Home Novel Seram/Misteri Manusia Iblis
Manusia Iblis
Meja Editor
11/11/2024 09:13:19
1,512
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4

LEBIH setahun sudah berlalu. Kisah kehilangan misteri dua pemuda di dalam hutan ketika memberhentikan kenderaan di pinggir jalan lama bagaikan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Malah, pihak berkuasa sendiri gagal menyelesaikan permasalahan yang telah menimpa dua orang pemuda malang itu.

Namun, tidak bagi ahli keluarga mangsa-mangsa itu. Tiada siapa yang dapat melupakan kehilangan sanak saudara. Apatah lagi mereka hilang tanpa jejak dan penuh misteri. Kehilangan Jimi sebenarnya sedikit sebanyak turut membebankan fikiran Fadil. Dia sebenarnya masih dalam kemurungan akibat kematian tunangnya tempoh hari. Pemuda itu masih bersedih dan dia sering gagal mengawal emosinya.

Setelah mendapat tahu sepupunya itu pula hilang tanpa kesan, Fadil langsung diam. Berkali-kali bapa saudaranya, yakni bapa Jimi menghantar surat meminta bantuan. Tetapi, Fadil hanya membiarkan sahaja surat-surat itu. Pemuda itu berubah selepas lebih setahun kehilangan Jimi. Dia sudah tidak sanggup lagi dihantui igauan demi igauan yang datang melanda, sekali gus menebarkan rasa bersalah di dalam diri. 

Paling tidak dapat dilupakan apabila dia didatangi satu mimpi di mana dia disapa oleh seorang gadis misteri. Setiap kali malam menjelma dan setiap kali dia ingin beradu, pastinya gadis misteri itu akan datang berdiri diam memandang ke arahnya. Dan malam sebelum dia bertolak ke Raub, Pahang adalah kemuncak kepada segala-galanya.

Fadil terpaku apabila di hadapannya ketika ini berdiri seorang gadis yang hadir di dalam mimpi-mimpinya. Namun, paras rupanya masih tidak dapat terlihat dengan jelas. Masih kabur dan berkabus.

"Apa yang kau mahu? Kenapa kau sering mengganggu aku?" tekan Fadil dengan beraninya.

Namun, gadis itu diam seribu bahasa. Fadil berjalan ke arah gadis itu, tetapi sekelip mata sahaja gadis itu hilang bak kabus dihembus angin. Fadil melilau mencari di manakah susuk tubuh itu menghilang.

"Mana kau? Mana?" laung Fadil.

Ketika Fadil berpaling ke belakang, dia kejung seketika. Wajah gadis yang masih kabur itu berada betul-betul di hadapannya ketika ini. Gadis itu merenung ke arahnya! Fadil terkaku, dia menjadi pegun secara tiba-tiba.

"Bantu aku!"

Suara nyaring hadir ke cuping telinga Fadil. Suara itu bagaikan datang dari setiap arah. Semakin lama semakin kuat dan bingit. Suara yang berulang-ulang itu jelas membuatkan Fadil rimas. Kerana tidak tertahan dengan kesakitan yang membingitkan telinga, Fadil menjerit dengan semahu-mahunya.

"Arghhh!"

Pemuda itu tersentak dan terus tersedar daripada lamunannya. Dia melihat kiri dan kanan sebelum menghela nafas panjang sebelum meraup wajah yang lencun dengan kedua-dua belah tangannya. Dia berasa igauan yang datang kali ini bagaikan benar-benar dekat dengannya. Malah, dia masih terasa bingit dengan suara yang bergema di kiri dan kanan telinganya.

"Fadil ...."

Fadil tersentak. Dengan pantas dia melingas kiri dan kanan mencari suara yang memanggil namanya itu. Tiada sesiapa di dalam bilik tidur yang kelam itu selain dirinya. Kipas siling berputar perlahan menghadirkan rasa dingin yang menegakkan bulu roma Fadil. Dia amat yakin mendengar suara memanggil namanya sebentar tadi.

