya. Namun, Asmawi tidak begitu. Lelaki itu tahu batas yang harus dijaga. Tidak ubah seperti seorang abang buat Leila. Malah, pada tahun ketiga pengajian, Asmawi datang memperkenalkan teman wanitanya kepada Jannah dan Leila. Seorang gadis mat salih bernama Alice. Dia melihat sendiri kegembiraan di wajah Leila tatkala adiknya itu memeluk Alice. Siap memanggil Alice "bakal kakak ipar". Bakal kakak ipar kerana Leila menganggap Asmawi sebagai abang.

Jadi, apa maksud si adik tadi bahawa Asmawi itu tidak ubah seperti bekas teman lelakinya? Bukan. Bukan bekas teman lelaki. Apa kata Leila tadi? Susah nak explain? Tangannya berhenti menaip. Dia lantas menoleh ke arah sofa.

"Adik, tadi kau kata ...."

Soalannya tidak sempat dihabiskan, Leila sudah pun ghaib daripada pandangan. Seperti mana gadis itu datang, seperti itu juga dia tinggalkan rumah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.