“Melah! Amboi...
sombongnya! Dah banyak kali aku panggil, kau buat tak dengar je.” Herot-herot
mulut Zara. Dia bercekak pinggang menunjukkan lagaknya.
“Kau
nak ambik barang lagi ke? Atau nak bayar hutang?” balas Melah yang sudah
mendekati Zara dalam keterpaksaan. Zara cuma tergelak-gelak untuk menutup
malunya.
Kalau
tak disebabkan sudah berkali-kali Zara melaungnya, mahu saja Melah berjalan
laju-laju ala-ala lumba jalan kaki. Dia tak suka berurusan dengan Zara. Zara
selalu membuat dia rasa sesak nafas.
Zara
sudah banyak kali melihat-lihat barang kemas jualannya tapi dia cuma membeli
sebentuk cincin berbatu. Itu pun berhutang. Hendak menagih hutang daripadanya
satu hal pula. Kadang-kadang Zara memanggilnya cuma hendak menyakitkan hatinya
saja.
“Alah
kau ni... baru berapa sen sangatlah hutang aku tu. Itu pun kau dah macam ayam
bertelur. Kokk kokk ketokkk, kokk kokk ketokkk tak sudah-sudah. Pejam mata pun
aku boleh bayarlah.” Sudah berhutang, cakap besar pula. Siap dengan mimik muka
yang menyebalkan.
Mereka
berdiri berdepan. Melah pandang tepat muka Zara. Diamati. Tahi lalat buatan di
tepi bibir Zara sudah mula luntur oleh peluh. Nampak comot. Maskara murah yang
digunakan juga sudah mengotori sekeliling kedua-dua tepi mata Zara.
Nampak
macam pelakon wanita dalam cerita Vempire.
Tinggal lagi tak ada gigi taring dan kesan darah di tepi mulutnya. Tak
pada cuma berjalan depan rumah, Zara
memakai kasut tumit tinggi berwarna merah yang baru dibeli oleh Pak Sood.
“Aku
memang tau kau mampu bayar sebab tu aku nak kutip hutang kau ni. Ada tak?”
“Sekarang
ke?”
“Iyalah,
sekarang... now!Terlanjur dah jumpa,
bagi ajelah,” suara Melah keras. Geram!
“Errr...
kalau sekarang... ermmm, sekarang.” Zara pula terkebil-kebil tak sudah.
“Nak
bagi ke tak?” tanya Melah lebih kuat. Dia mula hilang sabar. Zara tersentak.
Berani
betul Melah meninggikan suara. Dasar pendatang yang tak sedar diri, datang ke
kampung orang hendak menunjuk lagak. Zara betul-betul tak puas hati. Rasa
hendak ditangan saja mulut Melah. Biar bibirnya pecah berdarah.
Keinginan
itu terbantut pula bila memikirkan Melah garangnya boleh tahan juga. Bukan tak
pernah mereka bertegang leher semata-mata dia berdegil tak mahu membayar
hutangnya. Hutang lapuk yang dia buat-buat lupa untuk membayarnya.
“Sampai
masa aku bayarlah.” Zara tetap memberanikan diri walaupun hatinya jadi kecil
dan kecut.
“Maksudnya
sampai masa kau dah nak mati?” sinis Melah yang sudah bosan dengan ragam Zara.
Melah
sudah bosan diperbodohkan Zara. Disebabkan mulut kompang Melah, orang kampung
beranggapan dia sedang bercinta dengan si tua bangka yang sudah renta. Macam
dia kebulurkan Pak Sood yang cuma ada motosikal semput itu. Handsome jauh sekali.
Fitnah
Zara bukan sekecil anak tapi fitnah itu boleh membakar sekampung. Zara memang
tak pernah sayang mulutnya. Anak dan abah sama saja. Melah cuma menghormati Mak
Biah yang baik dengan semua orang kampung. Wanita tua itu juga ramah dengannya.
“Kasarnya
kau, Melah!” Zara angin.
“Kalau
aku berlembut, lemah gemalai... sampai kiamat kau tak bayar. Kau tau kan, ini
punca rezeki aku. Kerja aku. Dah hutang kenalah bayar.” Tegas Melah.
Dari
tepi jalan itu Melah dapat melihat Pak Sood sedang mengintai-intainya. Nasib
baik Mak Biah sedang duduk di anjung, kalau tak sudah pasti orang tua itu akan
mendekatinya. Menggelodak isi perut Melah setiap kali nampak muka Pak Sood.
