Sekarang…“CEPAT! Cepat!!!”
Suara Manjoy meletus bersama tepukan bertalu-talu di
bahunya. Jimmy langsung menekan pedal minyak. Tayar kereta berputar laju
meninggalkan asap dan bunyi berderit yang memekakkan telinga. Entah kenapa hari
itu, terasa segalanya seperti tidak kena. Bahkan tapak tangannya berpeluh sejuk
dan menggeletar. Tidak seperti selalu.
“Gila! Macam angin!” Manjoy membentak marah dengan
nafas yang menderu keluar masuk dadanya yang berombak-ombak.
Pakkai di sebelahnya hanya mengeluh berat. Wajahnya
kusut. Langsung tidak mampu bersuara kerana terlalu terperanjat.
Jimmy juga tidak bersuara. Matanya tidak lekang dari
memerhati jalan raya yang masih sibuk dengan kenderaan walaupun matahari sudah
hampir tegak di langit. Apa pun yang telah berlaku, dia mesti pastikan mereka
bertiga sempat sampai ke Tol Gombak secepat mungkin. Hal polis yang mengejar
laju di belakang mereka, kemudian sahajalah difikirkan. Mereka tidak akan dapat
menewaskan dia walau kehadiran mereka secepat itu memang di luar jangka. Dia
tidak akan tunduk pada polis.
“Cepat! Mereka dah dekat!” Pakkai pula menggoncang
bahu Jimmy. “Mereka dah dekat!”
Sikap Pakkai membuatkan dada Jimmy sesak. Rasa
marahnya makin menggila. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati. Dalam kekalutan itu
dia memecut selaju yang boleh. Kereta BMW yang dipandunya itu bagaikan pelesit
meluru pantas menakutkan kenderaan lain yang menyasar ke tepi. Dia tidak akan
kalah.
“Tu! Tu!” jerit Manjoy bagaikan orang sasau apabila
terpandang sebuah kereta Honda Accord sedang menunggu mereka di hadapan Tol
Gombak. Bendera merah yang dipasang pada cermin hadapan adalah tandanya.
Jimmy tidak menunggu lagi. Brek ditekan. Kereta
tersasar menghala ke tepi pagar. Belum sempat kereta itu betul-betul berhenti,
dia sudah membuka pintu. Begitu juga Manjoy dan Pakkai. Serentak, mereka
bertiga terjun dari kereta dan berlari menghala ke pintu tol.
Dalam masa yang singkat kehadiran mereka menjadikan
kawasan tol itu gempar. Ramai yang terpinga-pinga.
Pang! Pang! Pang!
Tembakan bertalu-talu dilepaskan ke arah mereka dari
kereta polis yang meluru dari sebelah kiri.
Jantung Jimmy seperti mahu luruh. Beberapa das
tembakan tersasar hanya beberapa inci dari tubuhnya. Dia mengerah segala tenaga
untuk memecut ke kereta yang menanti, begitu juga Manjoy yang tidak menoleh
sedikit pun ke belakang. Namun semakin dekat dia ke kereta yang menanti,
semakin dia rasa ada yang tidak kena.
“Pakkai!” Jimmy menjerit.
*****
SEDETIK terasa terlalu lama. Jimmy tidak sedar bila
masanya dia berpatah balik ke arah Pakkai. Sedar-sedar sahaja, dia sudah terketar-ketar
memangku kepala Pakkai yang berlumuran darah. Serta-merta bau hanyir darah dan
masam peluh bercampur, memeritkan nafas. Tubuhnya menggeletar kuat. Pandangan
matanya menjadi gelap.
“Tinggalkan!” Manjoy membentak sambil menarik tubuh
Jimmy ke belakang. Rentapan yang kuat itu menyebabkan kepala Pakkai terlepas
dan terhentak ke jalan raya.
Serentak dengan itu tembakan bertalu-talu dilepaskan
semula.
Jimmy bagaikan tersedar namun semuanya berlaku
terlalu cepat. Pegangan Manjoy yang kuat menyebabkan dia terheret ke belakang.
