Home Novel Seram/Misteri Manusia Iblis
Manusia Iblis
Meja Editor
11/11/2024 09:13:19
1,516
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

HUJAN mula turun membasahi aspal jalan membuatkan perjalanan Fadil terasa semakin dingin. Namun, semua itu tidak menjadi masalah buat Fadil. Mengikut perkiraan Fadil, lagi setengah jam dia akan tiba ke destinasi yang dituju. Fadil memandu keretanya dengan tenang tanpa terburu-buru. Dia masih memikirkan apa yang dikatakan oleh pegawai polis yang berurusan dengannya sebentar tadi.

"Macam tak penting aje apa yang aku laporkan. Bukankah kemalangan tu baru aje berlaku? Kenapa pulak nak pergi siasat esok pagi?" omel Fadil.

Dia tidak puas hati dengan layanan pegawai polis di daerah itu. Tetapi, pada fikirannya, mungkin betul juga disebabkan kekurangan anggota yang bertugas ketika ini antara punca kenapa mereka mahu melakukan siasatan pada keesokan hari.

"Entahlah. Kerja kerajaan ni memang macam ini eh? Malas nak buat kerja? Ah, tak payahlah aku nak beratkan kepala," bebel Fadil sambil melajukan lagi wiper keretanya kerana hujan semakin lebat.

Radio kereta dipasang. Tombol pemutar radio itu dipulas-pulas. Fadil sedang berusaha mencari siaran radio malam yang mampu memberi ketenangan dan penemannya memandu pada waktu yang semakin lewat itu.

"Tak ada siaran radio ke kat kawasan ini?" rungut

Fadil yang masih berusaha mencari siaran radio. Matanya memandang ke arah hadapan jalan.Dia menggunakan lampu tinggi demi memudahkan penglihatannya di laluan yang cukup sunyi dan agak gelap itu.

"Apasal dengan radio ni? Takkan rosak kut? Takkan langsung tak ada siaran?" rungut Fadil yang tidak puas hati.

Hanya desiran kosong tanpa sebarang muzik dan suara. Fadil berkerut dahi. Sesekali dia melirik ke arah radio dan kembali memberi tumpuan kepada pemanduannya yang tidaklah laju. Akan tetapi, ketika dia menunduk memandang ke arah radio semula, kedengaran seperti satu suara perempuan. Berkemungkinan juruhebah radio sedang bersuara. 

"Hah, ada pun siaran."

Beberapa saat kemudian, siaran itu kembali hilang. Fadil tidak mengalah, dia mencari lagi siaran sebentar tadi yang masih belum dijumpai dengan tepat frekuensinya.

"Ah... tutup ajelah... naik bosan aku cari tak jumpa-jumpa."

Fadil mengeluh. Akhirnya, dia mematikan terus radio dan memberi sepenuh tumpuan kepada pemanduannya pada malam itu. Sudahlah kiri dan kanan jalan dipenuhi dengan hutan dan hujan turun dengan lebat. Jalan yang dilalui Fadil pula sunyi tanpa sebarang kenderaan. Namunbegitu, perkataan seram dan takut langsung tiada di dalam kamus dirinya. 

Dia sebenarnya sudah betah hidup sendirian selepas rumah tangganya tidak dapat bertahan lama. Fadil tidak keseorangan kerana dia sering mengikuti rakan-rakannya meredah hutan belukar, memancing, mengadakan aktiviti berkhemah dan bermalam di hutan. Disebabkan itulah hutan bagaikan peneman buat dirinya.

Ketika Fadil sedang memberi tumpuan kepada pemanduannya, radio kereta secara tiba-tiba kembali terpasang dengan sendiri. Malah, tombol radio keretanya sedang berputar ligat tanpa sebarang bantuan dari tangan Fadil.

"Eh, kenapa tiba-tiba hidup sendiri ni?"

Fadil melihat-lihat sebelum dia kembali mematikan radio itu. Suasana sunyi kembali hadir. Fadil mula berasa ada sesuatu yang tidak kena. Namun, dia kembali memberi sepenuh perhatian kepada pemanduan.

"Dah rosakkah radio aku?" bisik Fadil perlahan.

Pelbagai andaian mula meluru masuk ke kotak mindanya. Akhirnya, Fadil kembali tenang apabila hatinya menyatakan mungkin ada kerosakan pada aliran wayar radionya itu. Hujan semakin lebat sehingga menyukarkan pandangan matanya.

Di saat Fadil sedang memandu dengan penuh berhati-hati, dia kembali dikejutkan dengan bunyiradio keretanya. Debaran di dada Fadil kali ini bernada tidak senang. Dia merasakan ada anasir lain yang mahu mengganggunya pada malam itu. Fadil dapat merasakan bulu romanya mula meremang apabila radio keretanya yang sedang kembali hidup itu perlahan-lahan kedengaran mengalunkan lagu opera Cina sebelum bercampur aduk dengan siaran radio Inggeris.

