Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,117
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 25

"TAK kira! Apa nak jadi, jadilah! Aku mesti jumpa dia!” Jeffry menyarung topi keledar dan terus menunggang skuternya mengarah ke gerai mak cik Ayu. Perjalanan dari Bandar Sunway hanya mengambil masa tak sampai setengah jam.

Dah banyak kali selepas tamat kelas petang dia ke gerai menjual pisang goreng itu. Tapi setiap kali dia datang, Ayu tiada, ataupun mak cik Ayu ada bersama. Tak bolehlah dia nak bercakap dengan Ayu kalau mak cik gadis itu ada di situ. Nanti tak pasal-pasal kena maki.

Di kampus langsung tak nampak bayang gadis itu di mana-mana. Kalau dia ada kelas di fakulti Ayu pun, dia tak pernah terserempak dengan gadis itu. Pernah dia mengekori Shahrul senyap-senyap. Tak ada pula lelaki itu bertemu dengan Ayu.

Seperti yang dijangka, Ayu ada digerainya petang Ahad itu. Tetapi mak cik Ayu turut ada bersama. Ramai pelanggan pulak tu. Ah, kacau daun betullah!

Sebelum Ayu atau sesiapa sedar kehadirannya, baik dia beredar ke rumah Atang. Lepak-lepak dulu dan kemudian datang semula setelah petang makin larut. Ketika itu pasti tak ramai orang.

Ketika itu, walaupun dengan ekor mata, Ayu terpandang kelibat Jeffry sedang menunggang skuter. Dia menjeling. Sibuk aje datang sini! Nak pergi rumah Atanglah tu! Lepas tu, mesti datang sini mengacau aku. Kalau tak percaya, tengoklah nanti. Kalau dia tak datang mengacau, bukan Jeffry Mat Ngek nama dia. Datanglah! Memang aku takkan layan. Dia merungut-rungut dalam hati.

“Eh, Ayu... cepatlah sikit bungkus pisang goreng tu. Lembab betul buat kerja!” jerkah Maziah, membuatkan Ayu tersentak.

Terkejut dia apabila disergah. Marahkan Jeffry dalam hati, sampai tak sedar tangannya tak bergerak membuat kerja.

“Berangan tak sudah-sudah! Orang yang nak membeli tu menunggu. Terhegeh-hegeh pulak dia!”

“Ya, ya...” Ayu meligatkan pergerakan agar cepat membuat kerja. Dia sedar ada yang tersengih-sengih melihat dia dimarahi Maziah. Panas wajahnya ketika ini. Semua ni disebabkan si Jeffry! Yang lelaki tu lalu depan aku tadi kenapa? Buat sakit hati aje.

“Nak pisang goreng dua ketul!”

Ayu menoleh. Spontan dia melepaskan nafas lemah. Penyibuk! Dia buat tak reti sambil kembali membaca buku nota yang dibawa bersama. Sementara pelanggan sudah berkurangan, ada faedahnya dia membaca buku. Peperiksaan akhir semester dah tak lama lagi. Tak sampai dua minggu pun.

“Oii, dengar tak?”

Ayu tetap buat tak dengar.

“Amboi, berlagaknya minah warna-warni ni. Tahulah dah naik kereta Vios TRD warna putih tu. Tapi tak payahlah berlagak. Kan Atang, kan?” Jeffry mematikan enjin skuternya.

Ayu terhenti membaca. Dia mengerling Jeffry dan Atang sekilas yang tersengih-sengih. Dia orang tahu ke pasal aku dengan Shahrul? Alamak... habislah Shahrul. Nak buat macammana ni?

“Eh, cepatlah! Bagi pisang goreng dua ketul.” Jeffry turun dari skuternya setelah Atang turun terlebih dulu.

“Pisang goreng habis! Tak jual!” kata Ayu dengan suara garang.

“Siapa kata kita orang nak beli? Kita orang nak aje, bukan nak beli,” kata Jeffry dengan selamba.

Atang ketawa berdekah-dekah mendengar kata-kata Jeffry.

Ayu sudah menahan geram. Dijeling muka Jeffry penuh meluat. Tolonglah! Jangan ingat lawak buruk macam tu kelakar. Tak kelakar langsung!

Melihat perubahan air muka Ayu, Jeffry berhenti ketawa. Marah agaknya. Dilihat Ayu tekun membaca. Lalu tanpa perasaan bersalah, dia melangkah masuk ke dalam gerai dan mengambil bekas air minuman. Diceduk sendiri air oren dari dalam balang besar.

