Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
137,570
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11



“Huh!Tak boleh ke kalau tak ada lelaki dalam dunia ni. Penatlah aku macam ni! Kenapa lelaki suka sangat cipta masalah untuk aku... eiii!”

Penat betul Melah. Sudahlah di pekan tadi dia bertembung dengan lelaki yang tidak pernah sedar diri. Suka berlagak muda! Sakit hati Melah! Di mana-mana ada saja Pak Sood.

Sudahlah begitu, sesuka hati saja orang tua itu hendak mengganggunya. Senang-senang berkelakuan seperti dirinya itu buah hati pengarang jantung orang tua itu.

Nasib baik ada Ejul. Hairan juga Melah. Semuanya seperti kebetulan saja. Ejul ke pekan pada hari yang sama. Bezanya Melah menaiki bas sedangkan Ejul dengan kereta Sartia Neo kesayangannya.

Sebaik Pak Sood ternampak Ejul menghampiri Melah, kelam-kabut dia pergi. Ejul sudah menyelamatkannya. Sesudah berbasi-basi, Melah minta diri. Kalau dia tidak melayan Pak Sood, dia juga tidak akan menghabiskan banyak masa dengan Ejul. Mereka adalah lelaki!

Sebelum hari terlalu petang, Melah menahan bas untuk balik ke rumah. Ejul seolah-olah tahu waktu baliknya. Entah daripada mana dia muncul, Melah langsung tidak menyedari. Seperti adamagicpula cikgu muda itu.

Ejul menawarkan diri untuk menumpangkan Melah, tapi Melah terpaksa menolak. Bukan hendak jual mahal, tidak sopan kalau dia menumpang kereta orang bujang.

Biarlah dia bersusah payah menaiki bas asalkan tidak menjadi buah mulut orang yang selalu memandang serong kepadanya. Melah juga takutkan kemarahan ALLAH kalau dia berdua-duaan dengan Ejul di dalam kereta.

“Nak keluar ke tak ni? Kalau aku tak keluar, parah pulak ibu.” Gelisah dan tak senang duduk Melah dibuatnya. Punggungnya terasa panas pijar.

Hati Melah bengkak. Sebaik sampai di rumah, Arief sudah menunggunya di ruang tamu. Cepat-cepat Melah masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu dari dalam. Berkali-kali Mak Chah memanggilnya. Melah buat-buat pekak.

Beg hijau kerasnya dihumban ke katil. Nafasnya turun naik tidak keruan. Kalau diikutkan hati mahu saja dia menjerit supaya Arief tahu dia tidak mahu berjumpa lelaki itu. Arief bukan suaminya lagi.

Dalam keadaan penat perasaan marah memang mudah datang. Lebih-lebih lagi bila terpaksa berdepan dengan dudanya yang asyik menagih cinta.

“Apa lagi yang dia nak? Tak larat aku nak layan.” Sakit hatinya.

Badan yang memang penat bertambah penat. Melah sedar selagi Mak Chah duduk bersamanya, Arief akan selalu datang ke rumah itu. Mahu saja Melah meminta bekas ibu mertuanya keluar dari rumah itu dan tinggal bersama Arief... tapi tidak sampai hati pula hendak meluahkan.

“Nak... keluarlah sekejap. Kalau bukan untuk Arief, buat untuk ibu ya.”

Pujukan Mak Chah di luar bilik membuat Melah rasa lemas. Apa lagi yang lelaki tak berguna itu mahukan? Mak Chah pula tidak faham-faham yang dia selalu mengelak untuk berjumpa Arief. Ada masanya orang tua itu memang menyebalkan.

“Melah penatlah bu... Melah nak rehat.”

Mahu atau tidak, Melah tidak boleh berdiam. Dia menghampiri pintu bilik dan menjawab perlahan. Dalam hati kecilnya mengharapkan supaya Mak Chah faham. Sayangnya Mak Chah masih tetap memujuknya.

‘Hah! Aku masih perlu ikut kata dia ke? Dia siapa? Bencinya!...”

Melah mengetap bibir. Menahan marah dan sakit hati. Kepada siapa? Dia sendiri tidak pasti. Selalu juga dia memarahi diri sendiri sebab mencari masalah dengan menumpangkan Mak Chah di rumah itu.

Bila fikiran waras mengganti kemarahan, dia memujuk hati. Tidak salah membantu orang yang memerlukan. Tolong-menolong sesama saudara seagama amat digalakkan. Tapi... hah! Dia selalu tersepit dengan keadaan.

