Jauh di
belakang rumah Melah terletak rumah yang disewa oleh dua orang guru muda.
Faizul dan Khairil. Sudah empat tahun mereka berkhidmat di Kampung Kemboja. Seorang
masih bujang trang tang tang. Seorang lagi sudah ada isteri.
Dua
hari lagi sesi persekolahan tahun baru akan bermula. Itu bermakna rutin mereka
berulang-alik dari rumah ke sekolah akan bermula lagi. Tamat sudah cuti panjang
mereka walaupun mereka tak bercuti dengan sebenar-benarnya.
Petang
itu Faizul atau lebih suka dipanggil Ejul menghabiskan hampir satu jam di bilik
belakang. Bilik itu sudah dijadikan stor oleh Ejul dan Khairil. Ejul yang rajin
mengemas bilik itu.
Dia
juga yang lebih suka keluar masuk bilik itu berbanding Khairil. Kadang-kadang
Khairil hairan melihat Ejul, apalah yang dibuatnya dalam bilik yang panasnya
macam oven itu.
“Ejul...
badminton jom!” laung Khairil daripada ruang tamu.
“Main
dulu!” Cuma suara Ejul yang terdengar. Mukanya yang handsomemasih belum nampak lagi.
“Tak
sudah lagi ke gila kau tu? Badminton tu main berdua, bukan sorang-sorang.
Lainlah kalau aku ni ada saka yang boleh teman aku main.” Khairil sudah
menyarung kasut sukannya di muka pintu depan.
“Hoi,
hoi!... gila kau jangan sebut ya! Kau ingat aku ni Jelan ke?” Terpacul Ejul
dari dalam stor. Bilik stor ditinggalkan dan dikunci dari luar. Biar pun
khazanah di dalam bilik itu tak seberapa tapi itulah harta Ejul yang ada. Harta
kesayangan!
“Bukan
kau kembar Jelan ke? Nak marah pulak.” Sakat Khairil lagi.
“Yalah!
Kau menanglah.” Ejul bercangkung di muka pintu sambil merenung Khairil yang
sedang beria-ia bersenam di depan rumah.
Malas
pula hendak memenuhi keinginan Khairil. Dalam keadaan angin yang agak kuat mana
boleh bermain badminton. Sebenarnya dia kurang berminat pada permainan yang
satu itu. Ejul lebih menggemari takraw tapi jarang bermain sebab tak cukup kaki.
Kalau
boleh pun dia hendak bermalas-malas sebelum sekolah dibuka semula. Ejul mahu
menyimpan tenaganya untuk berdepan dengan murid-murid lelaki yang nakal dan tak
dengar kata.
Dalam
hembusan angin yang nyaman itu mulalah Ejul terbayangkan Melah. Mata Melah,
hidung Melah, bibir Melah dan apa-apa saja yang ada pada Melah. Bertuahnya
siapa yang dapat memikat hati Melah.
Sudahlah
cantik, baik pula orangnya. Bukan tak pernah Ejul cuba mengurat Melah tapi
janda itu jual mahal. Setiap kali dia menegur, Melah cuma menjawab dua tiga
patah. Kadang-kadang dia lebih suka membalas dengan senyuman. Cair Ejul
dibuatnya.
Lagi
Melah jual mahal, lagilah Ejul jatuh hati. Eh! Jatuh hati? Bertepuk sebelah
tangan boleh berbunyi?
Itulah
yang menjadi masalah nombor satu Ejul. Usahanya memikat Melah masih tak
berjaya. Dia tak suka memujuk rayu sebab baginya cara macam itu sudah lapuk.
Tak jantan langsung.
“Hai,
bertuah kalau jadi Jelan...”
“Bila-bila
masa boleh bercakap dengan Melah, boleh jalan dengan Melah, boleh ketawa-ketawa
dengan Melah. Jelan! Jelan!... ermmm, Melah suka Jelan.” Pejam celik mata Ejul
bila menggambarkan senyuman Melah.
“Sengih...
sengih. Seksa betul aku tengok orang ni.” Sindir Khairil sambil membaling bulu
tangkis ke muka Ejul. Pantas Ejul menepis lalu bulu tangkis jatuh ke tanah.
“Serius
aku cakaplah Ril... best woo jadi
Jelan. Kau bayangkanlah, cuma Jelan satu-satunya yang ada peluang berdua-duaan
dengan Melah tu. Untung!”
“Aku
pun salute kat Jelan. 10 bintang aku
bagi kat dia. Tapi sayang kan Ejul... Jelan tu tak akan dapat Melah...
maklumlah orang gi...”
