Pernikahan yang diatur
berjalan dengan baik. Affian dan Qisya akhirnya menjadi suam isteri dalam majlis
yang terlalu sederhana. Ia dibuat di rumah Puan Zieta, sahabat baik Puan Afida
di Taman Pulai Perdana. Tidak ada kenduri besar-besaran. Ia sekadar makan malam
yang disediakan oleh tuan rumah untuk menjamu pak imam dan rombongannya.
Tidak ada jemputan yang
ramai. Hanya imam dan saksi. Tidak ada wakil dari keluarga Affian. Yang
menemaninya hanya Mukhriz, teman baiknya. Di sebelah Qisya pula, hanya Hajah
Afida seorang sahaja. Haji Hasnan?
“Awak pergi uruskan hal
anak awak. Lepas tu, awak jangan bawa balik cerita tentang dia dan usah sebut
nama dia lagi dalam rumah ini. Saya tak izinkan. Kalau awak engkar, awak
tanggung dosa awak!”
Itu kata putus yang
keluar dari mulut Haji Hasnan. Hajah Afida akur.
“Terima kasih sekali
lagi bang,” ucap Hajah Afida ketika akan melangkah keluar pintu rumah. Dia rasa
bersyukur kerana dia masih diberi izin untuk keluar ke majlis itu. Kalau tidak,
tidak tahu betapa sedihnya hati seorang ibu.
Qisya dan Affian tidak
memakai pakaian pengantin seperti pengantin yang lain. Dia hanya memakai baju
kurung biasa sahaja.
Hajah Afida bukan tidak
mahu membelikan sepasang baju untuk hari istimewa Qisya itu. Tetapi Qisya
menolaknya.
“Buat apa nak membazir mama.
Sya akan pakai baju biasa saja. Affian pun nak pakai baju raya dia tahun lepas.
Itu yang dia ada. Kalau Sya pakai baju cantik, kesian pula dengan Fian,” kata
Qisya, menolak.
Alhamdulillah, majlis
selesai dengan selamat. Dalam sekali lafaz, Qisya sudah menjadi isteri Affian.
“Mama harap kamu berdua
hiduplah baik-baik. Mama hanya mampu berdoa. Hidup berumah tangga akan penuh
dengan cabaran. Mama harap kamu akan tabah. Fian, tolong jaga anak mama,” kata
Hajah Afida dengan sebak ketika anak muda bernama Affian datang mencium tangan
dan pipinya dengan penuh hormat takzim sebagai menantu.
“Terima kasih mama,
kerana sudi menerima Fian sebagai menantu. Fian tahu keputusan kami mendadak.
Tapi ini lebih baik dari kami terjebak dengan perkara-perkara mungkar. Fian dah
tak ada sesiapa melainkan Sya dan mama. Keluarga Fian...” Affian terhenti. Dia
tidak mampu meneruskan kata-katanya.
Air mata menitik dari
birai mata Affian.
“Sabarlah. Setiap ibu
bapa memang mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Buat masa ini, mereka
tengah marah. Biarkan dulu. Tapi jangan lupa berdoa untuk mereka. Jangan pula
sekali-kali melupakan mereka. Marah ibu bapa jangan diambil kira untuk
menjauhkan diri,” kata Hajah Afida, menarik Affian ke dalam pelukannya.
Entah kenapa hati Hajah
Afida jatuh kasih kepada menantu yang baru pertama kali ditemuinya. Jauh di
sudut hati, dia memuji pilihan Qisya. Dia nampak ada keluhuran dalam mata
Affian. Ada ketulusan dalam setiap tutur katanya.
“Mama sayang kamu
berdua...” bisik Hajah Afida.
Tangis Affian
semakin mendodoi. Sungguh terharu dan
sebak dengan belaian kasih sayang yang sedang diterima daripada mak mertuanya.
Walaupun, baru sahaja mengenali wanita itu, namun dia rasa sangat selesa
bersamanya. Kalaulah ibunya Hajah Norlida bersikap seperti Hajah Afida,
alangkah gembiranya.
