Sengaja Melah
menunggu Jelan sebelum ke rumah pelanggan. Dia duduk di gerai nasi lemak yang
sudah tak digunakan lagi. Tuan punya gerai memang tak pandai berniaga. Hendak
pusing modal duit untung entah ke mana. Sudahnya gerai itu ditinggalkan begitu
saja.
Melah
tak menghiraukan orang yang lalu-lalang. Dia berharap benar Jelan akan muncul.
Dia perlukan kawan untuk meluahkan apa yang terbuku di dada supaya hatinya akan
lega. Sama ada Jelan faham atau tak, itu soal kedua. Yang penting ada yang
mendengar.
“Mana
dia ni?” Melah mula gelisah bila melihat jam di tangan. Sudah hampir 2 jam dia
menunggu di situ. Dia tertinjau-tinjau ke kanan dan ke kiri jalan.
“Melah!”
Bukan Jelan yang muncul, sebaliknya Gayah yang melambai-lambai. Melah malas
mahu mendekati lalu dia melambai semula jirannya itu.
“Kak!
Sini!” panggil Melah.
Laju
saja Gayah datang ke tempat Melah. Melah senyum tak sudah. Terasa-rasa ada
rezeki yang akan masuk. Bayar tunai atau hutang dia tak pasti lagi. Dia percaya
jirannya yang seorang itu. Sudah dua kali membeli barang kemas daripadanya.
Beberapa
hari lepas Gayah sudah membayar baki hutangnya. Kadang-kadang Gayah liat juga dan banyak alasan tapi dia tetap akan
membayar hutang sebaik saja suaminya mendapat gaji.
“Amboi!
Kamu Melah... tunggu siapa ni?” soal Gayah itu bila sudah berada di tempat
Melah menunggu Jelan.
“Jelan...
tak nampak pulak batang hidungnya. Akak ada nampak dia?” ujar Melah jujur.
Tak
ada yang perlu disembunyikan. Dia bukannya hendak melakukan perkara yang tak
baik. Lagi pun Jelan tak ubah macam budak-budak. Entah bernafsu dengan
perempuan, entahkan tak.
“Entah
ya. Tak nampak pulak. Keluar je dari rumah kamulah orang pertama yang akak
nampak. Akak pun apa lagilah.” Gayah macam tak sabar saja hendak mengatakan
sesuatu.
“Banyak
lagi barang kamu, Melah?” Matanya menjeling beg hijau keras di tepi Melah.
“Ada
je kak. Akak nak apa ya?”
“Aku
ni nak ikut rombongan. Tu yang nak melaram sikit.” Lalu jiran itu sengih tak
sudah.
“Wah!
Bestnya akak! Ke mana tu?” teruja
juga Melah mendengarnya.
“Tak
le jauh mana, ke Cameron Highland
je... tapi aku nak bergayalah jugak. Gelang tangan yang gedabak hari tu ada
lagi ke Melah.” Teruja jirannya berganda lagi.
Tanpa
diminta Melah membuka zip beg hijaunya. Berkilau emas sadur Billion di dalam
beg itu. Kalau sekali pandang tak ubah emas 916. Warnanya saling tak tumpah.
Saduran emas 24 karet memang berkualiti.
Orang
yang peluhnya masin macam garam laut saja akan mempercepatkan saduran emas itu
memudar. Kalau tak, memang langsung tak bermasalah. Selain daripada itu emas
sadur alah pada cuka.
“Yang
ni ke akak?” Melah mengeluarkan gelang daripada beg itu.
“Ermmm...
aku rasa bukan yang ni. Kalau tak silap ada campur emas putih.
Melah
cuba mengingati gelang tangan yang dimaksudkan jirannya itu. Matanya pula
sesekali merayau mengharapkan Jelan akan muncul. Hampa. Masih tak nampak
kelibat Jelan dengan sebelah selipar buruknya.
“Yang
corak dia melintang ya akak?” Melah hendak memastikan.
“Hah,
yang tu!”