“Heh!
Heh! Cukup! Jangan kau sebut banyak kali. Aku cukup alergik dengan perkataan
tu, tau tak?” pintas Ejul lalu sengih-sengih.
Disebabkan
Ejul tak ada hati untuk bermain badminton, Khairil pun membatalkan niat yang
satu itu. Dia duduk di sebelah Ejul yang sedang melihat jiran tetangga lalu-
lalang di jalan depan rumah sewaan mereka.
Ejul
mengharap-harap juga kalau-kalau Melah lalu di situ. Bolehlah dia melepaskan
rindunya pada janda itu. Rindu orang yang bertepuk sebelah tangan memang
menyedihkan. Ejul nekad tak akan berputus asa untuk menawan hati Melah.
“Apa
pandangan kau kat Melah tu?” Khairil hendak menguji.
Nasib
baik dia sudah berkahwin walaupun terpaksa meninggalkan isterinya disebabkan
tuntutan tugas. Berkali-kali isterinya yang turut bekerja meminta pertukaran
tempat kerja tapi masih gagal. Terpaksalah mereka saling berjauhan.
“Aku
respect dia! Dia tak ligat... senang
cakap dia tau dirilah sebab tu aku syok kat dia. Satu lagi, dia berdikari
orangnya.”
Ejul
berhenti sekejap lalu ketawa kuat. Mentertawakan diri sendiri yang macam Burung
Pungguk. Angau tak sudah.
“Ketawa
pulak.”
“Ketawakan
nasib untung badan. Kau pun tau kan sejak aku kematian tunang, hati aku dah
macam tertutup untuk perempuan... tapi dengan dia aku rasa lain macam pulak.”
Akui Ejul jujur.
“Tapi
dia tu janda, kawan!”
Khairil
menguji lagi. Seronok pula dia. Bukan apa, kalau Ejul gembira, dia pun tumpang
sekaki. Dalam umur Ejul sekarang memang dia sudah layak berkahwin.
“Rasulullah
pun kahwin dengan janda. Apa hinanya? Aku rasa lagi berpahala apa.”
“Bagus...
bagus. Aku sokong!”
“Tau pun kau.” Ejul senyum.
Semasa
Ejul menoleh dia nampak Zara sedang membelok masuk ke halaman rumah sewaan
mereka dengan basikal birunya. Huh! Burung Jampuk sudah datang! Sebalnya. Dari
jauh sudah nampak tompokan warna-warni pada muka Zara.
Tebal
betul solekannya. Ejul yakin Zara tak pernah lupa meletakkan tahi lalat palsu
di tepi bibirnya. Bulu matanya juga palsu. Panjang melentik dan hitam pekat
warnanya. Kalau Melah yang menggunakannya tentu cantik. Zara?... hmmm.
Bukan
dia benci pada Zara, cuma kurang suka. Zara dan Pak Sood sama saja.
Anak-beranak itu memang terkenal dengan gatalnya. Khairil tenang saja.
Maklumlah tak akan ada orang yang mahu menggodanya.
Sudahlah
rupanya kurang, suami orang pula. Khairil cuma kasihan melihat Ejul, lain yang dipancing
lain pula yang hendak makan umpannya. Yang hendak memakan umpan pula tak pernah
mengira pancing itu untuk siapa.
“Ril...
buah hati kau datang tu.” Usik Ejul.
Punggung
mereka masih lagi melekat pada muka pintu. Duduk di situ memang nyaman. Angin
petang memang menyegarkan. Tak payah menggunakan penyaman udara pun sudah cukup
segar tiupan angin ciptaan Tuhan.
Tak
ada sebab untuk mereka melarikan diri dengan kedatangan Zara. Sepatutnya anak
dara yang mesti malu datang ke rumah orang bujang dan separuh bujang. Inilah
dunia! Semua sudah tunggang terbalik.
“Hah,
iyalah tu.” Sahut Khairil.
“Dah
makin dekat tu. Bersiaplah apa yang patut, Ejul. Peluang tu... bila ikan dah
datang menyerah pada kucing, apa lagi? Ngap ajelah!” sakat Khairil.
“Gila...
eh bukan gila.” Cepat-cepat Ejul menarik balik perkataan itu. Khairil menyiku
pinggang Ejul.
“Tak
senonoh kau!” Ejul mengganti perkataan yang selesa untuk lidahnya menyebut.
