Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
78,424
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 10

TEPAT jam tiga petang, aku sudahpun berada di Delifrance Café yang terletak di tingkat satu, kompleks membeli belah KL Festival City. Janji untuk bertemu dengan Azeem pada jam tiga. Sekejap lagi mesti dia sampai.

Kalau nak ikutkan, bukan jauh manapun pejabatnya. Tak salah aku, berdepan dengan kompleks ni saja, lebih spesifik lagi, satu deret dengan pejabat KWSP.

Sambil memerhatikan panaroma sekeliling yang kelihatan lengang, aku membelek dokumen yang perlu diberikan kepada Azeem nanti.

Kata mama, kalau boleh minta mereka bagi cadangan konsep dan sebut harga dalam masa dua minggu. Jika semuanya berjalan lancar, mama nak mulakan projek pembinaan serta-merta.

“Assalamu’alaikum. Puan Safiya?”

Aku mendongak dan figura seorang lelaki yang berkemeja panjang warna ungu gelap, lengannya pula dilipat ke siku dan berseluar slack hitam menangkap penglihatan. Spontan, segala deria yang aku miliki seperti terkena renjatan elektrik!

Ya ALLAH! Benarkah apa yang aku lihat? Sambil menelan air liur yang memang dah tak rasa apa-apa pun, aku mempersilakan Azeem duduk.

“Encik Azeem?” Aku bertanya untuk kepastian.

Lelaki itu tersenyum lalu mengangguk.

Lidah aku terkelu. Aku lihat Azeem masih tersenyum sambil membuka fail di tangannya. Hui nak cakap apa ni? Kenapa aku macam tak boleh bergerak langsung ni?!

“Kita…” Sepatah katanya membuatkan aku semakin berdebar.

“Kita pernah berjumpa ke?” Akhirnya, dia menyoal!

“Mungkin…” Aku berkata perlahan.

Kemudian Azeem memetik jarinya, spontan lalu berkata, “Puan Safiya, awak pernah alami peristiwa tersalah naik kereta?”

Aku membulatkan mata. Itu yang dia ingat? Aku ingat dia nak cakap benda lain! Atau sebenarnya aku yang buta sekarang ni? Apakah lelaki yang sedang dalam bayangan aku kini sama dengan lelaki yang sekarang duduk berhadapan dengan aku?

“Oh, emm itu… Saya minta maaf. Saya tengah marahkan abang saya sampai saya lupa tengok kereta betul-betul.” Aku menuturkan kata maaf dengan perlahan lalu membuatkan Azeem tergelak kecil.

Dalam diam, ada perasaan terasa timbul dalam hati ini. Aku cuba memandangnya dalam-dalam. Sah! Sah! Ya, dialah orangnya! Hati aku makin berderau apabila ternampak tahi lalat yang berada di dagu lelaki tersebut.

Wajah yang sama! Senyuman itu! Senyuman yang pernah mencuit perasaan aku seketika dahulu. Oh TUHAN! Aku yakin ini adalah dirinya tapi kenapa dia macam langsung tak kenal aku?

“Puan Safiya? Boleh kita mula sekarang?” Azeem menyoal.

“Oh? Oh okey…” Aku menarik nafas panjang sambil berdoa agar perkara ini tidak akan menjejaskan perbincangan antara kami biarpun hatiku sudah mula dilanda ribut taufan.

“Saya rasa awak dah faham macam mana konsep spa yang kami miliki. Cuma untuk cawangan kali ini, kami bercadang nak tukar konsep sedikit.” Aku berkata sambil berpura-pura membelek fail.

Tidak terkata rasanya mahu menentang matanya. Azeem! Benarlah nama itu yang aku selalu teringat dahulu tetapi aku tak sangka, dalam ribuan nama Azeem yang ada, kau yang muncul akhirnya.

Azeem mengangguk. “Puan ada contoh konsep yang ingin diketengahkan?”

Aku menghulurkan beberapa contoh gambar spa yang bercirikan tropika. Kalau boleh, aku ingin menerapkan konsep alam semulajadi di dalam spa ini. Biar nampak berlainan dengan konsep moden yang ada di cawangan Mid Valley.

“Penggunaan bahan mungkin boleh terdiri daripada kemasan tiles ataupun laminate tapi bercorakkan urat-urat kayu. Awak rasa boleh ke kalau letak hiasan yang menggunakan elemen air?”

Mata kami bertentang secara tidak sengaja. Aku pula cepat-cepat melarikan anak mata sebelum hati aku hilang dari tempatnya.

“Insya-ALLAH. Kami boleh cadangkan elemen air yang mengalir di atas kemasan kaca. Macam air terjun tapi ianya akan menimbulkan efek yang sedikit berlainan di mana, kalau dari luar, orang akan nampak seperti kemasan kaca yang bercorak tapi sebenarnya air yang mengalir.”

Bila seorang akauntan yang tiada citarasa sangat dalam dunia rekaan mendengar, memanglah tak terbayang apapun di minda! Aku cuba membayangkan apa yang Azeem cuba cerita tetapi tiada gambaran jelas yang boleh aku simpulkan akhirnya.

“Tak apa puan. Nanti kami akan keluarkan konsep dan imej sekali. Puan boleh tengok bila dah siap.” Azeem tersenyum.