“Ala,
akak... yang tu dah ada orang lain ambik. Apa kata akak ambik yang ni je. Ni design baru tau, akak. Ramai orang
bandar pakai yang ni. Kalau akak pakai, perghhh! Macam mak datin je.” Ampu
Melah untuk menarik perhatian pelanggan.
Bukan
bodek tak ikhlas. Memang reka bentuk gelang itu paling laris jualannya. Harga
pun berpatutan. Dengan jirannya yang seorang itu Melah akan berlebih kurang.
Tiga kali ansuran pun dia tak kisah. Bila orang baik, seribu kali Melah akan
membalas kebaikan itu.
“Phewittt!
Hai Melah janda!”
Melah
menoleh ke kanan jalan. Sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang anak muda
melewati tempatnya berdiri. Dia melihat anak muda itu tersengih ke arahnya.
Gatal! Hatinya menggerutu geram. Sempat lagi anak muda itu mahu menguratnya.
Melah malas hendak melayan.
“Kurang
ajar mulut tu!” Sebaliknya jiran Melah yang geram.
“Biarlah
akak. Melah dah lali. Buat tak tau sudah.” Itulah pendirian Melah.
“Oh
ya, yang akak nak tu dah tak ada. Yang ni boleh ke akak? Atau kalau akak nak
yang macam tu jugak, bagi saya masa. Saya akan ambik stok kat bandar.” Lebih
baik dia bercakap tentang jualan daripada memikirkan mulut-mulut longkang yang
busuk.
Gayah
diam sekejap. Tangan kanannya mengusap-usap dagu. Rombongan itu akan bertolak
dalam masa 2 hari lagi. Takut pula Melah kesuntukan masa. Kalau tangannya bogel
tak bergelang semasa rombongan nanti, tak seronok pula.
Kawan-kawan
yang lain lip lap lip lap barang kemas mereka. Tak mampu membeli emas 916, yang
sadur pun jadilah. Bukan orang tahu dia memakai emas sadur. Tak nampak perbezaan
warna emas sadur 24 karet dengan emas 916.
“Dah
suntuklah Melah. Akak ingat ambik yang ini je.” Keputusannya bulat. Nekad.
“Boleh
akak... boleh.” Laju saja Melah membalas. Kata orang rezeki yang ditolak.
“Errr...
tapi aku dah banyak habis duit. Duit tambang... duit jajan kat sana nanti.”
Berkias-kias pula dia. Hendak main redah malu pula. Dalam hati sudah mengenyam
hendak gelang sadur Melah.
“Akak
ni macam tak biasa je. Melah faham... tiga kali bayar ya akak.” Tawar Melah
dengan senyum ramah. Spontan Gayah angguk laju-laju. Melah sengih melihatnya.
Sesudah
angguk laju, Gayah tergaru-garu kepala pula. Agaknya ada kutu yang sedang
berpesta di sebalik helaian rambut yang diserkup dengan kain tudung. Melah pula
mengintai-intai ke kanan dan kiri jalan. Hampa... Jelan masih belum muncul.
“Nak
cakap sikit ni Melah.” Puas menggaru kepala jirannya bersuara.
“Ya,
akak.”
“Aku
nak bayar deposit pun tak cukup duit. Macam mana ya?” Mulalah dia malu-malu
kucing. Melah yang sudah menjangka keadaan itu tenang saja.
“Tak
apa akak. Bayar ansuran terus.” Dia pun bertolak ansur.
Bukan
main suka lagi jiran Melah. Kembang hatinya. Nampaknya dia tak kalah bergaya
berbanding kawan-kawannya nanti. Pergelangan tangannya akan lip lap lip lap
juga. Tak kalah dengan kawan-kawan rombongannya.
Melah
ikut seronok bila melihat pelanggannya gembira. Tak kisahlah kalau duit jualan
lambat sampai ke tangannya. Berniaga sendiri perlu kesabaran. Melah selalu
berdoa mudah-mudahan satu hari nanti dia akan mampu menjual emas 916 yang jauh
lebih mahal harganya.
Melah
memberi kad jaminan untuk menyadur semula gelang tangan itu kalau warnanya
sudah pudar. Gelang tangan itu dimasukkan ke dalam bekas baldu lalu diserahkan
kepada pembeli.
