Malam itu
Melah hendak bersendirian di dalam bilik. Dia hendak melegakan apa yang
mendongkol di dadanya. Tak ubah macam ada batu bata yang menghimpit dadanya
yang pejal itu. Seharian dia menahan sakit hati terhadap orang tua yang tak
cukup gigi.
“Dasar
badigol Sood. Eiii... kenapa aku dipertemukan dengan alien yang entah datang dari planet mana. Tak ada tamadun
langsung!” sungut Melah.
“Kot
ya pun nak menggatal, janganlah dengan aku ni. Eiii...” Geli geleman Melah.
Dada
Melah terasa bergumpal-gumpal. Berpusar-pusar. Sendat betul. Dia tak senang
duduk. Sekejap punggungnya diletak di tepi katil, sekejap beralih ke kerusi di
meja solek dan sekejap-sekejap dia mundar-mandir sekeliling bilik.
Tak
tahu macam mana Melah hendak menggambarkan perasaannya waktu itu. Serba tak
kena. Disangkanya kampung merupakan tempat yang sesuai untuk dia memulakan
hidup baru. Rupa-rupanya ada bala yang menunggu.
“Jelan
pun satu! Bila aku nak jumpa dia batang hidungnya langsung tak nampak. Kalau
tak tu, ada je dia.”
“Ermmm...
esok aku akan tunggu dia lagi.” Melah nekad.
Selain
berdoa dan memohon kepada Allah, sebagai manusia dia masih perlukan kawan untuk
meluah. Setakat ini cuma Jelan saja calon yang sesuai untuk dia meluahkan
kesedihan. Melah pun tak mengharapkan masalahnya akan diselesaikan oleh Jelan.
Jelan
mesti mendengar! Sama ada dia hendak sengih, hendak ketawa atau menangis
sewaktu mendengar luahannya, terpulang. Apa yang penting dia memang sangat
memerlukan seseorang.
Tak
dapat meminjam bahu Jelan, dapat memindahkan bebannya ke lubang telinga Jelan
pun sudah lebih dari cukup. Memadai kalau ada seseorang yang mendengar
ceritanya. Kalau Jelan
acuh tak acuh, dia akan memaksa juga Jelan mendengarnya.
“Melah!
Mari makan! Ibu dah hidang atas meja tu.”
Panggil
Mak Chah di depan pintu. Suara Mak Chah membuat muka Jelan yang sedang
dibayang-bayangkan lesap entah ke mana.
“Tak
rasa nak makan, bu. Kenyang!” sahutnya.
Bukan
tak ada selera tapi malas hendak keluar bilik. Melah hendak bermalas-malas saja
malam itu. Hendak melayan perasaan. Bersolat sudah, mengaji pun sudah, sekejap
lagi dia mahu tidur sepuas-puasnya.
Di
luar bilik senyap. Mungkin Mak Chah sudah ke dapur semula. Kasihan orang tua
itu terpaksa makan sendirian. Tentu dia akan terkulat-kulat dan kurang
berselera. Ah! Biarlah! Melah malas memikirkan.
Tak
tahu mahu berbuat apa, Melah menghempaskan badan ke atas katil. Berombak tilam
empuknya. Bantal peluk di tepi katil ditarik lalu dipeluk kuat. Dia berbaring
terlentang. Matanya tegak merenung siling.
Satu
per satu rentetan peristiwa datang menghantui. Dari mula mengenali Arief hingga
dia diceraikan dengan talak 3. Bukan dia tak sedih tapi untuk perceraian itu dia
tak mampu menangis lagi. Semuanya sudah menjadi sejarah.
Melah
belajar melupakan Arief. Misinya hampir berjaya. Malangnya tanpa disangka,
Arief yang sudah gila talak datang mencarinya. Gilanya lebih teruk berbanding
Jelan. Sanggup dia menjejak Melah sampai ke Kampung Kemboja.
“Ah!
