Bosannya pegawai pendidikan ni membebel. Tak ada ke pegawai yang agak-agak
muda sikit. Barulah bersemangat. Ni, old
stock, mana tak mengantuknya aku. Qisha Mirza menguap seketika setelah
berkata di dalam hati. Matanya betul-betul sudah tidak tahan hendak terkatup.
Bagai hendak diletakkan sahaja biji matanya di atas meja. Itupun kalau boleh
diletak.
Kenapa panjang sangat mukadimahnya? Kalau terus ke agenda tak bolehkah?
Macam atuk-atuk bila dah mula membebel. Qisha Mirza berusaha dengan lebih keras
untuk menyengkangkan matanya dari terus tertutup rapat. Tiba-tiba dia
membayangkan pegawai yang berada di hadapannya bertanduk dua, muka berwarna
merah, gigi bertaring, perut buncit ke hadapan, tidak berbaju hanya bercawat
dan tangan bagaikan sang kelembai sambil memberi taklimat. Qisha Mirza terlepas
gelak yang agak-agak kuat dengan imaginasi terlampaunya.
Semua yang berada di dalam dewan itu diam membisu termasuk pegawai yang
sedang memberi taklimat. Berpasang-pasang mata sedang menghala pandangan ke
arahnya. Dari tergelak kuat, terus Qisha Mirza menikus. Gerun pula dirasakannya
apabila mata-mata itu memandangnya terutama sekali daripada pegawai yang
tadinya rancak menerang itu dan ini.
Alamak! Kantoi aku. Macam mana boleh terlepas gelak ni? Qisha Mirza menelan
air liurnya.
Mati aku! Itulah kau Qisha, bayang lagi yang bukan-bukan. Sekarang siapa
susah? Aku juga ... Qisha Mirza menayang wajah darurat minta simpati daripada
mereka.
“Hah, awak ... siapa nama? Sila bangun.” Arah pegawai yang masih berdiri di
hadapan mereka.
Air liur yang banyak pun mampu menjadi kering apabila disergah begitu di
hadapan orang ramai. Dalam takut-takut, Qisha Mirza bangun juga dari terus
melekat di kerusi. Riak mukanya benar-benar cemberut.
Aduyai! Memang menempah nahas dengan sengajalah kau, Qisha. Sempat lagi dia
berdiskusi di dalam hati.
“Nama saya Qisha.” Janganlah pegawai ni memalukan aku. Aku tak malukan dia
pun. Aku malukan dia dalam imaginasi aku saja, tak salahkan kau orang? Qisha
Mirza bermohon di dalam hati. Dia tidak sanggup menjadi tontonan ramai di kala
itu. Macam terlebih glamour pula
dirasakannya.
“Kenapa awak ketawa tadi? Apa yang lucu sangat?” Pegawai itu masih menghala
bebola matanya ke arah Qisha Mirza dan kali ini lebih serius.
“Arrr .... errr .... sa .. saya ...” Aduh! Kenapa susah sangat aku nak
jawab ni. Dah nak terkencing aku ni walhal taklah sejuk sangat pun. Qisha Mirza
tergagap-gagap hendak bersuara. Mata-mata yang memandangnya kini sudah mula
mengukir senyuman nakal.
“Saya apa? Mesti awak bayangkan yang bukan-bukan tentang saya kan? Nama
saja pendidik tapi tak ada tokoh langsung.” Marah pegawai itu.
Ek’eleh ... mengada betul pegawai kepala botak ni. Mentang-mentanglah
pangkat dia lebih tinggi daripada aku. Entah-entah dia dulu lagi teruk dari
aku. Siapa tahu, kan ... “Mana ada tuan. Saya bukan macam tu. Tak baik tau tuan
tuduh saya tanpa usul periksa. Saya guru cemerlang di sekolah selama tiga
tahun, takkanlah saya nak berperangai macam tu.” Qisha Mirza membela dirinya
sendiri.
“Saya tak tanya pun. Sudah ... sudah ... duduk dan jangan ulangi perbuatan
tadi. Ketawa semasa orang sedang memberi taklimat sungguh kurang sopan.” Pegawai
itu malas lagi hendak memanjangkan pertelingkahan yang tidak berapa besar
sangat itu.
