Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayang 3 Dalam 1
Sayang 3 Dalam 1
Weeda Airiza
15/8/2014 19:21:59
54,195
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 9

CANTIK pun! Aku melihat sekali imbas buat kesekian kalinya di cermin yang terletak di sebelah almari pakaian. Cermin yang sama tinggi parasnya dengan daun pintu itu memang memuaskan hati sesiapa sahaja yang mahu bersiap elok daripada hujung rambut ke hujung kaki.

“Yana! Cepatlah! Jam berapa nak masuk pejabat ni?” Suara Along bergema di sebalik pintu dan menyebabkan secara automatiknya aku tersentak.

Jam hampir menunjukkan ke angka lapan ketika aku memasuki kereta Myvi milik along. Mujur juga kebanyakan kelas along bermula jam sepuluh pagi ke atas. Bolehlah dia menjadi supir aku setiap hari. Senangnya dalam hati!

“Tak ada LRT ke dekat kawasan pejabat kau tu dik?” Along bertanya. Kereta sangat banyak dan sememangnya di waktu pagi, jalan akan menjadi sangat sesak.

Bunyi along ni macam tak ada hati nak hantar aku pergi pejabat je setiap hari? Baru hari pertama dah tanya, ni mesti gara-gara dia kena bangun awal setiap hari!

“Tak adalah along. Damansara tu mana ada LRT.” Iya iya saja aku cuba meyakinkan along walhal aku sendiri tak tahu selok belok Damansara.

Along hanya diam sahaja sepanjang perjalanan. Hampir setengah jam kemudian baru aku tiba di perkarangan Menara Budi. Setelah menyalami along, aku terus menarik nafas panjang. Relax babe! Tugasan baru sudah bermula!

Setiap langkah menyembunyikan debaran yang sangat hebat dalam diri aku. Yang aku menggelabah sangat ni pasal apa ya? Suasana kerja baru? Atau sebab banyak officemates baru aku tu berbilang bangsa?

Namun, aku pasti setiap orang akan turut merasai perkara yang sama. Justeru, relax Aryana! Kau kan pemegang Ijazah Pertama dan best student fakulti! MasyaALLAH, riaknya aku. Eleh, sebut dalam hati je pun, takpelah kan? Syukur alhamdulillah atas anugerah-NYA.

“Hi, good morning!” Gadis resepsi yang aku kenali sebagai Sue itu amat pemurah dengan senyuman. Mungkin itu yang diperlukan bagi seorang receptionist. Kalau aku, mesti orang takut nak masuk. Mana taknya, 24 jam buat muka cemberut nanti.

Setelah mengukir senyuman yang paling cun pagi itu, aku terus menuju ke studio di mana terletaknya pekerja-pekerja bertauliah macam aku ni.

“Ah, you pekerja baru yang Mr. Yonghwa cakap hari tu ya?” Mujur tak melayang semangat berkobar-kobar aku apabila seorang lelaki India menegur di sebalik dinding berpelapik laminate graphic.

Seketika kemudian, dia muncul di sisi sambil menatang secawan besar air yang aku kira air kopi berdasarkan jelingan daripada ekor mataku.

Gaya tubuh persis Shah Rukh Khan itu melalikan aku sesaat dua. Agaknya pejabat ni kritiria nombor satu mestilah kacak, lawa dan bergaya! Kiranya aku termasuk dalam kategori lawalah kan? Hahaha!

“Selamat hari raya! Tempat you di sebelah I ni, come I show you.” Wah, tak sempat tahu nama terus rasa bahagia di layan sebegini. Siap bagi ucapan raya, betul-betul 1 Malaysia! Menghormati semua jenis bangsa dan agama. Ke mula-mula ja? Mana tahu lepas ni aku di dera? Oh tidak!

“Terima kasih. Nama saya Aryana, boleh panggil Yana saja.” Melilau mata aku mencari kawan-kawan sepejabat lain yang tiada di situ.

“Saya Raj. In charge departmen grafik.”

Aku mengangguk perlahan sambil tersenyum. Baru aku perasan, meja komputer aku menempatkan LCD monitor screenberukuran 24 inci! Mak aihh! Ini kalau aku buka Facebook, memang satu dunia akan nampak!

“Hello!” Suara yang aku kira agak merdu bagi seorang wanita bergema betul-betul di belakang. Seorang gadis berlesung pipit sedang tersenyum. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Saya Afiqah. Panggil Fiqa saja.” Huluran kami bertautan. Aku dapat rasakan Fiqa seorang teman yang bakal menjadi teman yang baik kerana tingkah lakunya yang kelihatan selesa.

“Bukan Fiqa, panggil Pika… chu!” Pikachu? Kartun comel warna kuning yang bulat itu? Nasib baik tak terhambur ketawa aku. Harus cover biar ayu! Namun, aku akui wajahnya ada persis kartun tersebut kalau di cat kuning.

