Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayang 3 Dalam 1
Sayang 3 Dalam 1
Weeda Airiza
15/8/2014 19:21:59
54,198
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 8

WAJAH Mya Zara yang comel itu dipandangnya dalam-dalam. Sesekali dia mengeluh perlahan. Pada waktu usianya sebegitu, sepatutnya dia sudah mempunyai cahaya mata sendiri ataupun sedang merancang menuju ke alam perkahwinan.

“Mana mama?” tanya Arel. Lelaki itu sibuk mengancing butang baju Melayu barunya yang berwarna biru muda. Mya Zara terlentok di tepi katil milik bapa saudaranya.

“Ada dalam bilik. Tengah make up.”

Arel tersenyum. Usai solat sunat Aidilfitri di masjid berhampiran rumah tadi, dia terus pulang dan berehat sebentar sebelum menyalami kaum keluarga.

Terasa sedikit sayu di hati kerana jika dihitung, raya pertama ini sepatutnya dia sudah merasai tangannya dicium oleh sang isteri tercinta. Sudah tentu perasaan akan rasa sangat berlainan apabila ada orang yang menyediakan pakaian dan menjaga dirinya.

Arel mengeluh kecil. Sudahlah hati, lupakan saja kenangan silam! Kadang-kadang timbul rasa benci dengan diri sendiri kerana hal sebegitu dirasakan sangat remeh untuk diingati.

“Pak ngah, jomlah makan. Zara dah lapar.” Mya Zara menggoyangkan tangan kanan Arel.

“Lah, Zara tunggu Pak ngah ke?” Anak cilik itu mengangguk berulang kali sambil membuat muka monyok.

“Tak ajak pak su?” tanya Arel lagi seraya menarik tangan Mya Zara untuk keluar daripada biliknya.

“Baru nak ajaklah ni…” Manja sungguh dia. Arel tersenyum lebar. Memang benar Mya Zara lebih manja dengannya berbanding dengan adik bongsunya, Aizam yang lebih banyak menyakat.

Mereka berdua menuruni tangga rumah. Banglo besar tujuk bilik ini bakal menjadi tempat perkumpulan saudara-saudara yang berada di Kuala Lumpur nanti.

Memang sudah lama mereka tidak pulang ke kampung asal ibu di Terengganu. Sejak kedua datuk dan neneknya telah tiada, rumah pusaka mereka di jaga oleh saudara mereka yang berada di sana.

Lagipun ibu dan ayah sangat sibuk sekarang dengan bisnes masing-masing. Mungkin sudah malas mahu mengambil tahu perihal kampung. Arel sendiri tidak mahu tahu mengapa.

“Sedapnya! Jom kita makan Zara.” Arel menarik kerusi untuk anak saudara tunggalnya itu. Di atas meja yang boleh memuatkan seramai sepuluh orang itu, terletak hidangan yang amat mengecurkan air liur.

Sebut sahaja rendang daging, rendang ayam, ketupat, nasi minyak, ayam masak merah, kurma ayam, laksam, kek lapis, kek cokelat dan pelbagai jenis biskut, tinggal nak pilih dan makan sahaja!

Tidak lama kemudian, Aizam menyertai mereka. Kedua ibu dan ayah sudah keluar entah ke mana. Bayang Mya Erlina dan suaminya Razak juga tidak kelihatan.

“Abang, tadi Zam dengar ibu kata, famili kak Sara nak datang kejap lagi.” Mujur tidak tersembur air sirap selasih yang sedang dihirup enak oleh Arel.

“Bila?”

“Entah.” Aizam memerhatikan wajah abangnya yang semakin berubah. Dia tahu ada tidak kena dengan cerita pertunangan abangnya dengan Qaisara yang putus di tengah jalan.

Sebagai adik, dia merasai bebanan yang ditanggung oleh Arel. Cuma, dia malas mahu masuk campur. Padanya, lebih penting menggenggam segulung ijazah buat ketika ini.

Arel terdiam. Tiba-tiba sahaja dia berasa kenyang. Laksam yang hanya tinggal dua tiga sudu itu dipandangnya sepi. Selera makannya mati apabila mendengar nama gadis itu. Matanya bertentang mata adiknya, Aizam.

Seakan mengetahui apa yang tersirat di sebalik dua biji mata jernih itu, Aizam mengangguk perlahan. Dia menghabiskan nasi minyak di pinggan.

“Zara nak keluar pergi jalan-jalan tak?” Aizam bertanya kepada anak saudaranya.

“Uh? Pak su nak bawa?” Berkerut dahi anak kecil itu. Jarang benar pakciknya mahu membawanya keluar. Selalunya mesti disakat sehingga mengalir airmatanya.

“Naklah… Pak ngah?”

“Pak ngah ikut sekali.” Aizam mencebik bibir dan ianya mengundang tawa Arel. Nampak sangat Mya Zara tak sayang aku, Aizam hanya tersengih.

Mya Zara cepat-cepat mengunyah ketupat nasi yang masih ada di dalam pinggannya. Sebentar sahaja kemudian, datang bibik Imas mahu mengangkat pinggan-pinggan yang sudah digunakan.

Namun, selalunya Arel dan Aizam lebih rela membawanya sendiri ke dapur. Kakak mereka, Mya Erlina yang agak lain sedikit perilaku daripada mereka.

