KAMILIA mendiamkan
diri. Dalam hatinya ketika itu amat berharap agar ada staf lain yang masuk dan
bicara mereka terputus di situ.
“Kamilia, masuk bilik
saya sekarang!” Tiba-tiba suara yang lunak berbahasa selama ini menjadi
bergegar, mengarah.
Dengan perlahan
Kamilia bangun.Dengan
longlai pula dia melangkah ke bilik Nik Arif. Dia tahu hari itu dia terpaksa
berterus terang mengenai apa yang sudah berlaku kepada rumah tangganya. Sambil
berjalan itu, dia merangka-rangka ayat yang sesuai.
“Saya bukan nak campur
urusan peribadi awak. Tapi saya adalah bos awak. Saya bertanggungjawab atas
kebajikan staf saya. Apa masalah awak dengan suami awak sebenarnya?” Dengan
penuh hati-hati Nik Arif dia cuba menyelongkar kantung rahsia Kamilia.
Kamilia membetulkan
duduk. Dia benar-benar bersedia untuk meluahkan apa yang disembunyikan selama
ini. Lalu, tanpa berlengah dia menceritakan semuanya dari awal hingga akhir.
Pengakhirnya, dia
noktahkan cerita dengan tangisan. Basah pipinya. Merah matanya. Dari perlahan
dia terus teresak-esak.
“Jadi, dia cemburukan
saya?”
Angguk.
“Kenapa selama ini
awak tak cakap. Kalau saya tahu, dah lama saya bersemuka dengan dia. Mungkin
saya boleh bawa isteri saya sekali.”
“Saya tak sangka ia
melarat seteruk ini. Saya ingat dia akan sedar dan berfikir secara waras. Tapi
rupanya...” jawab Kamilia sambil mengesat air matanya.
Sepi. Nik Arif
termenung. Dia seperti sedang mencari-cari jalan penyelesaian untuk masalah
itu.
“Encik, saya rasa nak
berhenti kerja dan balik ke kampung. Saya dah tak tahan lagi,” kata Kamilia
selepas dia rasa dadanya reda.
“Awak rasa itu jalan
yang terbaik? Awak tak sayangkan kerja awak?”
Giliran Kamilia pula
menyepi. Memang dia amat sayangkan kerjanya. Dia sudah banyak membuang masa.
Sekarang dia baru berfikir untuk menyimpan duit dan membeli rumah sendiri.
Kalau dia berhenti, akan hancurlah impiannya itu.
“Tak apalah. Saya akan
fikirkan cara yang terbaik untuk membantu awak. Cuma saya nak awak bertenang
dan jangan ikutkan hati yang kecewa itu. Setiap masalah mesti ada jalan
penyelesaiannya. Awak bersabar dulu,” kata Nik Arif.
Akhirnya Kamilia
keluar dari bilik Nik Arif dengan dada yang sedikit lapang.Dengan meluahkan cerita itu, dia seperti
membuang rasa sakit yang selama ini ditanggungnya.
Pukul 5.00 petang, apa
yang tidak terduga berlaku. Tiba-tiba Zamri muncul di pintu pejabat Kamilia
dengan wajah bengis dan masam. Semua mata tertumpu kepadanya dengan rasa
curiga. Hati Kamilia berdebar dan darahnya bergemuruh.
“Mana bos kau? Aku nak
jumpa dia sekarang!” kata Zamri kepada Kamilia yang sedang bersiap-siap untuk
balik.
Tanpa berlengah
Kamilia bangun dan membawa Zamri ke bilik Nik Arif. Dia tidak mahu telinga dan mata yang ada di
pejabat itu terus mendengar dan melihat apa yang sedang berlaku.
“Hah! Encik Zamri,
silakan duduk. Saya baru merancang nak jumpa awak malam ni. Baguslah awak dah
datang dulu,” kata Nik Arif dengan senyuman yang dipaksa.
“Kenapa nak jumpa
saya? Nak pinang isteri saya?” balas Zamri dengan sinis.
Nik Arif menoleh ke arah Kamilia. Wajahnya sedikit berubah dengan
kata-kata yang dianggap biadap itu
Kamilia hanya tunduk. Dia cuba damaikan jiwa dan cuba pasrah
dengan apa yang bakal berlaku di bilik itu.
“Saya datang ni ada
hal nak bincang dengan awak,” kata Zamri.Matanya melirik ke arah Kamilia.
“Baiklah, sila duduk.