Seorang gadis lain berselendang warna krim muncul di sisi. Kalau tak silap aku, dialah yang menyebabkan Fiqa menarik muka masam.

“Saya pula Baiti!” Tawa kecil gadis kenit itu bergema. Memang agaknya pejabat ni dipenuhi dengan gelak ketawa. Aku tahu aku semakin senang kerana sikap mereka.

Sepuluh minit kemudian lengkap sesi perkenalan aku dengan teman-teman studio. Ada dua departmen iaitu departmen grafik dan departmen projek yang menguruskan acara-acara majlis.

Sumpah! Baru pertama kali aku dengar pejabat ni juga ada events management. Menarik! Yang penting, lebih banyak ilmu yang akan aku perolehi.

Aku ditempatkan di bahagian grafik bersama Raj, serta dua teman yang lebih senior iaitu Lew dan Baiti. Manakala departmen projek pula diketuai oleh Fiqa, Putri, Kannmani dan Azrul.

--------------------------------------------------------------------

TELEFON bimbit aku bergetar beberapa kali semasa aku baru sahaja selesai morning briefing. Setiap pagi akan ada mesyuarat ringkas untuk mengenal pasti setiap kerja yang perlu diselesaikan setiap hari.

Kini aku ditugaskan membantu Raj dalam menguruskan projek signage sebuah pasaraya kecil milik syarikat Korea yang perlu disiapkan dalam tempoh tiga minggu.

Kita lunch sekali hari ini nak? – Zafran

SMS daripada Zafran aku pandang sekali lalu. Malas sungguh rasanya mahu bertentang mata dengan mamat ni. Bukan sebab takut jatuh cinta sekali lagi, walaupun aku sendiri ragu-ragu dengan kenyataan tu. Entah, aku sendiri tak faham mengapa.

Lain kali ja. I makan dgn kwn2 office.

Zafran tidak membalas. Faham sangat hati wanita agaknya! Entah-entah sudah beratus wanita yang diajak lunch bersama. Tak dapat aku, mungkin ada Halimah, Fatimah ataupun Salmah. Tak baik bersyak wasangka kan?

“Eh jom! Dah jam satulah!” Kannmani bersuara lantang. Nampak gayanya aku perlu biasakan diri untuk sentiasa bersedia mendengar suaranya yang seperti speaker bergerak itu. Kus semangat!

Aku menjenguk ke arah Baiti yang terhadang dengan monitor komputer besar gedabak itu. Mukanya yang masam mencuka menandakan ada sesuatu tak kena.

“Tak mahu makan?” Entah bila Kannmani datang bertenggek di meja, aku pun tak perasan.

“Eh, sape kata tak nak?” Aku tersengih.

Baiti mengadu sakit perut dan dia hanya memesan makanan kepada kami. Azrul dan Raj pula sudah menghilang sekelip mata.

Terdapat beberapa orang lagi yang sedang menunggu pintu lif terbuka. Aku memandang ke arah sekitar dan baru aku sedar terdapat beberapa buah lagi pejabat di aras yang sama.

“Alamak Kann, I terlupa nak ambil telefon!” menggelabah sekejap aku apabila menyedari telefon bimbit tiada di pegangan tangan.

“Kitorang tunggu kat bawah ya!” Fiqa memberitahu sebelum aku mengangguk dan mengatur langkah ke dalam pejabat semula.

Tiada sesiapa di dalam studio. Mungkin Baiti telah berlalu ke ruang pekerja yang menempatkan beberapa buah sofa serta televisyen. Seronok sungguh ada kemudahan sebegitu. Bila boring, datang sekejap tengok televisyen, lepas tu sambung balik kerja. Best gila pejabat ni!

Selesai mengambil telefon, aku terus keluar daripada pejabat. Hanya aku berada di ruang lif lobi. Aku terus menunggu dengan sabar. Kasihan pula dengan mereka yang terpaksa menunggu aku di tingkat bawah.

Pintu terbuka dan… Air muka lelaki itu sangat jernih. Sumpah! Aku terpaku seketika sebelum dia bersuara.

“Awak nak masuk ke tak?”

“Eh! Lif ni turun bawahkan?” Aku mengetap bibir menahan malu. Dah sah-sahlah turun wahai Aryana! Bukankah kau sendiri yang menekan butang lif sebentar tadi?

Lelaki itu hanya mengangguk. Tidak senyum langsung, tetapi wajahnya kelihatan tenang. Bukannya seperti mamat di meja resepsi lobi yang berwajah macam ada 1001 masalah.

Aku tahu! Aku tahu ada debaran asing di dalam dada. Ummi! Kenapa ni? Apa dah terjadi? Kenapa anak ummi berpeluh sakan macam baru pulang acara marathon?

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.