“Alah...
dia dah suka kau. On ajelah. Bukan
ada siapa tau pun.” Semakin galak Khairil menyakat.
Lelaki
dengan lelaki memang begitu. Gurauan mereka lepas dan bebas. Bukan niat hendak
menghina perempuan, cuma itu satu kebiasaan dalam gurauan mereka. Sepatutnya
Zara yang berasa malu sebab dia perempuan. Perempuan kampung pula.
Ah!
Tak ada bezanya. Perempuan kampung atau perempuan bandar sama saja. Mereka akan
nampak hina kalau diri sendiri yang membuat orang lain menilai mereka seperti
itu. Mereka tak menjaga saham diri sendiri. Macam mana orang lain hendak tabik
pada mereka?
“Assalamualaikum
Abang Ejul!” suara
Zara lunak mendayu. Ejul menjawab perlahan.
“Ejul
aje? Saya ni?” Mulut Khairil masih mahu bergurau. Ejul cuma ketawa.
“Cantik
nampak, Zara.” Khairil menegur Zara.
“Nak
jumpa Abang Ejul mestilah cantik-cantik. Cantik tak Zara ni, Abang Ejul?”
Zara
meletakkan basikal di bawah pokok nangka. Sesudah basikal ditongkat dia mendekati
kedua-dua anak muda itu. Dia langsung tak memandang Khairil sebab matanya sudah
melekat pada badan Ejul yang cuma bersinglet putih. Zara tergoda.
Hangat
perasaannya bila dapat merenung muka Ejul. Dalam hatinya ada taman. Taman yang
makin subur dengan bunga tahi ayam.
Apa
taknya, isyarat memanggil Zara tak pernah mendapat balasan. Ejul tak pernah
membalas rasa hatinya. Kadang-kadang sakit jiwa juga tapi dia mesti bersabar
kalau hendak takluk hati Ejul.
“Semua
orang nampak cantik sebab Tuhan memang dah jadikan cantik... sempurna.” Sahut
Ejul seadanya tapi itulah hakikatnya.
Bagi
Ejul, apa guna cantik kalau akhlaknya kurang. Samalah macam Bunga Dedap yang
nampak cantik tapi baunya tak wangi, malahan beracun. Perempuan selalu terlupa
betapa berharganya diri mereka.
Kalau
semua perempuan macam Zara, akan kucar-kacir hati lelaki. Sedangkan Ejul mahu
hatinya sentiasa aman tanpa ada amaran berjaga-jaga. Godaan kaum perempuan
lebih teruk daripada ombak Tsunami.
“Zara
tau Abang Ejul segan nak kata Zara cantik... kan Abang Ril?” Zara tak puas
hati.
Sudah
penat bersolek takkan masih tak mampu menggugat kelakian Ejul. Dia berharap
sangat Ejul memandangnya. Bolehlah dia mengenyitkan mata.
Kelopak
mata yang sudah berat dengan bulu mata palsu itu pasti akan mencairkan hati
lelaki Ejul. Tentu lelaki idaman hati itu akan tergoda. Itulah perkiraan Zara.
‘Isyyy...
tak pandang jugak!’ bisiknya yang sudah penat menunggu. Berpeluh mukanya yang
berwarna-warni itu.
“Cantik.”
Sahut Khairil sepatah. Kedatangan Zara membuat dia turut merasai bahang
panasnya. Tak selesa.
“Puji
macam tak ikhlas aje!” rajuk Zara.
‘Memang
tak ikhlas pun!’ balas Khairil dalam hati.
‘Tau
tak apa,’ bisik
Ejul pula.
Memikirkan
Zara sudah berdiri lama macam tugu negara, Ejul tak sedap hati. Hendak
berbual-bual rasa tak manis pula. Mereka berada di kawasan kampung yang terlalu
banyak mata mengintai dan mencari salah.
Lebih-lebih
lagi dia dan Khairil bukan anak jati kampung itu. Lebih besar ruang untuk orang
kampung mengukur keburukan mereka. Mereka datang ke kampung itu sebab hendak
mendidik anak bangsa. Bukan untuk melayan semua perempuan.
“Zara,
saya rasa elok awak balik. Dah kerap sangat awak datang ke mari.” Teguran Ejul ikhlas.
“Apa
salahnya? Bukan buat apa-apa pun. Nak jumpa kekasih hati takkan salah?”
Erkkk!
Terasa ada orang yang sedang menjerut batang lehernya. Terkejut betul Ejul. Beraninya
Zara mereka-reka cerita sensasi macam itu.
