“Suzry, aku harap kau dan aku di dalam satu kumpulan. Barulah syok sikit.”
Qisha Mirza penuh mengharap kerana dia yakin guru-guru pra akan dibahagikan di
dalam kumpulan memandangkan yang hadir pada hari itu agak banyak.
“Kau ingat aku penyeliakah nak atur-atur kumpulan kau? Kita terima sajalah
di mana kita dimasukkan.” Nursuzry pula tidak mengharap kerana dia tahu mereka
tidak mungkin akan bersama memandangkan mereka sudah diletakkan di dalam satu
bilik.
“Doa sajalah. Mana tau kut-kut doa kita dimakbulkan.” Qisha Mirza mendesak
ketika kaki masing-masing sedang melangkah masuk ke dalam dewan sesudah perut
diisi dengan sarapan yang cukup enak itu.
“Itupunlah yang dapat dilakukan. Kalau tak dimakbulkan, reda sajalah.”
Balas Nursuzry selamba.
“Kau ni ... macam tak nak saja kita satu group.” Sudah mula ada riak-riak merajuk. Adeh! Inilah yang tidak
boleh ditahan oleh Nursuzry tentang sahabatnya ini. Sudahlah kuat melantak,
kuat tidur, kuat merajuk dan macam-macam kuat lagi yang ada pada Qisha Mirza.
Semuanya yang buruk-buruk. He, he, he ... maaflah terkutuk. Nursuzry mengempis
senyumannya sebelum Qisha Mirza nampak. Kalau tidak, alamat berpanjanganlah
rajuknya nanti.
“Aku naklah. Siapa cakap tak nak. Dah, jangan tayang muka buruk kau tu
lagi. Tak cantik pun.” Nursuzry mengambil hati Qisha Mirza semula walaupun
dengan gaya yang agak ekstrem.
“Uwek!” Qisha Mirza menayang jeliran lidahnya.
Setelah semua peserta kursus mengambil tempat duduk masing-masing, pegawai
yang bertanggungjawab menguruskan kursus Cekap Bahasa Inggeris ini mula memberi
penerangan yang serba ringkas.
“Memandangkan peserta kursus pada kali ini agak ramai terdiri daripada tiga
puluh orang, maka saya dan pegawai lain sudah memutuskan untuk memecahkan kamu
semua kepada lima buah kumpulan yang terdiri daripada enam orang. Sekarang,
diminta kesemua kamu datang ke depan dan mencabut undi.” Pegawai itu mengenakan
arahan buat kesemua mereka. Masing-masing sudah berdiri dan mula berjalan ke
hadapan untuk mencabut undi.
“Undi-undi ini akan menentukan kamu di dalam kumpulan yang mana. Sesudah
terbentuknya kumpulan masing-masing, maka sepanjang aktiviti di dalam kursus
ini akan dilakukan secara berkumpulan sehingga ke penghujungnya.” Sambung
pegawai itu lagi.
Kesemua peserta yang hadir hanya mengangguk-anggukkan kepala masing-masing
yang bagaikan burung belatuk itu. Agaknya kalau disuruh makan pun mereka akan
mengangguk sebagaimana tadi agaknya. (Haa, itu teori senget yang dicipta oleh
Qisha Mirza. Sempat lagi dia.)
Sesudah mengambil kertas dari dalam balang, mereka mula membuka kertas
masing-masing yang mewakili warna kepada kumpulan yang akan dihuni. Ada
kumpulan merah, hijau, biru, kuning dan hitam. Qisha Mirza mendapat warna biru
dan pantas bertanya kepada Nursuzry warna apakah yang didapati oleh sahabatnya
itu.
“Merah.” Nursuzry memberitahu Qisha Mirza yang sedari tadi mendesaknya.
“Merah?” tanya Qisha Mirza dalam nada tidak percaya.
“Ya. Merah.” Tegas Nursuzry.
“Alah .... tak sama kumpulanlah kita.” Qisha Mirza hampa.
“Terimalah hakikat Qisha.” Balas Nursuzry.
“Haa, apa kata kau tukarkan warna ni dengan mereka yang dapat warna biru.
Kau boleh satu kumpulan dengan aku. Bolehlah.” Pujuk Qisha Mirza dengan idea
spontannya.
“Weh, aku tak mahu tempah nahas. Dahlah, kau pergi masuk kumpulan kau.”
Arah Nursuzry.
“Tak mahu. Kau kena tukar dulu baru aku akan masuk dalam kumpulan aku.”
Qisha Mirza berdegil.
“Tahulah kita ni guru pra tapi kau janganlah berperangai macam budak-budak
pra pula. Hesy ...” Nursuzry tidak setuju dengan cadangan Qisha Mirza.
“Bolehlah Suzry .... takkan sorang pun tak berhati mulia nak tukar kertas
dengan kau. Nanti aku tanya eh?” Qisha Mirza masih mencuba nasib.
“Kau jangan. Karang tak pasal-pasal aku menempah nahas.” Nursuzry tetap
dengan pendiriannya yang tidak mahu tukar kumpulan dengan sesiapa pun walaupun
tukar suka sama suka.
“Tapi ...”
“Hah! Kamu berdua kenapa tak masuk di dalam kumpulan lagi? Dok bincang apa
tu?” jegil pegawai yang berkepala botak.
Alamak! Dia ni lagi. Asal aku berdiskusi saja dia muncul. Macam tak ada
orang lain lagi. Botak ... botak ... kutuk Qisha Mirza di dalam hati.
