Home Novel Komedi/Romantik Komedi Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
Weeda Airiza
5/3/2015 11:22:28
193,986
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 30

SUASANA Restoran Atria, Hotel Polaris kelihatan tenang, tidak sesibuk hujung minggu di mana ramai pelancong dan tetamu hotel turun untuk menikmati hidangan makan malam.

Zarina meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan kosong yang tadinya dipenuhi dengan Pasta Conchiglie bersama ayam dan sayuran grillserta krim keju.

Firdaus yang juga telah habis menikmati hidangan Vegetable Risotto With Roasted Tomato itu meneguk air kopi pekat sebelum memandang semula ke arah Zarina.

“Terima kasih,” ujar lelaki itu.

“Untuk apa?” Zarina menyoal sambil tergelak.

Firdaus tersenyum. “Sempena meraikan persahabatan kita semula.”

“Hisy, abang ni merepeklah.” Zarina berkata.

“Kenapa tak bawa Ika sekali?” soal Firdaus.

“Sibuk. Orang muda, biasalah…”

“Ada date?”

Zarina menggeleng kepala. “Taklah. Kerja katanya. Yang itu pun sama, kerja aje. Tak nak mencari. Ina pun dah naik pening.”

“Nasib kita serupalah. Ada anak, tapi masing-masing sibuk,” ujarnya.

“Abang sunyi eh? Kenapa tak cari sendiri?” usik Zarina.

“Tak ada orang nak orang busy macam abang ni…” keluh Firdaus sambil mengulum senyum.

“Abang tu jual mahal.”

“Hisy, tak adalah.”

Firdaus tergelak. Dia terasa beban kerjanya selama ini hilang begitu saja apabila berjumpa kembali dengan bekas isterinya ini. Zarina masih menawan, fikirnya.

Kadang-kadang terdetik juga di hati untuk mengembalikan saat-saat dulu tetapi dia tidak pasti apakah Zarina masih mempunyai perasaan sebegitu.

“Ina macam mana? Kenapa masih solo?” soal Firdaus dengan hati-hati.

“Ina dah cukup bahagia biarpun hanya dengan Zulaikha. Lagipun, mungkin tak lama lagi Ina nak hijrah ke Singapura pula. Kami dah setuju nak buka penerbitan buku Melayu di sana,” ujar Zarina seraya menyuap puding kastard.

Firdaus mengangguk untuk menutup sedikit rasa kehampaan. “Pindah dengan Ika sekali?”

“Mungkin. Dia pun tak tahu lagi.”

“Abang nak tanya, kalau kita diberikan satu lagi peluang seperti dulu… Apa pendapat Ina?” Firdaus memberanikan diri untuk tanya.

Sesekali dia mengangkat tangannya kepada beberapa orang pekerja yang mengenalinya di situ.

Zarina mendiamkan diri seketika. Sebetulnya dia juga rasa keliru. Pelik jika mahu kembali berhubungan. Umurnya yang sudah lebih daripada separuh abad itu seperti tidak betah lagi untuk mencintai sesiapa.

“Entahlah. Ina tak tahu nak cakap apa sebab segalanya macam berlaku dengan cepat. Ina takut kalau menghampakan abang. Tipulah kalau kata hati Ina tak tercuit. Bolehkan kita biarkan masa menentukan segalanya?” Zarina memandang wajah Firdaus dengan hati yang lapang.

Bukan dia tidak suka dan bukan juga dia tidak gembira tetapi ada banyak benda bermain di dalam fikirannya sekarang. Tentang kerjaya yang bakal diterajui di Singapura, tentang Zulaikha dan juga tentang masa depannya sendiri.

Firdaus mengangguk. “Abang harap kita masih ada peluang. Dulu abang kejar kerjaya, kini abang fikir untuk masa depan. Kalau boleh, abang nak bersama Ina.”

Zarina tunduk menahan perasaan. Hatinya terasa berbunga tetapi dia bimbang untuk menghulurkan kata cinta. Dia juga bimbang sekiranya dia tidak mampu untuk menjadi isteri yang baik di waktu usia sebegini. Namun, dia berserah kepada ALLAH S.W.T.

*****************************************************

WAJAH Faiq berubah apabila ternampak Sheila yang menantinya di hadapan Bistro Ria yang masih dibuka. Sudah hampir larut malam tetapi gadis itu tetap setia menunggu.

Lelaki itu mengeluh sambil mengunci kereta. Dia bercadang mahu singgah pejabat untuk mengambil dokumen klien yang akan ditemuinya esok pagi di Hotel Polaris. Sesungguhnya dia terlupa dengan mesyuaratnya itu.

Salah dia juga apabila memberitahu Sheila bahawa dia dalam perjalanan menuju ke pejabat. Sekelip mata saja gadis itu muncul di situ.

“Kenapa datang sini?” soal Faiq sambil menuju ke arah lif.

“Susah sangat nak jumpa waktu siang,” tutur Sheila yang santai dengan skirt panjang warna merah dan dipadankan dengan blaus bercorak hitam merah paras pinggang.

“Lain kali cakap dalam telefon aje. I busy. Tak ada masa,” getus Faiq dengan nada agak keras.

“Daddy dah tanya semula pasal kita.” Sheila memberitahu.

Faiq mendiamkan diri. “Tanya?”

Sheila mengangguk. “Kalau boleh, tahun ini juga dia nak langsungkan.”

Faiq mengeluh berat. Kenapa sukar sekali menjauhkan diri daripada Sheila dan Syed Ghazali? Lelaki itu rasa tidak keruan. Kepalanya tengah serabut dengan masalah pejabat dan kini, Sheila menghambatnya hanya semata-mata soal itu?

“I dah jelaskan dulu, kan? I tak mahu kahwin dalam masa yang terdekat!” Faiq bersuara semula.

