Dia terlena selepas menelan ubat yang diberikan oleh
jururawat sebentar tadi. Tetapi mimpi yang menakutkan datang bersama dengan
rasa bersalah dan sesal di dalam dirinya. Tetapi semua itu hilang diganti
dengan mimpi yang indah apabila dia bertemu dengan suami kesayangannya.
“Sayang!” panggil Rayyan ketika itu Aleeya sedang beradu.
Melihat Aleeya di atas katil hatinya sayu. Saat diberitahu oleh papa tadi, dia
membatalkan segala mesyuarat dan bergegas pulang. Membiarkan peluang perniagaan
dengan syarikat terbesar di Singapura terlepas begitu saja. Dia tidak kisah
kerana yang penting adalah nyawa insan kesayangannya apa tah lagi apabila di
beritahu Aleeya keguguran. Waktu itu hanya wajah Aleeya di dalam ruang mata dan
fikirannya. Dia harus cepat pulang untuk berada di sisi Aleeya, isteri
kesayangannya ini.
Saat ini dia tahu Aleeya sedang bersedih hati atas
kehilangan zuriat mereka tadi. Dia pun sedih juga tetapi sebagai lelaki dan
suami, dia harus mengawal perasaannya. Bukannya menunjukkan kesedihan itu
kepada Aleeya yang sedang berada di dalam kesakitan sekarang. Hatinya bertambah
sakit apabila melihat luka yang panjang di lengan Aleeya. Razman memang cari
nahas. Kau jangan harap boleh terlepas di tangan aku kerana telah menyakiti
“nyawa” ku hari ini. Nekad Rayyan di dalam hati. Tak usah lari atau sembunyilah, aku akan cari
sampai ke lubang cacing sekali pun. Jaga kau Razman!
Rayyan merenung wajah insan kesayangannya, bagaimana aku
dapat menghapuskan luka di dalam hatinya? Bagaimana rasanya untuk aku
menghilangkan duka di jiwanya? Aku hanya mahu melihat dia bahagia dan tersenyum
di sisiku. Bukannya menangis dan bersedih hati.
Aku ingin membahagiakannya dengan sepenuh jiwa dan ragaku sebagai suami,
kekasih dan teman sejati. Tak akan kukirimkan penderitaan di dalam hatinya biar
pun sekelumit cuma, biar pun sedetik ataupun sesaat sekali pun.
“Abang, maafkan saya dan Husna!” ucap Alvin ketika datang
bersama Husna yang turut mengalami kecederaan kerana mempertahankan dirinya
tadi. Papa dan Akma sudah menjelaskan apa yang berlaku. Husna tak bersalah
tetapi Husna sebenarnya adalah mangsa keadaan.
“Abang, maafkan saya, kerana saya, Kak liya ditimpa
musibah ini,” pinta Husna pula. Rayyan mengelengkan kepalanya. Ayah dan
ceritakan apa yang berlaku. Begitu juga dengan papa. Jadi dia tahu siapa yang
bersalah dan patut dihukum ketika ini.
“Bukan salah Husna atau pun Alvin. Abang tak akan salah
kan kau orang berdua. Semua yang berlaku tentu ada hikmahnya,” ucap Rayyan.
ALLAH mahu menguji aku dan Aleeya, itu yang sebenarnya. Kuatkah aku dan dia
untuk menghadapi ujian yang berat ini. Atau pun aku dengan mudah mengaku kalah
dan tewas kepada dugaan yang ALLAH berikan kali ini. Atau mungkinkah aku yang terlupa dengan
kebahagiaan dan nikmat yang ALLAH berikan sehingga aku tidak pandai bersyukur
kepada DIA yang MAHA MEMILIKI? Astagfirullahalazim, ampunkan dosa-dosa hambaMU
ini ya ALLAH.
Ada kala kita alpa dengan rahmat yang ALLAH kurniakan
kepada kita sehingga kita tidak pandai bersyukur kepada NYA. Kita ini hanya
manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Dan
ujian ini menyedarkan aku hari ini, bahawa aku hanya manusia kerdil di sisi
ALLAH yang maha besar, maha pengasih dan maha penyayang.