Akhirnya dia berpaling dan menyaingi langkah Manjoy yang bagaikan pelari pecut
menuju ke kereta yang sudah dibuka pintu-pintunya. Sebaik sahaja mereka berdua
melompat masuk ke dalam, kereta itu terus memecut laju.
Dari dalam kereta yang bergerak pantas, dia hanya
dapat melihat tubuh Pakkai terbaring kaku sambil dikerumuni beberapa orang anggota
polis. Dia menyumpah-nyumpah lagi. Hari itu, hari yang sunguh malang baginya.
“Laju lagi!” Suara Manjoy terus membentak pemandu
yang bernama Atok.
Atok tidak membalas, melainkan menekan pedal minyak
dan kereta mereka semakin jauh meninggalkan Pakkai. Di belakang mereka pula kereta
polis yang masih tidak berputus asa mengejar mereka.
*****
KIRA-KIRA dua jam selepas itu, sebuah van berwarna
biru laut memasuki sebuah gudang lama di pinggir hutan Gombak. Kesunyian
kawasan kilang yang terbiar itu dipecahkan oleh bunyi hentaman daun pintu
gudang ke lantai. Dua orang pemuda bertubuh tegap segera menguncinya dari dalam.
Dan dari dalam van tersebut melompat keluar empat orang lelaki termasuk Jimmy.
“Biar aku yang cakap.” Manjoy bersuara sebaik sahaja
pintu van ditutup semula. Dia berdiri berhadapan dengan Jimmy.
Jimmy terus menggeleng. Sebagai ketua dalam
rancangan itu, kematian Pakkai adalah tanggungjawabnya. Namun Pakkai bukan
sekadar salah seorang ahli kumpulan tetapi juga sahabat baik yang pernah tidur
sebantal dan makan sepinggan sejak dia merantau ke kota besar itu. Kehilangan
Pakkai meninggalkan rasa kosong yang meluruhkan jiwa. Apatah lagi sekarang dia
harus menghadap Lokkai, ketua mereka –abang kandung Pakkai.
“Biar aku yang cakap,” ulang Manjoy dengan nada yang
lebih tegas. Tangannya sudah menjamah lengan Jimmy.
Sekali lagi Jimmy menggeleng. Ditepuknya lembut bahu
Manjoy. Apa pun kata Manjoy, hatinya sudah nekad. Dia sendiri yang akan
memberitahu Lokkai perihal Pakkai. Dia juga bersedia untuk menerima apa sahaja
hukuman daripada Lokkai.
“Tanggungjawab aku,” katanya kemudian apabila Manjoy
cuba membantah.
Dari sinar mata Manjoy yang tajam itu dia tahu
Manjoy sedang risau memikirkan dirinya tetapi dia juga bukan bacul. Seperti
ahli-ahli kumpulan yang lain, dia juga dididik dengan hati sekeras batu. Tidak
gentar bertindak sekiranya perlu, tidak gentar menerima akibat walau taruhannya
mungkin nyawanya sendiri. Cuma hari itu bukan hari dia dan dia bersedia untuk
menanggung akibat.
Manjoy tidak membantah namun wajahnya jelas nampak
kecewa. Akhirnya dia menunggu sahaja Jimmy mendahului langkah. Belum sempat
mereka bergerak jauh dari van, Lokkai sudah tiba di situ.
Untuk sejenak, Jimmy kehilangan kata-kata. Dia hanya
mampu merenung muka Lokkai tidak berkelip.
Lokkai mengangkat kening. Matanya meliar mencari
sesuatu.
“Mana Pakkai?” Dia bertanya sambil bercekak
pinggang.
Jimmy tertelan air liur. Terasa kotak suaranya
menyempit. Bibirnya kering. Nafas pun
tertahan.
Reaksi Jimmy membuatkan air muka Lokkai yang tadi
tenang berubah keruh. Mulutnya separuh tertutup. Matanya tidak berkelip
memandang muka Jimmy.
