Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
75,834
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 15

Rabu, 12 Mac 2003 : 2 Petang

Panahan mata debaran pertama...

HANI mengetap bibirnya menahan geram. Sejak tadi dia ditahan di pondok pengawal pintu masuk Universiti Teknologi MARA, Seri Iskandar. Basnya akan tiba setengah jam lagi dan dia berdoa agar mendapat kelulusan untuk segera keluar.

“Safiya Thihani. Atas alasan apa kamu mahu pulang ni?” Tiba-tiba muncul seorang lagi pengawal yang lengkap beruniform warna biru tua.

Gadis itu terpaksa menahan perasaan marahnya yang bercampur dengan kebimbangan. Pagi tadi dia mendapat panggilan tentang ayahnya yang pengsan secara tiba-tiba di pejabat.

Hani mengambil keputusan untuk pulang kerana hatinya berasa tidak tenteram dan dia lantas menelefon perkhidmatan bas ekspres yang selalunya akan lalu di hadapan UiTM untuk ke Kuala Lumpur tanpa berfikir panjang.

“Maaf encik. Saya dah cuba cari warden blok saya tapi dia tak ada. Ayah saya kemalangan, jadi saya terpaksa juga pulang.” Hani memanipulasi cerita.

Pegawai tersebut memandangnya dengan rasa kurang percaya. “Betul ni? Bukan main-main?”

Tergamam Hani mendengar pertanyaan pengawal tersebut. Dia tahu tentang cerita pengawal nan seorang itu. Sentiasa mahu cari pasal dengan pelajar. Nasibnya tidak baik hari ini kerana terpaksa melalui ujian besar di pintu pagar.

Gadis itu memandang jauh ke arah jalan besar di hadapan. Sekurang-kurangnya dia perlukan masa selama lima hingga ke sepuluh minit untuk melalui lorong jalan yang panjang itu sehingga ke jalan besar.

Kalau bas datang masa dia tengah berjalan macam mana? Nak berlari? Nak lintas jalan besar tu pun satu hal! Hani mengetap bibirnya sambil menahan perasaan sebak yang tiba-tiba hadir.

“Encik...” Tanpa kerelaannya, gadis itu terus menangis teresak-esak.

“Eh, eh! Kamu ni kenapa?”

“Encik! Ayah saya dah ada di hospital. Kenapa encik tak nak percaya? Takkan saya nak bohong dengan cerita macam ni?” Hani berkata sambil air matanya terus mengalir.

Pengawal itu terdiam. Dia hanya mengangguk dan tanpa berkata apa-apa, dia menandatangani kad kebenaran untuk keluar. Hani pula hanya melihat perbuatan pengawal tersebut.

“Eh, kamu nak keluar juga? Balik kampung?”

Sisa esakan Hani masih lagi kedengaran tatkala pengawal itu menyoal seorang pelajar lelaki yang tiba di pondok pengawal. Hani cepat-cepat menyapu air matanya yang luruh.

“Ya. Ni surat kebenaran daripada pensyarah. Saya perlu pulang ke Kuala Lumpur kerana ada masalah keluarga.”

Hani menyembunyikan wajahnya daripada pelajar lelaki tersebut. Malu! Dia pasti lelaki tersebut melihat dia menangis sebentar tadi.

“Hmm, dahlah Safiya Thihani. Kamu tak perlu menangis macam ni lagi. Saya benarkan kamu pulang dan err... Azeem Hafiz?”

“Ya, saya?”

Pengawal pintu pagar tersebut tersenyum kecil. “Kamu teman budak perempuan ni sampai depan. Emosi dia tengah tak stabil tu.”

“Oh? Hmm, okey.”

Hani menoleh ke arah lelaki yang berkemeja lengan pendek warna biru dan berjeans hitam itu serta menggalas sebuah beg di belakangnya.

Wajah lelaki itu nampak tenang dan dia hanya tersenyum bila mata mereka bertentang. Hani sudah ingat-ingat lupa namanya tetapi kembali membalas senyumannya dan mereka berjalan beriringan keluar dari kampus.

“Awak nak ke Ipoh?” soal Azeem.

Hani menggeleng perlahan. Sesekali dia membetulkan beg sandangnya yang terasa berat di belakang. Baju kurungnya pula sudah hampir lencun dek peluh yang mengalir deras. Bloknya terletak di hujung kampus dan memang tiada cara lain untuk ke pintu pagar kecuali dengan berjalan kaki.

Dia menjeling jam tangannya. Hampir jam tiga petang. Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang di jalan tersebut. Kebanyakan kuliah pula sedang dijalankan. Keadaan se-keliling yang panas terik memaksa mereka berjalan dengan agak pantas untuk mengelakkan bahang matahari.

Azeem pula hanya mendiamkan diri apabila pertanyaannya terhadap gadis itu hanya dibalas dengan perlakuan. Mungkin benarlah kata pengawal tadi, emosinya tidak stabil.

Hati lelakinya berkira-kira untuk memberikan sebaris dua nasihat tetapi bimbang sekiranya dikatakan sebagai penyibuk. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk terus menyepi sambil berjalan di sisi Hani.