Hatinya benar-benar tidak tenang. Nak saja dia hamburkan kata bahawa dia tidak ingin menikahi gadis itu tetapi dia tahu apa yang bakal dia dapat. Mungkin bebelan terus menerus oleh ayahnya di rumah nanti.

“I tahu, tapi sekurang-kurangnya bolehkan kita bertunang?”

Faiq tidak menjawab apabila lif akhirnya berhenti. Gadis itu menuruti langkah Faiq ke pejabatnya. Sheila melihat saja Faiq membuka pintu kaca pejabat. Lelaki itu masuk dan kemudian berpaling ke arahnya.

“You berdiri kat sini. Tunggu I keluar. Jangan masuk.”

“Sanggup you biarkan I kat luar?” tanya Sheila dengan wajah kurang percaya.

Faiq mengangkat keningnya. “I tak mahu orang buat sebarang spekulasi. Lagi parah kalau tiba-tiba aje ada pencegah maksiat datang. Tak pasal-pasal I kena kahwin dengan you.”

Serentak dengan itu, Faiq menutup pintu dan menguncinya dari dalam. Sheila melopong kerana terkejut. Tak sangka Faiq sanggup berkata sebegitu! Nampak sangat lelaki itu tidak mahu berkahwin dengannya.

Dengan cepat, Sheila menekan butang lif. Dia terasa sebak tiba-tiba. Sejak kecil dahulu, Faiq jarang meninggikan suara terhadapnya tetapi kenapa malam ini? Dia perasan raut wajah Faiq sangat tegang. Mungkinkah dia ada hal pejabat yang perlu diuruskan?

Sheila menahan tangisannya sehingga ke kereta. Dia juga tertekan dengan keadaan itu. Sheila faham perasaan Faiq terhadap dirinya tetapi apalah yang perlu dilakukannya jikalau ayahnya terlalu berhajat untuk melihat dirinya menjadi isteri Faiq?

Kata Syed Ghazali, dia tidak akan terima orang lain selain daripada Faiq. Sheila menarik nafas dengan berat lalu terus beredar dari situ dengan keretanya. Mungkin hari lain saja dia akan menghubungi kembali Faiq, sekurang-kurangnya sehingga lelaki itu kembali bertenang.

Faiq pula telah menjumpai dokumen yang diperlukan di dalam laci Eryna. Itupun setelah dia menelefon gadis yang sudah hampir terlelap di rumahnya.

Lelaki itu memastikan semua elektrik telah ditutup sebelum dia keluar dari pejabat. Namun, dia terkejut kerana bayangan Sheila tidak kelihatan. Faiq mengangkat bahunya sendiri sebelum mengunci pintu.

Sampai saja di tingkat bawah, Faiq menjeling ke arah tempat letak kereta. Sah, Sheila telahpun pergi dari situ. Faiq mengeluh kecil. Mungkin kata-katanya tadi telahpun membuat gadis yang seperti adiknya itu terluka.

Faiq mengetap bibir sebelum meraup wajah. Dia mengambil telefon Iphone yang berada di dalam kocek dan menghantar mesej kepada Sheila.

Faiq : I’m sorry. Lets discuss it together next week okey?

Lelaki itu mengeluh untuk sekelian kalinya. Bila dah hantar mesej, dia mula rasa bersalah. Kalau tidak kerana hubungan baik ayahnya dan Syed Ghazali, rasanya tidak ada kuasa dia mahu melayan Sheila. Semuanya dia buat kerana ayahnya.

Sepanjang perjalanan pulang ke Hotel Polaris, Faiq memikirkan kemungkinan yang ada. Apakah yang perlu dia lakukan untuk memastikan Sheila tidak mengganggunya lagi?

Apakah perkahwinan merupakan keputusan yang tepat? Tapi, aku tak cintakannya! Minda Faiq berlegar dengan pelbagai pendapat sehingga tidak sedar dia sudah tiba di hotel.

Faiq menuju ke Restoran Atria untuk memesan makanan bagi dihantar ke biliknya nanti. Perutnya berlagu sejak petang tadi kerana sepanjang hari terlalu fokus dengan mesyuarat.

“Aaron Faiq!”

Lelaki itu menoleh ke arah suara yang memanggilnya. Daddy? Daddy buat apa kat sini? Faiq mengangkat tangan kepada ayahnya sebelum dia membuat pesanan kepada pelayan di kaunter.

Sejurus selepas itu, Faiq menuju ke arah meja di tepi tingkap besar yang boleh memuatkan seramai empat orang itu. Dahinya berkerut apabila melihat seorang wanita di hadapan ayahnya.

“Faiq dari mana?”

“Pejabat,” ujar Faiq secara ringkas sambil memberikan senyuman buat wanita itu.

Dia perasan air muka ayahnya nampak lain. Seperti ada seri yang terpancar. Faiq mula resah memikirkan tentang identiti wanita itu.

“Ini Zarina. Kawan daddy. Dulu Faiq panggil dia Mummy Ina. Still remember?”

Soalan Firdaus membuatkan Faiq terkejut besar. Inilah dia wanita yang dicari-cari oleh daddy selama ini! Lelaki itu menelan air liurnya. Kenapa daddy tak cari mummynya yang sebenar? Kenapa daddy cari dia?!

“Dah besar panjang rupanya anak abang,” usik Zarina.

Faiq tersenyum kelat. Dia benar-benar tidak selesa dengan keadaan ini. Dengan cepat Faiq memohon diri untuk pulang ke bilik dengan alasan mahu berehat. Firdaus hanya mengangguk tanpa kata. Faiq berlalu dengan hati yang walang kerana teringatkan ibu kandung yang masih tidak dikenalinya.

Previous: BAB 29
Next: BAB 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.