“Hai umi, sunyi saja rumah ni, Qisha mana? Kalau tak, dialah paling kecoh
sekali.” Fariq Hazen bertanya kepada Puan Nazrah sebaik sahaja dia sampai ke
rumah mewah dua tingkat itu pada malam Jumaat itu.
“Apa lagi yang adik kau buat tu along selain menghadap laptopnya saja. Dengan umi ni pun dah jarang dia berbual. Sejak
balik dari kursus tempoh hari, itulah sajalah kerjanya setiap malam. Entah
apalah yang menarik sangat berteleku di depan skrin bisu tu.” Puan Nazrah
mengadu pada Fariq Hazen tentang perubahan sikap Qisha Mirza lewat kebelakangan
ini
“Lah, kenapa boleh berubah begitu sekali umi? Entah-entah dia tengah
dilamun cinta kut? Itulah sebabnya menghadap
laptop 24 jam.” Fariq Hazen membuat kesimpulan sendiri terhadap sikap Qisha
Mirza.
“Entahlah along. Dia tak pernah cerita pun dengan umi. Susah benar hendak
berkongsi rahsia hatinya. Kalau dia bercerita pun tentang sekolah dia dan anak
murid dia saja.” Puan Nazrah seakan-akan berjauh hati.
“Tak apa umi, biar along korek rahsia hatinya. Along tahu macam mana nak
mendesak dia.” Fariq Hazen tersengih nakal.
“Itupun kalau hati dia terbuka nak bercerita dengan kaulah.” Nada Puan
Nazrah seakan-akan orang berputus asa.
“Along cubalah umi. “ Fariq Hazen memberi janji.
“Umi jangan risaulah. Isfa yakin abang mampu mengail isi hati Qisha. Diakan
selalu kalah dengan alongnya.” Isfaten memberi semangat pada Puan Nazrah agar
mempercayai kata janji suaminya itu.
“Mudah-mudahanlah Isfa. Umi bukan apa, takut dia tersalah pilih kawan. Dia
tu perempuan kalau lelaki tak apalah. Risau hati umi ni selagi dia belum
berkahwin. Isfa akan rasa perasaan umi bila Isfa mempunyai anak perempuan yang
sudah dewasa kelak.” Puan Nazrah masih tidak mahu keluar dari kepompong
kerisauannya.
“Umi, Isfa yakin Qisha pandai menjaga dirinya sendiri kerana Isfa tahu hati
Qisha bukanlah selembut sutera yang mampu menyerahkan cintanya pada mereka yang
tidak terpilih.” Isfaten memeluk Puan Nazrah agar kerunsingan ibu mertuanya itu
akan hilang buat seketika.
“Terima kasih Isfa kerana menenangkan umi.” Puan Nazrah membalas pelukkan
menantunya itu.
“Qisha masih ada di atas lagi ya umi?” Fariq Hazen inginkan kepastian
sebelum dia melaksanakan rancangannya nakalnya bersama anak lelaki sulung
mereka Aufa yang berusia tujuh tahun.
“Kat mana lagi dia ada, kat bilik dialah tu. Eh Aufa, ni topeng apa pula?” Puan
Nazrah membelek-belek topeng yang terlekat di muka cucunya itu.
“Topeng hantu untuk mengusik orang.” Jelas Aufa sambil ketawa.
“Tapi jangan takutkan nenek ya? Nenek nanti pengsan kelak kalau Aufa usik
nenek.” Puan Nazrah mencium dahi Aufa.
“Aufa janji takkan takutkan nenek tapi Aufa tak janji takkan takutkan mak
ucu. He he he.” Aufa sudah bersedia hendak menakut-nakutkan Qisha Mirza.
“He he he ... macam tulah anak papa. Tahu-tahu saja apa yang terancang di
minda papa.” Fariq Hazen sudah mula menyusun rancangan jahatnya. Sememang
begitulah dia jika sudah sampai di rumah Puan Nazrah. Pasti Qisha Mirza akan
menjadi mangsa usikkannya.