Setelah diamati kiri dan kanan, malah di setiap sudut ruang kamarnya, Fadil melepaskan keluhan lega. Dia kembali membetul-betulkan bantal tempat dia berbaring itu. Perlahan-lahan dia merebahkan badan dan kembali berbaring. Fadil diam, matanya memandang ke arah bilah-bilah kipas yang sedang berputar di siling.

"Mungkin aku terlalu memikirkan yang bukan-bukan," getus Fadil.

Bilah-bilah kipas yang sedang berputar itu semakin lama semakin perlahan. Fadil berkerut, dia melihat dan memerhati kipas itu yang kini sudah berhenti berputar. Namun suhu kamarnya masih dirasakan dingin, malah semakin dingin!

"Kipas dah rosak?" gumam Fadil.

Fadil menarik selimutnya sampai ke paras bahu. Kedinginan suasana di dalam kamarnya membuatkan Fadil semakin berasa berat. Kelopak matanya juga dirasakan semakin sukar untuk dibuka. Kantuk semakin berat bergayut di hujung matanya.

"Fadil ...." Suara itu datang lagi.

Kali ini Fadil dapat merasakan suara itu hadir dari bawah katil. Dia menjenguk ke bawah, namun tidak ada apa-apa yang kelihatan.

Apabila Fadil kembali ke kedudukan asalnya, bahu Fadil disentuh sesuatu yang amat dingin. Fadil menoleh dengan pantas. Alangkah terkejutnya Fadil apabila satu susuk tubuh perempuan yang amat pucat dan tanpa wajah terbaring berdekatan dengannya!

"Argh!"

Fadil tersentak, dia bingkas bangun. Dadanya berombak kencang dengan tanpa tanda-tanda ingin reda. Fadil melingas kiri dan kanan, hatta ke belakang dan ke atas. Dia mencari susuk perempuan tanpa wajah itu di mana-mana. Namun tiada. Setelah beberapa ketika barulah Fadil menyedari dia telah mengalami mimpi dalam mimpi berturut-turut.

"Allahuakbar!"

Fadil meraup wajahnya dan beristighfar panjang. Dia melihat ke arah meja di sebelah katilnya. Di situ tergeletak beberapa keping surat yang ada di antaranya masih belum dibuka dan dibaca. Perlahan-lahan Fadil memulakan bacaan.

"Surat daripada ayah long," getus Fadil.

SETELAH mendapat nasihat daripada guru silat dan juga guru agamanya Haji Ali, Fadil akhirnya akur dan dia akan ke Raub bertemu dan membantu bapa saudaranya apa yang termampu.

Sepanjang kematian tunangnya, Fadil lebih banyak mendiamkan diri. Bukan dia tidak tahu tentang  kejadian kehilangan sepupunya, Jimi. Tetapi fikirannya berserabut dan sukar untuk melupakan apa yang sudah berlaku. Baginya, dialah punca segala-galanya dan sukar sekali untuk dia memaafkan diri.

"Kalaulah saya ikut dia sekali, benda macam ini tak mungkin berlaku. Saya lupa akan pesanan Tok. Tok cakap saya ada kebolehan dan kelebihan yang tak ada pada orang lain, dan saya harus membantu mereka yang perlukan bantuan daripada saya. Tapi saya ingkar nasihat Tok... saya yang menjadi punca kepada kematian tunang saya." Luah Fadil.

"Perkara sudah tertulis dan sudah ditakdirkan. Ajalnya sudah tiba Fadil. Siapa kita untuk menidakkan kuasa ALLAH. Sekarang ada orang memerlukan bantuan dan meminta pertolongan daripada kau. Ingatlah Fadil, kelebihan yang kita miliki ini ada sebabnya dan sebab utama adalah dengan membantu mereka yang memerlukan," hujah Haji Ali dengan nada yang tenang dan mendatar.

Fadil diam, dia memandang ke bawah tanpa sebarang kata-kata. Fikirannya lebih terarah  kepada wajah cinta hatinya yang telah lama pergi. Di dalam hatinya, dia amat menyesali dengan apa yang telah berlaku.

"Pergilah Fadil, ada seseorang yang perlukan khidmat kamu. Ingatlah, ALLAH tak suka hamba-Nya menyerah kalah sebelum berjuang," pesan Haji Ali.