"Ah, sudah ... nak bergurau apa pula ni?"

Ingin sahaja Fadil memberhentikan keretanya di tubir jalan. Namun, nalurinya kuat mengatakanjangan! Fadil masih berusaha untuk mematikan radio dan sesekali dia akan melihat ke hadapan ke arah jalan raya.

"Tolong ...."

Dahi Fadil berkerut. Suara meminta tolong hadir dari dalam radio keretanya. Serentak itu, bulu romanya semakin meremang. Dadanya bagaikan berdentam-dentum tatkala dia melihat ke hadapan, berdiri seorang perempuan di tengah-tengah jalan ketika itu!

Fadil yang terkejut dengan tangkas memulas stereng keretanya demi mahu mengelak daripada melanggar perempuan yang entah dari mana muncul secara tiba-tiba. Kereta yang dipandu Fadil berjaya mengelak gadis yang berpakaian lusuh dan basah kuyup itu. Namun, akibatnya kereta Fadil berpusing di atas aspal jalan yang basah itu. Nasib menyebelahi Fadil kerana keretanya dapat dikawal dengan baik.

"Allahuakbar ... nasib baik tak terlanggar!"

Debar di wajah Fadil jelas terlihat. Betapa dia hampir melanggar gadis itu. Mujur juga keretanya tidak terbalik atau mengalami kemalangan yang lebih teruk. Fadil melihat dalam kesamaran cahaya lampu, gadis itu sedang kebasahan dan menangis seraya memeluk tubuh yang kesejukan.

"U ... ujian apakah ini? Manusia atau ...."

Fadil melihat gadis itu dari atas hingga ke bawah. Dia dapat melihat dengan jelas titis-titis hujan mengenai tubuh gadis yang sedang teresak-esak menangis itu.

"Orang! Aku teramat pasti ini manusia dan bukannya hantu!" Fadil yakin.

Fadil keluar dari keretanya dan berdiri dalam hujan seraya memanggil gadis itu. Gadis itu masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Kelihatan tubuhnya dipenuhi dengan calar-balar dan kesan luka. Fadil berasa kasihan, apabila gadis itu kelihatan menggeletar kesejukan dan menangis merayu meminta pertolongan.

"Cik, kenapa berdiri di tengah-tengah jalan? Apa yang dah terjadi?" soal Fadil sambil melihat ke kiri dan ke kanan.

Bimbang jikalau ada anasir-anasir lain yang boleh mengundang bahaya kepada dia dan gadis malang itu. Apa yang terlihat pada pandangannya hanyalah hutan dan hujan yang semakin lebat.

"Tolong ... tolong ...," rayu gadis malang itu, lemah.

"Ya, mari masuk dalam kereta. Hujan lebat ni," pelawa Fadil.

Namun, gadis itu tidak mengendahkan pelawaan Fadil. Dia melihat ke kiri dan ke kanan seperti mencari sesuatu dalam riak wajah yang ketakutan sambil memeluk tubuhnya.

"Cik ... err ... puan ... mari masuk dalam kereta saya.

Hujan lebat sangat ni? Saya pun dah basah kuyup," ujar Fadil lagi.

"Tolong saya ... tolong ...," ulang gadis itu berkali-kali.

"Ya saya akan tolong. Mari kita pergi ke balai polis ya?" pujuk Fadil. Dia sendiri sudah berasa kesejukan malam yang ditambah dengan deraian hujan yang runtuh dari langit hitam malam.

"Mereka ... jahat..," ucap gadis itu sambil merenung wajah Fadil.

Dari raut wajah gadis itu jelas sekali ada kesan lebam dan kesan seperti luka-luka kecil bagaikandicakar. Fadil meneliti seluruh tubuhnya itu. Pakaian yang sudah carik robek sehingga memperlihatkan bahagian pahanya yang turut ada kesan calar balar dan luka kecil. Berkemungkinan kesan daripada onak duri dari dalam hutan.

"Siapa mereka? Nanti kita borak dalam kereta ya.

Hujan ni ...," ajak Fadil lagi.

Gadis itu tidak menjawab. Dia memandang Fadil dengan esakan tangisan yang tiada henti-henti menderu. Fadil menghulur tangan ke arah gadis itu, namun gadis itu tidak menyambutnya. Fadil lekas-lekas membuka pintu di sebelah pemandunya sebagai isyarat agar mempelawa gadis itu masuk ke dalam keretanya.

"Saya tak berniat jahat, saya nak membantu," ujar Fadil.

Akan tetapi gadis itu hanya memandang Fadil dengan pandangan yang kosong bercampur dengan riak wajah kerisauan. Fadil seolah memahami dan dia terus menutup pintu hadapan di sebelah pemandu dan membuka pintu di bahagian belakang pula.

"Mari saya bawakan awak ke balai polis," ajak Fadil lembah lembut.

Gadis itu menggeleng menyebabkan Fadil resah dan susah hati. Kemudian, barulah Fadil terfikir sesuatu. Mungkin gadis itu takut apabila mendengar perkataan polis.

