FAIQ mengetap bibir menahan geram setelah tiba di
perkarangan banglo milik keluarga Sheila. Niat hatinya malam ini untuk
menghabiskan mengait sepasang pakaian bayi yang ditempah oleh seorang kliennya
dari London.
Mujurlah
hanya tinggal boot dan beanie yang perlu dikait. Faiq sudah
berjanji untuk menghantar pesanan klien tersebut hari Isnin nanti.
“Hi
Faiq! Jemputlah masuk. Daddy dan mummy ada dekat atas. Sekejap lagi dia orang
turun bawah,” ujar Sheila yang nampak anggun dengan baju kurung suteranya.
Faiq
tersenyum lalu mengangguk sedikit ke arah Sheila. Ini semua salah daddynya yang
telah berjanji dengan keluarga Sheila untuk makan malam bersama! Hatinya
bungkam kerana terpaksa menghadirinya seorang diri.
Lelaki
itu mengeluh kecil sambil masuk ke dalam banglo tersebut. Pada mulanya dia mahu
batalkan saja makan malam itu dan tunggu sehingga ayahnya pulang dari Beijing. Namun, mesej
Firdaus yang mengingatkannya tentang makan malam itu membuatkan dia buntu.
“Apa
khabar Faiq?” Syed Ghazali, ayah Sheila yang baru turun dari tingkat atas
tersenyum lebar melihat Faiq.
“Alhamdulillah
uncle. Saya sihat. Daddy kirim salam.” Faiq berkata sambil tersenyum.
Hatinya
berdebar tiba-tiba. Kenapa dia terbayang ada sesuatu yang besar bakal berlaku
nanti? Jiwanya mula tidak tenang apabila direnung sedemikian rupa oleh Syed
Ghazali.
“Wa’alaikumsalam.
Daddy kamu ada hantar mesej pada uncle. Dia terpaksa ke Beijing,
kan? Tak
apalah, yang penting kamu datang,” ujarnya sambil mempersilakan Faiq untuk ke
ruang makan.
Faiq
mula rasa tidak senang duduk. Syed Ghazali mengambil tempat di hujung meja
makan manakala Faiq di sebelah kirinya bersama Sheila dan isterinya pula di
sebelah kanan meja.
Sambil
makan, mereka berbual ringan. Sesekali Faiq menjeling jam dinding. Dia harus
segera pulang ke hotel. Semasa dalam perjalanan tadi, Shahmi menelefonnya untuk
memberitahu progres majlis perkahwinan yang akan diuruskan oleh mereka esok.
“Kamu
dah ada girlfriend?” Soalan mummy Sheila membuatkan Faiq terkedu.
Dia
meletakkan pisau dan garfu yang digunakannya tadi di atas pinggan dengan
perlahan sambil terus mencari jawapan yang sesuai.
Nak
kata ada ke tak? Kalau aku cakap tak ada, aku pasti ada agenda lain yang
tersembunyi dalam fikiran Syed Ghazali. Kalau aku cakap ada pula, silap-silap
sekejap lagi akan keluar soalan yang bertalu-talu daripada mulut Sheila. Adus!
“Emm,
belum.” Faiq berkata tetapi sesaat kemudian dia menyesal dengan jawapan yang
diberikannya.
Anak
mata mummy Sheila seakan bersinar. Faiq mencapai gelas berisi air oren lalu
diteguknya perlahan. Sempat dia mengerling ke arah Sheila yang tunduk tetapi
bibirnya merekah dengan senyuman.
“Uncle
ada bincang dengan daddy kamu sebelum ini, cuma uncle tak tahu sama ada dia
sudah beritahu kamu atau tidak.” Syed Ghazali berkata.
Lelaki
itu terdiam sebentar ketika pembantu rumahnya datang untuk menghidangkan juadah
pencuci mulut. Faiq hanya memandang puding roti yang dihiasi dengan buah-buahan
dan sos krim vanila itu.
Rasanya
dia tahu apa yang bermain dalam fikiran Syed Ghazali. Sudah tentu ini bakal
melibatkan kes perkahwinannya dengan Sheila. Bukan dia tidak tahu betapa Syed
Ghazali mahukan dirinya sebagai menantu.
“Sheila
ni satu-satunya anak uncle…”
Kan aku dah kata! Hati
Faiq menggetus. Sebaris ayat itu saja sudah membuatkan Faiq terasa dirinya
seakan sedang berlakon dalam sebuah drama yang melibatkan kes kahwin paksa.
