BAB 21 - Part 2
Website maybank2u di godeknya. Klik tetikus
di talakan pada bahagian ‘All Account : Savings and Current Accounts’.
Terbeliak biji mata Tipah melihat amaun duitnya di ruangan ‘Current Balance’.
Ada RM 30,030.00 ! RM 30 tu sahlah baki duitnya dalam akaun tapi mana pula
datangnya lagi RM 30,000.00 tu? Pantas Tipah menekan ‘Transaction History’.
Jelas terpampang di situ ada tiga transaksi duit dari Aurora Electrical
Services setiap 25 haribulan. Setiap satu transaksi bernilai RM 10,000.00.
Namun RM 30,000.00 itu langsung tidak bermakna buat Tipah.
Duit RM 30,000.00 itu hanya menjadi
perlambangan bahawa sudah tiga bulan lamanya Rayyan meninggalkan dia
terkapai-kapai sendirian di sini. Walhal pada malam sebelum Rayyan bertolak
pulang ke Australia, berkali-kali dia menegaskan akan kembali semula ke sini
secepat mungkin sebaik sahaja urusan visa Tipah selesai. Sudah tiga bulan
berlalu namun langsung tiada khabar berita dari Rayyan. Sudah berpuluh-puluh
mesej dari ‘TIPAH CANTIK’ buat ‘RAYYAN HAIKAL DATO’ KHALID’ namun satu pun
tiada jawapan.
Dari jauh Melah terlihat kelibat Tipah
dengan laptopnya di atas pangkin yang di payungi pepohonan mempelam yang
merimbun. Pelik pula Melah melihat wajah Tipah yang kusut. Perlahan-lahan Melah
mendekati Tipah dari belakang.
“Wei! Kenapa dengan kau ni? Monyok semacam
je. Wow! Banyaknya duit kau! Ada berapa tu? Fulamak ada RM 30,000.00 ler! Bagi
aku sikit, boleh?”
Gurauan Melah itu langsung tidak berupaya
untuk mengukirkan segaris senyuman di bibir Tipah.
Melah menggaru-garu kepalanya. “Peliklah
kau ni! Duit ada banyak dalam bank tapi masih nak monyok tak tentu pasal. Tak
fahamlah aku!”
Tipah membentak. “Kau cakap senanglah!
Memanglah duit aku banyak sekarang tapi masalahnya suami aku tak balik-balik
langsung sampai ke hari ini! Aku buntu ni. Aku dah tak tau nak buat macam mana
lagi!”
Melah segera tersenyum lebar. “Kau ni, nama
je student terbaik STPM sekolah kita tapi benda kecil macam ni pun kau tak
boleh nak fikir. Apa susahnya? Kalau dia tak nak datang sini, kitalah datang
cari dia kat Australia. Duit kau kan banyak, bolehlah kau support aku sekali
pergi sana. Amacam, bernas tak idea aku?”
Tipah terus melompat bangun dari pangkin
tersebut. “Ahalah! Betul juga cakap kau tu. Kenapa aku boleh tak terfikir, yek?
Eh, tapi nanti kalau tiba-tiba aku muncul kat sana, tak marah ke suami aku
nanti?”
“Afsal pulak dia nak marah? Mesti dia lagi
bertambah suka pasal kau dah mudahkan kerja dia. Tak payahlah dia susah payah
nak datang sini jemput kau.”
Air muka Tipah yang suram terus
bersinar-sinar bagaikan rembulan di kala mengambang. “Betul jugak tu. Terima
kasihlah, Melah. Aku tak sangka kau berjaya selesaikan masalah aku ni. Ok,
sekarang ni kau pergi minta izin mak dengan ayah kau dulu. Esok pagi-pagi kita
pergi ke pejabat imigresen untuk buat passport. Tiket flight nanti kita booking
online jelah. Ok tak?”
Melah terlompat-lompat keriangan. “Cantik!
Yay! Dapat makan angin kat Ostrolia! Yiha! Yabedabedu!”
Pak Saad dan Makcik Rosnah segera
menjengukkan kepala di serambi rumah. Jeritan Melah itu ternyata telah menarik
perhatian mereka. “Apa kena pulak dengan korang berdua ni, hah? Terpekik
terlolong macam polong tengah-tengah hari buta ni!” jerkah Makcik Rosnah.
Tipah dan Melah segera menerpa ke arah Pak
Saad. “Ayah, makcik, Tipah dah ambil keputusan. Dalam masa terdekat Tipah dan
Melah akan berangkat ke Australia untuk berjumpa dengan Rayyan!”
Tercengang Makcik Rosnah mendengarnya.
Namun berita itu langsung tidak memeranjatkan Pak Saad. “Pergilah, nak. Memang
sepatutnya kamu berada di sisi suami kamu. Segala keperluan dan makan minumnya
sekarang sudah terletak di atas batu jemala kamu.”
Lega Tipah mendengar kata-kata Pak Saad.
“Terima kasih ayah kerana memberi keizinan pada saya.” Minda Tipah sudah mula merangka pelbagai agenda. Australia, mu tunggu ku datang!