Yang
pasti orang tua tak cukup gigi itu sedang gelisah sebab tak dapat bercakap
dengannya. Meluat Melah bila menyedari orang tua itu terintai-intai tak sudah. Bilalah
orang tua itu hendak bertaubat?
Di
tepi parit pula Jelan sedang tertonggeng-tonggeng mencari berudu. Jelan
langsung tak
menghiraukan Zara dan Melah. Dia cuma bersinglet putih kusam dan
berlubang-lubang.
Seluarnya pula singkat sebelah. Macam biasa,
sebelah selipar buruk akan terselit pada lengannya. Lama Melah merenung Jelan.
Entah kenapa, rasa damai hatinya. Dia senyum.
“Jomlah,
ke rumah. Aku nak tengok barang lagi. Mesti ada design baru kan? Abah aku pun ada tau. Mesti dia belikan rantai
tangan untuk aku satu.”
Zara
mahu Melah melupakan sekejap soal hutang. Dasar muka tembok, dia memang tak
tahu malu. Mendengar suara Zara, lenyap senyuman Melah. Sedangkan ekor matanya
masih tetap memerhati Jelan.
Bagi
Melah, Jelan ada daya tarikan yang dia sendiri tak tahu untuk menjelaskannya.
Agaknya sebab Jelan nampak lurus dan tak pernah menyusahkan orang lain. Jelan
dengan halnya sendiri saja.
“Tak
boleh! Selagi tak bayar hutang, tak boleh ambik barang lain. Lagipun yang kau
sebut-sebut abah kau tu kenapa? Apa kaitan dengan aku?” sebal betul Melah.
Pandangannya beralih kepada Zara pula.
“Tak
adalah... kau kan bakal mak tiri aku.” Sesedap rasa saja mulut Zara.
Melah
mengetap mulut sambil menahan nafas lalu dilepaskan keras. Dia mencuba lagi
mengumpul baki sabar yang ada. Mungkin sabar yang tinggal cuma sebesar habuk. Bila-bila
masa saja akan lenyap dan terbang dibawa angin.
Kalau
boleh dia tak mahu bergaduh dengan Zara. Buruk bila perempuan berkelahi di tepi
jalan. Pergaduhan tak akan pernah dapat menyelesaikan apa-apa. Bahkan akan
tambah merumitkan keadaan.
“Apalah
punya anak... sanggup khianati ibu sendiri. Kalau setakat abah kau tu, lebih
baik aku menjanda sampai mati. Silap-silap aku pulak jadi tukang ganti pampers abah kau.” Sindir Melah geram.
“Maksud
kau?” Zara tak memahami apa yang dikatakan Melah.
“Maksudnya,
abah kau tu dah tua. Lama manalah sihatnya. Bila dah sakit terlantar, tak aku
yang teruk?”
Merah
padam muka Zara. Marah betul dia. Kalau diikutkan hati terasa hendak saja
dicabut kain tudung Melah supaya dia boleh menarik rambut janda itu kuat-kuat.
Biar akar rambutnya tercabut dari kulit kepala.
Tak
peduli siapa kalah, siapa menang. Janji puas hati. Sayangnya bila memikirkan
semula peratus kekalahan akan berpihak padanya, Zara cepat melupakan niat busuk
itu. Dia belum bersedia untuk dapat malu.
“Eh,
bukan main sombong kalau kau bercakap ya!” hanya itu yang mampu dilakukan Zara
sebagai mengganti keinginan yang mustahil itu.
“Aku
sombong dengan orang yang kurang ajar. Yang baik dengan aku, aku seribu kali
baik. Dahlah! Kalau tak mampu nak bayar hutang, aku hanguskan hutang kau. Tak
payah bayar... lagi satu, jangan panggil-panggil aku lagi.”
Hanya
itu caranya untuk mengelak dari berjumpa Pak Sood yang tak cukup gigi. Biar dia
rugi sedikit asalkan hatinya aman dan tenang. Duit bukan segala-galanya.
Di
Kuala Lumpur Melah juga sudah hilang semuanya. Hidupnya musnah disebabkan
seorang lelaki bernama Arief yang pernah menjadi suaminya. Dia tak mahu
mengingati semua itu lagi.
“Kau
pun sama! Kurang ajar!” Zara tak puas hati.