Sesekali dia menjeling ke arah gadis yang tunduk memandang ke arah jalan tar. Rambutnya yang bertocang satu bergoyang mengikut pergerakan tubuhnya. Wajahnya tidak terlalu cerah dan tidak pula terlalu gelap. Ada sesuatu yang menarik perhatian Azeem tentang Hani tetapi dia sendiri tidak mengerti.

“Awak nak tunggu di sini ke atau di seberang sana?” tanya Azeem sebaik saja mereka berhenti di tepi jalan.

Jalanraya di hadapan UiTM tersebut tidak mempunyai jejantas dan seringkali pelajar-pelajar mengeluh kerana terpaksa membahayakan diri melintas di jalan yang besar itu.

“Hmm, saya nak balik KL. Bas ke KL datang dari arah mana ya?” Hani menyoal dan memandang Azeem.

“Awak dah beli tiket?”

Hani mengangguk.

“Bas apa?” Azeem bertanya lagi.

Matanya masih melihat keadaan lalu lintas di hadapannya. Kalau ikutkan hati, ingin saja dia menarik lengan gadis di sebelahnya supaya mereka sama-sama dapat melintas. Apatah lagi dengan keadaan gadis itu yang kelihatan seperti berada di awang-awangan.

“Transnasional.”

Azeem tersenyum kecil sebelum menjawab, “awak ikut sayalah macam tu sebab saya pun naik bas yang sama. Jam tiga suku petang, kan?”

Hani menarik nafas lega. Rupanya ada juga kawan sekampus yang mahu ke Kuala Lumpur di waktu pertengahan minggu ini. Sebenarnya Hani masih belum membiasakan dirinya dengan keadaan sebegitu. Selalunya, dia akan pulang dengan beberapa orang teman yang lain.

Dengan keizinan daripada ALLAH SWT, mereka dapat melintas dengan mudah dan sama-sama menuju ke arah pondok menunggu bas. Tiada sesiapa di situ. Hani terus duduk di hujung tiang pondok manakala Azeem pula hanya berdiri di tepi pondok tersebut.

----------------------------------------------------------------------------------

“ASSALAMUALAIKUM! Mama, macam mana dengan abah?” Hani menelan air liurnya sambil terus berdoa.

Bas sudah bergerak meninggalkan Seri Iskandar lebih kurang sejam yang lalu. Hani mengambil keputusan untuk menelefon ibunya untuk bertanyakan khabar ayahnya.

“Waalaikumsalam. Abah okey...” Suara mamanya kedengaran perlahan.

“Mama... Hani...” Gadis itu terdiam.

Dia risau sebenarnya untuk memberitahu ibunya bahawa dia sudah dalam perjalanan pulang. Sememangnya keputusan yang dibuat itu sangat drastik sehingga dia terlupa untuk memberitahu teman-temannya yang lain.

Kebetulan pula ketika mengetahui berita tersebut, teman-temannya semua ke perpustakaan untuk membuat tugasan bersama-sama. Hanya dia yang tinggal di bilik kerana terlalu mengantuk akibat berjaga lama malam sebelumnya.

“Hani dah dalam bas. Nak balik.”

“Hah?!” Suara mama kedengaran kuat tiba-tiba.

Gadis itu memandang ke luar tingkap. Hanya peman-dangan lebuhraya menyambut pandangannya.

“Hani dalam bas, dalam dua jam lebih lagi Hani sampai di Puduraya.” Hani menjelaskan keadaan.

Tiba-tiba talian sunyi sepi. Hani segera melihat ke arah telefonnya lalu mendengus kasar apabila dia melihat Nokia 3310 miliknya itu sudah kehabisan bateri.

Gadis itu memejamkan mata. Bagaimana harus dia memberitahu ibunya? Pasti ibunya sangat bimbang setelah mengetahui satu-satunya anak perempuannya cuba berdikari untuk pulang ke Kuala Lumpur seorang diri!

Hani memandang sekeliling. Kerusinya berada di deretan tengah bas dan dia nampak Azeem berada di hadapannya, selang tiga buah kerusi. Ada sebuah keluarga termasuk anak kecil mereka seramai dua orang berada di barisan belakang manakala ada beberapa orang lagi di kerusi hadapan.

Gadis itu mulai resah. Fikirannya sudah dibayangi ketakutan. Inilah padahnya kalau lupa nak cas telefon! Kan dah susah? Mama pasti akan marah aku, fikir Hani.

Kata mama, abah dah okey. Namun, okey macam mana? Aku perlu tahu keadaan abah, getus hatinya. Beberapa kali dia cuba untuk membuka dan memasang kembali telefonnya dengan harapan semoga ada sedikit tenaga bateri yang mahu digunakan untuk menelefon mama.

Sekurang-kurangnya untuk memberitahu mama di mana lokasinya kini. Lama-kelamaan, Hani putus asa lalu dia mencampakkan telefonnya ke dalam beg sandang.

Hani memejamkan matanya kembali dan cuba berfikir secara rasional tentang perkara yang perlu dilakukannya. Dia mengambil keputusan untuk menelefon mamanya di mana-mana perhentian yang bas tersebut akan berhenti.

Namun, hatinya terlalu ingin mengetahui keadaan ayahnya sehingga membuatkan dia kembali resah. Hani kembali memandang ke arah sekeliling bas sehingga dia ternampak Azeem dan ideanya muncul tiba-tiba. Ya, lelaki itu!

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.