Spontan, aku membalasnya tapi rasa macam senget sikitlah senyuman tu. Maklumlah, gementarnya masih ada. Aku memberikannya beberapa dokumen berkenaan syarat dan peraturan pengurusan bangunan ini untuk mereka teliti.

Azeem nampaknya seakan-akan memahami konsep yang aku inginkan dan cepat betul mesyuarat kami berakhir. Atau dia nak pergi tempat lain kejap lagi?

“Terima kasih puan sebab masih percayakan syarikat kami untuk mengendalikan projek ini. Nanti saya bagi konsep dan sebut harga minggu hadapan. Kita boleh berbincang lagi tentang soal harga,” ujar lelaki itu panjang lebar.

“Terima kasih juga kepada awak kerana meluangkan masa sekejap untuk berjumpa saya.” Aku menjawab.

Lama-kelamaan, aku rasa kecewa. Kecewa kerana Azeem seakan sudah tidak mengenali siapa aku. Namun, mungkin jugalah dia tak kenal sebab dulu aku masih belum bertudung. Hmm, mungkin.

“Eh, saya lupa! Awak tak pesan air, kan?” Aku berura-ura mahu bangun untuk memesan di kaunter tetapi Azeem melarang.

“Oh tak apa. Saya, saya puasa hari ni.”

Timbul pula rasa serba salah sebab sedap saja aku minum fresh orange yang sejuk di depannya tadi! Alahai, manalah aku tahu, kan?

“Maafkan saya, kalau saya tahu, boleh saja kita jumpa di pejabat awak tadi.”

Azeem menggeleng perlahan sebelum membalasnya, “tak apa puan, tak jadi masalah pada saya.”

Dengan perlahan, aku menyedut baki minuman. Gelas tersebut aku halakan sedikit ke tepi. Manalah tahu, kalau timbul rasa dahaga pada dia, aku juga yang akan dipersalahkan.

“Emm, boleh saya tanya sikit tak?”

Gulp! Azeem nak bertanya? Macam mana kalau dia teringat? Apa aku nak jawab? Macam mana pula kalau tiba-tiba dia buka cerita dulu? Apa aku nak jelaskan?

“Tanyalah…” Aku menjawab ringkas.

“Apa hubungan puan dengan Puan Salwa?”

Cis! Buat saspens aku saja! Ingatkan nak tanya pasal kita! Azeem, awak lupa ke? Atau awak pura-pura lupa? Atau saya sebenarnya yang dah gila sekarang ni teringat kenangan yang hanya sudah tinggal sisa?

“Puan Salwa tu, mama saya.”

“Oh. Jadi nama spa ni, diambil sempena nama awak?”

Aku mengangguk perlahan. Masih teringat di fikiran, betapa abang aku merajuk berhari-hari kerana mama tak letak namanya. Mengada-ngada betul!

“Puan Salwa ada di mana sekarang?” Azeem bertanya lagi.

“Dia jaga cawangan di Kuantan. Saya yang akan jaga spa cawangan sini.” Aku berkata. Tak tanya pun tak apa, biar aku saja yang cerita.

Azeem mengangguk. “Jadi, puan duduk di Kuala Lumpur?”

“Ya. Emm, panggil saya Hani saja boleh tak? Saya tak biasa orang cakap puan-puan ni.”

Honey?” Azeem memandang aku dengan penuh pertanyaan.

Ya ALLAH! Tak kanlah aku nak suruh kau panggil sayang, kot? Aku tergelak kecil, cuba meredakan perasaan yang bergelora ini.

“H-A-N-I. Hani.” Terpaksalah pula aku mengejanya!

Sebenarnya memang aku rimas bila terpaksa cakap formal macam ni. Rasa semua tindak-tanduk dan perbualan aku tersekat. Sudahnya, aku sendiri yang minta pada Azeem agar hanya memanggil nama panggilan saja.

“Puan Hani?”

“Cik Hani.” Degil tau dia ni. Aku suruh panggil Hani saja. Hmm, mungkin dia tak nak sebab aku ni dianggap kliennya. Tak apalah, janji jangan puan. Cik, tak apa!

“Oh, cik rupanya. Tapi, mana datang nama Hani? Bukan nama cik, Safiya?” Azeem menyoal kembali.

Aku syak, dia mesti teringatkan sebuah kisah klasik yang pernah berlaku antara kami dahulu. Rasa pelik kalau aku seorang saja yang ingat. Ataupun dia sebenarnya dah hilang ingatan?

“Nama saya… Safiya Thihani.”

Azeem tiba-tiba terdiam dan merenung aku buat beberapa saat. Aku pula kembali merenungnya sehinggalah dia akhirnya tersenyum kecil lalu berdiri.

“Saya rasa, saya mohon diri untuk pulang dulu Cik Safiya. Insya-ALLAH kita jumpa lagi. Nanti bila dah siap konsep dan imej tu, saya telefon. Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumsalam…”

Azeem berlalu pergi lalu meninggalkan aku seorang diri di situ. Kenapa wajahnya berubah tatkala aku menuturkan nama aku? Kalau betul itu dirinya, kenapa dia tak mengaku?

Aku hanya perlukan penjelasan, itu saja! Penjelasan untuk sebuah kenangan yang singkat tetapi penuh makna. Lebih tepat, penjelasan untuk perkara yang telah berlaku sepuluh tahun yang lepas!

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.