Insya-ALLAH... saya akan berlapang dada untuk mendengarnya,” balas Nik Arif,
masih memaksa senyum dan cuba bertenang.
“Mengenai isteri saya
ni.” Kali ini Zamri berpaling ke arah Kamilia.
“Kenapa dengan dia?”
tanya Nik Arif.
“Mahukah awak ambil
dia sebagai isteri kalau saya ceraikan dia?” Suara Zamri bergegar.
Kamilia yang paling
merasai gegaran itu. Tiba-tiba dia rasa seperti berhadapan dengan sebuah gunung
berapi yang meletup dan laharnya menyimbah panas ke seluruh tubuhnya!
“Abang! Apa abang
cakap ni?” Serta merta Kamilia menjerit. Dia tidak peduli lagi akan mata dan
telinga Nik Arif sedang melihat dan mendengar.Sebaliknya dia rasa amat terhina. Dia rasa
maruahnya sedang dijual beli.
“Encik Zamri!
Sabarlah. Kenapa awak berfikir sampai ke situ? Saya dah tahu duduk perkara
sebenar. Selama ini saya tak tahu awak cemburukan saya. Baru pagi ni saya tahu.
Saya minta maaf kalau perbuatan saya selama ini membuat awak marah. Tapi
percayalah, saya dan Kamilia tak pernah ada apa-apa hubungan perasaan selain
hubungan bos dan pekerjanya. Awak dah salah tafsir,” kata Nik Arif.
“Jangan nak berceramah
dengan saya. Kalau awak benar-benar anak jantan, awak akan sahut cabaran saya!”
“Encik Zamri, jangan
macam tu.Isteri awak seorang yang baik dan setia. Jangan buat dia macam
ikan di pasar, boleh tawar menawar. Jaga maruah kita sebagai lelaki dan suami
yang diamanahkan melindungi seorang isteri.”
“Jangan banyak cakap! Saya cabar awak! Kalau awak jantan, awak
akan kahwin dengan dia!” jerit Zamri dengan suara yang semakin kuat dan
bergema.
Kamilia berlari keluar dari situ. Dia tidak sanggup lagi
mendengarnya. Dia mencapai beg tangan dan keluar dari pejabat menuju ke lif.
Sepanjang jalan dia menangis. Dia rasa sungguh malu dan sedih dengan sikap
suaminya. Dia mengharapkan seorang suami yang dapat melindunginya bukan suami
yang menjajanya seperti itu.
Dia menahan sebuah
teksi dan terus pulang ke rumah. Dalam perjalanan itu, dia sudah buat keputusan
yang nekad. Kalau Zamri tidak sudi menjadi suaminya, dia juga rasanya sudah
penat untuk terus menjadi isteri Zamri.
Sampai di rumah, dia
mengemas semua pakaian dan barang-barang yang penting. Dia tidak sanggup lagi
untuk terus tinggal di rumah itu. Tidak sanggup lagi untuk tinggal sebumbung
dengan lelaki bernama Zamri itu.
Malam itu juga dia
menaiki bas dan pulang ke kampung.Lelaki memang dijadikan keras dan ego. Wanita pula memang dilahirkan lemah
lembut tetapi tegas. Ia memang dijadikan dari tulang belakang kaum Adam. Kalau
dibentuk dengan perlahan dan lemah lembut, ia akan mengikut. Tetapi, kalau
dibentuk dengan kasar ia akan patah!
Lalu Kamilia rasa dia
telah menjadi wanita yang patah. Patah hati. Patah rasa dan patah segalanya.
Seminggu dia di kampung,
Zamri langsung tidak bertanya khabar.
“Baik kamu balik Lia.
Berdosa seorang isteri tinggalkan rumah tanpa izin,” kata Hajah Zizah. Ahli
keluarga yang lain menyokong. Namun, Kamilia tetap matikan diri. Dia sudah
bertekad, sekali dia sudah melangkah keluar, dia tidak akan kembali lagi.
“Lia kena balik dan
minta maaf kepada dia. Mana tahu akan lembut hatinya,” kata Hajah Zizah lagi.
“Dia yang dah halau
Lia. Dia yang dah tak suka dengan Lia. Bukan Lia suka-suka nak lari dari
rumah,” kata Kamilia, cuba membuatemaknya faham.
“Orang kalau tengah
marah, semua benda akan terkeluar.Kamu perlu faham.”