Besar
senyuman Gayah yang akan menyertai rombongan ke Cameron Highland. Dia
mengucapkan terima kasih kepada Melah. Dia juga berjanji akan membawa ole-ole
untuk Melah. Sudah tentu buah Strawberi dan serbuk teh yang wangi.
“Aku
balik dulu ya Melah.” Dia minta diri lalu Melah angguk dan senyum. Semasa dia memusingkan badan, telinga jirannya menangkap bunyi motosikal yang tersengguk-sengguk.
Dia menoleh ke kanan jalan kemudian memberitahu sesuatu kepada Melah.
Melah
menunjukkan muka bosannya. Lagi-lagi dia! Stok yang sudah sampai tarikh luput
tapi tetap berlagak muda. Berdepan dengan orang tua itu boleh buat Melah sakit
jiwa, sakit hati dan sakit segala-galanya.
Sesudah
memberitahu, jirannya itu berjalan laju balik ke rumah. Tak sabar hendak
mempamerkan gelang tangan baru kepada suaminya. Dia tak peduli kalau suaminya
yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah membebel memarahinya sebab
berhutang lagi.
Melah
yang ditinggalkan kelam-kabut mengemas isi beg hijau kerasnya. Dia mahu cepat
pergi dari situ. Bala sedang menghampiri. Buat apa ditunggu lagi. Melah berdoa
supaya bala itu jangan mendekatinya.
“Alaaa...
orang nak cepat, jatuh pulak rantai leher ni.”Melah tunduk untuk mengambil rantai leher yang
jatuh. Bila hendak cepat ada-ada saja yang tak kena.
“Melah...
tak sia-sia abang lalu sini. Macam diseru-seru je. Macam ada jodoh je.”
Harapan
Melah sia-sia. Bala sudah ada depan mata. Macam biasa Pak Sood
menyengih-nyengih kegatalan. Melah terasa macam disengat kala jengking.
Bosannya dia! Jelan yang ditunggu, Pak Sood yang datang.
Orang
tua yang terlebih akal berbanding Jelan itu memang tak tahu malu. Sudahlah
hidungnya memang tak mancung, pipinya pula tersorong-sorong. Terhegeh-hegeh tak
sudah-sudah.
Melah
memerhati Pak Sood dari atas sampai bawah. Bergaya betul orang tua itu. Dalam
cuaca panas sanggup dia memakai kot hitam tahun 70annya. Agaknya kot zaman
mudanya. Seluarnya yengkinya menampakkan Pak Sood macam badut tua. Out of date!
Jambul
Pak Sood bukan main lagi. Entah sudah berapa kali rambut putihnya diwarnakan.
Warna hitamnya tak nampak asli lagi. Cermin mata hitam sengetnya jangan dikata.
Kelakar! Agaknya Pak Sood sudah rasa cukup lawa bila berpakaian macam itu.
“Merepek!”
tempelak Melah sesudah puas melihat fesyen ketinggalan zaman Pak Sood.
“Eiii...
semakin Melah marah semakin geram abang nengoknya.” Dasar Pak Sood yang memang
tak tahu diri. Ukur baju memang tak pernah padan dengan badan sendiri.
“Atuk!
Jodoh atuk tu lebih dekat dengan batu dua. Sudah-sudahlah atuk, bawak-bawak
insaf.” Tak kuasa lagi untuk Melah bersopan santun.
Dia
mengambil beg yang sudah dikemas dengan keras. Melah mahu pergi dari situ. Tak mengapa kalau tak dapat berjumpa Jelan, esok
dia akan menunggu kawan baiknya itu lagi. Dia sudah jelak dengan kerenah Pak
Sood.
Melah
melangkah untuk pergi supaya tak perlu berdepan dengan si tua kerepot lagi.
Hari demi hari rasa hormatnya kepada Pak Sood semakin hilang. Bukan salahnya
tapi orang tua itu sendiri yang mencari fasal.
“Kita
dating dululah Melah, masih awal lagi
ni. Jangan balik dulu.” Pantas pula Pak Sood menghalang laluan Melah.
