Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 6

BAB 6

Terbahak-bahak pemandu teksi itu ketawa. Geli pula hatinya melihat seorang gadis kecil molek ada hati nak mengugutnya!

“Hei, perempuan! Baik kau jangan campur urusan orang lelaki. Sekali aku jentik nanti, terus melayang kau dalam hutan rimba tu!”

Menyirap darah Tipah di buatnya. “Amboi! Sedapnya mulut kau bercakap. Kau tak kenal lagi siapa aku. Akulah keturunan pendekar mustar pinang dua batang! Nah, terimalah dari aku!” Tipah nekad. Enjin motosikal segera di hidupkan. Dengan sekuat tenaga di tekannya pedal minyak lalu di rempuhnya pemandu teksi itu sehingga dia tercampak ke belakang!

Pantas Tipah menggamit Rayyan. “Cepat! Bonceng saya sekarang!”

Rayyan terkebil-kebil. “Saya...saya tak biasa naik motorlah! Kalau jatuh nanti macam mana? Awak ada lesen ke tak?”

Tipah menepuk dahinya. “Naik jelah! Awak nak ikut saya ke atau awak nak mati katak kat sini? Cepatlah!”

Hati Rayyan masih berbolak-balik. “Tapi kalau kita jatuh motor pun boleh menyebabkan kita mati, kan? Apa kata awak pergi ambil kereta dulu pastu baru awak datang sini ambil saya semula.”

Beristigfar panjang Tipah di buatnya. “Astagfirullahalazim! Mana sempat nak cari kereta time-time macam ni! Cepatlah naik motor ni!”

Pemandu teksi itu sudah bangkit semula. Nampaknya Rayyan tiada pilihan. Terkedek-kedek dia memijak tempat letak kaki penumpang. Belum sempat Rayyan duduk Tipah sudah memecut motosikalnya selaju yang mungkin!

Rayyan bertempik. “Hoi! Tak boleh bawak slow-slow sikit ke? Nasib baik saya tak jatuh, tau!” Tipah sekadar mencebik. Di saat-saat genting seperti ini tidak perlu rasanya dia melayani karenah-karenah sengal sebegini!

Pemandu teksi itu nyata tidak berputus asa. Di hidupkannya enjin teksinya sebelum dia juga memecut laju dan mengejar mereka dari belakang. Makin lama teksi itu makin menghampiri.

Rayyan memekik. “Tipah, bawak laju sikit! Jangan lembab macam kura-kura! Cepatlah teksi tu dah makin dekat dengan kita!”

Tipah merengus dalam hati. “Tadi suruh bawak slow, sekarang ni suruh bawak laju pulak. Hai nasib baiklah kau ni bakal laki aku. Kalau tidak dah lama aku benam kau dalam bendang ni hah!” sungut Tipah dalam hati. Motosikal Tipah semakin menghampiri kedai runcit Wak Karman yang terang-benderang. Kelihatan Melah, Tijah dan Lili melangkah keluar dari kedai tersebut. Tangan masing-masing penuh dengan segala macam bentuk jajan yang di borong dari kedai runcit Wak Karman itu. Hajat di hati mereka ingin melepak di rumah Tipah. Sementara menunggu bacaan doa selamat selesai, bolehlah mereka berjimba-jimba di pangkin yang terletak di bawah pohon mempelam itu.

Tiba-tiba motosikal Tipah lalu betul-betul di hadapan mereka bertiga. Tipah segera memekik. “Woi kengkawan! Tolong kitorang! Ada perompak gila yang kejar kitorang ni!” Sejurus selepas itu sebuah teksi yang sedang memecut laju muncul di hadapan mereka bertiga. Bersungguh-sungguh benar nampaknya teksi itu mengejar motosikal Tipah!

Terlopong seketika Melah, Tijah dan Lili. “Eh, itu Tipah dengan Rayyan kan? Afsal teksi tu kejar diorang?” Soal Melah kebingungan.

Lili bingkas melompat di atas motosikalnya. “Hei korang! Tipah dalam kesusahan tu. Jom kita ikut dia cepat!” Tanpa membuang masa Melah dan Tijah terus membonceng motosikal Lili. Dengan pantas mereka terus mengekori teksi tersebut.

Mereka bertiga terjerit-jerit dari belakang. “Woi! Afsal kau kejar kawan kitorang, hah? Kau nak kitorang panggil satu kampung ke?”

Tersentak seketika pemandu teksi itu. Tidak di sangkanya Tipah dan Rayyan mengimport geng untuk membantu mereka. Pemandu teksi tersebut mula cuak. Sepantas kilat dia membuat pusingan U sebelum memecut laju teksinya meninggalkan mereka semua.

Tipah berpaling ke belakang. Dia bersorak keriangan tanpa menyedari bala di hadapannya. “Yahoo!! Akhirnya kita menang! Padan muka teksi tu!”