“Abang, maafkan saya yer!” pinta Alvin sekali lagi.
Rayyan tersenyum saja.
“Alvin, tolong ambilkan pakaian abang kat rumah boleh
tak? Rasanya abang tak balik kat rumah hari ni, nak temankan kak liya kau kat
sini!” arah Rayyan. Yang berlaku biarlah berlalu, kita bina hidup baru. Alvin,
Husna, jadikan ini sebagai pengajaran yer.
“Baiklah,nanti saya ambilkan!”
“Husna, abang nak pesan sesuatu, lain kali kalau apa-apa
berlaku jangan rahsia dari kita orang, kita dah jadi satu keluarga, abang akan
tolong adik-adik abang!” pesan Rayyan ketika melihat Alvin dan Husna melangkah
keluar dari situ. Husna mengangguk lesu.
Aleeya sudah lama tersedar tetapi masih berpura-pura
pejamkan matanya. Rasa takut dan bersalah teramat sangat kepada suami yang
dicintainya ini. Malah dia tidak sanggup melihat wajah suaminya ketika ini,
biar pun dalam hati sudah timbul rasa rindu yang amat sangat. Rindu yang
membara di dalam hati. Dia melihat dengan ekor mata saja, Rayyan bangun ke
bilik air, mengambil solat dan menghamparkan sejadah yang tersedia di situ.
Apa aku nak cakap ni? Aku redha dengan kejadian ini
tetapi bagaimana dengan dia, sedangkan aku sudah menghancurkan impian dan
harapannya untuk memiliki anak lagi. Malah sudah kecoh dengan nama-nama yang
mahu diberi tetapi sekarang???
Selesai solat Rayyan mengucup dahi Aleeya dengan sepenuh
kasih sayang yang Rayyan miliki. Saat itu hati Aleeya tidak tentu arah. Rasa
bersalah yang amat sangat. Saat Rayyan memegang tangan kanan Aleeya, lagilah
membuatkan Aleeya tidak senang duduk. Rasa bersalah semakin menimpa dirinya.
Dan kerana memikirkan hal ini membuatkan Aleeya menahan sebak di dalam dada.
Semakin ditahan semakin tidak berdaya. Dan akhirnya empangan itu pecah berkecai
di hadapan suaminya.
“Aleeya!” panggil Rayyan perlahan. Air mata menitis
lebat.
“Liya bersalah pada abang...,” ucap Aleeya terharu.
Rayyan meletakkan jarinya ke bibir Aleeya sambil mengelengkan kepalanya.
“Liya tak bersalah, sayang!” pujuk Rayyan sambil
merangkul Aleeya di dalam pelukan. Saat itu Aleeya menangis sepuas hatinya. Air
mata yang ditahan di hadapan Akma, papa, ayah, dan mak menitis di hadapan
Rayyan. Sejak berkahwin dengan Rayyan, dia hanya pandai menangis di hadapan
Rayyan saja. Rayyan membiarkan Aleeya
menangis di dadanya, membiarkan Aleeya melepaskan segala perasaan yang terbeku
sejak tadi di sisinya sambil dia membelai rambut Aleeya dengan manja.
“Abang akan berada di sisi Liya biar apa pun yang
berlaku. Kita hanya merancang, sayang tetapi yang menentukan adalah ALLAH. Kita
masih ada Adam dan Ain dan abang cukup bahagia dengan kehadiran baby kita tu,”
pujuk Rayyan lagi, aku mahu melihat senyumannya kala ini tetapi rasanya dia
menerima tamparan yang cukup hebat hari ini. Razman memang kurang ajar, kalau
anak jantan kau sepatutnya cari aku, bukan cari Aleeya. Geram di dalam hati
selagi tidak bersemuka dengan Razman tetapi ketika ini dia mahu memujuk hati
Aleeya terlebih dahulu, sebelum dia membuat perhitungan dengan jantan tak guna
itu.
“Tapi Liya gagal menjaga zuriat abang...,” ucap Aleeya
tetap rasa bersalah. Rayyan mengesat air mata di pipi Aleeya. Dikucupnya pipi
kanan Aleeya.