“Kak
Zara! Jangan bisinglah! Berudu tengah tidur!”
Bukan
Melah yang bercakap tapi Jelan yang bersuara. Bengkak hati Zara. Dia bercekak
pinggang sambil melototkan mata. Geli hati Melah melihatnya. Baru padan muka!
“Weiii!
Jelan senget! Kau tu dah tua, jangan nak panggil aku kakak! Dahlah tua, gila
pulak!” herdik Zara keras.
“Zara!
Kau jangan nak hina Jelan ya. Dia tak gila... dia tak bernasib baik je.” Melah mengingarkan
dengan suara yang agak lembut. Dia tak suka Zara menghina Jelan, kawan baiknya.
“Diamlah
kau!” Sebaliknya Zara tak menerima teguran Melah. Merah padam mukanya.
Belum
sempat Melah membalas, Jelan sudah berlari-lari ke arah mereka. Semakin panas
hati Zara. Dia tak suka Jelan, bercakap dengan Jelan atau menyebut nama Jelan.
Baginya Jelan tak ubah sampah di tempat longgokan sampah. Busuk!
“Zara...
kau nak kahwin dengan aku?” soal Jelan.
Sebaik
berdiri di sebelah Zara. Zara cepat menjauh. Hidungnya kembang kuncup
menunjukkan jijiknya pada Jelan. Jelan cuma sengih tak sudah. Hendak dicolek
bahu Zara tapi Zara pantas menjauh.
“Apa
nak pegang-pegang pulak ni!” marah Zara.
“Jelan
nak kahwin dengan Zara.”Jelan
tersipu-sipu bila mengatakan perkara itu..
Gatal
pula belakang Jelan. Diambilnya selipar buruk yang terselit pada lengannya lalu
dijadikan penggaru untuk menggaru belakangnya. Terkial-kial Jelan. Zara
menjeling meluat. Sebaliknya Melah kasihan melihat Jelan lalu dia menghampiri
pemuda tak cukup akal itu.
“Sini
Jelan... biar aku garu.”
“Suka!
Suka!” Jelan melompat-lompat.
Melah
mengambil sebatang ranting di tepi parit lalu menggaru belakang Jelan dengan
ranting itu. Jelan menyengih kegelian. Nikmat betul bila Melah sudi membantu
menggaru belakang yang mengenyam gatalnya.
“Uweksss!
Loya aku,” ejek
Zara.
“Tak
baik kau ni. Dia pun manusia jugak kan.”Melah sebal dengan perangai Zara.
Zara
menarik muka. Peduli apa dia. Sudah sememangnya dia jijik melihat Jelan senget
yang kotor. Muka saja boleh tahan tapi tak siuman, apa gunanya.
“Jelan...
jom kita pergi. Kat sini berbahang. Panas!” ajak Melah. Jelan cepat angguk.
“Ala,
bagilah aku tengok barang kemas kau dulu.” Pujukan Zara diulangi.
“Takde,
takde. Kalau nak beli, beli cash.” Melah tetap dengan
pendiriannya.
Dia tak ingin berurusan dengan manusia yang
tak tahu malu macam Zara. Sudahlah hutang
tak dibayar, ada hati hendak membeli lagi. Muka tembok betul!
“Eleh...
baru jual emas sadur pun dah menyombong. Bukan boleh kaya pun!” Zara tak mahu
berdiam diri.
“Tunggu
satu hari nanti, aku jual emas 916. Masa tu kau jangan ada hati nak menempek
kat aku ya.” Balas Melah lalu melangkah untuk pergi dari situ.
Melayan
Zara lebih menyakitkan hati berbanding melayan Jelan. Padanya Zara jauh lebih
gila berbanding Jelan senget. Bila bersama Jelan senget hatinya aman selalu.
Jelan tak pernah menyakitkan hatinya. Jauh sekali mahu menghinanya sebagai
janda muda yang suka mengacau suami orang.
“Setakat
jual emas, apa barang! Kau tengoklah nanti, aku akan kahwin dengan tauke Poh
Chong tuan punya kedai emas kat pekan tu.” Angkuh betul Zara. Macam tahu-tahu
saja jodohnya dengan siapa.
“Aku
doa-doa angan-angan Mat Jenin kau nak jual emas 916 tu cuma tinggal angan-angan
je!” sambungnya dengan bangga.