Melah, Tijah dan Lili segera berteriak. “Tipah! Jaga-jaga!” Belum sempat mereka memberikan amaran motosikal Tipah telah meluncur dengan jayanya ke dalam sebuah bendang sawah padi! Habis seluruh tubuh mereka berdua di selaputi dengan lumpur. Sekilas pandang rupa mereka tak ubah seperti kerbau baru habis berkubang!

Amarah Rayyan tidak mampu di bendung lagi. Dia bertempik dengan kuat. “Tipah! Apa yang awak dah buat ni?? Habis kotor baju mahal saya! Siapa yang nak ganti ni?” Tipah hanya mampu menyerigai.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Bacaan doa selamat sudah selesai. Pak Saad mempersilakan para tetamu sekalian untuk menjamu selera. Dalam kesibukannya melayani tetamu terselit kebimbangan di hatinya. Kelibat anaknya Tipah tidak kelihatan sejak dari tadi.

“Ke mana pulak si Tipah ni pergi malam-malam buta ni?” bisik hati tuanya.

Dato’ Khalid yang duduk di sebelahnya bagaikan memahami gelojak hatinya. “Apa yang kamu fikirkan tu, Saad? Macam ada yang tak kena je.”

Pak Saad membuang pandangan jauh ke luar jendela. “Tak ada apalah. Cuma dari tadi kelibat Tipah tak kelihatan di mana-mana. Kemanalah dia pergi agaknya?”

“Saad, kamu tak payahlah risau. Tak ke mananya Tipah tu. Mungkin dia dan kawan-kawannya tunggu Rayyan kat simpang masuk kampung kot.”

Pak Saad mengeluh. “Aku tak risaukan dia, Khalid. Cuma takut makciknya bising nanti. Si Rosnah tu bukannya suka tengok Tipah merayap malam-malam buta macam ni.”

Dato’ Khalid terkedu. Bila sahaja nama Rosnah di ungkapkan perasaan serba-salahnya mula menebal. “Saad, aku nak tanya sikit tapi aku harap kau tak marah, ya?”

Pak Saad tersengih. “Kau ni, Khalid. Macam tak biasa pulak dengan aku. Tanya jelah.”

Dato’ Khalid menelan air liurnya. Berat mulutnya ingin berkata-kata. Namun demi sebuah kebenaran dia harus memberanikan diri. “Aku cuma nak tahu, Raimi tu anak kau dengan Rosnah ke?”

Pak Saad segera menerangkan. “Bukanlah! Tipah tulah satu-satunya anak aku dengan arwah Kak Munah kamu dulu. Raimi tu anak tiri aku. Menurut Rosnah bapa Raimi dah lama meninggal dunia.” Alhamdullilah! Dato’ Khalid merafak kesyukuran di dalam hatinya. Nampaknya Pak Saad memang tidak tahu-menahu!

Dato’ Khalid tersenyum lebar. “Oh, macam tu rupanya. Saad, sebelum apa-apa aku nak minta maaf dulu dengan kau.”

Berkerut dahi Pak Saad. “Lah, kenapa pula tiba-tiba nak minta maaf ni?”

Dato’ Khalid tersenyum sumbing. “Takdelah, biar aku terus-terang dengan kau dulu sebelum apa-apa terjadi. Anak aku Rayyan ni lain macam sikit. Aku harap kau jangan salah faham pulak. Dia ni memang cerewet sikit dari segi pakaian, makanan dan tempat tidurnya. Kalau kau dengar dia merungut-rungut tu aku harap kau tak kecil hati, ya?”

Pak Saad tertawa kecil. “Khalid, aku dah faham sangatlah peel si Rayyan tu. Kan memang dari kecil dia mana suka tempat-tempat yang kotor. Sekalipun dia tak pernah main kat tepi bendang tu, kan? Kan dia geli sangat dengan lumpur-lumpur tu? Kau jangan risaulah, aku tak ambil hati punya.”

Tiba-tiba terdengar bunyi riuh-rendah dari bawah rumah. “Abang! Cuba tengok apa lagi anak abang dah buat ni!”

Pak Saad tersentak. “Eh, tu suara Rosnah tu. Kenapa pula dia menjerit-jerit kat bawah rumah tu?”

Dato’ Khalid segera menggamit Pak Saad. “Jom kita pergi tengok sekarang!” Alangkah terperanjatnya mereka berdua apabila melihat rupa Tipah dan Rayyan tak ubah seperti kerbau baru lepas berkubang!

Pantas Pak Saad menerpa ke arah Tipah. “Ya Allah! Tipah, apa kena dengan kamu ni? Dah takde kerja ke sampaikan malam-malam buta macam ni kamu berkubang kat tengah-tengah sawah tu? Sampaikan si Rayyan pun terbabit sekali!”

Melah segera menyampuk. “Cop Pak Saad! Jangan marah-marah dulu! Sebenarnya Tipah adalah hero kampung kita, tau!”