Malam itu mereka makan
malam bersama selepas akad nikah.
“Sya, ini mungkin kali
terakhir kita dapat makan macam ni. Biarlah mama suapkan Sya dan Fian sebagai
tanda kasih sayang mama pada kamu berdua,” kata Hajah Afida.
“Jangan cakap macam tu,
ma. Sya belum bersedia untuk disisihkan dari kasih sayang mama,” balas Qisya
pula.
“Mama tak mungkin akan
sisihkan Sya. Tapi Sya pun faham keadaan kita. Mama tak akan derhaka pada
perintah abah. Kalau dia tak izinkan mama jumpa Sya, mama tak boleh bantah.
Kita tak tahu berapa lama hati abah akan tertutup untuk Sya dan Fian. Kita
hanya hanya berdoa.”
Hajah Afida menyuapkan
sejemput nasi yang sudah digaul dengan lauk ke mulut Qisya. Dengan sebak, Qisya
mengangakan mulut dan mula mengunyah dengan perlahan bersama titik-titik air
mata.
Suapan kedua pula
disuakan ke mulut Affian. Seperti Qisya, Affian juga menerima makanan dari
tangan Hajah Afida dengan air mata.
“Terima kasih ma. Mama
telah berikan sesuatu yang Fian tak dapat sebelum ini.”
“Apa maksud Fian?”
Hajah Afida merenung mata Affian yang basah.
Qisya ikut bersimpati
mendengar kata-kata Affian. Selama mengenali suaminya, dia memang tahu akan
semua pergolakan dan kepincangan yang berlaku dalam hidup Affian. Ibunya Dr
Hajah Norlida ayahnya Dr. Haji Zahari,
adalah dua nama yang menjadi sebutan dan sanjungan ramai orang. Kebahagiaan
yang ditunjukkan sering menjadi idola. Namun, apa yang berlaku adalah
sebaliknya.
“Tak apalah... biar
semuanya Fian simpan. ALLAH Maha Mengetahui dan Maha Pemberi. DIA dah kurniakan
sebuah keluarga kepada Fian sekarang. Fian janji akan berbakti kepada mama
selagi hayat dikandung badan.”
Affian menyapu air
matanya. Dia belum berhajat untuk mendedahkan pekong di dadanya. Biarlah ia
membusuk di dada sendiri.
Hajah Afida terus
menyuap kepada kedua-dua pengantin baru itu bergilir-gilir. Dia cuba mengubati
hatinya dengan melayan anak menantunya itu.
“Mama ingat masa Sya
kecil dulu, Sya akan makan dari tangan abah. Kalau abah ada, Sya langsung tak
nak makan dengan mama. Sya dan abah sangat rapat. Dari bayi abah sangat
sayangkan Sya. Hingga dewasa dia menyanjung Sya...” Hati Hajah Afida tidak
tertahan lagi. Dia menangis. Alangkah tidak disangka kalau hubungan yang sangat
erat itu boleh menjadi renggang.
“Ma, janganlah buat Sya
rasa bersalah lagi. Memang Sya yang jadi punca semua ini berlaku,” kata Qisya,
berhenti mengunyah. Rona wajahnya berubah.
“Sebenarnya mama tak
salahkan Sya. Abah juga tak salah.
Takdir sedang menguji kita.”
“Sya dah sakitkan hati
abah.”
“Abah yang kurang sabar
untuk berdepan dengan dugaan ini,” balas Hajah Afida.
“Dan mama yang jadi
mangsa kemarahan abah pada Sya,” kata Qisya lagi.
Hajah Afida tersenyum.
Namun di mata Qisya senyuman itu mengandungi seribu sengsara. Dia kenal
perangai abahnya. Bila kemarahan
membuak, semua maki hamun akan keluar dari mulutnya. Dia memang kurang sabar.