Kamilia diam. Emaknya
tidak akan faham. Dia juga tahu,emaknyatidak akan percaya kalau seribu keburukan mengenai Zamri diceritakan.Di mata keluarganya, Zamri terlalu baik
dan sempurna.
“Lia pun ada harga
diri. Kalau selama hidup dengan dia, Lia sahaja yang nak mengalah, bagaimana
Lia nak teruskan hidup sampai ke tua. Lia dah nekad. Lia akan minta cerai!”
kata Kamilia dengan tegas.
Hajah Zizah mengeluh,
amat berat. Ada rona kesal dan serba salah pada wajah itu.
Sebulan Zamri berdiam.
Dua bulan dia membisu.
Tiga bulan bayangnya
pun tidak kelihatan.
Empat bulan, masa
untuk penentuan.
Kamilia tahu Zamri
menanti dia kembali dan meminta maaf. Namun, itu tidak akan berlaku. Kamilia
tidak akan berundur lagi. Dengan alasan yang cukup, dia akhirnya memfailkan
tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah.
“Tak bolehkah
keputusan itu dipertimbangkan dulu?Kenapa terburu-buru?” tanya Hajah Zizah dengan air mata.
“Lia dah beri dia masa
empat bulan.Tapi, dia langsung tak endahkan.Dia nak jaga maruah dia sebagai suami. Lia pun tak
akan merendah diri pada dia. Biar tok kadi yang menentukannya hubungan kami,”
jawab Kamilia.
Hajah Zizah menangis.
“Mak, Lia minta maaf.
Bukan Lia nak lukakan hati mak.Tapi, Lia pun ada perasaan mak. Kalau hati Lia dah terluka, bolehkah lagi
Lia tinggal bersama dia?” Kamilia cuba membuat Hajah Zizah faham situasi
dirinya.
Akhirnya dalam
esakannya, Hajah Zizah terpaksa mengakui kebenaran kata-kata Kamilia.
Semestinya dia kesal dengan apa yang berlaku.
Selang dua minggu, tiba-tiba
Zamri muncul di hadapan Kamilia. Wajahnya nampak murung dan cengkung.Dia
seperti orang sedang bersedih hati.
“Eloklah abang dah datang. Esok pagi kita boleh ke pejabat kadi.
Tak payah nak tunggu lama-lama. Kita selesaikan dengan cepat,” kata Kamilia,
selamba tanpa menoleh.
“Kadi pun dah kata, boleh selesai dengan baik kalau kedua-dua
setuju untuk bercerai. Tak payah nak tunggu naik tangga mahkamah,” sambung
Kamilia tanpa sempat menunggu balasan kata daripada Zamri.
“Lia, abang minta maaf. Abang mengaku abang salah. Tolong jangan
teruskan niat Lia tu. Kita berdamai, Lia. Tolonglah...” Tiba-tiba Zamri memeluk
Kamilia.
Kamilia rasa meluat dan benci! “Tidak! Setelah abang malukan Lia,
senang aje abang datang nak minta maaf. Empat bulan abang diamkan diri. Baru
hari ini abang datang nak berdamai. Mana pergi perempuan yang abang kata boleh
cari lebih daripada Lia tu? Pergilah cari!” jerit Kamilia.
“Lia, jangan cakap macam tu.”
“Abang yang cakap macam tu.Lia ni perempuan yang tak bagus.Lia ni jahat! Pergilah cari yang baik-baik! Kenapa nak datang merayu di
sini lagi?” Sekali lagi Kamilia menengking.
“Lia, tolong jangan
ungkit lagi. Abang memang salah. Abang cemburu buta. Abang salah. Tolong
maafkan abang...” rayu Zamri bersungguh-sungguh. Tidak lama dia menangis. Air
mata turun membasahi pipinya dengan laju.
Namun, entah kenapa ia
tidak langsung mengundang belas kasihan di hati Kamilia. Hati yang amat terluka
dan berdarah amat sukar untuk diubati lagi. Pujuk dan rayu tidak dihirau lagi.
Esak dan tangis tidak menggamit simpati. Rasa sakit kecewa kini membelit diri.
Hanya menunggu satu lafaz untuk memutuskannya!
Selepas rayuan tidak
dipertimbangkan lagi oleh Kamilia, keesokannya mereka berdua hadir ke mahkamah.
Akhirnya urusan berjalan dengan mudah dan dengan gugup Zamri melafazkan, “Aku
ceraikan kau Kamilia bt Ahmad dengan talak satu.”