Puan Nazrah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Along nilah, mengamuk budak tu
karang. Nanti mesti dengar gunung berapi meletus.” Puan Nazrah sudah tersenyum
kecil.
“Dah lama tak dengar suara rimba dia tu umi. Rindulah. Aufa ...” Fariq
Hazen membisikkan sesuatu ke telinga Aufa dan sudah pastilah rancangan mereka
sudah tersusun.
“Apa saja rancangan abang dengan Aufa, Isfa tak masuk campur ya?
Pandai-pandailah handle adik abang sendiri.”
Isfaten tidak mahu mengambil bahagian di dalam rancangan anak dan bapa ini
kerana dia tidak mahu terkena tempias semburan lidah tidak bertulang Qisha
Mirza. Faham benar dengan perangai adik iparnya itu, kalau sudah meletus habis
semua orang kena.
“Umi pun.” Puan Nazrah juga sedondon dengan Isfaten yang ingin berada di
zon selamat. Memang tidak sanggup menahan telinga yang akan memuntahkan darah
beku, darah cair dan macam-macam darah lagi.
“Jangan risaulah. Dia bising bukannya lama. Jom Aufa. Tapi ingat,
senyap-senyap naik tau.” Pesan Fariq Hazen kepada anaknya itu.
“Set.” Aufa hanya mengangguk kepalanya sambil bertepuk tangan dengan
papanya.
Aufa mula melangkah naik dengan derapan kaki yang cukup perlahan sekali.
Terjengket-jengket dia memandang ke dalam bilik Qisha Mirza dan setelah sudah
dipastikan mak ucunya itu sedang ralit di hadapan skrin laptop, dia mula melangkah masuk dengan amat perlahan sekali dan
hampir tidak kedengaran tapak kakinya. Bijak sungguh Aufa dalam melaksanakan
rancangan untuk mengusik ibu saudaranya itu. Setelah itu, dia mula mengambil
bulu ayam dan mengusik dengan membuat geli-geli di telinga ibu saudaranya itu.
Qisha Mirza menampar-nampar bahagian telinganya yang dirasakan geli. Dia
ingatkan ada binatang kecil yang hinggap tetapi ternyata sangkaannya meleset
apabila tidak ada apa pun di situ.
“Hesy, apa benda ni? Nak main-main pula. Orang nak chat pun tak senanglah.” Qisha Mirza malas hendak ambil kisah lalu
dia menyambung semula perbualannya dengan Fulshan. Pada hari itu, giliran dia
pula menceritakan kisah cintanya pada Fulshan. Itu yang membuatkan dia ralit
tetapi dia tidaklah menceritakan kesemuanya sekali, yang patut-patut Fulshan
tahu sahaja.
Aufa menahan ketawa dan sekali lagi dia membuat geli-geli di telinga yang
lain pula. Kemudian melarat ke tengkuk. Qisha Mirza tidak tahan dengan gangguan
itu lalu menoleh ke belakang tetapi badan kecil Aufa yang bersembunyi di
belakang kerusi Qisha Mirza berjaya menghalang pandangan mata ibu saudaranya
itu. Aufa terselamat dari dilihat.
“Hesy, apa benda yang kacau aku ni? Kalau tak kacau tak bolehkah? Suka-suka
hati saja nak main-main dengan aku ya?” Qisha Mirza mula melenting apabila
dirasakannya ada yang dengki tidak senang melihat dia berbual dengan Fulshan.
Sesudah tidak nampak sesiapa pun di dalam biliknya, Qisha Mirza kembali
menyambung perbualannya.
Kali ini Aufa mengambil tindakan dengan lebik ekstrem. Dia telah mengenakan
topeng muka hantunya semula dan mula melancarkan serangan yang akan membuatkan
Qisha Mirza terbaring. Aufa membuat geli-geli di bahagian tengkuk Qisha Mirza
di sebelah kanan dan dia telah berdiri di sebelah kiri. Sebaik sahaja ibu
saudaranya itu berpaling sebelah kanan dan berasa geram acapkali diusik begitu,
Aufa terus menyergah apabila kepala Qisha Mirza mula hendak berpaling ke
sebelah kiri pula untuk mencari benda yang mengusiknya.
