Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
124,414
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 17

KENAPA awak pergi mesyuarat hari tu tak ajak saya?” Nisa menarik muka.

Aku memandangnya dengan wajah yang tidak percaya. “Aik, nak pergi ke? Awak tak cakap apapun.”

“Saya ada cakap tapi tak apalah. Lepas ni saya nak ikut,” ujar gadis itu.

Aku hanya mengangguk sambil meneruskan kerja menyemak emel dan katalog produk spa. Baru tadi mama ada hantar mesej kata dia setuju dengan cadangan konsep baru spa. Senyum sampai telingalah aku jawabnya.

“Ah, saya nak pergi jumpa kontraktor tu nanti petang ni. Nak ikut ke?” Aku bertanya Nisa yang hendak bangun setelah selesai menghabiskan sepiring buah pir yang dipotongnya tadi.

“Nak! Kejap saya semak dulu ada tak pelanggan penting untuk petang ni.”

Gadis itu berlalu ke pejabatnya. Selalunya jika ada tetamu VIP, Nisa perlu ada di spa untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Hati pengguna mesti dijaga supaya reputasi spa sentiasa berada di tahap teratas.

Aku pula kena banyak belajar dengannya. Mama kata bukan setakat perihal spa aku kena jaga, tingkah laku, tuturkata dan cara berpakaian juga perlu. Oh, yang lebih aku malas adalah sesi menghias muka!

Namun, aku perlu juga mengikut kata-kata mama kerana orang akan mula pandang aku sebagai anak Puan Salwa. Lebih tepat, pemilik spa yang terkenal ini. Lagipun, nama spa ni saja dah nama aku. Takkan orang tengok spa macam lima bintang, tapi tuan empunya nama pula langsung tak nampak bintang!

“Okey saya boleh ikut! Eh, awak selalunya mesyuarat dengan siapa? Azeem tu eh?” Nisa duduk kembali di hadapan aku yang masih setia menghadap laptop dan fail yang menimbun di sebelah.

Aku mengangguk lagi dengan perlahan tetapi di mindaku sudah penuh dengan tanda tanya. Apa maksud Nisa? Macam mana dia kenal Azeem? Ops, ada bunyi cemburu di situ. Ya, masih ada walaupun sekelumit. Tak salah, kan?

“Dulu masa syarikat Azeem buat spa sini, saya dengan Puan Salwa yang selalu jumpa dia,” jelas Nisa tanpa dipinta.

Baru aku perasan tentang kehilangan perkataan ‘encik’ daripada tuturkata Nisa. Selamba sungguh dia panggil Azeem. Macam dah kenal lama.

Aku bangun sebentar lalu mendekati kaunter pantri untuk mengambil segelas air masak. Entah mengapa tiba-tiba rasa panas semacam. Kalau tadi, sejuk sampai menggigil aku dibuatnya.

“Kerja dia tu bagus betul. Semuanya terperinci dan tepat pada waktu yang diberi. Puan Salwa suka sangat dengan dia.” Nisa berkata lagi.

Hmm. Macam pelik saja Nisa ni, bisik hati nakal aku. Ah, biarlah. Kalau dia suka pun, apa masalahnya? Azeem bukan sesiapa pada aku. Hanyalah seorang kawan lama. Ya, lama yang memberikan seribu satu makna.

“Nisa suka dia ke?”

Hah! Merah padam kau dibuatnya! Aku menyembunyikan senyuman sinis. Macamlah aku tak tahu. Kalau dari tadi dia asyik sebut Azeem, memang sahlah ada hati tu. Ish. Hati perempuan. Siapa lagi yang boleh faham?

“Eh, mana ada! Saya bagitahu saja supaya nanti awak taklah rasa kekok bila kerja dengan dia. Maksud saya, awak tak perlu bimbang sebab Azeem akan memastikan semuanya berjalan lancar.”

“Alhamdulillah kalau macam tu. Saya ni dahlah tak ada asas perniagaan mahupun rekaan. Untuk spa itupun, saya belasah tengok majalah rekabentuk dalaman saja untuk konsep baru. Nasib baik Azeem faham,” ujar aku panjang lebar.

Nisa mengangguk kecil lalu tersenyum. “Betul. Azeem memang bagus.”

Aku membuat muka dalam diam. Sudahlah Nisa oi! Letih aku mendengar nama Azeem sejak tadi. Rasa tak nak bawa kau pula petang ni, boleh tak?

-------------------------------------------------------------------------

“INI deposit untuk projek spa tu. Bila boleh mulakan pembinaan?” Aku terus bertanya Azeem tanpa berlengah.

Bilik mesyuarat ini menyaksikan pertemuan ketiga aku bersama Azeem. Cuma kali ini disertai oleh Nisa yang aku perasan sejak tadi hanya mendiamkan diri.