Fadil masih membisu, dia langsung tidak berkata apa.

"Usah dikenang dan bersedih atas pemergian tunangan kau itu. Tanggungjawab kau dah tiba. Apabila ada orang yang dalam kesusahan inginkan bantuan, pergilah. Amalkan ilmu dan apa jua yang telah kau pelajari di sini. Insya-ALLAH segala kesulitan akan ada jalan penyelesaiannya. ALLAH takkan menguji hambanya melebihi kemampuan yang kita ada. Selalu ingat kepada ALLAH, insya-ALLAH DIA akan membantu dalam apa jua kesulitan yang kita hadapi."

Suara pesanan daripada Haji Ali bagaikan terus terngiang-ngiang di telinga Fadil. Kereta yangdipandunya bergerak dengan tenang membelah malam di negeri Pahang. Dia memegang kata-kata dan nasihat gurunya, Haji Ali. Walau apa pun yang terjadi, dia perlu ikhlas dan bersiap siaga dengan apa jua yang mendatang, walaupun dia sendiri masih tersayat dengan kehilangan cinta hatinya. Demi tanggungjawab, Fadil akur dan memberikan apa yang termampu.

Malam masih muda. Fadil memberhentikan kenderaannya di sebuah stesen minyak. Kereta Mitsubishi Galant yang dipandunya perlu diisi petrol. Perjalanannya masih jauh. Lelaki itu termenung sendirian di dalam kenderaannya yang sedang diisi minyak oleh jurupam. Apabila selesai, jurupam itu terpaksa menyapa Fadil berkali-kali. Entah ke lubuk mana dia jauh mengelamun. 

"Encik, kereta dah siap isi minyak."

"Maafkan saya. Err ... malam-malam begini ada kedai makan tak di sekitar kawasan ni?" tanya Fadil.

"Encik jalan depan sikit. Dalam sekitar dua tiga kilometer, encik akan berjumpa satu kedai makan. Kalau encik jalan lagi dalam 15 kilometer, encik akan jumpa satu pekan. Di situ ada banyak kedai makan yang masih buka. Balai polis dan klinik pun ada," terang jurupam itu, panjang lebar.

"Oh, ada pekan kat depan sana ya?"

"Haah, ada. Tapi saranan saya baik encik berhenti di kedai makan di depan sana aje. Rasanya waktu begini kedainya masih buka. Lagipun masakannya enak," saran jurupam itu lagi.

"Oh, begitu. Terima kasih ya."

"Err ... encik ni nak ke mana? Dari mana?" aju jurupam itu seperti ingin bercorat-coret dengan Fadil lagi.

"Oh, saya dari Kuala Lumpur nak ke Raub, rumah bapa saudara saya," jelas Fadil.

"Oh ...," balas jurupam itu, pendek.

"Kenapa ya?" soal Fadil.

"Oh, tak ada apa-apa." Jurupam itu seperti teragak-agak untuk menyatakan sesuatu.

"Kalau macam tu saya gerak dulu ya ...."

"Err ... kejap encik." Dengan lekas jurupam itu menahan Fadil daripada meneruskan niatnya.

"Ya ada apa?"

"Saya nak nasihatkan encik berhati-hatilah."

"Kenapa tu?"

"Di sini orang luar tak ramai datang. Jadi mereka tak tahu selok-belok keadaan di sini."

"Apa maksud awak?" Berkerut Fadil mendengar penjelasan yang diberikan jurupam itu.

Kemudian, jurupam itu menoleh ke kiri dan kanan sebelum dia terpandang rakannya yang berdiri di satu pam yang sedikit jauh dengan kereta Fadil. Kedua-duanya menggunakan bahasa isyarat yang membuatkan Fadil makin tidak faham.

"Ada apa-apa yang perlu saya tahu ke?"

"Err ...."

Ketika pemuda itu ingin menyatakan sesuatu, seorang lagi rakannya datang mendekati Fadil yang masih berada di dalam kereta. Fadil hanya melihat kedua-duanya tersengih-sengih memandangnya.