Qisha Mirza membuat muka sebelum duduk. Ketika hendak duduk, sempat lagi
dia menebarkan pandangannya ke seluruh dewan dan ternyata mata-mata mereka
masih lagi memandang ke arahnya dengan senyuman sinis. Tiba-tiba pandangan
Qisha Mirza terhala ke arah seorang guru lelaki yang berbadan tegap, berkulit
putih kuning langsat, berkumis nipis dan di pandangan matanya cukup kacak.
Cikgu lelaki itu juga sedang tersenyum memandangnya. Qisha Mirza membalas
senyuman itu walaupun hatinya masih sebal.
Selama ni aku berkursus, kenapa tak nampak pun cikgu lelaki tu? Walhal, cikgu
pra bukannya banyak sangat pun. Ke aku saja yang buat-buat tak nampak? Boleh
tahan kacaknya. Body tu ... buat aku
tak tahan. Sila-silap haribulan boleh meleleh aku. Ha ha ha .... Qisha Mirza
berbalas kata di dalam hatinya. Wajahnya berseri-seri tatkala terbayangkan guru
muda yang agak kacak itu.
Ish ... mengucap Qisha ... mengucap. Apalah yang mengarut ni. Entah-entah
orang punya. Baru meleleh sakan kau. Bukan meleleh air liur tapi air mata.
Adeh! Qisha Mirza beristighfar panjang di dalam hati. Sudah tersasar jauh dia
ini, gara-gara taklimat yang cukup membosankan.
Sebaik sahaja diumumkan waktu rehat bermula, Qisha Mirza terus meluru
keluar. Perutnya sudah bergendang lagu rock n roll dan harus diisi. Macam orang
kebuluran sahaja lagaknya disaat ini. Walhal, tiap-tiap hari perutnya diisi.
Entah apa punya spesis manusia pun tidak tahulah. Part makan jangan dibuat main. Boleh mati katak kalau tak diisi
dengan cepat (katak juga yang jadi mangsa. Kalau katak tahu, mahu dia
mengadakan persidangan antarabangsa untuk katak-katak sedunia. Kah kah kah).
Boleh menggeletar satu badan. Teruk betul manusia bernama Qisha Mirza ini.
Mungkin lebih teruk daripada manusia-manusia lain.
“Amboi! Kalau dah makan tak toleh kiri kanan dah. Macam kebulur aku tengok
kau ni. Cuba makan perlahan-lahan sikit.” Nursuzry menegur Qisha Mirza yang
sememangnya kuat melantak. Apa sahaja di hadapan mata semuanya dicapai. Tapi
badannya tetap maintain tidak
naik-naik juga. Pelik betul dan itu yang membuatkan Nursuzry sedikit musykil.
“Rezeki depan mata, tak baik dibiarkan. Lebih mulia kalau semuanya
digolekkan ke dalam perut.” Balas Qisha Mirza sambil tersengih.
“Ceh! Cakap sajalah yang kau tu kuat melantak.” Nursuzry tidak puas hati.
“Suka hati akulah. Ingatkan kau tak datang kursus ni.” Qisha Mirza mula
membuka mukadimahnya.
“Gila tak datang. Karang kena bebel macam-macam dengan pihak pengurusan.”
Nursuzry juga enak menikmati hidangan yang disediakan.
“Hehehe ... tulikanlah telinga kau tu, habis cerita.” Qisha Mirza selamba.
“Kau cakap senanglah. Yang tanggung aku, bukan kau.” Begitu juga dengan
Nursuzry. Sengih lagi Qisha Mirza.
“Tak sangka semua daerah datang kursus kali ni ya.” Qisha Mirza menukar
bentuk perbualan.
“Kau ingat cikgu-cikgu pra ni banyak sangatkah sampai nak pilih-pilih
daerah? Sekali kursus semuanya diangkut sekali arung, senang kerja.” Nursuzry
masih menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Lagi sengihan daripada Qisha Mirza.