“Pakkai…” kata Jimmy. “Aku tak sempat…”
“Kami tak tau siapa kencing. Tau-tau itu biru sudah
ngap kita.” Bagaikan peluru, kata-kata itu tersembur dari mulut Manjoy.
Serentak itu juga sepucuk pictol diacukan ke muka
Manjoy tanpa sedetik pun Lokkai mengalihkan pandangan matanya dari wajah Jimmy.
Spontan, Manjoy terdiam kaku. Halkumnya turun naik.
“Lokkai, aku…”
Kini pistol dihalakan pula ke muka Jimmy. Jimmy
dapat lihat dengan jelas, tangan Lokkai menggeletar. Urat-urat hijau muncul di
kiri kanan dahi Lokkai. Lokkai mula berpeluh. Namun akhirnya renungan mata
Lokkai yang tajam menusuk, membuat dia mengalah dan tertunduk. Gudang itu pun terasa sunyi dan dingin seperti bilik
mayat.
Kemudian, detik-detik seterusnya bagaikan terhenti. Tidak
ada siapa yang berani bersuara. Semuanya kaku dan menunggu. Jimmy juga begitu.
“Tang,” panggil Lokkai sambil menoleh ke arah seorang
lelaki berkulit sawo matang. Rambutnya mengeriting dan agak kusut mencecah
bahu. Matanya sentiasa tajam bak mata helang. Dia orang Thailand, pakar Muay
Thai. Nama sebenarnya sudah lama dilupakan. “Balik,” katanya.
Mendengarkan arahan Lokkai, Tang terus mendahului
langkah ke arah pintu gudang. Pintu gudang yang tadi ditutup, kini dibuka separas
kepala. Tang melepasinya untuk mengawasi keadaan sebelum menunggu Lokkai
keluar.
Jimmy hanya menghantar langkah Lokkai dengan lirikan
mata. Dia tahu Lokkai sedang teramat marah kerana belum pernah walau sekalipun
Lokkai menghalakan pistol ke mukanya sehinggalah ke hari ini. Sejujurnya,
sebagai orang kanan Lokkai, dia berasa benar-benar telah mengecewakan Lokkai
dan kumpulannya. Dan apa yang lebih teruk dia benar-benar kecewa dengan dirinya
sendiri kerana tidak mampu melindungi Pakkai.
*****
SEJAM telah berlalu. Kini Jimmy dan Manjoy berada
pula di dalam sebuah bilik berdinding kayu yang dibina di belakang sebuah kedai
makan. Di bahagian hadapan kedai itu, pelanggan sedang sibuk menikmati makan
tengah hari. Manakala di bahagian belakang pula, hanya orang tertentu sahaja
yang dibenarkan masuk termasuklah mereka berdua.
Di ruang itu hanya terdapat tiga buah meja bulat di
bahagian tengah. Dua daripadanya kosong. Selain itu ada sebuah pangkin panjang
di tepi dinding. Di atasnya duduk tiga orang gadis muda yang sesekali tersenyum
manis ke arah mereka berdua.
Ruang itu juga tidak sunyi. Irama dangdut nyanyian
Ria Amelia kedengaran menggoda. Disulam gelak tawa gadis-gadis di atas pangkin.
Sayangnya, Jimmy masih juga tidak terhibur. Jiwanya lara.
Walaupun dia sendiri yang memilih lauk-pauk, hidangan
tengah harinya tidak banyak terluak. Seleranya hilang. Sesekali perutnya terasa
sebu. Dia lebih banyak termenung dan menghembuskan asap rokok.
Sesekali dia tertunduk merenung butiran nasi yang
bertabur di atas meja. Sepertimana dia merenung nasibnya pada hari-hari yang
mendatang. Entah bagaimana rupanya setelah apa yang terjadi kepada Pakkai.
“Aku tak puas hati betul,” kata Manjoy sambil
menghentak penumbuknya ke atas meja.
