Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,491
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1
SEMUA tugasan yang diberi pensyarah sudah siap. Ayu beralih pada sebuah buku nota yang dikhaskan untuk menconteng. Dia melakar lukisan bercorak doodle. Entah apa-apa yang dia lukis. Sambil menconteng dengan pen hitam dakwat basah, dia melirik seketika ke arah Mala dan Eja yang masih tekun menyiapkan tugasan. Masih tak siap-siap. Dibiarkan saja.

“Hai...” keluh Mala tanpa memandang Ayu. “Kau ni kejap betul siap assignment, Ayu. Kau buat ke tak?”

Ayu tersenyum. Mata helang betul si Mala ni! Nampak saja apa yang aku buat. Padahal kepala tunduk menatap buku teks.

“Kau ni, Mala... dah nak masuk empat tahun kita berkawan. Takkan tak ‘masak’ lagi dengan perangai Ayu ni,” sampuk Eja sambil menjenguk apa yang dilakar oleh Ayu. Cantik!

“Eleh dia tu. Kadang-kadang cakap aje assignment dah siap. Padahal nak melukis.” Mala mencebik.

Tertawa Ayu dibuatnya. Kemudian riak wajahnya berubah monyok. “Mesti kau orang bosan tengok aku melukis benda alah ni sejak kat UiTM Seri Iskandar lagi, kan?”

“Haa... dah, dah! Tak payah nak melodi syahdu sangat. Aku nak siapkan assigment ni cepat. Borak dengan kau, kerja aku tak siap nanti. Dah pukul 4.00 ni. Kejap lagi tasik ni mesti ramai orang. Nak studi dah tak senang.” Mala kembali beralih menatap buku notanya.

“Aku punya lagi sikit nak siap.” Eja mencapai pen birunya semula.

Ayu berhenti melukis, lalu menutup buku notanya itu. “Nak aku tolong ke?”

“Tak payah! Ingat ni acara gotong-royong ke?” Mala sebenarnya nak fokus.

Ayu memandang Mala dengan muka ‘blur’.

Mala tersengih. Dia faham sangat dengan perangai Ayu. Kalau tak faham, mesti buat muka ‘blur’. Kadang-kadang kalau faham pun, muka Ayu jadi ‘blur’. Nak tergelak rasanya tengok muka Ayu tu. Nasib baik cantik.

Tiba-tiba Eja terhenti menulis. “Aku kan... sejak dah nak habis satu semester kat UiTM Shah Alam ni, aku tertanya-tanya.”

Spontan Ayu dan Mala merenung Eja, menunggu kata-kata selanjutnya.

Eja terangguk-angguk dengan gaya yang kononnya dia bersungguh. “Ramai orang cerita pasal Geng Mat Ngek. Tapi, aku tak pernah jumpa dia orang. Kau pernah dengar pasal dia orang?”

Ayu kebingungan. “Apa buruk sangat nama tu?” Nak tergelak pula dia dibuatnya. Tanpa tertahan, ketawanya meledak. “Geng Mat Ngek?” Dia ketawa lagi sambil mengelap hujung matanya yang terasa berair. “Apa punya namalah!”

“Kau jangan gelak, Yu. Orang kata geng ni bahaya. Kalau dia orang dengar kau gelakkan dia orang, habis kau nanti!” Eja buat muka serius.

“Betul, betul, betul...” kata Mala.“Aku pun pernah dengar cerita pasal geng tu. Orang kata macam anak setan perangai masing-masing.”

Ayu masih ketawa. “Nama Geng Mat Ngek tu buat aku rasa nak ketawa. Tak nampak ganas langsung!” Geli hati betul dia. “Kau orang ni biar betul.”

“Budak-budak kampus yang gelarkan dia orang tu Geng Mat Ngek,” cerita Eja. “Dia orang sama batch dengan kita, tapi ambil course photography. Masa diploma dulupun dia orangbelajar kat UiTM sini. Orang start panggil Geng Mat Ngek masa dia orang final year. Apa taknya, suka betul membahan orang. Ada aje yang dia orang nak sakat, nak usik. Tapi dia orang ni suka menyakat orangperempuanaje.”

Ayu dan Mala merenung Eja yang berwajah serius. Banyak betul info yang Eja tahu pasal Geng Mat Ngek!

“Tapi dah nak habis satu semester kita kat sini, tak pernah pulak kita jumpa dia orang. Teringin pulak aku nak kenal macam mana muka Geng Mat Ngek tu.”

Ayu dan Mala berpandangan sesama mereka. Lima enam saat berlalu dan kemudian terhambur gelak mereka berdua.Macam mana nak jumpa? Dia orang pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Kita pelajar Fakulti Pengurusan Perniagaan.