“Arghh!!!” Menjerit nyaring Qisha Mirza di saat terpandang akan wajah buruk
yang berada betul-betul di sebelah kirinya. Terjatuh Qisha Mirza dari kerusi
dan terus terbaring ala-ala stuntdi
atas lantai. Melihat pada saat itu, Fariq Hazen terus melancutkan ketawanya
terbahak-bahak tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Memang kelakar sungguh reaksi
Qisha Mirza pada waktu itu. Aksi stunt
yang jarang ditonjolkan. Bukan sahaja Fariq Hazen tetapi Aufa cuba sedondon
dengan papanya dalam melepaskan ketawa yang agak nyaring. Geram sungguh hati
Qisha Mirza memandang akan dua beranak itu.
“Bertuah punya budak. Dah tak ada benda lain nak buat selain usik mak ucu?”
Qisha Mirza mencekak pinggangnya dan terus membuli Aufa di atas katil.
Terkekeh-kekeh Aufa menerima habuan karate daripada ibu saudaranya itu.
“Cukuplah mak ucu. Aufa nak terkencing ni. Kalau Aufa terlepas kencing atas
katil mak ucu, jangan marah Aufa ya.” Aufa benar-benar tidak tahan hendak
terkencing setelah dibelasah leh Qisha Mirza yang menggeletek perut dan
pinggang anak saudaranya itu.
“Pengotorlah. Pergi kencing cepat. Kalau bocor atas katil mak ucu, Aufa
kena lap sampai kering. Mak ucu tak kira.” Ugut Qisha Mirza membuatkan Aufa
berlari pantas ke tandas yang terdekat.
“Ini mesti kepala rongga yang ajar Aufa usik orang macam tu.” Qisha Mirza
menyekeh kepala abang sulungnya.
“Aduh! Aduh! Ganaslah adik along ni. Sakit tahu.” Fariq Hazen mengesat air
matanya.
“Siapa suruh usik Qisha macam tu?” Qisha Mirza masih marah.
“Siapa suruh tak sedar along datang? Nasiblah. Bukan salah along pun.”
Fariq Hazen membela dirinya.
“Ya sangatlah tu.”
“Qisha chatdengan siapa tu?
Along tumpang tengok ya?” Fariq Hazen hendak melangkah masuk ke dalam biliknya
tetapi pantas dihalang oleh Qisha Mirza. Tidak mungkin dia akan mendedahkan
siapa Fulshan pada waktu yang terdekat ini. No
way. Suka-suka hati sahaja hendak mencerobohi privasi orang.
“Mengada. Keluar. Nanti Qisha jumpa along di bawah. Urusan kita masih belum
selesai.” Qisha Mirza menolak Fariq Hazen keluar dengan sepenuh kudratnya,
kemudian dia mengunci pintu biliknya. Qisha Mirza terpaksa meminta diri keluar
lebih awal daripada Fulshan kerana ada gangguan yang tidak dapat dielakkan.
Fulshan faham dan terus mengizinkan.
Sesudah itu, suara rimba Qisha Mirza terus kedengaran di ruang tamu
memarahi Fariq Hazen dan Aufa yang sudah menganggu ketenangannya pada malam
itu. Fariq Hazen hanya menulikan telinganya. Manakala Aufa pura-pura tidur di
atas pangkuan neneknya. Penat sahaja Qisha Mirza memarahi mereka anak beranak.
“Bertuah punya anak dengan bapak, dah ganggu privasi orang, sekarang boleh
buat bodoh pulak ya? Hee, geram betullah aku!” Lentingan demi lentingan tetapi
bagaikan tidak berkesan buat mereka berdua. Akhirnya Qisha Mirza menarik muka
masam apabila Fariq Hazen mendukung Aufa dan memeluk pinggang Isfaten naik ke
atas.
Puan Nazrah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya dengan senyuman yang
sedikit terisi di atas bibirnya. Manakala Isfaten menyembunyikan senyumnya.
Takut terkena hamburan Qisha Mirza. Karang telinganya yang sihat walafiat
menjadi sakit pula.