Meja yang bergoyang, membuatkan anak mata Jimmy
melirik ke wajah Manjoy. Keningnya terangkat sebelah. Kurang jelas.
“Aku yang patut pergi. Tapi Lokkai hantar Tang.”
Manjoy menggelengkan kepala sambil menghembuskan asap rokok. Tebal dan
mengapung lama di atas kepala.
“Bila?” Kening Jimmy berkerut. Dia cuba memahamkan
perkara yang menjadi beban di hati Manjoy, sayangnya dia sendiri tenggelam
punca. Apatah lagi mahu menolong.
“Dua minggu lepas. Kau tak tahu?”
“Tang pergi mana?” Jimmy betul-betul tidak tahu hal
itu. Mungkin kerana pada waktu itu dia benar-benar sibuk dengan satu tugas di
Terengganu.
“Apa nama tempat tu…” Manjoy memicit kepalanya
dengan tangan kiri. “Hah! Bandar Dagang.”
“Bandar Dagang?” Air muka Jimmy berubah. Kerutan di
dahinya belum lepas.
Manjoy angguk. “Kau tahu tempat tu?”
Jimmy segera menggeleng laju. Cuba untuk tidak
mengambil hati sangat dengan cerita itu. Dia percaya esok lusa pasti ada kerja
lagi untuk mereka. Kalau tidak secara berkumpulan pun, mungkin secara
bersendirian. Tembak-menembak orang bukan kerja asing bagi kumpulan mereka.
“Dengarnya banyak Tang dapat. Ada orang kaya upah
dia.”
“Ikut Lokkailah dia mau kasi siapa,” balas Jimmy.
Malas mahu melayani rasa cemburu Manjoy. Walhal Manjoy bukan tidak tahu, Tang
orang kesayangan Lokkai. Apa-apa hal, Tang dahulu sapu.
Melihatkan Jimmy masih tidak mahu melayan ceritanya,
Manjoy ubah topik.
“Agaknya apa Lokkai buat sekarang?” tanya Manjoy
sebelum menghembuskan asap rokoknya ke sebelah kanan pula. Nasi berlauk yang
baru dihabiskan tadi kini mengering di hadapannya.
Apa Lokkai buat? Mustahil Lokkai sedang makan besar,
bodoh punya soalan! Jimmy mengutuk Manjoy dalam hati.
“Biru tentu datang ketuk,” sambung Manjoy. Tajam
matanya merenung wajah Jimmy.
Kali ini Jimmy angkat muka, dia balas renungan mata
Manjoy. Sedikit sebanyak kata-kata Manjoy membuat dia berfikir. Dia juga
percaya polis tidak sukar langsung mengesan alamat Pakkai yang mempunyai rekod
polis. Kemudian perasaannya dihujani rasa bersalah semula.
“Dia tentu mahu sempurnakan mayat Pakkai baik-baik.”
“Bukan salah kau.” Manjoy tersenyum kelat.
“Aku sepatutnya jaga Pakkai. Itu janji aku pada
Lokkai,” balas Jimmy dengan seribu kekesalan yang memenuhi dada.
Kalaulah dia tidak memenuhi permintaan Pakkai lima
tahun yang lalu, tentu semua itu tidak akan berlaku, fikirnya. Semua salah dia.
Dia yang menyokong permintaan Pakkai untuk menyertai Kumpulan Wuntai walaupun
pada awalnya Lokkai amat keberatan.
“Kerja macam kita, nyawa tak ada harga.” Manjoy
menggeleng santai. “Pakkai tentu tahu.”
Jimmy terangguk-angguk. Dia akui kata-kata Manjoy
itu ada kebenarannya tetapi kematian Pakkai di hadapan matanya masih sukar
diterima. Kalau orang lain mungkin tidak sesusah itu tetapi ini, Pakkai –kawan
baik dia.
“Bukan tak pernah ada orang kita yang mati sebelum
ini. Bersepah… relakslah, brother.”