Eja ni beria-ia sangat pasal Geng Mat Ngek tu kenapa? Kata perangai dia orang macam anak setan, tapi nakjumpa jugak! Ayu mengumpat dalam hati.

“Eh... kau ni sibukkan dia orang tu buat apa? Cepatlah siapkan assignment ni. Lepas tu, kita boleh pergi makan.” Mala menumpukan perhatian pada buku notanya.

Ayu mengangkat ibu jarinya sambil tersengih-sengih. “Kau orang buat kerja. Aku pulak buat ‘kerja’ aku ni.” Lantas dia membuka buku nota dan melukis kembali.

“Warnakan sekali, Ayu...” sindir Mala.

Terus Ayu memuncung.

“Kau ni, Mala... nak mengenakan Ayu aje. Takkanlah dia nak warnakan lukisan dia tu.” Eja menjeling Mala yang duduk di hadapannya.

“Alah, usik aje kot!”

“Eh, cepatlah siapkan kerja tu. Dua-dua aku hempuk karang!” gertak Ayu. Sengaja aje.

“Takutnya! Takutnya!” Eja bantai gelak. Tak peduli langsung orang yang lalu-lalang di tepi tasik itu.

Mala dan Ayu ikut gelak. Namun, tiba-tiba ketawa mereka mati. Ada seorang lelaki berdiri betul-betul di tepi meja mereka. Serentak mereka bertiga memandang muka lelaki itu.

Mala memandang Ayu. Ayu menoleh ke arah Eja. Eja menggeleng sebagai isyarat yang dia tidak kenal lelaki itu.

“Kuatnya ketawa. Merdu sangat. Saya dah terpikat tau. Auww... tak rela!” Lelaki itu tergelak buat-buat dengan aksi bapuk.

Ayu terpinga-pinga. Siapa dia ni? Tiba-tiba sahaja muncul, lepas tu cakap macam tu. Pelik!

Mala dan Eja sudah menjeling kerana meluat.

“Haih... awak menjeling macam gaya Ratu Sri Lanka. Comelnya...” Lelaki itu masih menggeletis sambil memandang Mala dengan mata terkebil-kebil. Ditekan perkataan ‘comelnya’ bersungguh-sungguh.

“Bongoklah dia ni!” Muka Mala sudah kelat.

Muka Eja pula berkerut-kerut. Ayu pula sedang menahan ketawa. Dia rasakelakar melihat Mala berdepan dengan lelaki itu.

“Eh, eh, eh... budak ni. Tepi!” Tiba-tiba datang seorang lelaki lain di situ. Dia menolak kuat bahu lelaki yang mula-mula sampai di situ, sampai nak terjatuh dibuatnya. “Mengacau anak dara orang aje kerja kau. Kau dah kenapa?”

Lelaki yang nak terjatuh itu mencemik sambil tangan membuat aksi isyarat ‘blahlahlu!’.

Sekarang tumpuan Ayu, Mala dan Eja fokus pada lelaki yang memakai baju kemeja warna hitam itu. Mereka bertambah pelik. Siapa pulak lelaki ni?

“Ehem! Ehem!” Lelaki itu membetulkan kotak suaranya. Sambil itu dia membetulkan kolar baju kemejanya. Tersengih-sengih dia memandang Ayu, Mala dan Eja.

“Awak semua jangan risau, jangan susah hati. Saya ada. Dia tu otak sengit. Nama pun Atang. Memang nampak sangat dia kuat tidur.”

Berkerut-kerut dahi tiga orang gadis itu. Masing-masing tidak faham. Apa kena-mengena nama Atang dengan tidur?

Lelaki itu ketawa apabila terpandang kad pelajar UiTM milik Eja. “Shaniza Mohd Sharif. Awak semua ni student UiTM ke? Ya ALLAH... kita satu universitilah!” Dia ketawa lagi. Gembira benar.

Dipandang kawannya yang bernama Atang itu. “Satu kampus kita weh! Satu kampus!” Bukan main seronok lagi dia.

Atang tersenyum sambil tunjuk ibu jari.

Gadis bertiga itu sudah mula rasa meluat.

“Oh... tengah studi ek? Bolehlah kita studi sama-sama. Saya pun student UiTM jugak. Lepas studi, bolehlah awak bercinta dengan saya!” Lelaki itu tersengih.

Apa lagi, berdekah-dekah ketawa sekumpulan lelaki di bawah pokok di hujung sana. Ayu, Mala dan Eja berpaling ke arah itu. Kelihatan tiga orang lelaki yang duduk di atas skuter masing-masing dan dua buah skuter lagi.