“Jom!”

“Zara nak pakai macam tu je ke?” soal Aizam seraya mengambil tisu daripada dalam kotak dan mengelap mulutnya.

Mya Zara memandang tubuhnya sendiri yang disarung baju kurung berwarna emas. Tocang satu yang mengikat rambut kerintingnya sudah kelihatan kemas. Dia hanya mengangguk dan tersenyum ke arah Aizam.

Sepantas kilat, Arel menuju ke arah biliknya untuk mengambil dompet dan beg kamera. Dia harus berbuat sesuatu untuk mengelak dirinya daripada bertembung dengan keluarga Qaisara. Mujur juga Aizam memahami.

-------------------------------------------------------------

SORRY Zam, kau kena ikut abang hari ini.” Arel sudah memandu Vios putihnya keluar daripada perkarangan rumah mereka di Bukit Antarabangsa. Kini mereka sedang berada di MRR2, menuju ke Jalan Ampang.

“Tak apelah bang, lagipun dengan siapa Zam nak beraya. Semua kawan ada kampung sendiri.” Aizam membetulkan kedudukan kerusi di sebelah pemandu.

Mya Zara hanya diam di belakang sambil memegang anak patung kesayangannya. Sesekali dikerlingnya kedua-dua bapa saudaranya yang berada di hadapan.

“Kita nak ke mana ni?”

“Zara nak pergi mana? Hari ni Zara jadi tuan puteri. Pak ngah bawa Zara ke mana saja Zara nak.” kata Arel tanpa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Aizam.

“Jom pergi Genting!”

“Amboi!” Terbeliak biji mata Aizam mendengar cadangan anak buahnya yang baru sahaja berusia empat tahun itu. Ini mesti angkara ibunya sendiri yang suka membawa mereka sekeluarga ke Genting Highland.

Arel sudah ketawa besar. Dia tahu anak kecil itu memang sukakan permainan yang ada di Genting Highland, apatah lagi dengan kesejukan yang dirasai, sangat mendamaikan.

“Genting tak bolehlah Zara, hari raya semua orang cuti. Tempat tu tutup.” Aizam berkata dengan harapan semoga Zara dapat menerima hakikat tersebut. Risau sekiranya Zara mula menarik muncung panjangnya. Susah mahu dipujuk.

“Oh yeke? Takpelah, Zara tak kisahlah pergi mana-mana.” Seketika kemudian, dia terus diam. Aizam menjeling ke belakang dan dia hanya tersengih melihat Zara yang sudah mula tersengguk sebelum akhirnya terbaring sendiri di belakang.

“Aik, cepatnya dia tidur?”

“Banyak sangat makan pulut agaknya.” Arel ketawa.

“Habis tu, kita nak ke mana ni bang?” tanya Aizam kembali. Arel sedang menimbang beberapa tempat pilihan hatinya.

“ABANG dah fikir masak-masak?” Aizam menggeliat panjang. Lenguh sudah badannya berada di dalam kereta. Mereka sudah tiba di perkarangan Taman Botani, Putrajaya.

Kata Arel, memandangkan Mya Zara tidur, lebih baik mereka mencari tempat yang boleh menenangkan diri dahulu sebelum membawa anak kecil itu pergi bermain.

“Sudah Zam. Abang tahu, ini pilihan terbaik. Tapi, kak long asyik bertanya. Abang penat.” Arel menjelaskan. Sesekali lensa kamera dihalakan ke beberapa sudut yang dirasakan menarik.

Mya Zara masih tidur di dalam kereta. Mereka berdua pula hanya berada di luar kereta. Tidak ke mana, hanya mengambil kesempatan untuk berbual.

“Alah, kak long tu memang macam tu. Tapikan, Zam pelik juga kenapa abang tiba-tiba sahaja nak putuskan pertunangan tu.” Aizam mula mahu serkap jarang.

“Cukup abang bagitahu Zam, Qaisara ada membuat sesuatu perkara yang abang rasa… Tiada lelaki dapat memaafkan dia kalau mereka tahu perkara sebenarnya. Silap-silap Zam pun mesti bertindak macam abang.” ujar Arel panjang lebar.

“Curang?”

Arel menggeleng perlahan. Dia tidak mahu mengaibkan Qaisara. Itulah sebabnya dia tidak menjelaskan kenyataan sebenarnya kepada keluarga Qaisara mahupun keluarganya.

Keputusan memutuskan pertunangan itu berlaku di luar kerelaannya. Jika difikirkan semula, dia mahu memberikan peluang kedua kepada Qaisara tetapi lambat laun dia akur, dia pedih setiap kali terkenangkan peristiwa itu. Terasa kelelakiannya tercabar.

“Zam ikut je keputusan abang. Mana yang baik, baiklah pada abang.” Arel bersyukur punya seorang adik yang memahami.

“Abang tak nak cari girlfriend baru ke? Mana tahu, nak lupakan Sara.” soal Aizam setelah kesepian berlabuh di antara mereka buat beberapa ketika.

“Nantilah dulu Zam. Susah abang nak lupakan Qaisara, abang cuma berdoa dipertemukan jodoh sebaiknya.” Terangguk-angguk Aizam mendengarkan kata-kata abangnya yang kini sudah berubah sejak putus tunang.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.