“Sekejap aje, nak. Selesaikan masalah dengan baik.” Pujukan Mak Chah masih masuk ke telinga Melah.

“Masalah apa lagi bu? Semua dah selesai kan?” suaranya cuba dikawal sebaik mungkin.

Dia juga cuba memahami yang kasih ibu kepada anaknya tidak pernah berkesudahan. Tidak ada tepiannya. Beritulah keadaan Mak Chah sekarang ini.

“Hmmm... entahlah Melah. Cuma ibu minta... Melah keluarlah. Kalau tak, Arief akan lebih lama lagi dalam rumah ni.”

Ada juga munasabahnya alasan Mak Chah. Melah menarik nafas untuk menenangkan sedikit fikirannya. Dia cuma bersimpati terhadap wanita itu. Untuk, entah kali yang ke berapa.

‘Arghhh!... lelaki memang memenatkan. Sana sini lelaki. Nak elak lelaki, tetap ada juga dorang ni! Sampai dalam rumah aku pun ada lelaki!’ omel Melah dalam hati.

Dek rasa marah Melah hampir terlupa akan fitrah dunia. Mana ada dunia yang tidak ada lelaki? Kaum Adam ada di mana-mana saja. Selagi ada wanita, sudah tentu adanya lelaki. Lelaki dan wanita saling lengkap melengkapkan antara satu dengan lain.

“Melah!” suara di luar pula tidak bosan-bosan memanggilnya. Huh! Terasa hendak keluar tanduk Melah. Marah yang cuba dikawal tetap menggoda nafsunya.

“Iya, bu... yalah, Melah keluar ni.” Hembusan nafas kuat dilepaskan lagi. Sebal alias jengkel!

Dengan malas daun pintu ditarik lalu Melah keluar dengan macam-macam perasaan yang bergabung menjadi satu. Dasar lelaki! Jangan ingat dirinya sebiji bola. Ditendang bila tidak suka, diambil semula bila dikehendaki.

Kalau diberi pilihan dia lebih rela menjadi bola ragbi. Sentiasa direbut-rebut bila diperlukan dan dipeluk-peluk bila sudah berjaya dimiliki. Dipertahankan sampai ke titisan peluh yang terkahir.

Masih adakah lelaki yang sudi mempertahankannya sebegitu? Kalau ada alangkah bahagianya... Jelan? Ah! Jelan lagi yang muncul dalam kepalanya. Apalah yang lelaki senteng itu boleh lakukan? Hendak menjaga diri sendiri pun dia tidak mampu.

“Jelan... Jelan. Janganlah kau goda aku!” Tanpa sengaja bibir Melah menyebut nama Jelan. Selepas itu dia tersenyum-senyum sendiri.

‘Ada harapan ni! Dia senyum dengan akulah!’ desis Arief suka.

Arief yang melihat Melah berjalan menghampirinya sudah perasan sendiri. Kalau Melah sudi menghadiahkan senyuman kepadanya bermakna janda talak tiganya itu sudah memaafkan kesalahannya. Ini peluang baik! Dia membuat telahan sendiri.

‘Senyum... senyum. Lempang sekali, baru tau!’ gerutu Melah pula sebaik melihat Arief asyik tersenyum tersengih memandangnya. Nasib baik Arief tidak mendengar bisikan hatinya.

“Melah,” sapa Arief sebaik Melah sudah dekat. Melah angguk sedikit sambil mengintai Mak Som. Ke mana pula orang tua itu? Tidak nampak batang hidungnya. Ke dapur agaknya.

“Ada apa datang rumah ni?” tanya Melah mahu tidak mahu saja. Dia tidak mahu hatinya cair dek renungan Arief yang menggoda.

Pandangan mata itulah yang sudah membuatnya jatuh cinta kepada lelaki itu... itu dulu. Sekarang dia sedang berusaha memadam nama lelaki itu daripada hatinya. Kalau tidak boleh dipadam dengan getah pemadam, dia akan memadamnya dengan perkataan TALAK TIGA.

Melah perlu sentiasa ingat pada empat suku kata perkataan itu supaya rasa cintanya terhadap Arief akan pudar dan terus mati. Sayangnya menunggu masa dia dapat betul-betul melupakan Arief adalah sangat payah buat dirinya.

“Nak tengok keadaan Mellia... nak...”

“Untuk apa?” pintas Melah pantas.