Manjoy hempas nafas sebelum menggeliat manja. Dia menoleh ke arah pangkin. Digamitnya
seorang gadis supaya mendekatinya.
Seorang gadis terus datang dengan senyuman manis dan
lengguk manja, lantas memeluk tubuh Manjoy dari arah belakang. Tangannya
kemudian merayap, memicit-micit bahu Manjoy dengan mesra.
Manjoy tersenyum senang menerima picitan tersebut.
Raut wajahnya menunjukkan yang perasaannya amat lega.
Sikap Manjoy yang terlalu tenang, membuatkan Jimmy
sedikit jengkel. Mungkin kerana Manjoy tidak rapat dengan Pakkai, Manjoy hanya
menganggap Pakkai tidak lebih daripada satu nyawa yang tidak berharga. Akhirnya
dia campak puntung rokok yang dihisapnya sejak tadi ke lantai. Dia ambil kunci
kereta dan kotak rokok lalu bangun tetapi tangannya ditangkap cepat oleh
Manjoy.
“Tunggu arr… bro. Tengah sedap ni.” Manjoy pandang
Jimmy.
Jimmy pandang Manjoy. Dia tepuk meja hingga semua
yang ada di atas meja melantun. Nasi bertaburan. Air tumpah.
Akibatnya, pegangan tangan Manjoy terlepas. Dia
pandang sahaja muka Jimmy yang merah padam.
Jimmy merengus. Dia berpaling lalu meneruskan juga
langkahnya menuju ke arah pintu belakang namun sebaik sahaja kakinya memijak
tanah, dia ditegur oleh seorang perempuan yang tercengang melihatnya.
“Aazim?”
Bagaikan dipanah halilintar, nama yang dipanggil itu
membuatkan sekujur tubuhnya terenjat. Spontan dia mencari dari mana arahnya
suara itu datang. Akhirnya matanya lurus memandang ke arah seorang perempuan
bertudung hitam yang sedang berdiri berdekatan tempat membasuh pinggan mangkuk.
Jimmy kelu.
******
“AAZIM, kan? Ni Kak Misahlah… tak ingat ke?”
Perempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Misah tergesa-gesa mengelap
tangan lalu melangkah mendekati Jimmy.
Manjoy yang baru sampai ke muka pintu tersentak
melihat adegan itu. Langkahnya mati. Dia hanya memandang apa yang sedang
berlaku dengan penuh minat dan mulut yang separuh ternganga.
Jimmy pula terus kelu. Perempuan tadi kini sudah
berada di hadapannya. Dia serba salah. Juga terasa ingin lari sahaja dari situ.
“Aazim,” panggil perempuan itu sekali lagi.
Senyumannya segera merekah bagaikan teruja benar. “Tak kenal Kak Misah ke? Ni Kak
Misah, yang tinggal di sebelah rumah Aazim dulu.”
“Awak salah orang,” katanya setelah mendapat sedikit
kekuatan untuk tidak mempedulikan perempuan itu. Tidak kisahlah apa yang
perempuan itu cakap. Dia bukan Aazim. Aazim sudah lama mati.
“Salah orang?” Perempuan itu berkerut dahi dan
kemudian mula teragak-agak. Namun matanya tidak lepas dari menyeluruhi wajah
Jimmy. “Akak rasa akak tak salah orang.”
Jimmy terus menggeleng dan menyambung langkahnya
semula. Pada waktu itu dia sudah nekad untuk tidak datang lagi ke situ. Dia
tidak bersedia untuk berdepan dengan satu lagi masalah.
“Abah Aazim dah meninggal dua minggu lepas. Aazim
dah tahu ke?” Perempuan itu melaung apabila Jimmy pantas melangkah meninggalkan
dirinya sambil diikuti oleh Manjoy.
Langkah Jimmy terhenti sekali lagi.
*****
JIMMY menutup bunyi radio yang terpasang di dalam
keretanya. Keadaan pun kembali senyap sunyi namun fikirannya semakin terganggu.