“Uncle
tak paksa kamu…”
Faiq
menggenggam jari-jemarinya di bawah meja. Sabar, sabar. Aku hanya akan
mendengar, tetapi tidak akan sesekali menerima lamaran ini kalau ianya hanya
untuk mengeratkan lagi persahabatan Uncle Syed dan daddy! Semua alasan itu
sudah lapuk!
“Kalau
Faiq setuju, uncle dan auntie mahu satukan Faiq dan Sheila.”
Lelaki
itu memandang saja wajah Syed Ghazali yang sebaya ayahnya itu. Kemudian dia
menoleh ke arah Sheila yang masih tunduk.
Faiq
menarik nafas panjang sebelum membalas kata-katanya, “uncle dan aunty, saya
hargai lamaran tersebut tapi…”
Dari
ekor mata, dia perasan Sheila menoleh pantas ke arahnya. Faiq mengambil masa
seketika melihat perubahan air mukanya sebelum menoleh ke arah Syed Ghazali.
“Saya
mohon sedikit masa untuk menyelesaikan kerja saya sebelum apa-apa pun yang
berlaku. Uncle pun tahukan, syarikat saya masih kecil dan belum kukuh. Kalau
boleh, saya mahu stabilkan dahulu sebelum saya mengambil langkah untuk
berumahtangga,” jelas Faiq dengan lebar dan penuh hati-hati.
Syed
Ghazali menganggukkan kepalanya dan berkata, “uncle boleh tolong semua tu Faiq.
Malah, Sheila juga boleh tolong kamu uruskan syarikat itu jika kamu mahukan.”
“Maafkan
saya uncle, kalau boleh saya nak bahagiakan bakal isteri saya dengan
kesempurnaan yang ada. Saya tak mahu dia rasa susah jika berkahwin dengan saya
nanti.” Faiq berkata sambil tersenyum.
Sengaja
dia tidak menyebut nama Sheila. Dia tidak mampu gadis itu menanam impian. Faiq
belum tahu takdir yang bakal berlaku nanti. Andaikata dia bersetuju, dia
bimbang sekiranya dia tidak mampu.
Namun,
kalau Faiq kata tidak mahu, dia risau jikalau esok lusa juga tiba-tiba dia
jatuh cinta dengan Sheila. Pada Faiq, dia langsung belum terlintas untuk
mengikat janji dengan sesiapa.
Syed
Ghazali tersenyum. “Baiklah. Uncle tunggu saat itu Faiq. Kamu pun tahu, kita
semua dah kenal lama. Sheila pun dah berkawan dengan kamu daripada kecil lagi.
Uncle tahu, perkahwinan ini akan berjalan dengan baik sekiranya kamu berdua
bersatu.”
“InsyaALLAH
uncle.” Faiq menjawab ringkas.
Hati
kecilnya saja yang masih sibuk mengungkapkan kata-kata. Uncle, hanya ALLAH saja
tahu apa yang terbaik untuk kita. Belum tentu jika kenal lama, perkahwinan itu
adalah jalan yang sebaiknya dan belum tentu jika perancangan yang kita jangkakan
itu akan berkekalan selamanya.
*****************************
SERIBU satu perasaan melanda hati aku apabila
melihat Rayyan selamat melafazkan akad nikahnya tadi. Sambil melayan emosi, aku
meneruskan kerja sebagai jurufoto rasmi.
Itupun
jenuh menyelit di antara jurufoto-jurufoto lelaki yang ada! Aduhai, susah benar
bila terpaksa jadi jurufoto kepada artis terkenal. Dahlah beberapa kali kepala
aku terhantuk muncung camera lenses jurufoto lain!
Tahulah
aku lebih pendek daripada semua jurufoto lelaki yang ada. Hisy! Bengang pula
jadinya. Namun, terpaksalah aku sabarkan hati. Kenapalah Rayyan tak ambil saja
jurufoto yang berlambak di Fashion Queen tempat dia bekerja tu?
“Kamu
okey ke Ju?” Aunty Hanani bertanya setelah kami bertembung di sudut ruang tamu
rumah milik keluarga isteri Rayyan.
Aku
tersenyum memandang Aunty Hanani yang nampak begitu berseri-seri. Kata Rayyan,
mummynya suka sangat dengan isterinya. Itu sebabnya tak sabar-sabar nak suruh
Rayyan kahwin.
Untunglah.
Tengok tu, timbul lagi rasa jealous. Aduhai Airin Zulaikha! Please
stop! Aku memerhatikan seketika keadaan sekeliling yang masih riuh rendah
dengan para tetamu sebelum menjawab pertanyaan Aunty Hanani.
“Okey.
Aunty dah nak balik ke?” Aku menyoal.
“Sekejap
lagi. Aunty nak pergi jumpa besan sekejap,” ujar Aunty Hanani dengan riang dan
berlalu dari sisi aku.