“Sayang!... sebab abang sayang Mellia abang datang ke sini.” Arief memberanikan diri.

Bulat mata Melah. Sesak nafasnya. Suara jantan Arief sedang merayunya. Suara itu masih sama sewaktu kali pertama mereka berkenalan. Romantis... ah! Melah mesti kuat! Semua itu mesti ditepis semahu-mahunya. Usah diikut kata hati, jangan diruntun jiwa muda. Itu amaran Melah kepada dirinya sendiri.

"Selama mana aku kasih, cinta dan cuba melengkapkan hidup kau dulu, tapi kau tak pernah membalas dengan sewajarnya... masa tu aku sangat kecewa. Sakit! Ngilu! Kau tak rasa, kan?

Tapiii... aku pasti ALLAH dah membayar kerugian tu untuk aku. Sekarang kau bukan lagi suamiku. Masa silam kita dah pun berlalu. Talak antara kita tak akan pernah dapat ditebus lagi."

Susahnya Melah meluahkan. Dia sedar apa yang sudah berlalu tidak mungkin akan berpatah balik. Dia mesti melawan kemahuan hati yang bertingkah dengan hakikat. Darah mudanya masih menginginkan untuk bersama Arief, tapi akalnya membentak-bentak melarang.

"Kita masih ada jalan! Apa kata, cina buta?"

Arief tetap tidak dapat menerima kenyataan. Kenyataan yang dia sudah gila talak. Beria-ia dia memberikan cadangan yang tidak masuk akal itu.

Mukanya dipenuhi harapan. Mengharap kepada Melah yang sudah diperlakukan dengan buruk sebelum ini. Tidak ada perkara yang lebih buruk untuk Melah melainkan hadiah talak tiga daripada Arief.

"Hukum mana yang kau nak halalkan? Kalau dulu kau berfikir seribu kali sebelum menyebut perkataan puaka tu, semua ni tak akan berlaku."

Bagi Melah, ia tidak semudah itu. Dia tak perlu berlembut lagi dengan Arief. Mereka sudah tidak ada hubungan istimewa lagi.

"Abang menyesal... sumpah! Percayalah! Abang betul-betul menyesal. Kalaulah abang tau kehilangan Mellia seumpama hilang sebahagian anggota..." Terhenti. Arief tunduk.

"Syhhh... tak usah kau katakan lagi. Semua dah terlewat.” Dipintas lagi kata-kata Arief.

Panas dan pedih kolam mata Melah. Seakan dimasuki habuk. Bila-bila masa saja air matanya pasti akan berjejeran. Dia mesti bertahan! Mana boleh menunjukkan kelemahan depan lelaki. Buku limanya digenggam untuk memberi semangat kepada hati supaya terus berpegang pada pendirian.

“Mellia! Janganlah buat abang macam ni... Mellia tau tak? Mellia tak pernah lekang dari ingatan abang. Siang malam abang rindukan Mellia. Nak tidur terbayang Mellia, nak makan teringat Mellia, nak mandi terkenang Mellia. Boleh jadi gila kalau hari-hari macam ni.”

Sendu saja muka Arief. Tidak ubah seperti tapai basi. Dia tunduk merenung lantai dengan ibu jari kakinya menguis-nguis kaki meja kopi. Arief hendak mengumpan rasa simpati Melah terhadap dirinya.

‘Nasiblah! Ada aku kisah?’ bisik Melah mengejek sambil cuba menutupi perasaan sebenar.

Bohonglah kalau dia tidak sayang Arief lagi. Susah betul mahu melupakan lelaki yang sudah mengoyak hatinya menjadi serpihan-serpihan kecil itu.

Bukan mudah dia hendak menampal hati yang sudah berlubang-lubang di sana-sini. Susah! Hatinya yang dulu berwarna merah sudah lebam birat dek torehan luka yang lelaki itu hadiahkan. Sekarang baru dia tahu rasa! Padan muka!

“Kalau setahun dulu, masa aku jadi isterimu... kau bebas untuk ucapkan rindu sebab aku adalah hakmu. Sayangnya dalam keadaan sekarang, kalau kau sangka perasaan itu satu kerinduan yang tak boleh kau tahan-tahan... kau dah tersilap.”

Melah merenung jauh ke luar tingkap yang terbuka lebar. Angin petang menampar-nampar pipinya yang mulus. Nasib baik angin memahami bahang hatinya. Tiupan lembutnya membantu memberi kesejukan yang sangat nikmat.