Mujur
tak ada wartawan Melodi. Kalau tak, sudah tentu akan ada gossip panas hujung minggu nanti. Kalau tadi dia kasihan, sekarang
rasa geram pula. Berani-berani Zara hendak mengambil tempat Melah dalam
hatinya. Mana boleh!
“Abah
awak tak marah ke awak datang sini?” tanya Ejul lagi.
“Eh!
Takkk... abah sporting. Ibu je yang
suka bising-bising bila Zara keluar rumah. Abah lagi suka kalau Zara jumpa
abang. Abah kata, selamattt.” Jelas Zara suka.
Ejul
dan Khairil berpandangan. Macam tak percaya dengan apa yang didengar. Ada
rupanya makhluk macam itu. Tak kisah tentang anak daranya.
Nasib
baik mereka orang baik-baik, kalau tak sudah tentu Zara yang akan ‘selamat’
bersama mereka. Hendak salahkan siapa kalau anak dara ditebuk tupai?
Kalau
macam inilah keadaan anak bangsanya, alangkah sedihnya. Bangsa entah ke mana,
agama ditolak entah ke mana. Pelik juga bila memikirkan sikap Pak Sood yang
terlalu terbuka sedangkan orang tua itu merupakan edisi lama.
Bak
kata orang, sudah terlebih banyak makan garam. Sepatutnya dia lebih menitik
beratkan tentang soal moral anak muda. Apatah lagi anaknya sendiri.
Agaknya
disebabkan garam yang ditelan Pak Sood sudah berlebihan maka dia sudah hilang
rasa. Mungkin juga disebabkan orang tua itu sudah bosan dijajah pada zaman
mudanya maka dia mahu membebaskan pemikirannya.
Sayangnya
kebebasan fikiran itu membuat Pak Sood bertambah mundur akalnya. Rugi betul!
Yang menjadi mangsa ialah Zara. Dia gagal menjadi anak yang baik untuk ibu dan
ayahnya disebabkan asuhan yang kurang baik.
“Kenapa
Abang Ejul diam? Kagum dengan abah ya? Abah memang macam tu. Abang Ejul nak tau
tak, sekarang abah tengah bercinta dengan janda Melah!” jelas Zara bangga.
Serta-merta
Ejul terbatuk-batuk keras. Tersedak! Ejul dapat mengagak, perkara itulah yang
membuat Pak Sood sporting.
Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu.
Sudah
tentu rahsia orang tua itu sudah banyak memenuhi kocek Zara. Tidak mahu rahsia
terbongkar, Zara ditutup mulutnya dengan kebebasan. Kehendaknya dituruti saja.
Busuk betul Pak Sood!
‘Mintak-mintak
dia percaya. Tak adalah dia nak pikat Melah lagi.’
Doa
Zara dalam hati. Sengaja dia membuat cerita semata-mata hendak memiliki Ejul. Baginya,
dia lebih berhak ke atas diri Ejul berbanding Melah yang sudah bertaraf mak
janda.
“Baguslah
kalau abah awak bercinta dengan Melah, senang sikit ibu awak belasah abah awak
tu. Saya tak nak tolong leraikan macam dulu kalau dorang perang besar lagi.
Kan, Ril?”
“Betul,
betul. Aku ingat lagi tu. Seminggu sakit-sakit badan aku ni kena pelangkung Pak
Sood.” Cepat saja Khairil mengiakan.
Kejadian
yang masih tak dapat dilupakan itu kadang-kadang menjadi bahan ketawa mereka
berdua bila masing-masing sedang bosan. Pak Sood romeo tua Kampung Kemboja
pernah membuat gempar sebab hendak kahwin seorang lagi.
Niatnya
dihalang keras oleh Mak Biah, isterinya. Bukan Mak Biah membenci poligami tapi
dia mahu Pak Sood sedar diri. Paling menggelikan hati bila Mak Biah mengejar
Pak Sood dengan parang.
Hendak
membelikan gigi palsu Mak Biah pun masih belum mampu, inikan pula untuk kahwin
lagi satu. Itulah padahnya bila suka sangat makan telur ayam kampung mentah
campur madu. Panas saja darahnya. Disangka diri masih muda padahal sudah senja.
“Tak
baik abang berdua cakap macam tu kat abah Zara!” bentak Zara marah.
“Sebelum
kami cakap macam-macam lagi lebih baik Zara balik. Bukan apa, kadang-kadang
macam ada benda je yang masuk dalam badan kami ni.”