Soal Pakkai, soal Lokkai dan sekarang datang pula soal lain. Makin berserabut
otaknya.
“Engkau kenal ke dengan perempuan tu?” tanya Manjoy
sambil melirik ke arah Jimmy kemudian ke arah jalan raya yang kini suram dan
basah. Di luar, hujan lebat mencurah-curah. Di dalam, ada sedikit hiba menakung
diam-diam.
Jimmy menelan air liur. Dia tahu Manjoy akan
bertanyakan hal itu namun dia belum bersedia untuk menjawabnya. Mungkin sampai
bila-bila pun dia tidak akan bersedia.
“Dia macam betul-betul kenal engkau.”
Makin teruk. Jimmy buat tidak dengar. Dia cuba
tumpukan perhatiannya ke arah jalan yang kian sesak. Dalam hati dia berharap
agar tidak ada banjir kilat di sekitar jalan menuju ke tol. Kalau ada, memang
teruklah dia saat itu. Terkurung dalam kereta dalam keadaan yang begitu tegang.
“Betul ke
bapak engkau dah meninggal?”
Jimmy tarik nafas panjang. Nampaknya Manjoy
betul-betul tidak kenal erti mengalah. Itu memang sikap Manjoy. Jimmy tahu itu.
“Entahlah,” balasnya perlahan. Akhirnya dia mengalah.
Hendak lari ke mana pun tidak boleh, Manjoy sudah nampak apa yang berlaku tadi.
Malah sudah dengar segala-galanya.
“Jadi… selama ni engkau masih ada bapak? Mak
engkau?” Manjoy mengisar punggung sehingga duduknya sedikit senget lalu
memandang lama ke wajah Jimmy. Seronok juga dapat tahu sesuatu yang tidak
pernah dia tahu selama ini.
Semua pertanyaan itu membuatkan dada Jimmy semakin
sesak. Itulah yang ditakutinya selama ini. Dia takut bertembung dengan apa-apa
yang mengingatkan dia kepada keluarganya di kampung. Dia belum bersedia untuk
bersua muka. Dia belum cukup berjaya untuk pulang bertemu mereka bersama
kejayaan yang diharapkan ayahnya selama ini. Akan tetapi, sekiranya benar
ayahnya telah meninggal dunia, apakah lagi yang menghalangnya untuk pulang?
“Kalau engkau masih ada keluarga, baliklah tengok sekejap.
Manalah tahu kalau-kalau apa yang perempuan tadi cakap tu betul….” Kini Manjoy
kembali duduk lurus menghadap ke hadapan pula.
“Hal kita belum selesai,” balas Jimmy.
Jalan raya yang sesak membuatkan pemanduannya pada
petang itu kurang lancar. Hendak tiba di Genting Sempah pun terasa amat perit. Banyak
kali kereta berhenti. Dia sudah mula menyumpah-nyumpah dalam hati. Marah kepada
segala-galanya.
“Aku rasa Lokkai takkan jumpa kita dalam masa
beberapa hari ni. Dia tentu sibuk dengan polis. Hal Pakkai lagi. Belum masuk
tempoh berkabung lagi… aku fikir, paling cepat pun dia mahu tengok muka kita
dua minggu lagi.”
Jimmy diam. Kata-kata Manjoy ada kebenarannya.
Lagipun Lokkai perlukan masa untuk menerima kenyataan. Mungkin juga dia patut
balik sekejap ke kampungnya untuk memastikan berita yang baru diterimanya tadi
sahih ataupun tidak. Sekaligus menenangkan fikiran.
“Boleh engkau tutup mulut?” Dia bertanya lembut.
Walaupun dia percaya Manjoy boleh dipercayai namun dia perlukan satu kepastian.
“Engkau balik sajalah dulu. Settlekan apa yang perlu. Kalau ada apa-apa hal, telefon aku.”
Jimmy tarik nafas panjang. Di matanya silih berganti
antara wajah Pakkai dan wajah ayahnya. Dia harus memilih salah satu.