"Ada apa lagi? Apa yang boleh saya bantu?" soal Fadil bersama kerutan di dahi. 

Dia melihat kejanggalan kedua-dua jurupam yang masih muda itu. Kedua-duanya memandang antara satu sama lain sambil menolak-nolak seperti masing-masing keberatan untuk meluahkan sesuatu.

"Kalau tak ada apa-apa, saya nak gerak dulu. Perut saya dah berbunyi, lapar. Nak mencari kedai makan pulak," ujar Fadil kepada dua jurupam yang dalam lingkungan masih remaja itu.

"Err ... encik, err ... abang ...." Rakan kepada jurupam yang mula-mula melayan Fadil memulakan bicara.

Fadil mengalih pandangnya ke arah jurupam yang bertubuh sedikit gempal itu.

"Saya nasihatkan agar encik teruskan aje perjalanan encik sehingga sampai ke tempat encik tuju," nasihat jurupam itu secara tiba-tiba.

Fadil kembali mengerutkan dahinya. Dia berasa hairan dengan kata-kata jurupam yang kelihatan sedikit berusia itu.

"Kenapa kau cakap macam itu?"

Ada secubit rasa tidak puas hati timbul di sudut perasaan Fadil. Sudahlah perutnya berkeriut menyanyi lagu keroncong sumbang. Datang pula orang luar yang memberi nasihat agar tidak berhenti di mana-mana.

"Er ... benar bang. Kalau boleh jangan berhenti.

Teruskan aje perjalanan."

"Kenapa pula? Perut saya dah lapar. Tadi kamu juga yang cakap ada kedai makan dalam beberapa kilometer dari sini."

"Ya, tapi ... kawasan ni tak selamat."

"Apa yang kamu berdua mengarut ni?" tingkah Fadil.

Belum pun sempat dua jurupam itu menjawab, sebuah van yang agak buruk tiba dan berhenti betul-betul di kawasan pam angin. Mungkin pemilik van itu ingin mengisi angin tayar kenderaannya. Satu pemandangan yang biasa di stesen minyak.

Tidak lama selepas itu, datang sebuah motosikal yang ditunggangi seorang pemuda dan berhenti di satu pam minyak di belakang kereta Fadil. Jurupam yang lebih berusia itu terkocoh-kocoh pergi melayan penunggang motosikal yang tiba itu. Maka tinggallah jurupam yang lebih muda itu bersama-sama Fadil.

"Kalau dah tak ada apa-apa, saya nak gerak dulu. Bimbang kedai makan tu tutup pula," ujar Fadil.

"Err ... bang, lepas makan abang cepat-cepat gerak ya," nasihat jurupam itu lagi.

Fadil menggeleng-geleng dengan dahi berkerut tidak berpuas hati. Namun dia tidak mahu berlama-lama. Semakin banyak dia bertanya, semakin banyak timbul persoalan. Tidak lama selepas itu, motosikal yang berhenti di belakang kereta Fadil pun bergerak meninggalkan kawasan pam minyak itu. Hanya kereta Fadil yang belum bergerak sejak dari tadi. Fadil mulaberasa dia sudah membazir waktu berborak dengan jurupam di situ.

"Terima kasihlah atas pesanan. Saya gerak dulu," ucap Fadil.

Dia menghidupkan kereta sebelum berlalu keluar dari stesen minyak. Fadil memandu dengan tenang. Dia membuka tingkap dan membiarkan angin menderu masuk menampar wajah. Fadil memandu dengan perlahan tanpa tergesa-gesa. Dia mengeluarkan rokok dengan menggunakan sebelah tangan, manakala sebelah lagi dia memegang stereng keretanya. Rokok dinyalakan dan menyedut sebelum asap kelabu dan dihembus berkepul-kepul. Sesekali dia memandang ke arah cermin pandang belakang dan kembali menumpukan pemanduannya.

"Apa sajalah dua budak tu. Nak menasihati kita, tapi tergagap-gagap," bebel Fadil. 