‘Orang
tua ni faham ke apa benda dating tu? ke main sebut je?’ ejek Melah dalam hati.
“Tak
fahamlah. Apa benda dating tu?” suara
Melah keras. Biar orang tua tak cukup gigi itu benci mendengarnya.
“Jumpa-jumpa.
Kekasih jumpa kekasih.” Yakin betul Pak Sood.
Senyuman
Pak Sood membuat Melah hendak muntah. Kenapalah abah si Zara lupa diri?
Sedangkan umurnya dan umur Zara tak jauh jaraknya. Salah seorang cucu Pak Sood
pun umurnya lebih kurang Melah saja. Dasar buaya tua yang gatal!
“Kekasih
atuk kat rumah nun. Saya ni dah pangkat cucu.” Entah kali yang ke berapa Melah
mengingatkan perkara yang sama. Agaknya orang tua itu sudah nyanyuk.
Muka
tak bersalah Pak Sood semakin menyakitkan hati. Kalau diikutkan hati Melah mahu
saja dicabutnya baki gigi orang tua itu. Tak kiralah dengan apa. Kalau terpaksa
gunakan penumbuk pun Melah sanggup. Sudah tentu tunggul gigi orang tua itu
sudah tak kuat lagi.
“Tepilah
orang nak lalu!” marah Melah lagi.
“Abang
tak akan lepaskan Melah.” Goda Pak Sood dengan mata yang dikecilkan.
‘Tak
terliur langsung!’ umpat Melah.
“Atuk,
saya cakap baik-baik ni. Ke tepi, saya nak lalu. Saya nak bekerja, cari
rezeki.” Kali ini Melah agak berlembut. Mana tau Pak Sood yang mendengar kata.
“Kerja,
kerja jugak Melah. Abang tau dah tentu kamu rindu lelaki. Malam-malam mesti
kamu sunyi. Dah lama kamu sendiri kan?” godaan Pak Sood memang jijik!
Tebal
telinga Melah mendengar karut marut Pak Sood. Terasa hendak terkeluar tahi
telinganya. Apalah bebalnya orang tua itu. Dalam umurnya yang sudah bangka tak
seharusnya dia bercakap perkara yang tak sopan macam itu.
Tangan
Melah sudah terasa ringan hendak melempang muka Pak Sood tapi bila difikirkan
tapak tangan halusnya akan tersentuh kulit kerepot orang tua itu, dia
membatalkan niatnya. Melah tak rela tapak tangannya dinodai kulit muka Pak Sood
yang kasarnya macam kertas pasir itu.
Melah
mencari akal. Dia hendak melakukan sesuatu yang akan membuat Pak Sood serik
untuk mengacau dan menggodanya lagi. Biar berbekas di hatinya. Pantang betul
Melah bila ada orang yang memandang rendah pada status mak jandanya.
Dia
masih ada pegangan dan belum kebulurkan lelaki. Malahan dia takut untuk
bercinta lagi. Apa yang sudah berlaku dalam rumah tangganya membuat dia serik. Sesedap
rasa saja orang tua itu menganggap dirinya yang bukan-bukan.
‘Motor
tu ada gunanya jugak.’ Motosikal semput Pak Sood dijeling Melah. Melah senyum
besar. Dia sudah dapat akal.
“Abang
Sooddd... abang suka Melah kan?” Kali ini mata Melah pula yang dikecilkan.
“Isyyy...
macam tulah. Bukan saja suka tapi sayang. Abang sayang Melah. Eiii, geramnya
abang.” Bergandalah gatalnya si tua bangka.
‘Uwekkk...
nak pengsan aku! Nanti kau!’ bisik Melah yang sudah mula mual.
“Kalau
sayang, abang mesti belikan Melah Harley
Davidson.”
Melah
bercakap separuh hati sambil menahan gelodak perutnya. Rasa hendak terberak
bila melihat ulat bulu tua sudah naik daun lagi.
“Oh,
yang macam unta padang pasir tu?” soalnya lalu Melah angguk.
“Mesti!
Abang akan belikan untuk sayang abang.” Beria betul Pak Sood.
‘Tolong!
