Memang benar tohmahan
Qaisara. Demam Hajah Afida adalah demam rindu. Rindu seorang ibu terhadap
anaknya. Buktinya, dua hari selepas pertemuan jarak jauh dengan Qisya itu demam
Hajah Afida mula kebah. Dia mula berselera makan dan minum.
“Mama mesti makan. Mama
mesti kuat. Kalau mama tak kuat siapa nak jaga anak Sya nanti. Cucu pertama
mama mesti comel kan?” kata Qaisara, memujuk dan memberi semangat.
“Nampaknya Sara dan Is
akan dapat anak saudara,” kata Hajah Afida tersenyum senang.
“Ya. Kami akan dapat
anak saudara dan mama akan jadi nenek. Abah akan jadi atuk...” kata Qais sambil
menoleh-noleh bimbang didengar oleh Haji Hasnan.
Bibir Hajah Afida
menguntum senyuman. Sejak Qisya berkahwin, baru kali ini Qaisara melihat
senyuman mamanya semanis itu.
“Sara, esok belikan
mama jarum kait dan benang sekali.”
“Mama nak buat apa?”
“Mama nak kait stokin
dan baju baby. Mama nak buat cantik-cantik untuk cucu mama. Beli juga kain
corak kartun. Mama nak jahit sarung bantal dan tilam,” jawab Hajah Afida dengan
mata bercahaya.
Qaisara senyum senang.
Hatinya berbuai riang melihat mamanya gembira. Dia tahu mamanya memang pandai
mengait dan menjahit. Dulu, kalau ada saudara mara yang bakal jadi ibu mamanya
akan mengait pakaian bayi untuk dihadiahkan kepada mereka.
Seperti Hajah Afida,
Affian juga sangat gembira dan teruja. Dia rasa sangat terkejut dan ingin
menjerit sekuat-kuatnya ketika mendengar berita itu dari mulut Qisya.
“Sya? Sya tak cakap
dengan abang pun?” tanya Affian selepas perbualan telefon antara Qisya dan
Hajah Afida usai di luar pagar itu.
“Sya saja nak buat
kejutan pada abang. Sya ingat nak berahsia dari semua orang. Tapi, bila dengar
suara mama yang lemah macam tu Sya rasa Sya kena beritahu. Sekurang-kurangnya
dia gembira dan bersemangat,” kata Qisya sambil menarik tangan Affian dan
mengucupnya tanda minta maaf.
Affian senyum. Dia mencium
pipi Qisya tanda terima kasih dan bahagia.
“Semalam Sya ke klinik.
Doktor dah sahkan Sya mengandung. Dua bulan.”
“Maknanya, abang kena
kerja kuat demi Sya dan anak kita. Sementara belum dapat keputusan exam, abang
akan kerja dengan kawan abang dulu.”
“Siapa?”
“Dr. Danish anak Datuk
Zahid.”
Qisya angguk. Dia kenal
Dr. Danish. Dia ada beberapa buah klinik di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Doktor muda itu memang sangat berjaya. Selepas
mendapat ijazah, dia terus membuka klinik sendiri.
“Abang tak nak beritahu
ibu dan abah abang mengenai berita gembira ini?” Tiba-tiba Qisya bertanya. Dia
merenung mata Affian.
Geleng.
“Kenapa?”
“Apa yang berlaku
kepada Sya siang tadi, cukup untuk membuat abang sedar bahawa kita memang telah
menyakiti hati ibu bapa dan mereka tak akan ampunkan kita lagi. Jadi, biarlah
kita hadapi hidup ini dengan cara kita. Kalau kita susah, kita jangan meminta
bantuan mereka kerana itu akan lebih menyusahkan mereka,” jawab Affian dengan
perlahan.
Qisya terdiam. Dia
faham perasaan Affian.
“Kalau macam tu, tak
apalah. Kita sama-sama cari kerja dan kumpul duit untuk menyambut bayi kita
ni,” kata Qisya, cuba memberikan semangat kepada Affian.
“Terima kasih Sya.
Kerana sudi menjadi ibu kepada anak abang.”
“Sya juga nak ucapkan
terima kasih,” balas Qisya dengan senyuman.
“Untuk apa?” Affian
angkat muka. Senyuman Qisya menyentuh hatinya. Sangat cantik wajah Qisya ketika
itu.
“Kerana sanggup jadi
papa kepada anak Sya,” jawab Qisya dengan manja.
Affian ketawa. Hatinya
sangat girang. Dia akan jadi ayah. Dia akan ada tanggungjawab baru.
“Kalau Sya nak makan
apa-apa Sya cakap saja dengan abang. Abang akan cari sampai dapat.”