Ayu menoleh dan terkejut melihat Jeffry menyedut air oren sambil buat muka kesedapan.

“Hmm... sedap. Lemak berkrim. Kau nak tak, Tang? Sedap ni. Rugi tak minum.”

Atang ketawa. “Bagi aku dua. Bungkus! Ikat tepi!”

Haih... tak guna! Dia ingat kedai ni bapak dia yang punya? Buku nota yang dipegang dihempas ke tepi. Ayu lantas berdiri. “Siapa yang bagi izin awak ambil air ni?”

“Eh, eh! Awak ni buat saya terkejut aje!” Jeffry mengurut-urut dadanya tanda terkejut. “Saya ingat gerai ni tak ada orang tadi. Bila awak sampai?” Dia menyengih bagaikan tak bersalah. Dia menghirup semula air orennya.

Atang ketawa semakin berdekah-dekah. Lawak gila dia tengok muka Jeffry yang berpura-pura terperanjat tadi. Dia pun tak sangka Jeffry boleh buat lawak begitu dengan Ayu.

Bengkak hati Ayu melihat muka Jeffry yang poyo dan mendengar dekahan Atang. “Dah, dah... tepi!” Dia menolak tubuh Jeffry agar menjauhi gerainya. “Sibuk! Penyibuk!” marahnya pula.

“Apa ni? Apa ni? Apa main tolak-tolak ni?” Jeffry cuba bertahan, tak mahu berganjak.

“Datang gerai orang buat sesuka hati pulak! Banyak cantik muka tu!”

“Mana ada! Saya panggil-panggil tadi awak senyap aje. Saya ingat tak ada orang. Tu yang saya ambil sendiri.” Jeffry tetap bertahan walaupun Ayu kelihatan bersusah payah menolaknya. Nak tergelak pula dia melihat wajah gadis yang sudah cemberut itu.

“Saya nak minta tolong sesuatu boleh tak?” Ayu cuba berlembut, tapi sinis.

“Uisyhh...” Jeffry buat muka malu-malu kucing. “Kalau awak yang minta tolong, seribu saat pun saya sanggup.” Dia berdekah ketawa. Seribu saat entah berapa minit pun dia tak tahu. Dia cuma nak melawak aje.

Ayu merenung Jeffry dengan riak wajah serius.

Jeffry berhenti ketawa. Dirasakan Ayu betul-betul garang ketika ini.

“Tolong jangan datang ke sini lagi! Jangan datang sampai bila-bila!” beritahu Ayu sebutir demi sebutir sebutan ayat itu supaya Jeffry faham apa yang dia nak sampaikan.

“Saya ni customer. Saya ada hak nak datang ke, tak nak datang ke... Customer always right, okay? Awak kena layan saya sebagai customer. Faham?!”

“Orang macam awak ni buat apa saya layan? Mat Ngek!” Ayu berhenti menolak Jeffry kerana usahanya itu sia-sia. Dia merenung tajam muka lelaki itu.

“Yalah... memanglah tak layan sebab saya manalah ada kereta Vios warna putih. Bawa skuter cabuk aje. Nak bandingkan skuter saya dengan Vios, mestilah skuter saya kalah.” Jeffry mengangkat-angkat kening ke arah Ayu. Sengaja nak sakitkan hati Ayu. “Kan? Kan?”

“Jangan nak cakap benda merepek ya!”

“Hari tu awak pergi dating dengan Shah kat mana?” Tiba-tiba Atang menyampuk sambil tersengih-sengih.

Ayu sudah mati kata. Dia orang memang tahu ke pasal aku dengan Shah? Tadi Jeffry tanya, sekarang Atang pulak. Kalau mereka betul-betul tahu macam mana? Apa jadi pada Shahrul nanti? Kena buli dengan si Jeff Geng Mat Ngek ke? Dia mulai gusar.

“Bukan main mesra lagi nampak? Awak dengan Shah couple eh?” Sekali lagi Atang menebak Ayu. Tepat ke muka.

Jeffry merenung Ayu menanti kata balas. Sejak awal lagi dia mahu mendengar jawapan gadis itu. Dia nak sangat dengar! Entah jembalang apa yang menyergah, dadanya bergetaran menanti apa yang keluar dari mulut Ayu. Betul ke Ayu ada apa-apa dengan Shahrul? Betul ke? Betul ke apa yang aku sangkakan ni? Dadanya bagai nak pecah apabila Ayu masih tak bersuara.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.