“Nama
pun dah akan-akan pocong... tapi baguslah, aku harap kau Islamkan dia dulu ya,”
sinis Melah.
Zara
menjeling tajam. Geram dengan Melah yang tak mahu kalah. Memang padan, barulah
bertemu buku dengan ruas. Sindiran Melah membuat Zara terus terdiam. Bibirnya
muncung ke depan.
Meluat
betul Melah melihatnya. Dia tak mahu berlama-lama di situ. Tak guna melayan
orang yang sakit jiwa macam Melah. Memenatkan mental dan fizikal saja. Lebih
baik dia pergi dari situ.
Melah
dan Jelan berjalan bersaing. Macam biasa, jalan Jelan tak pernah lurus ke
depan. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Terhibur Melah melihatnya. Lebih-lebih
lagi muka Jelan yang kelakar membuat Melah tak bosan bila bersamanya.
“Zara
tak nak kahwin Jelan.” Adunya. Melah senyum lebar.
“Tak
apa... kau kahwin dengan aku.” Sahut Melah seadanya. Dia cuma main-main sambil memujuk
Jelan supaya tak bersedih dengan penolakan Zara.
“Betul,
betul... Jelan memang nak kahwin dengan Melah. Nanti kita sanding bawah
jambatan, kan Melah.”
Yakin
betul Jelan. Baginya di bawah jambatan merupakan tempat yang paling sesuai. Di
situ selamat.
Melah
menahan ketawa. Dia tahu akal Jelan tak waras tapi itu bukan alasan untuk dia
mentertawakan pada setiap apa yang diperkatakan oleh Jelan. Seboleh-bolehnya
Melah mahu menghormati Jelan sama macam orang lain. Macam orang yang sempurna
akal fikirannya.
“Laa,
kenapa kat bawah jambatan? Kalau jambatan tu roboh macam mana? Mesti kita kena
hempap dengan kereta yang jatuh dari jambatan tu.”
Melah
layan saja. Sekurang-kurangnya taklah bosan sangat. Misi Melah hari itu adalah untuk
mengutip hutang-hutang lapuk pelanggannya. Dapat bersembang dengan Jelan tak terasa
kakinya penat melangkah. Melah hendak ke rumah Gayah yang bersusun jumlah
anaknya untuk mengutip hutang.
“Kereta
tak jatuh sebab Jelan dah sambut dengan sebelah tangan. Lepas tu Jelan letak
kereta kat tepi pelamin.”
Balas Jelan dengan muka tak bersalah.” Mendengar itu Melah cuma sengih.
“Jelan...
Jelan.” Melah geleng-geleng.Ada
rasa kelakar dan dalam masa yang sama kasihan pula melihat Jelan yang setengah
tiang itu.
“Apa?”
Jelan kurang faham maksud gelengan Melah tapi peduli apa dia.
“Tak
ada apa. Aku suka kau. Kau tak pernah susahkan aku, malahan kau selalu buat aku
gembira.” Pujian
Melah ikhlas. Itulah yang dirasainya setiap kali dapat bersama Jelan.
“Gembira
sebab aku nak kahwin dengan kau?” soal Jelan yang kurang masih faham maksud
Melah.
“Iyalah
tu... lebih kuranglah.” Melah ketawa kecil.
Sedang
mereka berjalan, nampak sebuah kereta dari arah bertentangan. Sah! Itu kereta Ejul.
Cepat-cepat Melah menarik ke depan kain tudungnya. Ejul selalu menyapanya tapi
dia sentiasa berjaga-jaga.
Ejul
orang bujang dan dia janda, tak manis bila terlalu mesra. Melah tak mahu Ejul
menjadi umpat keji orang sebab melayani mak janda macam dirinya.
“Assalamualaikum
Cik Melah.” Salam diberi sebaik kereta berhenti di sebelah Melah dan Jelan. Itu
bukan suara Ejul. Cepat Melah menoleh untuk memastikan.
Ekor
mata Melah mengintai ke belakang kereta. Mana tahu Ejul duduk di belakang. Tak
nampak pula guru muda itu di situ. Khairil yang memandu kereta Ejul tak
sudah-sudah memandang Jelan yang berdiri di sebelah Melah. Jelan sengih dan
Khairil juga menyengih.
Bila
Khairil bermain mata, Jelan membalasnya.
“Cari
Ejul ke Cik Melah?” tanya Khairil yang menyedari Melah seperti sedang
mencari-cari.
