Home Novel Seram/Misteri Manusia Iblis
Manusia Iblis
Meja Editor
11/11/2024 09:13:19
413
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Prolog

NAFAS berombak di dada. Namun, dia tetap meneruskan larian. Meredah pepohon kecil yang menghalang laluan. Lelaki itu kelihatan panik. Ketakutan begitu jelas terukir di wajahnya.

Walaupun dalam kegelapan malam yang begitu mencengkam, dia tetap membuka langkah selaju mungkin. Dia sudah tidak mengendahkan lagi ranting dan duri yang menghalang laluan. Semua habis diredah. Kedinginan malam yang semakin berganjak waktu sepertiga itu bagaikan tidak terasa. Peluh merembes membasahi wajah ketika ini. Oksigen di dada terasa begitu menipis. Pakaiannya sudah lencun dibasahi peluh. Dia berhenti seketika dan bersandar di sebatang pokok sebesar dua pemeluk lelaki dewasa.

Deru nafasnya kuat kedengaran. Bersungguh-sungguh dia membuka langkah meredah kesukaran hutan kala malam yang kelam demi satu-satunya nyawa yang dia ada.

Lelaki itu tercungap-cungap. Mulutnya ternganga luas mencari udara segar. Kerana kepenatan yang begitu mencengkam, dia terduduk sejenak di perdu pohon itu. Namun, istirahatnya hanya seketika. Telinganya tertangkap bunyi ranting kayu patah seperti dipijak seseorang atau mungkin sesuatu. Meliar bola matanya melihat ke setiap arah. Wajahnya yang baru menikmati ketenangan itu kembali berubah panik.

Dia berdiri dan berlindung di sebalik pohon kayu. Dia merasakan makhluk yang mengejarnya semakin menghampiri. Ini kerana anak telinganya jelas kedengaran bunyi menderam kasar di sebalik pepohonan di belakangnya. Lelaki itu akhirnya mencapai sebatang dahan kayu kering di hadapannya. Hanya itu senjata yang mampu dia miliki ketika ini.

Bunyi makhluk menderam semakin hampir. Lelaki itu nekad. Sama ada dia terus melarikan diriatau menyerang makhluk yang sedang memburunya. Sekiranya dia terus melarikan diri, lambat laun makhluk itu tetap menjumpainya.

"Kalau aku ditakdirkan mati di sini, aku akan mati melawan!" getus lelaki itu.

Dahan kayu sepanjang sehasta itu dipegang erat. Dia yakin makhluk itu sudah berada di sebalik pokok tempat dia bersembunyi. Debaran di jantungnya begitu kencang. Bagaikan ada genderang perang sedang dipalu dengan begitu rancak di dalamnya. Bunyi nafas semakin kuat kedengaran di telinganya. Bau hapak dan hamis menyengat di rongga hidung. Hatinya kuatmengatakan sang pemburu itu sudah berada benar-benar di sebalik pokok kayu tempat dia berselindung.

"Harghhh!"

Lelaki itu melibas kayu ke arah makhluk yang memburunya itu. Namun, libasannya hanya mengenai pepohon kecil. Sangkaannya meleset, langsung tidak kelihatan susuk tubuh makhluk yang mengekorinya. Lelaki itu berdiri sambil melingas ke kiri dan kanan. Tiada langsung kelibat sang pemburu kelihatan.

Kegelapan hutan itu membataskan pandangannya. Dengan hanya menumpukan deria pendengaran dan bau, dia amat yakin, makhluk itu memang berada berhampiran.

Setelah yakin tiada apa yang mencurigakan, dia berpaling ke arah laluan asal. Dan belum pun dia sempat menelan liurnya membasahi rongkongan yang kering, satu sambaran yang kedengaran tajam serta pantas singgah ke leher. Terbeliak matanya kerana tanpa diduga susuk tubuh yang memburunya itu berada tidak jauh dari tempat dia berdiri.

Badan lelaki malang itu rebah melutut di atas tanah. Kepalanya sudah terpisah dari badan, tergolek di atas dedaunan kering di banir pohon itu. Dengan sekelip mata sahaja, nyawa lelaki itu melayang tanpa dia sendiri sedari.

Jasad tanpa kepala itu rebah tergeletak berhampiran kepala yang terpisah itu. Darah hangat berbaur hanyir  menyeruak membasahi bumi. Tiada jeritan, tiada erangan kesakitan. Hanya kelopak mata lelaki itu berkerdip sejenak sebelum kaku tidak bergerak-gerak lagi.

"Heee ...."

Ada senyuman terbentuk memperlihatkan baris gigi yang berkarat dan kekuningan. Badan lelaki malang itu pastinya akan menjadi santapan yang paling enak buat makhluk kejam itu. Pembunuhan yang amat menggerunkan itu berlaku di pinggir hutan yang terasing daripada manusia lain dan sudah pasti tiada sesiapa pun yang tahu!

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.