Aku
tersengih melihat perwatakan ibu saudara aku yang baru menimang menantu itu.
Dari jauh, aku melihat wajah isteri Rayyan. Dia nampak begitu comel walaupun
ternyata lebih rendah daripada Rayyan. Yalah, suaminya pun tinggi menggalah.
Tanpa
disangka, anak mata aku bertentang dengan Rayyan. Amboi, tak lekang senyuman di
bibirnya! Menyampah! Aku menjelirkan lidah sambil menggelengkan kepala kerana
tidak sangka, jodohnya sampai dulu daripada aku.
Rayyan
meraup perlahan tangan isterinya yang setia berada di sisi lalu menuju ke arah
aku. Sekali lagi cemburu aku meletup. Aku mengutuk diri sendiri semula kerana
terlalu terbawa-bawa dengan perasaan ini.
“Ju!
Terima kasih banyak tau. Aku nak gambar-gambar tu cepat,” ujar Rayyan sambil
terus tersenyum.
Aku
menjegilkan mata ke arahnya sebelum berkata, “oits! Bagilah aku
sekurang-kurangnya sebulan dua sebelum kau dapat gambar yang cantik. Aku
kenalah edit dulu.”
“Tak
payah. Kau bagi aku yang raw dulu. Nanti aku datang rumah bawa pen
drive.”
“Ya
ALLAH… Tak sabar-sabarnya budak ni!” Aku berkata sambil berpura-pura mahu
menumbuknya.
Rayyan
ketawa besar sebelum menoleh ke arah isterinya di sebelah. Dia berkata, “Auni,
ini Zulaikha. Kami panggil Ju saja. Dia dua pupu sebelah daddy. Ju, kenalkan… My
beloved wife, Auni Hafya.”
Aku
menyalami tangannya yang berinai sambil tersenyum. Lain pula aku tengok
wajahnya dahulu di dalam rancangan Cinta Lokasi dengan wajahnya di hadapan aku
sekarang.
“Panggil
saja Kak Ju. Tahniah Auni. Jagalah Ray baik-baik. Dia ni nakal. Apa-apa,
bagitahu akak. Boleh akak belasah dia untuk Auni.” Aku berkata dengan selamba.
“Oh
tolonglah Ju! Kau jangan nak ber‘akak’ sangatlah!” usik Rayyan.
“Diamlah!”
Auni
tergelak memerhatikan kami. “InsyaALLAH Kak Ju. Terima kasih ya akak sebab
datang ke majlis kami.”
“No
problem…” Aku menjawab sambil melihat jam di tangan.
“Kau
dah nak balik ke?” Rayyan bertanya.
Aku
mengangguk perlahan. “Dah nak tengah malam pun. Aku masih jet lag
lagilah.”
“Oh,
akak datang dari mana?” Auni bertanya.
“Akak
baru sampai dari Ireland
beberapa hari lepas.” Aku menjawab sambil tersenyum melihat kecomelan wajahnya
yang dirias cantik.
“Ei,
syoknya! Teringin nak pergi sana.”
Auni memberitahu aku.
“Hah,
dah jadi sebahagian keluarga Shane ni, bolehlah Auni ke sana,” ujar aku lagi.
“InsyaALLAH
akak. Nanti bila-bila, akak datanglah sini ya. Boleh kita sembang-sembang
lagi.” Auni berkata.
“Amboi,
belum apa-apa lagi dah merancang.” Usikan Ray menyebabkan Auni tersenyum malu.
Aku
yang berada di hadapan mereka berdua ini pula hanya mampu memandang kemesraan
pengantin baru ini. Walaupun tak nampak dengan mata kasar, tetapi aura kasih
sayang yang bertaup di antara keduanya saja boleh membuatkan perasaan aku jadi
tak tentu hala.
“Ju,
jom balik.”
Fuh!
Mujurlah mama tiba di sisi aku di waktu yang tepat! Aku dan mama segera
menyalami Auni selepas itu sebelum memohon diri untuk pulang ke rumah.
Auni
sekali lagi mengingatkan aku untuk datang ke rumahnya nanti. Pada dasarnya,
gadis yang dipilih oleh Rayyan itu ternyata mempunyai kecantikannya tersendiri.
Aku tersenyum melihat kebahagiaan mereka yang baru saja bermula.
Namun,
selepas itu timbul pula rasa sayu di hujung hati. Inilah padahnya kalau tak
reti kawal perasaan. Sampai bila Zulaikha? Sampai bila? Aku beristighfar
panjang sebelum akhirnya memandu kereta Swift milik Haikal yang aku pinjam
untuk malam ini.