Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
75,837
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 16

Rabu, 12 Mac 2003 : 4 Petang

Kala cinta itu datang mengetuk pintu hati...

TANPA berfikir panjang, Hani bangun lalu melangkah ke arah Azeem yang duduk di tepi tingkap. Dia berdoa agar lelaki tersebut tidak tidur dan niatnya jika boleh, mahu meminjam telefon lelaki tersebut.

“Awak...”

Terkesima Azeem dibuatnya apabila Hani tiba-tiba muncul lalu duduk di sebelahnya.

“Kenapa? Awak ada masalah?” Azeem bertanya.

“Awak ada telefon tak? Saya nak pinjam. Tadi saya telefon mama saya tapi telefon saya mati pula sebab bateri dah habis,” ujar Hani.

Azeem mengeluarkan telefon Nokia 3310 miliknya tanpa banyak soal dan menghulurkannya ke arah Hani.

“Saya pinjam satu SMS ya?” Hani menyoal.

Kelembutan tutur kata Hani menyebabkan hati Azeem merasakan debaran yang asing. Lelaki itu hanya mengangguk perlahan.

“Ataupun awak telefon mama awak pun tak apa.” Azeem memberikan cadangan.

“Tak apa. Saya minta mama telefon nombor awak ni.” Hani berkata sambil jemarinya terus menaip.

“Hmm, boleh saya duduk sini?”

“Ha?” Azeem membulatkan matanya.

“Eh, tak, maksud saya... saya nak duduk sini sekejap boleh? Sementara mama nak telefon nombor awak. Takkan saya nak bawa ke belakang. Nanti awak ingat saya nak curi telefon awak.”

Gadis itu tersenyum lalu membuatkan Azeem ketawa kecil dengan jenaka yang tidak disangka-sangka itu. Hani kemudiannya bangun untuk mengambil beg sandang yang ditinggalkan di kerusi belakang tadi lalu membawanya ke sebelah Azeem.

“Mana pula mama saya ni... mesti dia marah saya...” Hani mengeluh kecil.

“Kenapa dia nak marah awak?” Azeem menyilangkan tangannya sambil menyoal.

Hani menoleh ke arah Azeem di sebelah sebelum memberikan senyuman.

“Dia tak suka saya balik seorang diri terutama kalau jauh macam ni. Biasanya mama dan ayah yang akan datang ambil saya.” Hani memberitahu.

“Kalau dengan kawan-kawan?”

“Dia tak suka juga tapi saya kena yakinkan dia yang saya boleh jaga diri saya baik-baik.”

Azeem mendengar ceritanya sebelum bertanya, “awak ni mesti anak bongsu, kan?”

“Macam mana awak dapat teka?” tanya Hani dengan jujur.

“Kalau manja, biasanya anak bongsu.” Azeem berkata ringkas.

Semakin terbuka pula hatinya untuk berbual dengan Hani kerana gadis itu kelihatan tegas tetapi tutur katanya penuh kelembutan dan wajahnya juga tenang.

“Ish, awak ni. Taklah. Saya tak manja.”

Azeem ketawa. Sifat manja yang dimiliki Hani jelas terserlah dengan caranya yang tersendiri. Tidak segedik teman sekelasnya yang sentiasa cuba mencari jalan untuk mendekatinya.

“Ah, mama telefon.” Hani berkata apabila telefon milik Azeem yang berada di tangannya itu berdering.

“Ya mama. Ini kawan Hani punya telefon.”

“Hmm... Lelaki.” Azeem memandang Hani apabila dia mendengar perkataan tersebut. Barulah dia perasan gadis itu bernama Hani.

Sejurus kemudian, Hani menghulurkan telefon tersebut sambil berkata, “mama nak cakap dengan awak, boleh?”

Azeem menahan debarannya. Tak pasal-pasal dia juga terjebak dalam masalah Hani. Lelaki itu hanya mengangguk sambil mengambil telefon tersebut.

“Waalaikumsalam, ya mak cik. Saya kawan Hani, Azeem.” Lelaki itu berkata.

“Oh, kawan satu kelas ke?” Suara ibu Hani kedengaran terlalu jelas di telinga Azeem.

