Home Novel Keluarga Mentua Aku Sporting
Mentua Aku Sporting
Rabihah Nur Ridhuan
21/3/2014 22:54:53
221,023
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 26

BUNYI deruan enjin kereta Rayyan menangkap masuk ke dalam telinga Puan Hajjah Salamah. Puan Hajjah memandang kepada Hannah yang sedang menyediakan minuman petang tanpa ada riak untuk menyambut kepulangan suaminya. Puan Hajjah Salamah menggeleng lemah.

“ Hannah, pergi sambut suami kamu, dia dah balik,” tegur Puan Hajjah Salamah.

Hannah hanya mengangguk lemah. Dia kemudiannya berlalu ke pintu utama dengan debaran di dada. Kalau bukan kerana arahan Puan Hajjah Salamah, tidak mungkin dia akan menyambut Rayyan pulang. Sikap kasar Rayyan terhadapnya membuatkan dia kian berjauh hati.

“ Tuan Rayyan dah balik?”

Hannah sendiri tidak tahu apa yang perlu dibicarakan bersama Rayyan. Dia rasa Rayyan pastinya suka dia memanggilnya dengan panggilan Tuan Rayyan dan bukannya abang seperti pasangan suami isteri yang lain.

“ Akulah yang balik ni, tak kan hantu pula!” Kata Rayyan kasar sekali.

Hannah hanya mampu mendiamkan diri. Kalau menjawab takut dikatakan melawan pula.

“ Ibu ada sediakan minum petang. Jom kita minum sama-sama,” kata Hannah lagi. Bukan dia mahu bermesra cuma dia hormatkan Puan Hajjah Salamah. Dia tidak mahu ibu mertuanya bimbang dengan keadaan rumah tangga mereka yang bergolak ini. Namun dia bersyukur kerana tinggal bersama ibu mertuanya. Sekurang-kurangnya keselamatannya terjamin kerana Rayyan tidak boleh sesuka hati memukulnya lagi.

“ Kenapa pula mak aku yang buat minum petang? Bukankah kau yang jadi khadam di rumah ini? Kau jangan ingat sebab kau kahwin dengan aku, kau boleh goyang kaki di sini. Aku sampai mati pun tak akan mengaku yang kau isteri aku!” Kata Rayyan kasar sekali.

Hannah hanya mengeluh lemah. Rayyan sebenarnya tidak sabar dan sering mengamalkan apa yang menguntungkan dirinya. Malah Rayyan seorang yang pentingkan diri sendiri. Ilmu dan amalan yang diguna pakainya untuk keuntungan dan egonya. Rayyan lupa yang Hannah ini adalah tanggungjawabnya walaupun perkahwinan mereka ini bukannya atas kehendak mereka berdua. Apa salahnya Rayyan berbuat baik kepadanya kerana setiap kebaikan yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala.

“ Hannah sedar siapa diri Hannah,” kata Hannah sambil menunduk.

“ Hah sedar pun dan jangan lupa kau tu tidak pernah sepadan dengan aku kerana kau tu bekas pelacur!”

Sinis sekali bicara Rayyan tanpa memperdulikan sekeping hati yang sakit mendengarkannya.

Hannah hanya mampu menunduk. Dia benci apabila Rayyan memanggilnya pelacur. Walaupun dia hampir terjebak dengan pekerjaan hina itu namun dia terselamat dan tidak pernah bergelumbang dengan maksiat. Tak kan kerana itu dia perlu dipandang hina.

Ah sememangnya lelaki terlalu ego dan tidak mahu mengaku kesalahan diri.

“ Ego!” Kata Hannah tanpa sedar. Dia sendiri terkejut dengan bicara yang terkeluar dari mulutnya itu.

Rayyan yang tercabar dengan bicara Hannah itu terus menarik rambut Hannah yang panjang.

“ Ego? Memang aku ego! Puas hati?” Tanya Rayyan sambil menarik rambut Hannah kuat membuatkan Hannah terdongak ke belakang. Hannah cuba melepaskan pegangan Rayyan tetapi semakin dia mencuba semakin kuat Rayyan mencengkam.

Hannah semakin ketakutan. Dia semakin trauma. Ketakutan yang dirasainya suatu masa dahulu mula menjelma semula di dalam dirinya. Nafasnya sesak dan dadanya berdebar kencang.

Akhirnya Hannah menjerit kuat supaya Puan Hajjah Salamah datang membantunya. Inilah sahaja cara yang boleh dilakukannya untuk menyelamatkan dirinya dari terus menjadi mangsa pukulan Rayyan.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.