“Ini takdir lah, sayang. Takdir yang mahu menguji abang
dan Liya. Takdir yang mahu menguji kekuatan cinta kita dan kasih sayang kita.
Abang redha dengan kejadian ini dan Liya juga kena belajar redha menerimanya,
faham tak sayang?” pujuk Rayyan lagi membuatkan hati Aleeya rasa bahagia yang
teramat. Terima kasih ALLAH, kerana beri dia kepadaku, kerana dia terlalu
memahami dan mengerti.
“Abang, Liya minta maaf sangat-sangat sebab Liya tak tahu
Liya pregnant.. kalau Liya tahu...,” ini susahnya bila suami yang mengalami
alahan. Rayyan sedar Aleeya mengandung sebab dia selalu pening ketika bangun
awal pagi, lagi satu kerana sikap Aleeya yang
terlampau manja dan terlalu sensitif itu. Sedangkan itu bukan lah sikap
Aleeya yang sebenarnya.
Rayyan tersenyum. Jangan ungkit lagi, itu yang sepatutnya
kita lakukan tetapi dia akan setia mendengar segala keluh kesah dari isterinya,
kerana beban di hati Aleeya perlu diluahkan dan dikongsi bersama dengan dia
yang bergelar suami.
“Abang sayangkan Liya, sayang sangat-sangat..,”
“Liya pun!”
“Jadi, boleh tak abang melihat senyuman mu sayang?” pinta
Rayyan. Bagaimana aku mahu tersenyum setelah aku melukakan hati mu, abang!
“Abang ni, Liya nak senyum pun dah tak boleh, nak
menangis adalah!”
“Senyum lah, abang rindukan senyuman Liya nih,” gurau
Rayyan setelah melihat keadaan Aleeya yang semakin baik. Sudah boleh bergurau
pun!
Bagaimana aku boleh tersenyum kembali? Soal Aleeya di
dalam hati.
Lupakan apa yang berlaku, kerana semua ini ada hikmah
yang amat besar untuk kita berdua. Jawab Rayyan di dalam hatinya.
Rayyan memeluk erat Aleeya. Aku mahu mengongsi derita dan
kesakitan ini bersama mu sayang.
ALLAH mahu menguji kita setelah begitu lama kita melihat
indahnya warna pelangi. Lalu ALLAH kirimkan hujan, dan hilangkan warna pelangi
dan cahaya mentari yang selama ini menyinari kehidupan kita sekeluarga. ALLAH
mahu kita ingat kepadaNYA bukan lupakan ALLAH kala ALLAH kirimkan ribut petir
yang maha hebat. Liya pernah cakap, ingatlah ALLAH ketika kita senang, dan
tentu ALLAH tidak lupa kan kita kala kita susah. Abang percaya semua itu, bisik
Rayyan di tepi telinga kanan Aleeya.
Abang, Liya tahu warna pelangi ini akan muncul semula
setelah hujan berhenti sekejap nanti. Dan mentari akan muncul semula setelah
ribut petir itu berlalu pergi. Liya terima ujian berat hari ini kerana abang
sentiasa berdiri di sisi Liya. Terima kasih abang kerana memaafkan kesalahan
Liya yang begitu besar. Bisik Liya di telinga Rayyan pula.
Jangan cakap macam itu, sayang. Kerana bila Liya berkata
begitu seolah kita tidak redha dengan ujian ini. Betul tak? Abang tak marahkan
Liya, abang tak salahkan Liya, kerana belum rezeki kita lagi. Liya, kata ayah,
empat perkara yang bukan ditentukan oleh kita tetapi ALLAH yang menentukan
semua itu, salah satunya ada lah soal anak, selain jodoh, rezeki dan pertemuan
yang semuanya diaturkan oleh ALLAH.
Tentu ALLAH mahu berikan yang terbaik kepada kita berdua selepas ini.
Sebuah senyuman lahir dari bibir Aleeya membuatkan Rayyan
bahagia dan senang hati. Jangan menangis lagi sayang. Abang akan tetap berada
di sisimu!