“Terima kasih. Insya-ALLAH esok pagi saya akan hantarkan jangkasama projek yang akan dijalankan secara lebih terperinci lagi dan satu set lukisan pembinaan untuk Cik Hani berikan kelulusan akhir,” ujar Azeem seraya memasukkan cek yang aku beri tadi ke dalam failnya.

Aku tersengih mendengar dia akhirnya memanggil aku dengan nama Hani. Memang janggal sebenarnya bila orang panggil aku Safiya. Tapi kenapa setiap kali Azeem panggil, aku rasa macam nak terjun bangunan? Fuh, sabar! Aku masih ada Nazmi, ingat tu Hani! Aku berura-ura untuk bangun apabila Nisa mula bersuara.

“Encik Azeem sibuk ke? Kita pergi minum dulu?”

Apa?! Kaget aku dibuatnya apabila Nisa menyoal soalan yang agak drastik kepada Azeem. Lelaki itu berhenti daripada memasukkan kertas-kertas ke dalam failnya lalu memandang ke arah Nisa.

“Minta maaf Cik Nisa, saya ada mesyuarat lain selepas ini.” Azeem berkata dengan nada ringkas dan selepas itu dia menoleh ke arah aku.

“Cik Hani, esok petang boleh saya berjumpa cik semula di KL Festival? Saya perlu ambil kelulusan akhir cik untuk memulakan pembinaan. Mungkin malam esok kita akan mulakan projek ini.”

Tiba-tiba saja aku rasakan ada ketegangan kecil yang berlaku di antara Azeem dan Nisa kerana nada lelaki itu kedengaran agak berlainan.

“Hmm, okey. Nanti tolong telefon saya dulu.” Aku menjawab dan terus mengajak Nisa yang masih tercengat di situ keluar dari bilik mesyuarat.

Kami berdua mengatur langkah untuk menuruni tangga dengan berhati-hati sambil otak aku terus ligat memikirkan tentang perhubungan mereka berdua.

Telefon aku berdering sebaik saja aku memanaskan enjin kereta. Mujurlah aku perlu hantar Nisa ke LRT Wangsa Maju saja. Dari situ pula dia akan terus berhenti di stesen KL Sentral sebelum mengambil KTM untuk ke Mid Valley.

Kalau aku pergi Mid Valley masa macam ni gerenti jalan raya tengah sesak! Ish, tak nak! Cukuplah dah beberapa kali aku jadi mangsa.

“Helo. Ya, waalaikumsalam Encik Azeem.” Aku perasan Nisa menoleh ke arah aku tiba-tiba. Alamak menyesal pula sebut nama lelaki itu.

“Maaf Cik Hani. Boleh kita jumpa sekejap malam ini?” Aku mengerutkan dahi mendengar soalan Azeem. Kan baru jumpa tadi? Kenapa nak jumpa malam ni pula?

“Hmm, di mana?” Aku menyoal ringkas, bimbang pula jika didengari Nisa.

Apa perasaan gadis itu kalau tadi Azeem menolak untuk minum bersama sedangkan kini dia menelefon aku dan mengajak untuk keluar?

“Depan ni saja. KL Festival City.”

“Insya-ALLAH. Saya telefon semula nanti, boleh?”

“Okey dan... saya nak jumpa awak seorang saja.”

Gulp! Ayat akhir Azeem membuatkan aku menelan air liur dengan rasa begitu payah sekali. Kenapa hilang sudah formaliti ‘cik’ itu dan berganti dengan awak?

“Baik...”

Aku memutuskan talian selepas itu sambil menarik nafas panjang. Kenapa ni? Apa yang berlaku? Kenapa suaranya tiba-tiba seakan bunyi rayuan? Atau aku saja yang terbayang begitu?

“Azeem nak jumpa ke?”

Hmm. Kan aku dah cakap, dia mesti tanya. Apa aku nak jawab ni? Takkan nak cakap, ya dia nak jumpa tapi saya seorang saja. Awak tak boleh ikut. Huh? Menangis tak berlagu jawabnya Nisa di sebelah kalau itu yang aku cakapkan padanya.

“Ha’ah. Berkenaan dengan set lukisan tu. Dia kata dia bagi hardcopy saja sebab e-mel dia orang ada masalah sikit. Benda tu nak cepat. Jadi, mungkin malam nanti dia paskan lukisan tu kat saya.”

Pembohongan aku ternyata menjadi apabila Nisa hanya mengangguk perlahan. Ah! Dahlah. Malas aku nak fikir. Yang penting, spa itu siap dan aku boleh mulakan perniagaan dengan tenang serta paling penting, kumpul duit untuk kahwin tahun depan.

Setelah menghantar Nisa di stesen Wangsa Maju, aku berpatah balik semula ke arah KL Festival City. Cadangnya mahu berjalan sebentar di dalam kompleks tersebut sebelum pulang. Namun, apabila teringatkan pertemuan dengan Azeem malam ini, terus aku halakan kereta ke rumah sewa.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.