Tak boleh nafas! Oksigen! Oksigen!’ ejek Melah dalam hati. Rasa hendak ketawa,
sekali gus hendak menangis bila berdepan dengan makhluk yang tak sedar diri.
Motosikal
Pak Sood dihampiri. Melah duduk di belakang motor. Diusap-usap badan motor itu
kemudian dicium pemegangnya. Dia senyum tak sudah. Bukan senyum menggoda tapi
senyum hendak mengena. Biar Pak Sood tahu rasa.
“Bawak
Melah pusing-pusing kampung, boleh tak Abang Sood?” lalu Melah senyum lagi.
Pak
Sood apa lagi. Cepat saja dia hendak melangkah mendapatkan Melah. Sebaik
kakinya diangkat dia menyeringai. Sakit pinggangnya datang tiba-tiba. Maklumlah
pinggang tuanya sudah bergred C. Cuma hatinya saja yang masih muda belia.
Itulah sebabnya dia masih hendak menggatal
Untuk
tak memalukan diri sendiri, Pak Sood berlagak macam biasa. Sakitnya
ditahan-tahan. Mana boleh lepaskan peluang membonceng Melah. Siapa yang tak
bangga kalau dapat membawa Melah lawa yang bergetah itu. Lebih bangga bila dia
dapat mengalahkan pemuda-pemuda kampung yang merebutkan Melah.
“Cepatlah
abang.” Panggil Melah lagi.
“Ya...
ya, abang datang ni.”
Dengan
terdengkot-dengkot Pak Sood cuba berjalan cepat. Geli hati Melah melihatnya.
Sebaik saja Pak Sood sudah menghampiri motosikal semputnya, Melah bangun lalu
beralih ke sebelah sana motosikal.
Pak
Sood terhenti sambil memerhati. Kata hendak pusing-pusing kampung, kenapa pula
Melah turun dari motosikalnya? Agaknya Melah hendak bermanja-manja.
“Mari
Melah sayang.” Beria-ia betul Pak Sood.
“Jom
atuk! Kita ronda kampung!” Sepantas kilat Melah menolak motosikal cabuk Pak
Sood. Pak Sood yang tak sempat hendak melompat sudah tertindih kakinya.
“Adoi!
Kau nak kenakan aku rupanya!” erang Pak Sood yang sudah terbaring di atas
rumput.
Mujur
yang menindih hujung kakinya cuma tempat duduk motosikal yang kurang keras. Kalau
tak sudah tentu patah pergelangan kakinya.
“Pandai-pandailah
atuk nak bangkit. Lain kali jangan hina saya macam tu lagi. Saya masih ingat
Tuhan, belum kebulurkan jantan. Lagi-lagi jantan kerepot macam atuk ni.”
Puas
hati betul Melah. Rancangannya sudah berjaya. Dia berharap orang tua itu tak
akan berani mengganggunya lagi selepas ini.
“Sampai
hati kamu Melah.” Suara Pak Sood tersepit macam kakinya yang tertindih tempat
duduk motosikal.
“Bye!
Selamat tinggal atuk... tunggu ajelah kot-kot ada orang yang lalu kejap lagi.”
Melah pergi dengan gembira.
Pak
Sood cuba menarik kakinya tapi tak berjaya. Malahan simpul mengkarung pula
datang menyerang. Berkerut-kerut dahinya menahan sakit. Sudahnya dia terus
terbaring di atas rumput.
Pak
Sood mengerang seorang diri. Dia mengharapkan akan ada orang kampung yang
menolongnya. Tak kisahlah siapa, Jelan senget pun tak apa walaupun dia tak suka
Jelan yang selalu dapat bersama Melah.
“Melah...
abang tak marah Melah. Abang makin sayang Melah. Nakalnya Melah.”
Kalaulah
Melah mendengar apa yang Pak Sood katakan sudah tentu dia menangis
guling-guling. Sudah dikenakan cukup-cukup masih juga tak sedar diri.
Apalah
malangnya nasib Mak Biah, dapat suami berjiwa muda walaupun sudah masuk dalam
kategori antik dan layak dijadikan bahan pameran di Muzium Negara.