Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,113
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 24
SHAHRUL kacak macam Yong Hwa! Siapa yang tak suka weh? Ayu tersenyum-senyum. Takkan sesekali dia lupa kenangan malam ini. Kenangan ketika Shahrul mengatakan dia sangat istimewa di hati lelaki itu.

“Boleh tak?” tanya Shahrul dengan riak memuncung kerana Ayu tak menjawab soalannya, seolah-olah merajuk.

“Hah?!” Kemudian Ayu tertawa, berasa malu kerana berkhayal.

“Awak ni...” Shahrul menggeleng bersama senyuman.

Ayu hanya tersengih.

“Kita jumpa lagi ya?”

“Insya-ALLAH...”Ayu tunduk, kemudian memandang Shahrul semula. “Kalau awak nak jumpa saya, awak call aje.”

Lantas Shahrul membuat aksi ‘yes!’, mengundang senyuman malu Ayu walaupun hati rasa nak melompat, nak ketawa berdekah-dekah kerana terlalu gembira. Dia melontar pandangan ke luar tingkap. Kelihatan ada sebuah kereta melintasi sebelah kereta Shahrul yang diparkir di tepi blok rumah Darus. Dia kemudian mengintai jam tangannya. Pukul 10.20 malam.

“Okeylah... saya naik dulu. Bye!” Ayu sudah membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Semakin lama bersama Shahrul, semakin berdebar dadanya.

Setelah pintu ditutup Ayu, Shahrul menurunkan cermin tingkap. “Bye! Jumpa lagi.” Dia melambai-lambaikan tangan sambil perlahan-lahan keretanya bergerak.

Baru beberapa saat, telefon bimbitnya berbunyi. Dia segera menyambutnya. “Helo!”

“Shah, kau kat mana? Tak datang ke? Ada klien call. Aku tengah sibuk ni.” Zakri terus memberitahu.

Shahrul memandang jam di dashboard walau sudah tahu pukul berapa. “Aku tak sempatlah, Zack. Aku kat Shah Alam lagi ni. Lagipun, aku ada kelas pagi esok. Tak naklah ‘tuang’ kelas.”

“Kelas apanya? Tak payahlah! Kau dah ada kerjaya sekarang. Tak habis degree pun dah pegang duit sendiri.”

Shahrul masih memandu perlahan, seolah-olah hampir tak bergerak, tersenyum. “Kalau ada degree, lagi orang pandang aku. Dahlah, aku nak balik ni. Kau call balik klien tu, bagi tahu dia esok malam kita jumpa. Okey?”

“Yalah, yalah... Okey, bye!

Telefon bimbit diletakkan di tepi dan terus memandu pergi dari situ.

Tidak disangka ada beberapa pasang mata memandang pergerakan kereta Vios TRD itu.

“Itu Shahrul, kan? Tulah kereta baru dia. Perghh... smart dowh!” Burn yang duduk di tembok lantas berdiri memanjangkan leher melihat kereta tersebut berlalu.

“Aku tak tahu pulak dia betul-betul kawan dengan Ayu. Siap hantar budak tu balik. Baru lepas dating kot. Untunglah...” Atang bersuara cemburu.

Mereka bertiga yang berlonggok di tembok tepi blok Atang, nampak kereta itu berhenti di situ. Dan masing-masing terdiam apabila melihat Ayu keluar, lalu melambai-lambai Shahrul dengan senyuman mesra.

Jeffry yang bermain gitar diam saja. Dia tunduk sambil memetik gitarnya mendendangkan irama sayu. Hatinya sedang bungkam. Walhal sebelum kedatangan Vios TRD Shahrul, mereka menyanyi mengikut petikan gitarnya dengan gembira.

“Kerja part time dah boleh beli kereta. ‘Masyuk’ betul dia! Aku ingat nak tanya sepupu dia tulah. Mana tahu syarikat dia nak pakai orang lagi. Boleh aku beli kereta Perdana,” kata Fauzi dengan penuh semangat.

“Eleh...” ujar Atang. “Apalah kau ni. Belilah kereta yang moden sikit. Kereta Perdana tu kurun bila? Kau ni, tak ada taste langsung!”

“Biarlah! Kereta aku. Suka hati akulah nak beli kereta apa pun! Kau rasa kan, Tang... dia orang tu couple ke?” Burn berteka-teki. Dipandang Atang yang seolah-olah sedang berfikir.

“Hmm... aku rasa ya. Kalau tak, takkanlah dia orang keluar berdua. Malam-malam pulak tu.”

“Tak sangka betul aku si Shahrul tu dengan Ayu ya?” kata Burn lagi.

Jeffry makin rasa sakit hati mendengar kata-kata Burn. Disabarkan perasaan agar tak terlihat amarahnya di situ. Tapi entah apa yang dimarahkannya. Marahkan Shahrul? Memang dia geram dengan perangai bekas kawan baiknya itu. Tapi bukan sebab itu yang membuatkan hatinya sakit. Habis tu... sebab apa?

“Grenngg...!” Bunyi gitar paling kuat dilepaskan seraya dia bingkas bangun. “Aku nak balik!”

Atang memandang Jeffry. Dia tergamam. “Awal lagi. Relakslah...”

Tanpa menghiraukan Atang dan Burn, Jeffry terus menunggang skuternya sambil menggalas gitar di belakang.

Atang dan Burn berpandangan melihat Jeffry berlalu pergi.

“Apa hal dia tu?”

Atang mengangkat bahu. “Bengang dengan Shah lagi kot.”

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.