“Maksud Mellia?” Merah muka Arief. Malu. Dalam hati pula sudah sarat dengan kekesalan.

“Ya, kau silap. Tak akan ada rindu seorang lelaki yang dah menjatuhkan talak pada pasangannya.” Melah menjeling Arief yang terus tunduk.

“Yang ada cuma nafsu, ego dan sesalan. Ucapan rindu seorang lelaki sebenarnya satu pembohongan bila dia tergamak mencuri tabungan seorang perempuan yang sedang cuba hidup berdikari. Sadis!”

Inilah masanya untuk mengenakan lelaki tidak berguna itu walaupun dalam masa yang sama dia terpaksa memerangi keinginannya sendiri. Keinginan untuk terus mencintai Arief. Tidak mudah untuk Melah jatuh cinta dan tidak mungkin ada cinta kali kedua selepas Arief.

Dia sedar manusia tidak boleh terus hidup hanya dengan cinta semata. Kalau cinta sekadar mainan bibir, ia cuma akan mengenyangkan nafsu. Nafsu akan mempermainkan akal. Akal akan ditakluk oleh tipu daya syaitan.

Manusia selalu tertipu oleh cinta. Salah seorang daripadanya ialah Arief... dudanya yang selalu terlupa bahawa mereka bukan lagi pasangan yang sah.

“Abang... abang... sebenarnya bukan niat abang nak curi. Abang cuma nakkan perhatian Mellia. Ni hah... hah, abang pulangkan semula.”

"Tarik perhatian? Kau dah macam psiko! Macam orang sakit jiwa!" tempelak Melah lalu mengetap bibir. Arief bertambah malu.

Kelam-kabut Arief menyeluk poket seluarnya. Dia mengeluarkan wallet dari dalamnya lalu menarik beberapa keping rm50. Duit itu dihulurkan kepada Melah. Melah terkedu. Dia merenung lama duit itu tanpa ada niat hendak mengambilnya. Tawar hatinya.

“Ambillah... jangan buat abang rasa bersalah. Lepas ni abang akan bahagiakan Mellia!

Abang janji abang tak akan sia-siakan Mellia lagi!” senyum Arief kembang besar. Dalam kepalanya sedang menggambarkan yang indah-indah. Dia hendak membahagiakan Melah.

“Arief!... kau sedar tak apa yang kau cakap? Kita tak akan mungkin bersama lagi! Kau kena terima hakikat... antara kita dah tak ada apa-apa lagi.” Melah menegaskan.

Tanpa sedar air matanya sudah jatuh ke pipi. Tidak tahan melihat betapa Arief beria-ia mahukan mereka bersatu semula. Mengapa susah untuk Arief memahami semua itu? Talak sudah keluar daripada mulutnya, tapi dia selalu saja terlupa.

Melah juga susah untuk menafsirkan perasaannya sendiri. Dendam dan bencikah dia kepada Arief? Masih ada cinta yang berbungakah? Ah! Peduli apa dia! Benci atau cinta sudah tidak memberi apa-apa makna. Semuanya sudah berakhir! Noktah!

“Masih boleh kalau Mellia dengar cakap abang. Kita cari cina buta!” pujuk Arief sayu. Sendu sungguh hatinya waktu itu.

“Semua tu karut! Aku bukan anak patung... suka-suka kau buang, suka-suka kau nak pungut semula.”

Jari-jari Melah menyapu air mata di pipi. Dia tidak suka menangis, tapi air matanya murah benar waktu itu. Entahlah... semuanya bercampur aduk. Dalam diri Arief, tersimpan kenangan mereka bersama.

Arief pernah memeluknya dengan kasih sayang. Pernah menghiburkan hatinya semasa sedang berduka. Lelaki itu juga pernah memberinya impian. Sayang sekali impian itu sudah punah dalam sekelip mata.

“Mellia menangis? Itu tandanya Mellia masih sayang abang, kan? Masih cinta abang?”

Pipi Arief turut basah. Dia juga tidak sedar air matanya sudah mengalir di pipi. Cepat-cepat air mata itu dikeringkan dengan tapak tangannya.

“Tak!... bahkan aku tertekan! Aku terseksa! Tolonglah Arief... jangan ganggu aku lagi,” rayu Melah dengan pilu.

“Mellia bohong! Mustahil Mellia dah tak sayang abang lagi! Tak cinta abang lagi!” desak Arief yang sukar mahu menerima kenyataan.