Tahulah Eja kini. Lelaki-lelaki berskuter itu sebenarnya Geng Mat Ngek! Hai... baru kata nak jumpa, dah jumpa? Kalau tahu, takkan disebut langsung! Menyesal! Dia memandang lelaki yang terkekeh-kekeh bersama Atang. “So... kau ni Jeff, kan?”

Terhenti ketawa Jeffry. Riak mukanya terkejut. “Eh, awak kenal saya? Wah... aku glamorlah, Atang. Dia kenal aku.” Ketawanya meledak semula bersama Atang.

Ayu dan Mala hanya diam. Mala malas nak melayan lelaki-lelaki nakal itu. Buang masa aje! Ayu pula tatkala menoleh ke arah lelaki-lelaki di bawah pokok itu, pandangannya terpaku pada seseorang... yang membuatkan dadanya berdebar-debar.

“Siapa tak kenal dengan Geng Mat Ngek? Lagi-lagi ketua mafia yang nama Jeff ni. Ya ALLAH... semua orang berdoa tak nak jumpa kau orang tau!”Eja bersuara dengan berani. Selama ini dia mendengar daripada rakan-rakan lain. Jeff si ketua Geng Mat Ngek memang nakal nauzubillah walaupun muka boleh tahan kacak macam Matt Dallas, pelakon drama Kyle XY. Tapi versi muka Melayu. Mata pun taklah biru macam Matt Dallas tu.

Jeffry tertawa. “Dia orang pun panggil kita Geng Mat Ngek, Tang. Aduh...” Dia tergeleng-geleng. “Cik Shaniza... tak baik tau dengar cakap orang. Kita orang yang kacak lagi perkasa ni bukan Geng Mat Ngek. Budak perempuan macam awak semua ni mana tahu apa-apa. Kalau awak semua panggil kita orang Geng Mat Ngek lagi, saya cubit-cubit pipi awak,” ujarnya dengan wajah nakal, disambut dengan ketawa rakan-rakannya yang lain.

Mala mula naik angin. Eja pun begitu. Suka-suka hati saja Geng Mat Ngek ni nak cubit pipi orang perempuan. Gatal!

“Jomlah balik!” Mala bangun sambil memasukkan semua alat tulisnya ke dalam beg. “Kalau dibiarkan orang ngok ngek macam dia orang ni dekat dengan kita, otak kita pun boleh sengit sama. Jom!”

Eja menurut tingkah Mala sambil sempat mengerling Jeffry, Atang dan tiga orang kawannya yang sedang ketawa mengekek.

“Jomlah, Ayu. Apasal tercegat pulak ni?” tegur Eja apabila dilihat Ayu masih kaku.

Ayu yang sejak tadi mencuri-curi pandang salah seorang kawan Jeffry tersedar apabila disergah Eja. Sekilas matanya bertembung dengan mata Jeffry yang memandangnya. Dia tunjuk riak memuncung, konon-kononnya marah juga seperti Mala dan Eja. Padahal dalam hati berdebar bagai nak gila. Wajah salah seorang kawan Jeffry benar-benar memukau hatinya.

“Nama dia Ayu?” Jeffry nak mengusik lagi. Tersengih-sengih dia.

Ayu buat-buat tak dengar. Mulutnya makin dimuncungkan lebih ke depan. Saja nak tunjuk yang diabenar-benar marah.

“Sorang nama Shaniza. Sorang lagi Ayu. Yang muka macam orang ada penyakit gusi berdarah ni siapa nama?” tanya Atang sambil tersengih-sengih memandang Mala. Dia merenung muka Maladalam-dalam.

Panas muka Mala ditenung Atang. “Sibuklah!” jerkahnya.Kepala Atang nak ditunjal, tapi sempat Atang mengelak sambil berdekah ketawa.Dia terus berlalu diiringi Eja dan Ayu.

“Garangnya! Macam rimau termakan belacan.” Jeffry ketawa. Kawan-kawannya yang lain turut ketawa berdekah-dekah.

“Jom blah! Sakai betul!Dahlah ketawa macam orang gila.” Sempat lagi Mala membebel.

“Entah, sakai.” Ayu ulang ayat Mala, tapi matanya sempat memandang kawan Jeffry yang masih tersenyum.

Jeffry tersenyum melihat Ayu. Dia tahu Ayu pura-pura marah. Tak nampak macam marah langsung! Muka kosong semacam. Dipandang Ayu, Mala dan Eja yang sudah melangkah pergi. “Comel... macam Puteri Sarah,” pujinya.

“Siapa?” soal Atang.

“Alah... yang pelakon tu.”