Azeem menggerakkan bibirnya dengan menyebut ‘satu kelas’ ke arah Hani yang memandang. Mujurlah gadis itu memahaminya lalu terus mengangguk berulang kali.

“Ha’ah mak cik. Sekelas.”

“Hmm. Takpelah. Azeem tolong tengokkan Hani. Bila dah nak sampai Puduraya, telefon mak cik boleh? Tunggu sampai mak cik datang ambil Hani. Dia tu tak pernah kena tinggal. Jadi mak cik bimbang sangat kalau dia pergi mana-mana. Dia satu-satunya anak perempuan yang mak cik ada.”

Azeem tersenyum meleret mendengar penerangan ibu Hani yang panjang lebar. Keprihatinan ibu Hani menyebabkan dia terkenang dan merindui ibunya sendiri.

“Insya-ALLAH. Apa-apa pun, saya akan hubungi mak cik semula.” Azeem memberikan jaminan ringkas.

Sebetulnya, dalam umurnya yang baru mencecah 19 tahun, apalah sangat yang diketahuinya untuk menjaga anak dara orang? Azeem berjanji pada dirinya sendiri untuk membantu Hani sekadar dirinya mampu sekiranya gadis itu perlukan pertolongan.

“Awak, terima kasih!” Hani tersenyum lebar sambil menghulurkan kembali telefon setelah mematikan talian.

“Sama-sama.” Azeem mengangguk ringkas.

“Awak belajar di fakulti mana?” tanya Hani.

Azeem mengerling ke arah gadis yang masih lagi duduk di sebelahnya. Berdegup laju juga jantungnya setiap kali mata mereka bertentang.

“FSPU. Awak?”

Hani tersenyum dan menjawab, “oh, budak arkiteklah ni, ya? Saya budak akaun saja.”

“Eh, saya ambil construction. Bukan arkitek.” Azeem tersengih.

“Oh, saya ingat FSPU tu semua budak arkitek.”

“Tak...”

“Okeylah, saya duduk sebelah sana. Nanti kalau mama saya telefon, senang sikit awak nak panggil saya.”

Azeem melihat ke arah barisan kerusi di sebelahnya yang ditunjukkan oleh Hani lalu mengangguk kecil. Sesekali kepalanya terasa pening terutama apabila bas tersebut melalui kawasan berbukit bukau dalam keadaan laju.

Hani bangkit dari tempat duduknya lalu berura-ura untuk ke kerusi sebelah. Namun, bunyi letupan tiba-tiba kedengaran kuat dan serta-merta bas yang dinaiki mereka berdua terhuyung-hayang. Hani terkejut dan tak semena-mena, tubuhnya hilang keseimbangan lalu hampir tersungkur ke hadapan.

“Hani!”

Gadis itu menarik nafas panjang dan dirinya terasa begitu gemuruh apabila dia menyedari tangan Azeem melingkari pinggangnya ketika dia terjatuh semula ke kerusi. Mujurlah lelaki itu bertindak pantas untuk menariknya semula sebelum dia terhumban ke hadapan.

“Awak okey?” Azeem lekas-lekas menarik tangannya semula. Dia juga terkejut dengan tindakannya sendiri tetapi semuanya berlaku terlalu pantas kerana dia bimbangkan Hani yang mungkin akan jatuh.

Hani hanya mengangguk tanpa memandang ke arahnya semula. Gadis itu terasa ada sesuatu yang aneh sedang menyapa hatinya.

Bunyi seorang kanak-kanak menangis di belakang menarik perhatian mereka. Pemandu bas sudah dapat mengawal bas tersebut lalu membawanya dengan perlahan sebelum berhenti di tepi lebuhraya.

“Kenapa ni?” Hani bertanya dengan nada perlahan.

“Saya rasa tayar bas ni meletup.” Azeem berkata lalu terus bangun apabila bas itu berhenti sepenuhnya.

Hani menjengukkan mukanya di hadapan dan dia nampak pemandu bas itu bercakap dengan seseorang di hadapan. Suasana bas sudah mulai riuh walaupun tidak sampai separuh pun penuh.

“Jangan panik! Jangan panik! Maaf semua, tayar bas ni meletup. Saya minta semua orang turun dulu daripada bas ni sekarang,” ujar pemandu bas yang sudah beruban putih itu.