“Dahlah. Mama buat ni
semua demi Sya. Mama nak Sya bahagia. Mama nak Sya berjaya. Satu hari, Sya
mesti pulang ke rumah dengan segulung ijazah. Apapun dugaan, Sya mesti jadi
doktor. Hanya itu harapan mama. Sya kena buktikan pada abah bahawa Sya akan
berjaya dalam pelajaran dan bahagia dalam hidup,” ujar Hajah Afida. Dia
membasuh tangan. Sepinggan nasi habis disuap. Hatinya rasa girang seketika.
“Ma, Sya janji. Satu
hari Sya akan pulang ke rumah dengan ijazah dan baju doktor yang mama impikan,”
kata Qisya sambil memeluk tubuh Hajah Afida.
“Fian juga berjanji,
mama,” kata Affian pula.
“Ya. Mama memang
harapkan kamu berdua berjaya. Fian, tolong jaga Sya untuk mama. Ingat, mama
sentiasa bersama kamu berdua di kala susah dan senang.” Hajah Afida memeluk
kedua-duanya. Kemudian dia mengeluarkan sebuah kotak dari beg tangannya.
“Sya, ambil ni,” hulur
Hajah Afida.
“Apa ni ma?” Qisya
mengambil kotak itu.
“Hanya ini
kenang-kenangan dari mama. Sedikit duit untuk kamu berdua mulakan hidup baru
dan barang-barang kemas milik mama.”
“Tapi ma...”
“Jangan menolak Sya.
Mama tahu satu masa Sya akan memerlukan sumbangan kecil ini. Ini barang-barang
milik mama sendiri. Pemberian arwah nenek Sya.”
“Tapi, kan lebih baik
mama berikan kepada kak long dan kak ngah.”
Hajah Afida diam
termenung. Dia tahu dia tidak berlaku adil kepada anak-anaknya yang lain ketika
dia mengambil keputusan untuk memberikan seutas rantai dan gelang emas itu
kepada Qisya. Namun, dia rasa hanya Qisya yang layak. Anak-anak yang lain
semuanya sudah hidup senang dengan pendapatan masing-masing. Tetapi Qisya?
Belum tahu lagi nasib Qisya akan timbul atau tenggelam.
“Sya, ini permintaan
mama. Terimalah. Kalau Sya tak nak pakai, Sya simpan sebagai hadiah dari mama.
Hal-hal yang lain, biar mama yang hadapinya.”
Qisya menerima hadiah
itu dengan berat hati. Dia bimbang hal itu akan menjadi bahan kemarahan ahli
keluarganya yang lain. Dia tidak mahu Hajah Afida dimarahi lagi.
“Terima kasih mama. Sya
akan jaga hadiah mama ini dengan baik.”
Mereka berpelukan.
Lama. Air mata menjadi saksi. Kesedihan memang tidak mampu dibendung. Hajah
Afida tahu, malam itu mereka akan berpisah. Dalam keadaan tegang begitu, dia
tidak tahu bilakah pertemuan akan berlaku lagi.
“Mama minta kamu cepat
tinggalkan tempat ini sebelum hari siang. Mama bimbang api kemarahan abah akan
marah dan melemahkan akalnya. Pergilah. Mulakan hidup baru,” kata Hajah Afida
meleraikan pelukan Qisya. Dia cuba untuk tidak tunduk kepada perasaan.
Affian memimpin tangan
Qisya keluar dari rumah Puan Zieta.
“Sya, sabarlah. Betul
kata mama. Kita kena pergi dari sini dengan segera. Fian juga tak nak keluarga
Fian cari kita. Marilah kita pergi,” pujuk Affian.
Hajah Afida menghantar
Qisya dan Affian dengan esakan kecil yang sangat lara.
“Ida, sabar dan biarkan
mereka pergi untuk mulakan hidup baru. Kita doakan agar ALLAH lindungi mereka,”
kata Puan Zieta sambil memeluk tubuh Hajah Afida yang bergegar!