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Tipah dan Melah sudah berada di dalam perut
pesawat MH 0125. Pesawat model Airbus A330 yang boleh memuatkan seramai 295
orang penumpang dalam satu-satu masa ini dijangka akan tiba dalam masa lima jam
30 minit. Perjalanan sejauh 4,146 kilometer ini pasti akan membenihkan suatu
pengalaman baru buat Tipah dan Melah kerana ini adalah pengalaman pertama
kedua-dua mereka menaiki kapal terbang.
Melah agak gugup. Tipah cuba menenangkan
sahabat baiknya itu. “Kau jangan risau, Melah. Aku ada buat kajian pasal
pesawat yang kita naik ni. Sayapnya telah dipanjangkan dan di lengkapi dengan
pengimbang dan perisian terbang dengan dawai. Itu menjadikan sayapnya amat
kukuh dan mampu menghadapi angin kuat ataupun awan yang tebal. Setakat ni
prestasi pesawat ni amat cemerlang sekali, tau? Cuma ada empat kecelakaan yang
membabitkan model ni. Satu kes hilang kawalan, satu lagi terhempas tanpa dapat
di pastikan sebabnya dan dua lagi terhempas sebab rampasan pesawat.”
Melah merenung Tipah bagaikan hendak di
telan sahabatnya itu hidup-hidup. “Fuyyo! Memang cemerlang betul prestasi
pesawat ni, kan? Wei, aku dah lah tengah kecut perut! Yang kau pergi cerita
pasal kecelakaan pesawat ni apahal? Ini bukan nak hilangkan takut aku,
bertambah seram lagi adalah!”
Tipah menyerigai. “Hehe soriler beb. Aku
cuma nak bagitahu kau fakta yang sebenar je.”
Melah hanya mampu melemparkan jelingan maut sahaja pada sahabatnya itu.
“PERHATIAN KEPADA PARA PENUMPANG, ANDA
DIMINTA MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR. KAPAL TERBANG AKAN BERLEPAS SEBENTAR
SAHAJA LAGI.”
Melah sudah memaut lengan Tipah dengan
kuat. “Tipah! Aku takutlah! Kapal terbang ni dah nak naik! Boleh tak aku tak
jadi ikut kau? Aku tak beranilah!” Belum sempat Melah bangkit Tipah sudah
merentap tangannya sekuat hati.
“Kau jangan nak mengada-ngada, yer? Aritu
kau jugak yang beria-ria nak ikut! Sekarang ni suka-suka kau je nak tinggalkan
aku! Dah! Baik kau duduk diam-diam!”
Kelajuan pesawat mula meningkat sedikit
demi sedikit. Apabila kapal terbang mula menjongket, isi perut Melah bagaikan
ditarik-tarik. Semakin kuat pula Melah menggenggam lengan Tipah. Kedua-dua
belah matanya ditutup rapat. Akhirnya pesawat itu berjaya membelah awan putih
yang indah menghiasi langit yang membiru. Maka berakhirlah penyeksaan Melah.
Segera Melah membuka kelopak matanya.
Terpukau dia seketika melihat pemandangan indah yang tersaji dari balik jendela
pesawat itu.
“Subhanallah! Betapa cantiknya ciptaanMu Ya
Allah!” Spontan terungkap kata-kata itu dari bibir Melah.
Tipah hanya tersenyum mendengarnya.
“Cantik, kan? Bersyukurlah kita, Allah masih beri peluang pada kita untuk
melihat pemandangan yang cukup indah ni.”
Pantas Melah mengeluarkan telefon bimbitnya
berserta dengan tongkat monopodnya sekali. “Tipah! Apa lagi, jom kita selfie!”
Dengan selambanya Melah dan Tipah memulakan aktiviti kegemaran mereka. Pada
mulanya Tipah dan Melah berselfie sesama sendiri. Lama-kelamaan anak-anak kapal
pesawat ini turut menjadi mangsa mereka. Mujurlah para penumpang lain di dalam
pesawat itu ‘sporting-morting’ belaka. Gelagat Tipah dan Melah sekadar menjadi
halwa mata mereka.
Selesai sudah acara berselfie. Tipah dan
Melah menghempaskan punggung semula ke atas kerusi. Tidak berapa lama selepas
itu kedua-duanya terus hanyut di buai alam mimpi.
Bunyi siulan angin yang kuat serta-merta
menerpa ke gegendang telinga Melah. Serta-merta kelopak matanya terbuka luas.
Seluruh tubuhnya terasa bergetar. Pesawat tersebut bagaikan hilang kawalan.
Sekejap ia menyenget ke kanan, sekejap ia menyenget ke kiri. Para penumpang
lain sudah menjerit-jerit ketakutan. Pantas Melah mengoncang bahu Tipah dengan
kuat.
“Tipah! Bangun, Tipah! Kapal terbang ni nak
jatuh agaknya!”
Terpisat-pisat Tipah bangun. Di
kesat-kesatnya kedua-dua matanya. Matanya terus meliar memerhatikan sekeliling.
Keadaan sudah semakin tidak terkawal. Tipah hanya terpegun melihat suasana yang
kacau-bilau itu.
Melah sudah menangis ketakutan. “Tipah, aku
takut, Tipah! Aku tak nak mati lagi! Dosa aku terlalu banyak! Lagipun aku tak
kahwin lagi! Tipah, apa kita nak buat ni? Tolong! Tolong!”