Home Novel Kisah Hidup Himpunan cerita kontot
Himpunan cerita kontot
Maryani Zailani
14/9/2024 17:57:38
1,784
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
CK 8

CERITA KONTOT 8: LUPA


Jari-jemari wartawan hiburan berusia 40 tahun itu, rancak menaip artikel. Selesai kerjanya, dia terus mengemelkan kepada editor. Sempat lagi dia membuka Facebook. Tidak semena-mena, air mata Zurina gugur melihat notifikasi hantaran foto seorang penyanyi dengan caption ‘Al-Fatihah. Rehatlah wahai temanku. Aku juga akan menyusulmu suatu hari nanti.’ Sudah lima tahun, penyanyi itu meninggalkan dunia.

Dia kembali teringatkan perbualan mereka pada suatu petang. Sebulan sebelum peristiwa malang itu berlaku. Mulanya, mereka bersembang santai mengenai industri hiburan. Tiba-tiba sahaja sahabatnya bertanya, “Zu, adakah orang akan lupakan aku lepas aku meninggal dunia?” 

Zurina terkejut. Dia cuba ketawa. “Ish, apa kau ni? Apa cakap macam tu? Mestilah orang akan ingat kau. Kau dah terkenal satu nusantara. Mana-mana negara di Asia Tenggara, kenal lagu Irfan Naim. Jumlah tontonan music video kau dah cecah 100 juta view! Media-media tengah rancak cover cerita pasal kau. Lagi-lagi, bila rahsia kau menyumbang sebahagian pendapatan ke rumah kebajikan terbongkar.”

Irfan Naim ketika itu baru berusia awal 30-an, tersenyum tawar. Namun, pada pandangan Zurina, senyuman itu kelihatan mengandungi kesayuan yang sukar ditafsirkan.  

Suatu hari, Zurina yang sedang mengedit artikel dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi itu dalam kemalangan jalan raya yang turut mengorbankan pengurus dan pemandunya. 

“Kami akan wujudkan satu yayasan khas bersempena dengan nama arwah Irfan Naim demi mengenangkan jasa beliau dalam industri hiburan dan juga mengambil semangat beliau dalam membantu mereka yang memerlukan,” kata seorang yang kenamaan yang turut hadir dalam upacara pengebumian.

“Konsert tribute akan diadakan dan semua kutipan akan diberi kepada keluarga arwah,” kata seorang wakil syarikat rakaman.

Lima tahun berlalu dan apa yang pernah dijanjikan, tidak pernah ditunaikan. Zurina menggeleng kepala sahaja. Mungkin kebimbangan arwah itu, sudah menjadi kenyataan ketika ini.


- TAMAT -

27 OGOS 2024


Previous: CK 7
Next: CK 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.