“Masa
tu mulalah kami tak sedar sangat apa yang kami cakap. Kami takut nanti, apa
kami buat pun dah tak sedar.”
Seronok
betul Khairil dapat bercakap panjang lebar. Dia sudah penat asyik diam dari
tadi. Selalunya macam itulah, setiap kali Zara datang dia cuma jadi penonton.
Zara
akan bercakap dengan Ejul saja. Ejul pula geli hati bila mendengar apa yang kawan
serumahnya karutkan. Bagus juga, sekurang-kurangnya akan membuat Zara meluat.
Bagi Ejul, Khairil merupakan kawan yang sangat memahaminya. Tau apa
kehendaknya.
“Yang
Abang Ril sibuk ni kenapa? Zara bukan nak jumpa abang pun!” Merah padam muka
Zara menahan marah. Khairil mencebik
meluat.
29
“Adik
manis, boleh saya cakap sikit?”
Kembang
hati Zara bila mendengar Ejul memanggilnya adik manis. Tergeliat-geliat
badannya dek kesukaan. Senyumnya jangan dikata lagi. Dari telinga kanan sampai
telinga kiri. Tak sia-sia dia bersolek tebal, akhirnya Ejul mengakui juga dia
manis orangnya. Tak rugi dia datang ke rumah pujaan hatinya.
“Mestilah
boleh Abang Ejul,” lalu dia mengenyitkan mata. Ejul serius saja, sebaliknya
Khairil yang sengih-sengih. Bukan sebab suka tapi geli hati melihat Zara yang
macam belut.
“Tak
kiralah siapa yang Zara nak jumpa, masih tetap tak manis. Kena hati-hati dengan
kami ni. Kami bukan malaikat. Ada nafsu, ada keinginan.”
“Kalau
kami bawak Zara masuk dalam bilik dah tentu tak ada jiran-jiran yang nampak. Tak
takut ke kalau kami buat yang tak elok pada Zara?” Ejul cuba menakut-nakutkan
Zara supaya dia cepat-cepat pergi.
Zara
tersipu-sipu. Merona mukanya. Senyuman masih berbaki. Hairan betul Ejul dan
Khairil melihatnya. Ada juga anak dara macam Zara. Kalau tak ingat Tuhan, mahu
saja Khairil membawa Zara masuk ke bilik.
Sekurang-kurangnya
kerinduan pada isterinya akan berkurangan. Nasib baik imannya masih boleh
dijadikan pendinding diri. Khairil takut kalau mati nanti akan dijilat api. Dia
juga tahu buat jahat tak akan dibalas dengan baik. Ada kitab yang dicatat
untuknya.
“Tak
apalah... bila kena tangkap basah, kita terus nikah.”
Kata-kata
Zara membuat kedua-dua anak muda itu berpandangan sekali lagi. Sesak nafas
mereka. Bahana akhir zaman memang menakutkan!
Ejul
bukan tak bernafsu bila melihat Zara begitu tapi dia masih sedar yang hidangan syaitan
tak akan kekal manisnya. Biarpun
darah muda bergelora, dia mesti mempertahankan terunanya daripada dirampas oleh
Zara. Tidak sekali-kali! Dia masih suci! Ejul tak rela dinodai. Terunanya akan
disimpan untuk Melah.
‘Nekadnya
dia ni... huh!’ keluh
Ejul dalam hati.
‘Ya
Allah, selamatkan aku dari dinodai.’ Diikuti doa senyapnya pula.
‘Parah
dah budak ni,” bisik
Khairil pula.
Diam-diam
Khairul bersyukur sebab berjodoh dengan isteri yang setia. Kalaulah isterinya
macam Zara, alamatnya dia akan menjadi macam Jelan senget.
“Adoiii...
perut ni dah memulas pulak. Ril, kau layanlah Zara, aku nak beraklah.” Ejul
dapat akal.
‘Eiii,
nak berak pun cakap,’ sungut
Zara tanpa ada yang mendengar.
Terkocoh-kocoh
Ejul berlari masuk. Zara terlopong bercampur geram. Hatinya bengkak dengan
sikap Ejul. Bertambah bengkak bila melihat sengihan Khairil yang seakan
mengejek. Tak sudah-sudah dia memaki-maki dalam hati.
Tanpa
membuang masa, Zara berjalan laju menuju ke pokok nangka untuk mengambil
basikal birunya. Dia terus menunggang basikal itu lalu dikayuh laju. Khairil
geleng tak sudah. Ejul yang pura-pura hendak buang air, mengekek di dalam
rumah.