“Ya! Ya! Ya! Aku tak cinta kau lagi! Aku benci kau! Aku benci!” esakan Melah mula kedengaran. Dia betul-betul tertekan. Ketika dia sedang berusaha untuk bahagia, Arief selalu saja merosakkan semua itu.

Duit dalam genggaman Arief jatuh sekeping-sekeping ke lantai. Dibiarkan saja. Pada waktu seperti itu terasa duit sudah tidak berguna lagi. Tidak memberi sebarang makna. Barulah Arief sedar, kebahagiaan sebenar merupakan kasih sayang dan pengertian antara dua hati.

“Abang tau Mellia tipu diri sendiri. Abang yakin Mellia masih sayang abang.” Kali ini suara Arief terdengar lirih. Dia sudah mula hilang semangat.

Tidak sudah-sudah Melah mengelap air mata. Tidak penat-penat pula air mata itu mengalir. Sebal betul Melah. Air mata bermakna dia sedang memberi kemenangan kepada Arief. Apa boleh buat, air jernih itu memang degil. Dilarang keluar masih juga mahu mengalir.

“Kalau sayang pun apa gunanya? Semua dah terlambat. Kita tak boleh putar masa lalu kita. Kita tak boleh ubah takdir yang dah berlaku. Kita kena sama-sama terima kenyataan. Jangan berharap lagi.”

Suara Melah juga sudah lemah. Seakan habis tenaganya. Kemelutnya bersama Areif membuat dia tidak berdaya lagi. Melah juga sedar hari esok masih perlu ditempuh. Suka atau tidak, hari esok tidak akan pernah sama dengan hari-hari yang sudah ditinggalkan. Sedih!

“Mellia!”

Melah tersentak sebaik mendongak. Arief sudah berdiri sangat hampir dengannya. Lelaki itu seakan hendak memeluknya. Melah yang tersentak, terus terpaku. Seluruh badannya sudah gementar. Apa yang Arief cuba hendak lakukan? Berpeluh Melah dibuatnya.

“Peluklah abang... sekali ni, Mellia.” Arief mendepangkan tangan. Matanya ditutup rapat. Penuh mengharap untuk melepaskan rindunya pada Melah.

“Abang...” Hampir lebur keteguhan hati Melah. Sudah lama dia tidak merasai kasih sayang Arief. Sejujurnya dia juga merindui masa lalu mereka. Melah sudah bersedia tenggelam dalam pelukan Arief.

“Astaghfirullah!... jangan! Jangan! Apa kita nak buat ni? Ni semua dosa!...” Belum sempat badan Arief rapat ke badannya, Melah cepat-cepat mengelak. Dia seakan baru tersedar daripada mimpi yang mengkhayalkan.

Tanpa memberi peluang Arief menyatakan sesuatu, Melah sudah berlari laju. Ruang tamu dan Arief ditinggalkan begitu saja.

Melah masuk ke dalam bilik semula dan mengunci dari dalam. Dia menghempaskan badannya ke katil sambil menangis teresak-esak. Mukanya disembamkan ke atas tilam untuk menyorokkan bunyi tangisan.

“Mellia... maafkan aku. Aku selalu menyusahkan kamu. Tapi... tapi, aku tak berdaya melupakanmu, Mellia.” Punggung Arief terhenyak ke kerusi kayu. Pandangannya sudah kabur dengan air mata.

“Baliklah, nak. Melah bukan isteri kamu lagi... maafkan ibu. Ibu berdosa pada kamu berdua.”

Rupa-rupanya Mak Chah mendengar semua perbualan mereka. Dia berdiri di sebalik dinding dapur sambil memasang telinga. Sama seperti Arief, pipi Mak Chah basah. Dia kesal kerana sudah menggadai masa depan anak menantunya sendiri.

“Arief pergi dulu bu... Arief akan datang lagi bila-bila masa. Maafkan Arief juga dah lepaskan geram pada ibu. Rantai leher ibu ada Arief simpan... duit ni semua ibu tolong serah pada Mellia.” Arief membongkok dan mengutip duit yang berserak di atas lantai.

“Jangan ganggu Melah lagi, nak... kesian dia,” pujuk Mak Chah. Pilu hatinya melihat keadaan Arief.

“Arief sayang dia bu... tak apalah, Arief pergi dulu.” Sesudah menyerahkan duit kepada Mak Som, Arief terus pergi dengan tekad akan datang lagi untuk bertemu Melah.


Previous: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.