Semua orang
punya ceritera sendiri. Aku juga tidak terkecuali. Melalui proses ceritera
inilah, kita membesar menjadi manusia yang hampir sempurna. Ada kisah sentiasa girang tertawa, ada kisah
berduka sepanjang masa, tetapi ada juga kisah yang tidah tahu hujung pangkal
mahupun noktahnya.
Kisah
aku seperti kisah kamu. Ada
suka. Ada duka.
Ada kasih. Ada cinta. Aku hidup dalam
keadaan yang sederhana. Dikelilingi keluarga tercinta dan juga teman-teman. Aku
harap kamu juga begitu. Meskipun sesekali badai pasti menimpa, tetapi ingat,
apa yang berlaku itu semua kehendak dari Yang Esa. Setuju? Bagus…
Umur
aku sewaktu penceritaan ini bermula ialah 26 tahun. Orang kata, umur yang paling sesuai untuk
mendirikan rumahtangga. Iye ke? Entah. Aku tak pasti. Namun perasaan
mula menjerut rasa apabila saban hari pakcik posmen bergaji datang menghulur
kad-kad pelbagai warna dan berbau harum.
Ah,
itu mereka. Ini kehidupan aku. Betul? Pedulikan. Yang penting aku tahu
perjalanan hidupku ini telah ditentukan oleh DIA. Hanya menunggu waktu yang
sesuai untuk memulakan segala apa yang telah diciptakan-Nya.
Aku
kini hidup bersama abang-abang atau lebih mesra dipanggil kekanda-kekanda yang
aku sayangi di sebuah kondominium tidak berapa mahal yang terletak di pinggir Kuala Lumpur. Ya, kamu
tidak salah baca. Aku mempunyai abang seramai tiga orang.
Dua
daripadanya keluar bersama-sama 29 tahun yang lepas. Manakala seorang lagi
menjelma 2 tahun kemudiannya. Berapa umur mereka? Wajarlah kamu mengiranya
sendiri kerana aku juga lemah di dalam matapelajaran Matematik.
Pasti
di antara kamu memikirkan aku punya kehidupan seperti Dania yang juga punya
tiga orang
abang dan aku adalah anak perempuan yang paling bongsu. Siapa Dania? Tentulah
dia di dalam drama bersiri Awan Dania
di Astro Ria. Tidak tahu? Tidak mengapalah. Tidak penting.
Cerita
cinta diri aku bermula apabila aku mendapat kerja setelah hampir 5 bulan
menjadi penganggur terhormat. Aku terjumpa bekas kekasih merangkap cinta
monyetku di zaman persekolahan. Oh Tidak! Tekanan dibuatnya, tetapi apakan daya
perasaan itu tak seharusnya dibataskan. Betul?
Dugaan
mula menerjah apabila aku mengenali seorang jejaka lain yang berhati beku dan
pendiam. Dia sangat sengal kerana seringkali menduga aku! Ah! Sukarnya! Lebih
sukar apabila bekas tunangnya mula datang mahu memporak-perandakan hidupku!
Tidak
penatkah dia memperlakukan aku sebegitu rupa? Argh! Menyampah pula dengan gadis
yang sungguh perasan ini! Sudahlah kerja satu pejabat, lepas tu nak sibuk
mencari pasal dengan aku! Agak-agak sedap tak kalau aku bagi penampar sulung
padanya?
Oh,
lupa pula! Nama aku Aryana Shafnie dan inilah kisah yang hendak aku ceritakan kepada
kamu selepas ini. Jika punya persamaan, itu hanyalah kebetulan. Kisah ini kisah
biasa, ada ketika kita gembira berada di lautan air tetapi bersedialah untuk
menghadapi duka apabila berada di lautan api…