Makcik Rosnah mencebik dengan penuh kebencian. “Ni bukan hero namanya! Ini menyusahkan mak bapak namanya!”

Pak Saad pantas menenangkan Makcik Rosnah. “Sabar dulu, Rosnah. Kita dengar dulu cerita budak-budak ni. Melah, cuba kamu cerita dengan pakcik apa sebenarnya yang telah terjadi?”

“Macam ni pakcik. Tadi si Tipah saja je ronda-ronda kampung naik motosikal. Tiba-tiba Tipah ternampak si Rayyan ni kena rompak dengan pemandu teksi kat simpang nak masuk ke kampung kita ni.”

Datin Khalida segera menyerbu ke arah Rayyan. “Ya Allah! Anak mama kena rompak! Kamu tak apa-apa kan, Rayyan? Ada tak perompak tu cederakan kamu?”

Rayyan mendongkol. “Perompak tu tak sempat nak apa-apakan saya. Tapi adalah orang tu yang saja dengki dengan saya. Ada ke patut dia terjun dalam bendang yang berlumpur tu dengan saya-saya sekali? Eei geram betul rasanya!” Tipah sekadar menyengeh. Dia tahu semua ini salahnya!

Sakit pula hati Raimi melihat Rayyan melayan Tipah sebegitu. “Hei, patutnya kau berterima kasih dengan Tipah pasal dia dah selamatkan kau! Kalau Tipah takde tadi, entah-entah kau dah almarhum dah!”

Menyirap darah Rayyan. “Eh, kau ni sapa, hah? Tiba-tiba sibuk nak masuk campur hal aku dengan Tipah.”

Raimi tersenyum sinis. “Untuk pengetahuan kau, aku ni abang Tipah dan segala urusan Tipah adalah urusan aku juga, faham?”

Berubah air muka Rayyan mendengarnya. “Hei, kau jangan ingat kau abang dia aku takut sangatlah dengan kau!”

Kesabaran Raimi kian tercabar. “Kau jangan nak berlagak sangatlah, budak bandar! Dah masuk tempat orang, belajarlah hormat dengan tuan rumah sikit. Ini nak ikut kepala kau je!”

Dato’ Khalid segera meredakan keadaan. “Rayyan, Raimi, sudahlah tu. Tak payah nak gaduh-gaduh. Kita kan sekeluarga. Lagipun yang paling penting Tipah dan Rayyan selamat.”

Kata-kata Dato’ Khalid itu tidak mampu menyejukkan hati Rayyan dan Raimi yang sedang membara. Di mata masing-masing terpancar perasaan benci yang mendalam di antara satu sama lain.

Pak Saad menokok. “Betul kata-kata pakcik Khalid tu. Raimi, janganlah ambil hati dengan Rayyan. Dia kan bakal adik ipar kamu.”

Malas Raimi nak bertekak dengan Pak Saad. Tanpa sebarang kata terus sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah.

“Tipah, Rayyan, sekarang ni masuk ke dalam dan bersihkan diri dulu. Nanti kita boleh makan sama-sama.” Pantas Tipah dan Rayyan melangkah masuk ke dalam rumah. Tipah segera mencapai tuala yang tersidai di birai katil. Kakinya terus menuju ke bilik air. Dalam masa yang sama Rayyan juga turut melangkah ke arah yang sama.

Sebaik sahaja ternampak Rayyan, Tipah terus berlari-lari anak ke arah pintu bilik air. “Bagi saya mandi dulu! Ladies first!”

Rayyan membentak. “Eh, awak yang buatkan saya jadi kotor macam ni! Jadi sayalah berhak mandi dulu!”

Terbeliak biji mata Makcik Rosnah melihat gelagat mereka berdua. “Budak-budak berdua ni! Nak masuk bilik air pun berebut ke? Sudah tu! Tipah, bagi Rayyan masuk dulu. Dia kan tetamu kita.”

Tipah mendengus kasar. “Yelah! Awak masuklah dulu!” Dengan wajah mengejek Rayyan mengerling nakal ke arah Tipah. Kemudian dia melangkah masuk ke dalam bilik air dengan perasaan yang puas.

Sakitnya hati Tipah tidak terperi. “Takpe, kau kerek dengan aku. Tunggulah pembalasan kau nanti!” desis Tipah dalam hati. Dia baru berkira-kira untuk berlalu ke biliknya semula apabila suatu jeritan kuat yang datang dari bilik air menyentakkannya!

“ARGHH!! TOLONG!! APA BENDA TU? TOLONG!!”


P/S : agak-agak apa yang membuatkan si Rayyan menjerit ketakutan tu yer? Nasib baiklah Tipah yang brutal sentiasa ada di sisi. Terima kasih pada semua yang sudi membaca kisah Tipah dan Rayyan ni. Sama-sama kita nantikan episod yang akan datang....

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.