“Betul Sya boleh minta
apa saja?”
“Yalah. Tapi janganlah
yang mahal-mahal sangat sebab Sya pun tahu abang ni belum ada kerja tetap
lagi,” jawab Affian.
“Baby, tengok papa baby
ni. Kedekutnya...” kata Qisya sambil mengusap perutnya.
“Sya, jaga diri dan
baby kita ya. Sya tak payah buat kerja banyak-banyak. Sya rehat je. Biar abang
yang buat kerja-kerja rumah.”
“Habis, abang kata nak
keluar bekerja. Bila masa pulak abang nak buat kerja rumah?”
“Sebelum pergi kerja
dan selepas balik kerja.”
“Habis, Sya ni nak buat
apa?”
“Sya rehat. Sya jaga
baby sudahlah,” kata Affian.
“Ish, janganlah bang. Abang
pergi kerja, biar Sya buat kerja rumah. Kalau Sya pun dah dapat kerja, kita
buat kerja rumah sama-sama. Lagipun, ibu mengandung mesti banyak bergerak/ mana
boleh nak duduk rehat-rehat je,” balas Qisya pula.
“Yalah... abang lupa
isteri abang ni bakal doktor juga.” Affian menarik tangan Qisya dan
menggenggamnya.
“Abang sayang Sya.
Abang cintakan Sya,” bisik Affian. Qisya kerdipkan mata. Memang dia sedia
maklum akan perasaan Affian itu.
Kandungan Qisya masuk
bulan ketiga.
Dia tiba-tiba mengalami
alahan yang teruk. Muntah tidak berhenti hingga tubuhnya menjadi sangat lemah.
Akhirnya dia mula keluar masuk hospital. Dua tiha hari di hospital, dua tiga
hari di rumah.
“Sya, sabarlah. Kalau
abang boleh jadi galang ganti untuk Sya, abang rela. Abang tak sanggup nak
tengok Sya macam ni...”
“Tak apalah bang. Sya
akan sabar. Ini dugaan untuk menjadi seorang ibu. Cuma... ”
“Ada apa Sya?”
“Sya rindukan mama.”
“Abang dah call mama.
Abang dah beritahu keadaan Sya. Tapi, Sya pun faham kan? Mama tak dizinkan
jumpa Sya. Dan mama adalah isteri yang sangat taat. Jadi, kita kena hormati dan
kagum dengan sifat mama.”
Qisya pejamkan mata.
Dia mula terasa betapa perlunya ada seorang ibu di saat kesakitan seperti itu.
Namun dia tahu, semuanya tidak akan berlaku lagi. Kalau dulu, demam sikit
sahaja mamanya akan menjaga dan merawatnya. Kini, semuanya sudah berlalu.
“Mama... maafkan
Sya...” rintih Qisya dengan esakan kecil.
Affian tidak sanggup
melihat Qisya begitu. Meruntun jiwanya. Lalu dia segera keluar dari situ. Dia
segera menelefon Hajah Afida.
“Mama, kesian dengan
Sya. Dia rindu sangat kat mama.”
“Bagaimana keadaannya,
Fian?
“Dia sangat lemah. Dia
langsung tak dapat makan apa-apa. Bolehkah mama datang tengok Sya? Dah dua
bulan kami ulang alik masuk ke hospital. Sekarang kandungan Sya dah nak masuk 5
bulan tapi dia tetap mengalami alahan yang teruk. Fian tak boleh nak tinggalkan
Sya, mama. Fian dah berhenti kerja.”
Kedengaran esakan halus
Hajah Afida. Affian tahu itu yang akan didengarnya.
“Fian, tolong jaga dia
untuk mama. Kesian anak mama...” kata Hajah Afida di celah tangisnya.
“Fian tak akan
tinggalkan Sya. Tapi, dia tetap nakkan mama...”
“Mama tak upaya.
Maafkan mama Fian.”
Akhirnya, Affian tidak
mampu berbuat apa-apa. Dia menahan sebak ketika mematikan talian. Dia sedih
dengan keadaan Qisya. Dia sayu dengan keadaan Hajah Afida. Dua beranak itu
terpaksa menanggung lara rindu yang hebat.
Dia juga merindui
keluarganya. Namun tidak sehebat rindu Qisya. Dia memang dilahirkan tanpa
belaian sayang seorang ibu. Hajah Norlida terlalu sibuk. Banyak masanya dihabiskan
di klinik dan bersama persatuan yang disertai. Affian dah membesar dengan kasih
pembantu rumah. Namun Qisya, sangat kaya
dengan limpahan kasih sayang.
Kini, Qisya hilang semuanya.
Gara-gara cinta mereka. Gara-gara keputusan mereka yang mendadak.