“Eh,
errr...tak adalah, cikgu.” Melah tersipu. Merah mukanya.
“Entah
ke mana Ejul merayau. Saya tengok dia tak ada kat rumah, saya rembatlah kereta
dia.”
“Saya
ke pekan sekejap cari barang dapur. Nak masak dah tak ada apa yang boleh
dimasak. Saya dah beli barang-barang ni, giliran Ejul pulak memasak nanti.
Cukup rajin dia tu kalau bab masak-memasak. Sedap pulak tu.”
Tanpa
diminta Khairil menceceh panjang lebar. Daripada gayanya, dia seakan sedang
berkempen untuk Ejul saja. Khairil tahu Ejul gilakan Melah. Apa salahnya
membantu kawan yang berangan-angan hendak menegakkan masjid.
Mendengar
cakap-cakap Khairil, Jelan senyum-senyum tak sudah. Entah apa yang ada dalam
kepalanya. Sesekali dia menjeling Melah pula.
“Oh...
macam tu.” Cuma itu balasan daripada Melah.
‘Dia
ni tak ada perasaan ke? Penat aku melobi, pendek tu je dia jawab.’ Sungut
Khairil dalam hati.
“Jalan
dulu ya.” Malahan Melah minta diri hendak pergi. Dia keluar rumah untuk bekerja
mencari rezeki yang halal. Bukan untuk melayan semua lelaki dalam kampung itu.
“Si...
sila, sila.” Khairil gugup sekejap. Diam-diam dia menghormati sikap Melah.
“Hei!
Jelan! Kau tak nak balik dengan aku ke?”
Khairil
mempelawa. Jelan merenung Khairil dengan muka yang tak menyenangkan. Cepat-cepat
Khairil sedar, Jelan tak suka pada pertanyaannya.
“Bukan...
maksud aku, kau tak nak tumpang ke? Mesti kau dah penat kan, Jelan. Aku kesian
tengok kau sebab tu nak tolong hantar kau balik.” Jelas guru muda itu supaya
Jelan faham.
“Aku
nak kahwin dengan Melah, bukan nak balik!”
“Oh,
ya jugak kan. Kalau macam tu aku jelah yang balik.”
Khairil
geli hati melihat muka Jelan yang beria-ia. Terasa hendak diluku kepala Jelan
senget. Bukan main lagi Jelan, mentang-mentang dapat berjalan dengan Melah
sudah lupa dunia.
“Pergi!
Pergi!”
“Yalah
Jelan... aku pergilah ni. Kau jaga Cik Melah tu baik-baik, Jelan. Jangan sampai
ada yang colek pipi Cik Melah tu.” Khairil memang suka menyakat. Jelan senget
pun hendak disakat juga.
“Aku
taulah nak buat apa, Ril. Kau tak payah ingatkan.”
“Apa
kau kata?” soal Khairil sebaik mendengar jawapan Jelan. Sesudah itu dia senyum
tak sudah. Percakapan Jelan senget macam orang yang normal pula. Tersusun dan
tepat.
“Eh,
silap! Aku nak kahwin dengan Melah.” Cepat-cepat Jelan membetulkan. Dia
berharap Melah tak terdengar apa yang sudah diucapkan sebelum ini. Jelan
garu-garu kepala bila melihat Melah sedang merenungnya.
‘Lain
aje cara dia bercakap tadi.’ Sedangkan Melah juga dapat merasai perbezaan cara
Jelan bercakap.
Melihat
Melah memandang Jelan lama dengan muka yang kehairanan, Khairil segera menukar
gear, menekan pedal minyak lalu pergi dari situ. Kereta Satria Neo kepunyaan
Ejul meluncur laju.
“Apa
kau cakap tadi Jelan?”
“Tak
ada... aku nak kahwin dengan Melah.”
“Bukan
yang itu, yang sebelumnya.” Melah betul-betul hendak tahu.
“Tak!
Tak! Aku nak kahwin dengan Melah.”
Ulang
Jelan tanpa memandang Melah. Selepas itu dia berjalan laju meninggalkan Melah.
Jelan tak suka disoal siasat. Mak Janda muda
ditinggalkan dalam kebingungan. Rupa-rupanya berkawan dengan orang gila tak
semudah yang Melah sangka. Melah melepaskan nafas berat sebaik melihat Jelan
terus jauh.