HANYA tinggal sejam lagi waktu untuk berbuka
puasa apabila kaki kanan Arel memasuki ruang tamu banglo milik keluarganya itu.
Daripada
jauh lagi dia sudah mendengar suara anak saudara tunggalnya, Mya Zara yang
berusia empat tahun. Sudah pasti anak cilik itu sedang sibuk mengganggu
neneknya yang berada di dapur bagi menyiapkan juadah berbuka.
“Cepatnya
kau balik rumah hari ni?” tegur kakak sulungnya, Mya Erlina yang hanya berbaju
kelawar corak abstrak.
“Presentation tunda minggu depan.
Dapatlah rehatkan sekejap kepala yang tengah jammed ni.” Sengih Arel seraya duduk di sofa. Dia menyandarkan
kepalanya di sofa sambil memejamkan mata.
“Apa
yang kau bawa balik tu?” soal Mya Erlina, jari telunjuknya dihalakan ke arah
beg kertas yang terdampar di sisi Arel.
Lelaki
itu serta merta mencelikkan mata lalu teringatkan bungkusan yang di kirim oleh
Qaisara. Dia sendiri belum melihat isi bungkusan tersebut.
“Qaisara
kirim.” ujar lelaki itu, ringkas.
“Dia
kirim?” Senyuman Mya Erlina melebar. Qaisara merupakan pelajar junior di
universiti yang disukainya. Ketika itu, Mya Erlina bekerja di bahagian
pentadbiran pelajar. Melalui dirinyalah, Arel dan Qaisara mula berkenalan.
“Qaisara
sihat ke?” soal Mya Erlina lagi.
“Sihat
je tengok.”
“Kak
long tak fahamlah dengan kau ni. Sara tu budak baik, sopan santun je.
Senang-senang kau nak lepaskan.”
Ini
yang malas aku nak dengar ni, jerit hati kecil Arel. Hanya dia yang tahu
mengapa mereka putus. Dia tidak sampai hati untuk memberitahu perihal sebenar
kepada kedua-dua belah keluarga.
Masih
jelas di ingatannya Qaisara tidak henti-henti menyuarakan kemaafan di atas apa
yang terjadi. Sesungguhnya Arel tidak ingin memberikan peluang kedua. Hanya dia
sendiri tahu mengapa.
“Kalau
kak long mohon kau pertimbangkan semula dia, bolehkan?” Arel membatu.
“Kau
dengar tak apa kak long cakap ni?” Lelaki itu pura-pura melelapkan mata.
“Kak
Long rasa kau tak adil buat Sara macam tu. Dia tak pernah suka lelaki lain
selain daripada kau sejak dulu. Kak long kenal dia sejak dia masuk universiti
lagi. Tak pernah kak long tengok dia dating
mana-mana lelaki sekalipun. Untungnya kau patut tahu Arel.”
Arel
sudah panas hati tetapi ditahankan sahaja kerana mengenangkan bulan Ramadhan
yang mulia. Silap dia juga kerana tidak memberitahu mereka perkara yang
sebenarnya.
Namun,
dia tidak tahu apa akan terjadi jikalau kedua-dua belah keluarganya mengetahui
kejadian sebenar yang berlaku antara mereka. Arel pasrah dengan keadaan itu.
Dia mahu kehidupan yang baru.
“Arel,
kau…”
“Pak
ngah!” Jeritan kecil Mya Zara melegakan Arel. Anak buahnya berlari
mendapatkannya dan terus duduk di atas riba.
“Pak
ngah tahu tak Zara buat apa tadi kat dapur?” tutur kata Mya Zara yang comel itu
membuatkan lelaki tersebut memberikan sebuah ciuman hangat di ubun anak saudara
yang sangat disayanginya.
Mya
Erlina menjeling ke arah adiknya yang hanya tiga tahun lebih muda daripadanya.
Dia tahu Arel seringkali cuba mengelak persoalan tentang Qaisara.
Sesungguhnya
Mya Erlina masih tidak memahami mengapa Arel memutuskan pertunangannya dengan
Qaisara tanpa sebarang alasan yang kukuh. Dia hanya mengatakan dia tidak bersedia.
Acapkali
Mya Erlina bertanyakan tentang hal keputusan tersebut kepada kedua-duanya
tetapi Arel tetap berdiam diri, manakala Qaisara pula hanya menangis. Sebagai
anak sulung, dia mahukan kebahagian Arel dan Qaisara yang sudah dianggap
seperti adiknya sendiri.
“Zara
tolong nenek masak kuih warna hijau. Golek-golek macam ni.” Arel tertawa
melihat aksi Mya Zara yang sedaya upaya menunjukkan cara menggolekkan tepung.
“Apa
nama kuih tu?” soal lelaki tersebut sambil tersengih.
Mya
Zara membuat aksi mimik muka tidak tahu. Sejurus kemudian dia bingkas bangun
daripada riba Arel dan berlari semula ke dapur.
“Eh
Zara! Mama kata jangan lari!” Mya Erlina serta merta bangun lalu beredar ke
ruang yang sama.
Arel
cepat-cepat melarikan dirinya ke sebalik tangga rumah. Dia mahu menenangkan
diri dan mandi sebelum masuknya waktu berbuka.
------------------------------------------------------------------------
KOTAK berwarna putih bersih yang dikeluarkan
daripada celah almari pakaian itu ditenungnya. Hatinya terusik apabila
mengingati kenangan-kenangan lama yang telah diabadikan di dalam kotak
tersebut.