“Haa ... kamu, buat perangai lagi? Nak suruh teman kamu ni masuk di dalam
kumpulan yang sama dengan kamu agaknya. Tak ubah perangai macam budak pra.”
Pegawai berkepala botak itu terus menembak Qisha Mirza dengan meriam buluh.
Berbulu sahaja telinga Qisha Mirza yang mendengarnya.
Ceh! Asal aku rancang saja dia tahu. Pakai ilmu psikikkah apa? Old stock ni lah ... Qisha Mirza
menayang wajahnya selamba perdananya. “Mana ada tuan, ni saya nak halau dia
masuk dalam kumpulanlah.” Gaya selamba ekstrem Qisha Mirza.
Ceh! Bertuah punya kawan. Tadi bukan main lagi ajak aku masuk kumpulan dia.
Nursuzry sempat menyedekahkan ayat romantik kepada Qisha Mirza yang selamba
menonong menuju ke arah kumpulannya.
Pegawai yang berkepala botak itu hanya menggelengkan kepalanya. Macam-macam
kerenah budak Qisha ni sorang. Bebelnya di dalam hati.
Qisha Mirza masih lagi bersedih hati apabila pembujukannya kepada Nursuzry
sebentar tadi tidak berjaya. Semakin lama, semakin tegas pula si Nursuzry,
tidak sebagaimana mereka di alam persekolahan dan universiti dulu. Agaknya
peranan menjadi ibu kepada anak-anaknya yang seramai empat orang itu membuatkan
hatinya menjadi keras dan tegas. Hmm ... memang munasabah teori ini.
Namun, kesedihan dan kewalangan hati Qisha Mirza tidak lama sebaik sahaja
dia mengangkat kepalanya untuk mendongak ke hadapan. Matanya terpaku pada
sesusuk tubuh. Hatinya mulalah dipanah debaran rasa yang tidak keruan. Tubuhnya
pula terasa seram sejuk yang amat sangat. Matanya galak menjelajah tubuh
perkasa itu. Aduh! Kalau boleh meleleh air liur, memang sudah lama meleleh. Ha,
ha, ha ... apa kena dengan kau ni Qisha, mengarut betul tapi ... yahoo ya beda bedu. Mamat handsome dalam group akulah. Nasib Suzry tak sama kumpulan. Ada juga hikmahnya.
Qisha Mirza bersorak riang di dalam hati. Kalau boleh melompat, mahu sahaja dia
melompat di situ tapi tidak boleh, nanti orang cakap dia tidak ubah seperti
kera kena belacan. Jatuhlah reputasi dirinya yang diperlihara tinggi selama
ini.
Sabar Qisha .. sabar. Qisha Mirza cuba mententeramkan dirinya sendiri. Dia
tidak mahu terlalu over acting nanti
akan perasan pula si jejaka yang telah memaut hatinya. Nafas Qisha Mirza mula
menjadi tidak menentu apabila bertentangan mata dengan jejaka yang berada
betul-betul di hadapannya. Sesungguhnya dia terpesona. Entah kuasa apa yang
jejaka ini pakai sehingga dia tidak boleh mengelak langsung tapi tidak mungkin
dia akan jatuh cinta secepat itu. Tidak mungkin.
“Nama saya Fulshan dan anda semua boleh panggil saya Shan sahaja.” Fulshan
memperkenalkan dirinya di dalam sesi suai kenal itu.
Fulshan? Aduh .... manisnya nama semanis orangnya. Erk, lelaki bolehkah
dikategorikan dalam ‘manis’? Ah, peduli apa aku, suka hati akulah nak letak dia
dalam kategori apa pun. Bukannya orang lain tahu pun. Qisha Mirza mengajak
hatinya berdiskusi sambil memandang Fulshan.
“Saya Qisha Mirza. Panggil Qisha saja.” Qisha Mirza pula memperkenalkan
dirinya dan kali ini Fulshan pula memanahkan bebola matanya tepat merenungi
Qisha Mirza.
Inilah gadis yang selalu buat hal tapi dia ni cute juga. Sweetsaja aku
tengok. Matanya yang bundar mampu menggetarkan naluri lelaki aku. Pipinya bak
pauh dilayang, kalau aku tak tahan iman, memang dah lama aku cium. Bibirnya
pula tebal dan sedikit melekuk, jarang mana-mana gadis memiliki bibir sebegini.
Kalau ada pun, satu dalam seribu. Seksi sungguh cukup mempersonakan. Hidungnya
yang mancung membuat aku geram saja nak picit. Huh! Sabar Fulshan, sabar. Kau
dah jauh tergoda ni. Fulshan beristighfar di dalam hati. Sememangnya dia sudah
tersasar jauh dalam menilai Qisha Mirza.
Hmm ... aku rasa aku ingin mengenali gadis ini dengan lebih dekat lagi. Ada
sesuatu yang istimewa pada dirinya sehingga aku tidak mampu untuk menyekat
perasaan yang semakin menggebu sejak pertama kali bertentangan mata dengannya.
Aku harap, dia sudi menerima huluran perkenalan dari aku. Fulshan membungakan
lagi senyumannya buat Qisha Mirza.
Bagai hendak pitam dibuatnya Qisha Mirza dengan senyuman dan lirikan
menggoda Fulshan. Aduh! Dia ni memang sengaja nak aku jatuh dalam pangkuannya.
Sesungguhnya, Qisha Mirza juga tidak dapat mengelak dari merasakan perasaan
yang sama sebagaimana Fulshan.