Apabila perut Qisha Mirza sudah betul-betul kenyang dan tiada lagi
mendengar sebarang irama muzik yang berkumandang, lehernya pula semakin
dipanjangkan ke serata dewan makan itu. Dia ingin mencari kelibat seseorang
kerana selama ini bagaimana dia boleh terlepas pandang pada raut wajah itu.
Semakin dicari semakin susah pula untuk ditemui. Qisha Mirza sedikit hampa.
Namun, dia tidak berputus asa dan pencarian itu bermula semula. Pantang sungguh
dia jika perkataan ‘putus asa’ bertandang di dalam dirinya. Dia tidak akan
membenarkan.
Nursuzry pelik melihat tingkah Qisha Mirza yang sedikit di luar alam itu
dari kebiasaannya. Apa yang dicari? Nampak bersungguh benar. Ermm .... mesti
cari stok baru ni. Aku rasa aku tak salah mentafsir sahabat aku seorang ini.
Lagu hati Nursuzry berkumandang di dalam hati.
“Kau cari stok barukah dari tadi aku tengok panjang saja leher kau ke sana
ke mari?” Panah Nursuzry yang sememangnya tepat mengena batang hidung Qisha
Mirza.
Aik? Macam mana dia tahu ni? Ah, Suzry memang cepat belajar. Teori-teorinya
dalam ilmu psikik ni tak pernahnya silap. Qisha Mirza mengembang senyuman walaupun
tanpa bicara.
“Betulkan, kau cari stok baru? Apa jadi dengan stok-stok lama kau? Dah
buang kesemuanya?” Nursuzry masih tidak puas hati selagi soalannya tidak
berjawab. Faham benar Qisha Mirza dengan sikap sahabatnya seorang ini.
“Stok-stok lama mana ada dalam simpanan lagi. Semuanya aku dah tendang
terus masuk ke dalam bakul sampah. Menjengkelkan saja. Tak nak aku.” Qisha
Mirza menayang wajah yang cukup erotik pada waktu itu.
Tergelak Nursuzry dengan perangai pelik sahabatnya ini. Jika berkawan dengan
lelaki tidak pernahnya bertahan lama. Kalau lama pun adalah dalam dua bulan
lebih. Kemudian, semuanya dihumban ke dalam bakul sampah. Apa dia ingat mereka
semua itu anak kucing yang boleh dibuang sesuka hati? Tapi itulah Qisha Mirza,
asalkan dia rasa tidak serasi, mulalah dia menunjukkan sikapnya yang
cukup-cukup menjengkelkan. Lelaki yang tidak boleh tahan dengan sikap Qisha
Mirza akan terus mengangkat kaki. Yang buat-buat tahan pula tidak akan lama.
Itulah kehebatan gadis yang bernama Qisha Mirza. Entah bilalah dia akan menemui
peminjam kepada tulung rusuk yang sedang diguna pakainya ketika ini. Nursuzry
hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja.
“Mereka tu kenapa?” Soal Nursuzry lagi.
“Mereka semua tu suka mengambil kesempatan. Ada yang berlagak alim taik
kucing. Ada yang kaki pengikis dan macam-macam kaki lagilah sampai naik muak
aku. Dari aku terperangkap dengan lelaki jenis tu, lebih baik aku cabut
awal-awal. Hati pun tenang setenang air di lautan.” Nah! Kalau Qisha Mirza
sudah marah, maka ayat-ayat yang diaturkannya akan mulalah panjang lebar
bagaikan tidak cukup kertas.
“Dah! Jangan nak mula mukadimah sastera kau tu. Jom solat. Sekejap lagi ada
taklimat yang terakhir akan diberi.” Nursuzry yang sudah selesai mengisi perut
terus mengajak Qisha Mirza ke bilik mereka untuk mengejarkan solat (kebetulan
mereka ditempatkan di dalam satu bilik. Bersorak rianglah Qisha Mirza apabila
mengetahui rakan sebiliknya itu. Alhamdulillah).
Mereka beriringan naik ke bilik hotel Bayu Beach Resort yang terdapat di
Port Dickson.