Satu
persatu memori datang menjelma. Qaisara merupakan insan pertama yang berjaya membuka
hati bekunya untuk bercinta. Itupun setelah dinasihati oleh kakaknya Mya
Erlina.
Percintaan
hampir empat tahun merubah sikap Arel secara perlahan. Dia menjadi seorang
lelaki yang lebih bersikap terbuka, lebih banyak tersenyum dan menghargai orang
sekeliling.
Semuanya
kerana Qaisara. Gadis itu yang telah mencorakkan dunianya menjadi lebih
berseri. Namun, semuanya itu mati serta merta apabila insiden hitam itu
menjengah bayangan.
Arel
mengeluh kecil sambil menyimpan kembali kotak putih itu ke dalam almari. Hati
lelakinya mengakui dia masih sayangkan Qaisara tetapi jauh di sudut hati, dia
pasrah dengan apa yang telah terjadi.
------------------------------------------------------------------------
“SARA suka yang ini.” Suara manja Qaisara
menerjah cuping telinga. Dia menggenggam jari jemari halus Qaisara sepanjang
perjalanan mereka di Mid Valley Megamall, mencari barang hantaran untuk majlis
pertunangan mereka yang akan berlangsung dua bulan sahaja lagi.
Arel
melihat cincin platinum bertakhta sebutir berlian yang mempunyai rekabentuk
yang ringkas dan menarik. Dia menjeling melihat harga cincin tersebut dan
tersenyum simpul.
“Sayang,
kita tengok tempat lain dulu?” bisik Arel. Dia menarik perlahan tangan Qaisara
yang masih tidak menginjakkan diri. Gadis tersebut sudah memuncungkan bibirnya
tetapi akur dengan kehendak bakal tunangnya.
Sesekali
Arel menyisir perlahan anak rambut Qaisara yang terbuai di pelipis pipi. Dia
sayangkan gadis tersebut dan tidak ingin sekali membuatkan hati gadis itu
terluka.
“Abang,
jom masuk situ.” Qaisara mengajak Arel ke Pet Wonderland yang terletak di aras
paling atas di kompleks tersebut. Berkerut dahi Arel apabila gadis itu
menyuarakan hasratnya untuk membela arnab.
“Comelnya!”
Tersengih-sengih Qaisara melihat beberapa ekor arnab yang pelbagai warna di
dalam sebuah sangkar.
“Nak
beli boleh?” Gadis tersebut merenungnya dalam. Pandangan lembutnya menusuk
masuk ke jantung Arel, menaikkan lagi debaran di hatinya.
Macam
manalah lelaki boleh tahan dengan perempuan yang disayanginya? Pelik, tetapi
benar. Dahulu, Arel langsung tidak percaya bahawa wanita punya kuasa besar
untuk menundukkan lelaki.
Namun
kini, dia sedar hakikat tersebut. Semua kehendak Qaisara diturutkan, janji
gadis itu bahagia. Sayangnya kepada Qaisara kadang kala melebihi dirinya
sendiri.
Tidak
sampai lima belas minit kemudian, dua ekor arnab sebesar tapak tangannya
telahpun berada di dalam sangkar yang juga dibeli khas di situ.
“Abang,
thank you so much. Sara sayang
abang.” Qaisara mengelus perlahan lengan Arel yang sedang menarik handbrake kereta. Lelaki itu tersenyum
bahagia.
“Lepas
balik ni Sara nak buat apa?” tanya Arel sambil berhati-hati mengundurkan kereta
Vios putih miliknya.
“Berehat
aje kot. Lagipun esok dah kerja.” Qaisara menjawab.
“Abang?”
Qaisara pula bertanya.
“Kita
pergi masjid?”
“Buat
apa?”
“Solat
Asar dulu sebelum balik.” ujar Arel ringkas.
“Lepas
tu?”
“Kita
jumpa tok kadi, terus kahwin kat situ!” sakat lelaki tersebut.
“Abang!!”
Cubitan halus di tangan kirinya hanya dibalas dengan tawa riang.
Sangka
Arel gadis yang ditawan sepenuh hati itu akan setia sehingga akhirnya. Namun,
segala-galanya berubah tiga ratus enam puluh darjah selepas tiga bulan
pertunangan mereka dilangsungkan.
------------------------------------------------------------------------
“AREL!” Ketukan bertalu yang bergema di pintu
biliknya mengejutkan lamunan Arel yang sudah hampir mengingati kejadian sebenar
yang berlaku di antara mereka.
“Turun
sahur ya.” Suara ibunya memecah keheningan pagi. Sambil mengeluh perlahan, dia
beristighfar dan bangun daripada pembaringan.
Menyesal
pula membiarkan diri mengelamun hampir setengah jam. Sepatutnya aku penuhi masa
begini dengan membaca Al-Quran atau sembahyang. Arel berfikir dan beristighfar
lagi. Ampunkan dosaku Ya ALLAH!
Secara
perlahan, wajah Qaisara hilang daripada pandangan. Dia bangkit dan berlalu ke
tandas mengambil wuduk dahulu sebelum menuju ke tingkat bawah.
Embun
masih basah di luar, apatah lagi dengan hujan lebat yang turun sejak tengah
malam tadi. Suasana terasa begitu dingin, sedingin hati Arel buat ketika ini.