Malaslah ingat dia lagi! Bukan ada untung. Itulah dulu aku sayang dia setengah
mati tapi dia lebih rela ikut telunjuk ibu dia. Sekarang siapa susah?” bebel
Melah tak sudah.
“Ermmm...
sekarang ni aku pulak hidup sebumbung dengan orang yang dah hancurkan hidup aku
dulu.”
“Aku
pun hairanlah dengan diri aku sendiri. Tak normal ke aku? Sanggup tinggal
dengan orang yang dah rosakkan rumah tangga aku.” Bebelannya berpanjangan
sambil menahan mata yang mengantuk.
“Isyyy!
Entahlah. Lantaklah situ.” Matanya dipejam celik beberapa kali. Dia hendak
menghalau bisikan syaitan yang cuba-cuba menghasut hatinya.
Untuk
menghilangkan bosan, Melah berdendang perlahan dengan suara sumbang. Dia
langsung tak berbakat untuk menjadi seorang penyanyi. Penat terlentang Melah
mengereng pula.
Jari-jarinya
bermain-main dengan cadar tilam. Dibentuknya huruf demi huruf walaupun hujung
jarinya tak akan pernah mengeluarkan dakwat. Melah berharap dengan berbuat
begitu matanya akan rasa mengantuk.
“Opsss!
Pesal pulak nama Jelan yang aku eja?”
Sepantas
lipas kudung Melah duduk. Bantal diambil lalu diletakkan di atas paha. Dia menopang
dagu. Jelan datang lagi. Jelan senyum, Melah laju membalas. Jelan kenyit mata
kanan, Melah kenyit mata kiri. Jelan hendak mencium, Melah cepat mengelak.
“Adoiii...
apa dah kena dengan aku ni? Bayangkan yang bukan-bukan pulak.” Melah menutup
muka dengan kedua-dua tangan sambil tersenyum tersengih tak sudah.
Melah
merenggangkan jari-jari yang rapat. Dia mengintai Jelan, Jelan senyum besar.
Melah malu-malu sambil senyum kambing. Jelan menghampiri Melah. Melah suka!
Merah mukanya. Merona.
Jelan
yang berambut serabut paras bahu dan tak terurus masih membayangi Melah. Mukanya yang
boleh tahan lawa tak pernah nampak bersih, comot sepanjang masa. Singlet yang
dipakai itulah satu-satunya. Seluarnya pula panjang sebelah.
“Lucu!”
Melah senyum-senyum sendiri.
“Ermmm...tapi
yang peliknya kenapa badan dia langsung tak busuk ek? Bohong kalau Zara kata
bau dia macam sampah kat tempat pembuangan sampah.” Kemudian berfikir-filir
pula.
Cuma
disebabkan seorang pemuda yang kurang akalnya, Melah jadi kalut. Serba tak
kena. Dia bingung sudahnya. Ejul? Melah tak pasti. Selain Pak Sood, Ejul selalu
cuba-cuba memikatnya. Bezanya Ejul jauh lebih bersopan berbanding orang tua
itu.
Antara
Jelan dan Ejul, Melah lebih selesa bersama Jelan. Jelan tak pernah menggoda dan
bercakap tak tentu hala. Dia jauh lebih bagus daripada si tua bangka, Pak Sood.
Eh! Kalau Jelan tak pernah menggodanya, kenapa pula dia yang tergoda? Ah!
Susahnya!
“Grrr...ya
ke aku ada hati dengan Jelan? Ah! Mustahillah. Ya Allah, aku ni dah kurang waras
ke apa?” Melah ketakutan.
“Huh!
Makin aku nak elak, makin kuat pulak Jelan datang. Apa nak jadi ni?” Melah
membaling bantal ke dinding supaya bayangan Jelan pergi.
‘Ingat
Melah! Dia tu tak siuman... gila! Walaupun kau tak suka orang panggil dia gila,
hakikatnya dia memang gila!’ suara hati Melah memberi amaran.