"Baik ... saya bawak cik pergi ke hospital, ya? Err ... saya baru kat daerah ini. Nanti cik beritahu  arah ke hospital atau klinik, ya?" pujuk Fadil lagi yang cuba memaniskan senyumannya.

Gadis itu masih teragak-agak. Namun, melihat keikhlasan dan kejujuran Fadil, akhirnya gadis itu akur. Dia melangkah perlahan-lahan. Dalam terketar-ketar gadis malang itu masuk ke dalam kereta Mitsubishi Galant Fadil.

"Masuk perlahan-lahan ya."

Fadil hanya tersenyum kala melihat kerusi kereta lencun dengan air hujan yang datang dari tubuh gadis itu. Tiada masalah buat Fadil. Paling penting keselamatan gadis itu lebih diutamakan. Malah dia sendiri pun basah kuyup.

Apabila gadis itu sudah selamat berada di kerusi belakang keretanya, Fadil dengan lekas-lekas masuk ke bahagian pemandu dan memandu keretanya dengan selekas yang mungkin. Dia memutarkan stereng untuk melakukan pusingan U dengan niat ingin kembali ke pekan Raub di mana dia singgah ke balai polis awal tadi.

"Cik ... cik nama apa? Boleh ceritakan apa yang dah terjadi?" soal Fadil sambil melirik ke cermin pandang belakang.

Gadis itu tertunduk sambil memeluk tubuhnya yang menggigil kesejukan. Fadil serba salah, diamematikan pendingin hawa. Dia bimbang gadis itu tidak selesa dengan kedinginan di dalam keretanya.

"Tolong ...," ucap gadis itu terketar-ketar.

"Ya, saya akan bantu cik. Apa yang dah terjadi?" soal Fadil.

Gadis itu kembali diam. Fadil sesekali melihat cermin pandangan belakang. Dia dapat meneka kemungkinan gadis malang berkulit putih cerah itu adalah gadis berbangsa Cina. Fadil dapat mengagak melalui pelat sebutannya ketika berdiri di tengah-tengah jalan sebentar tadi. Pedal minyak keretanya ditekan dengan kuat agar keretanya lekas sampai ke Pekan Raub.

"Apa yang terjadi cik? Saya tengok pakaian cik koyak rabak, luka-luka seluruh tubuh. Cik kemalangan? Cik dari mana?" Bertali arus soalan diajukan Fadil kepada gadis itu.

Namun hanya suasana sunyi sahaja yang menjawab soalan demi soalan yang diajukan oleh Fadil itu.

"Cik nama apa? Saya Fadil," aju Fadil lagi tanpa mahu mengalah. Dia tetap mahu mengajak gadis itu berbicara.

"Saya ...." Bibir mongel gadis itu mula bergerak.

"Nama saya ... Edwina."

Pendek dari bibir gadis itu yang sedikit pucat kebiruan akibat sejuk bermandi hujan. Terketar-ketar dia menutur namanya sendiri.

"Tak apa Cik Edwina. Cik rehatlah dulu. Nanti kita sampai ke Pekan Raub, kita tanya kat mana hospital atau klinik yang berdekatan," ujar Fadil.

Dia kembali memberi perhatian kepada pemanduan. Hujan yang lebat dan suasana jalan yang dilaluinya agak gelap tanpa sebarang lampu jalan memaksa Fadil memandu dengan penuh berhati-hati. Dia membiarkan gadis yang itu diam di tempat duduk bahagian belakang.

Setibanya di kawasan Pekan Raub, barulah Fadil dapat melihat lampu jalan yang terang-benderang. Sekali gus memberikan kelegaan kepadanya. Namun, masih ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Di manakah Hospital Raub atau sekurang-kurangnya klinik yang terdekat dan masih dibuka.

"Cik, kita dah sampai kat pekan err ... Bandar Raub. Cik tahu tak kat mana hospital Raub?" soal Fadil.

Namun tiada jawapan. Fadil melihat ke arah cermin pandang belakang dan bola matanya terbeliak terkejut bukan kepalang. Dengan pantas dia memutarkan stereng kereta dan terus berhenti di tubir jalan. Fadil memusingkan badan dan melihat ke belakang. Namun, apa yang singgah ke penglihatannya hanyalah kesan basah air hujan yang masih tersisa di sofa belakangkeretanya. Susuk tubuh gadis itu sudah tiada di dalam keretanya.

"ALLAHUAKBAR... aku dah terkena," ucap Fadil seraya beristighfar panjang.

Dia dapat menduga apakah yang sedang berlaku. Dia juga pasti gadis yang bernama Edwina itu bukan manusia biasa.


Nota: Ini bab terakhir yang akan disiarkan di laman ini. Bacaan lanjut, dapatkan buku Manusia Iblis di Karangkraf Mall: https://www.karangkrafmall.com/manusia-iblis-saidee-nor-azam

Previous: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.