Atang terangguk-angguk. Memang rupa Ayu ada iras-iras Puteri Sarah.

Tiba-tiba Jeffry mendapat idea nak menyakat. Dia melaung. “Yu! Yu!”

Ayu berpaling. Dilihat Jeffry dan Geng Mat Ngek sedang memandang dia, Mala dan Eja. Dia pelik. Jeff panggil aku ke? Kenapa? Langkahnya terhenti.

“Yu! Yu! Yu!” laung Jeffry lagi, bersungguh-sungguh. “Yu! Yu!”

Ayu memandang Mala dan Eja. Dia keliru.

“Tak payah layan Jeff tu! Otak tak betul! Mabuk ketum!” Eja menggumam geram.

“Tapi dia panggil macam betul-betul. Kau ada tertinggal barang kat meja tu ke, Ayu?” Mala rasa waswas.

Ayu bingung. Wajahnya ‘blur’. Tertinggal barang? Rasanya tak ada.

“Pergilahtengok! Boleh buat muka ‘blur’ pulak.” Mala rasa geram.

“Yu! Yu!” Jeffry masih memanggil. Wajahnya serius.

Perlahan-lahan Ayu menghampiri meja yang sudah dikerumuni Jeffry dan gengnya. Dadanya bergemuruh kerana menjadi perhatian kesemua lelaki itu. Sempat dia mengerling ke arah jejaka yang sudah memikat hatinya itu.

Sebaik sahaja tiba di meja tersebut, dilihat tiada apa-apa yang tertinggal. Dia makin keliru. Dia merenung Jeffry. “Ada apa awak panggil saya?”

Jeffry tersengih nakal. “Saya panggil awak? Awak ni kelakarlah.” Dia bantai gelak terbahak-bahak bersama gengnya.

“Tadi? Awak panggil saya.” Ayu memandang Jeffry keliru.

“Tadi saya menyanyilah. Tengok ni...” Jeffry buat lagak kononnya memegang mikrofon. “You... I don’t care who you are, where you’re from, what you did... as long as you love me...” Tak agak-agak dia menyanyi lagu As Long As You Love Me. Saja ditambah perkataan ‘you’ di hadapan lirik itu supaya kelihatan ada kena-mengena dengan ‘Ayu – you’.

Geng Mat Ngek sudah ketawa berdekah-dekah. Siap bersiul ‘fewit-fewit’ lagi, menggalakkan Jeffry nyanyi tanpa henti.

“Pehh... lagu Backstreet Boys! Wuhuu...” Atang ketawa.

You... I don’t care who you are...” Jeffry menyanyi lagi.

Who you are,” celah Atang acah-acah harmonika.

Jeffry sambung semula. “Where you’re from...”

Where you’re from...” sambut Atang.

What you did, as long as you love me...” Jeffry berduet bersama Atang. Penuh yakin aje muka masing-masing.

Geng Mat Ngek bukan main bertepuk tangan lagi. Macam tengok konsert berbayar!

Ayu rasa nak sekeh kepala sorang-sorang. Tak guna punya Mat Ngek! Mental! Sengal! Dia marah-marah dalam hati. Sebelum berlalu, masih sempat lagi dia mengerling lelaki yang sudah mencuri hatinya itu. Lelaki itu sedang tersenyum memandangnya.

Dia kembali menghampiri Mala dan Eja. Walaupun dibahan Jeffry, tapi hatinya menguntum senyum. Mukanya rasa nak marah, tapi hati rasa sejuk aje.Haa... macam mana tu?

“Menyanyi macam monyet!” kata Mala. “Macamlah sedap sangat suara tu.”

“Aku dah cakap. Jangan dilayan budak-budak otak wayarshort tu.” Eja mula membebel. “Kau degil, Ayu. Pergi jugak menghadap muka Geng Mat Ngek tu.”

“Kaulah ni, Eja. Ni semua kau punya pasal! Sebut lagi nama dia orang! Tengok, dah datang betul-betul depan kau. Nak sangat jumpa dia orang, kan?” perli Mala.

“Aku pulak? Aku cakap aje, bukannya berdoa pun.” Eja membela diri.

“Samalah tu!”

Eja mencemik tak setuju.

Ayu pula sambil melangkah, masih tertoleh-toleh ke belakang. Dia masih tak puas melihat wajah jejaka itu. Senyuman lelaki itu tadi benar-benar membahagiakan. Siapa nama dia ek? Ya ALLAH... kacaknya.

Geng Mat Ngek masih ‘membahan’ Ayu, Mala dan Eja yang dilihat makin menjauh. Tergelak-gelak macam pontianak. Perangai memang macam anak setan!

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.