“Iya...
iya... aku tau.” Gumam Melah membentak diri sendiri.
“Melah!”
suara Mak Chah kedengaran lagi di luar bilik. Mungkin dia sudah makan.
“Ya
bu!”
“Kalau
kamu rasa nak makan, ibu ada tinggal nasi dengan lauk. Ibu nak masuk tidur
dah.” Beritahu Mak Chah.
“Baik
bu.”
Bekas
ibu mertuanya berlalu, masuk ke dalam bilik. Melah meraba-raba perutnya untuk
memastikan dia tak terlalu lapar. Bukan tak lapar tapi malas hendak berjalan ke
dapur. Bukan saya malas hendak ke dapur, hendak menyuap nasi pun dia malas.
“Ibu
dah masuk tidur aku pun nak tidur jugaklah.”
Lampu
tidur dinyalakan mengganti lampu kalimantang. Suasana bilik menjadi suram.
Melah menarik kain selimut sampai paras dada. Dia membaca apa yang perlu
termasuklah doa tidur. Kelopak mata yang masih belum mengantuk dirapatkan.
Seminit,
lima minit, setengah jam, satu jam... ah! Makin segar matanya. Semuanya gara-gara
otaknya tak mahu berehat. Asyik bergerak ke sana ke mari. Ada-ada saja yang
singgah dalam kepalanya. Termasuklah Jelan.
“Dia
lagi!”
Kali
ini Melah duduk melutut. Diperhatikan sekitar bilik yang suram. Sunyi. Itu baru
gelap bilik tidur, belum lagi dalam kubur. Kubur? Huh! Seram! Cepat Melah
menepis bayangan yang entah apa-apa. Ternyata otaknya masih hendak bergerak
aktif.
Nampaknya
belum sampai masa untuk Melah tidur dan bermimpi yang indah-indah. Melah
teringin sangat bermimpikan Rasulullah s.a.w tapi dia banyak dosa. Entah
sebesar mana dosa yang dah dilakukan. Sama ada sedar atau pun tak. Layakkah
dia?
“Macam
ni gayanya alamat tak tidur sampai pagi aku ni. Penat je cuba pejam-pejamkan
mata.” Keluh Melah lalu baring semula.
“Jelan.”
Terpacul nama Jelan dari mulutnya.
Kepalanya
mula ligat berfikir. Dia hendak mengingati semuanya dengan kepala dingin.
Diingat-ingati semula kali pertama kenal Jelan sampailah ke hari ini. Semua
menyenangkan. Tak pernah sekali pun Jelan menyakiti hatinya.
‘Ya
Allah... apa kena dengan aku? Tiap kali jumpa Jelan aku rasa aman, tenang. Rasa
lapang. Macam ada sesuatu yang tarik-tarik hati aku ni.’
Mulut
Melah sudah penat mengomel dan membebel. Cuma kata hatinya saja yang belum
letih. Bercakap dan terus bercakap. Bila hatinya membisikkan tentang perkara
yang satu itu. Otaknya tak pula menafikan. Bahkan menyokong penuh tanpa
ragu-ragu.
‘Aku
ni ada hati dengan Jelan ke?’ Was-was pula dengan diri sendiri.
‘Dah
parah aku ni.’
‘Tak
boleh jadi ni!’
Dia
melompat dari katil. Memasang lampu kalimantang supaya biliknya terang semula.
Risau pula bila membayangkan dia menaruh hati pada Jelan. Ah! Gawat kalau macam
tu. Melah ketakutan. Takut pada perasaan sendiri.
“Pening
aku! Aku yang dah tak betul ke dia yang kurang waras?” mulutnya bergumam lagi.
Mengambil alih tempat hati yang hendak duduk diam-diam.
Sudah
dua jam Melah duduk, baring dan mundar-mandir. Hendak tidur biji mata makin besar.
Belum sekali pun dia menguap. Sedangkan jam di dinding sudah hampir pukul 10 malam.