Keretanya dipandu perlahan kerana dia tercari-cari kedai makan seperti yang dinyatakan oleh jurupam itu. Sesekali dia menghirup udara malam yang menderu menyapa wajahnya. Fadil melepaskan keluhan. Di daerah inilah dia pernah bermain dengan sepupunya Jimi yang hilang sejak setahun lalu. Perasaannya jauh menerawang memikirkan nasib sepupu yang rapat dengannya sejak kecil itu.

"Apa dah terjadi kat kau? Kat mana kau sekarang Jimi?" gumam Fadil sendirian.

Peristiwa yang berlaku itu kekal misteri. Ahli keluarga dan pihak berkuasa masih gagal mencaripunca kehilangan dua pemuda itu. Hanya kereta yang dinaiki mereka sahaja ditemui tersadai di tubir jalan. Persoalannya, ke mana menghilangnya Jimi dan Amri?

Kisah yang berlaku ke atas sepupunya itu hampir serupa dengan apa yang telah terjadi terhadap tunangan Fadil sendiri. Disebabkan itulah Fadil berasa bersalah setelah dia tidak  mengendahkan surat-surat yang dihantar bapa saudaranya itu. Setelah mendapat nasihat daripada guru agama merangkap guru silatnya, akhirnya dia menjawab surat-surat dan permintaan bapa saudaranya itu agar datang ke Raub bagi menyelesaikan kes kehilangan Jimi.

"Insya-ALLAH aku akan mencari kau Jimi," gumam Fadil sendirian.

Setelah beberapa ketika memandu, retina mata Fadil terpandang satu cahaya yang di hujung jalan. Kelihatan juga ada beberapa buah kenderaan diparkir berdekatan dengan kedai yang memasang lampu terang-benderang itu.

"Mungkin ini kedai makan yang dikatakan," getus Fadil sebelum dia memberi isyarat untuk singgah di kedai makan itu.

Fadil melihat-lihat persekitaran kedai makan itu dari dalam kereta. Walaupun malam semakin larut, kedai itu masih ada pengunjungnya.

"Boleh tahan juga ramai orang kat sini. Eh, motosikal tadi pun ada," ujar Fadil.

Usai memarkir kereta, Fadil yang baru membuka pintu terdengar bunyi berderum kasar dari belakang. Ketika dia menoleh memandang sebuah van buruk melintas perlahan. Tergelak fadil apabila melihat van yang kelihatan sudah usang dan dinding berkarat itu bergerak perlahan tanpa berhenti di kedai makan itu.

"Buruk-buruk pun masih boleh bergerak. Lucu pula tengok van buruk tu. Sudahlah lampu pun malap saja," gelak Fadil.

Dia menapak masuk ke dalam kedai makan itu dan melabuh duduk di sebuah meja kosong di hujung kedai. Dia memesan makanan panas dan secangkir kopi. Kotak rokok Camel dan mancis api berlogo cili merah diletakkan di atas meja. Sesekali dia melihat jam pada tangan dan persekitaran kedai makan itu. Fadil tersenyum kala terpandang pemuda yang menunggang motosikal yang berhenti di pam minyak sebentar tadi.

'Dia pun lapar agaknya.' Gumam hati Fadil seraya tergelak kecil.

Makanan yang dipesan pun tiba. Masih berasap dan aromanya betul-betul menyelerakan. Tanpa menunggu lama, Fadil mengucap bismillah dan memulakan santapan. Keenakan nasi goreng kampung dan telur mata kerbau benar-benar membuatkan Fadil tidak lagi memandang kiri dan kanan. Perut yang berkeroncong harus diisi.

Ketika beberapa suapan, anak telinganya terganggu dek bunyi bingit sebuah lori satu tan berhenti dan memarkir kenderaannya bersebelahan dengan kereta Fadil. Fadil menoleh melirik ke arah pemandu itu dan menyedari seorang lelaki bertubuh gendut keluar bersama seorang lagi rakannya. Mungkin kelindannya dan menapak masuk ke dalam restoran.

Tiada apa yang menarik bagi Fadil. Mungkin mereka berdua juga mahu menikmati makan malam. Fadil kembali memberi tumpuan kepada makanannya.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.