Hani dan Azeem saling berpandangan sebelum mereka berdua mengatur langkah untuk menuruni bas. Mujurlah cuaca tidak seterik di Seri Iskandar tadi.

“Hmm... kita kat mana ni, ya?” tanya Hani sebaik saja mereka menjejakkan kaki di tanah.

“Entahlah. Saya pun tak perasan,” ujar Azeem seraya melihat keadaan sekeliling yang menghijau dengan rimbunan pokok dan bukit bukau.

Mereka semua telah turun daripada bas dan Hani nampak pemandu bas itu sedang berbual di telefon. Mungkin mengadu kepada pihak syarikat dan meminta bantuan mereka.

Gadis itu memandang ke arah keluarga yang berada di barisan belakang tadi. Kasihan pula melihat ibunya terpaksa mendukung anak perempuannya. Ayahnya pula sedang memegang anak lelakinya supaya tidak terlalu aktif. Apatah lagi mereka semua berada di laluan kecemasan sekarang.

“Pak cik tu kata dalam sejam lagi ada bas yang akan datang ambil kita,” ujar Azeem ketika dia tiba di sisi Hani semula.

Gadis itu mengangguk perlahan lalu memandang semula ke arah keluarga tadi. Azeem juga turut memandang. Hani lega kerana Azeem berada di sisi. Dia tidak berani berfikir terlalu jauh jikalau dia seorang diri sekarang.

“Awak okey?” Azeem bertanya sambil bercekak pinggang. Sesekali dia menyeka peluhnya yang mula mengalir di pipi.

“Okey... tapi saya kasihan tengok kakak dan abang tu.” Hani mengeluh.

Azeem tersenyum kecil mendengar keluhan gadis itu. Dia melangkah ke arah lelaki tersebut yang nampak gayanya sedang memujuk anak lelakinya.

Hani memerhatikan saja gelagat Azeem dari tepi. Tanpa sedar, dia semakin menyenangi lelaki tersebut. Sejak dulu, dia tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki. Mungkin kerana sikapnya yang pemalu dan mamanya juga tegas dalam mengawal kehidupan anak-anaknya.

Sesekali kelihatan Azeem mencuit pipi anak lelaki itu. Hani tersenyum sendiri dan menarik nafas panjang, cuba meredakan hatinya yang bergelora tiba-tiba.

“Jom duduk sana sikit. Bahaya duduk sini.” Azeem muncul di sisi Hani tidak lama kemudian.

Mereka berdua menuju ke arah kawasan yang sedikit lapang dan teduh. Mujurlah masih ada pokok-pokok yang merimbun di tepi lebuhraya. Hani duduk bersila di atas jalan tar setelah memastikan ianya bersih daripada kekotoran.

Azeem tiba-tiba menghulurkan telefonnya kepada Hani. Berkerut gadis itu melihatnya sebelum bertanya, “untuk apa?”

“Awak telefon bagitahu mama awak. Nanti dia risau kenapa kita lambat sampai KL,” ujar Azeem.

Hani menggelengkan kepalanya. “Tak apa. Awak tahu tak, kalau dia tahu kita tersidai kat sini, silap-silap kejap lagi awak nampak dia muncul kat depan kita.”

Azeem ketawa kecil lalu meletakkan telefonnya semula ke dalam poket.

Penumpang-penumpang lain pula berada di sekitar mereka. Ada yang berbual di telefon dan ada juga yang sedang mengipas diri sendiri dengan suratkhabar.

“Nama penuh awak apa?” Tiba-tiba Azeem bertanya.

“Safiya Thihani. Awak?” Hani pula bertanya.

Gadis itu rasa ingin ketawa dengan situasi perkenalan mereka yang agak pelik tetapi menyenangkan. Mungkin ada hikmah ALLAH SWT mengatur pertemuan ini, fikirnya.

“Azeem Hafiz.” Lelaki itu memandang ke arah Hani dan pandangan mereka bertaut.

Hanya mata yang mampu berbicara, bibir pula tersipu malu mengukir senyuman dan hati pula mengalami debaran yang tidak berkesudahan. Saffiya Thihani dan Azeem Hafiz. Cinta pandang pertama itu ternyata milik mereka.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.