Niat hati hendak tidur cepat terbantut gara-gara seorang lelaki yang kurang
siuman bernama Jelan.
“Ada
ke orang yang bercinta dengan orang gila? Eh! Bukan gila... cuma tak sihat je.”
Melah berusaha untuk menyedapkan hatinya sendiri.
Siapa
yang berani bermain api? Sebelum berlaku permainan perasaan yang pelik lagi
memelikkan lebih baik Melah memujuk rayu hatinya supaya tak melakukan yang
aneh-aneh. Melah marah pada diri sendiri. Kalau boleh hendak ditampar pipi
gebunya biar dia tahu diri.
“Ini
semua kerja syaitan ke? Ke aku sendiri yang memang nak menempah penyakit?”
Tegak
bulu roma Melah. Apa taknya, kalaulah betul dia sudah terjatuh cinta dengan
Jelan, haru jadinya. Hidupnya bakal tunggang-langgang dan huru-hara. Masalah
dengan Arief belum selesai sudah muncul masalah baru.
“Huh!
Tak boleh layan ni. Lebih baik aku ambik wuduk, mengaji lagi. Mana tau setan
yang mula nak goda aku akan lari tak cukup tanah.”
Melah
bergegas ke bilik air. Dia mesti menyelesaikan masalah itu malam itu juga. Pagi
esok dia tak hendak ingat apa-apa lagi. Biar karut marut perasaan peliknya itu hilang
lenyap dibawa angin pagi.
Keluar
dari bilik air, Melah menyarung kain telekung. Senaskhah Al-Quran diambil dari
tempatnya. Dibuka dengan cermat dan dibaca dengan tertib. Mujur dia sudah
khatam Quran sejak berumur 10 tahun.
Kalau
tak sudah tentu lidahnya payah hendak menyebut kalimah suci yang Allah perturunkan
sebagai panduan hidup hamba-NYA.
Melah
memilih untuk membaca surah Yasin. Surah itu mempunyai aura yang tersendiri
untuk menenangkan hati. Semoga hati yang bergolak akan setenang air yang
mengalir di batuan yang licin dan sejuk.
“Mengaji
ke menantu aku?” Rupa-rupanya Mak Chah juga masih belum tidur.
Orang
tua itu hendak ke dapur semula untuk minum. Kering pula tekaknya. Sempat juga dia
memasang telinga. Dia mengurut-urut dadanya. Rasa kesal tak berkesudahan.
Sampai mati pun dia tak akan dapat melupakan dosanya terhadap Melah.
Mak
Chah tahu Melah sudah lama memaafkan dirinya. Sanggup pula menumpangkan dirinya
di rumah itu. Malahan makan pakainya Melah yang menanggung. Sedangkan dia belum
dapat memaafkan dirinya sendiri sebab perbuatan buruknya.
“Ya
Allah... Engkau pelihara hambu-MU yang berhati mulia itu. Mudahkanlah jalan
hidupnya ya Allah. Berilah kebahagiaan buatnya.” Doanya buat Melah.
Tanpa
sedar ada air mata panas yang jatuh ke pipi, mengalir dengan laju. Bilik Melah
ditinggalkan, Mak Chah berlalu ke dapur. Dia berjalan lemah sambil sesalan demi
sesalan terus mengganggunya.
Dosa
akan sentiasa membayangi orang yang melakukannya. Hati tak akan tenang dan
hidup akan selalu gelisah. Mak Chah sangat beruntung mendapat kemaafan daripada
Melah. Dia tak mampu membalas kebaikan bekas menantunya itu.
“Tak
sudah lagi dia.”
Bila
Mak Chah berpatah balik selepas minum, suara halus Melah masih kedengaran.
Sejak menjadi menantunya dulu, begitulah Melah. Setiap kali bersedih dia akan
menjadikan Al-Quran sebagai teman. Di situlah tempatnya meluahkan perasaan.