Home Novel Keluarga Mentua Aku Sporting
Mentua Aku Sporting
Rabihah Nur Ridhuan
21/3/2014 22:54:53
221,019
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
bab 17

“ MASYALAAH…. Apa yang kau orang berdua dah buat ini?”

Jeritan kuat membuatkan Hannah cuba gagahkan dirinya untuk membuka mata. Namun denyutan di kepala begitu berat sekali seolah-olah ada sebiji batu besar yang sedang menghempap kepalanya.

“ Rayyan, kau bangun sekarang! Bangun!!!” Tengking Tan Sri Ghazali kuat sekali.

Apabila mendengarkan nama Rayyan disebut membuatkan jantung Hannah berdebar kencang. Dia paksa dirinya untuk membuka mata. Nyata debaran di dada Hannah semakin kencang. Bagai nyawanya direntap terus dari tubuhnya. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya.Tubuh Rayyan sedang tidur dengan pulas di sisinya.

Apa yang telah terjadi? Mengapa Rayyan tidur di sini? Dia pandang sekeliling. Begitu banyak mata sedang berada di hadapan pintu. Tan Sri Ghazali dengan berwajah garang. Puan Hajjah Salamah yang sedang menangis tersedu-sedu. Hanif dan beberapa orang lagi tetamu yang datang ke majlis tahlil ini. Ya Allah, apa yang sudah terjadi kepadaku? Janganlah berlaku sesuatu yang buruk terhadapku.

Hannah menggeleng tidak percaya. Di manakah dia tatkala ini? Di pandang sekeliling dan dia tahu dia masih berada di dalam biliknya dan kenapa pula Rayyan boleh tidur di sini? Adakah Rayyan telah mengambil kesempatan ke atas dirinya? Segera Hannah memandang ke tubuhnya yang sedang diselimuti selimut. Apabila diselak…

Hannah menjerit dan meraung sekuat hati. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh berkeadaan tanpa seurat benang bersama dengan Rayyan. Adakah Rayyan telah memperapa-apakan dirinya? Ya Allah, jangan Kau ujiku lagi. Aku tak sanggup menanggungnya. Rintih Hannah sendirian.

Rayyan bangun sambil memicit kepalanya. Jeritan perempuan yang begitu bingit menganggu lenanya. Apabila dia membuka matanya dia begitu terkejut kerana terlalu ramai orang sedang melihatnya. Lagi mengejutkan apabila Hannah berada di atas katil bersamanya. Gadis itu sedang menangis teresak-esak.

“ Kurang ajar! Sanggup kau berzina di rumah aku!” Marah Tan Sri Ghazali seraya menghadiahkan penampar di pipi Rayyan. Rayyan semakin terkedu. Apa yang sedang berlaku kepada dirinya begitu mengelirukan.

“ Atuk..dengar dulu penjelasan Rayyan,” kata Rayyan sedangkan dia sendiri keliru untuk memberi penjelasan kepada Tan Sri Ghazali.

“ Nak dengar apa lagi? Memang dasar budak tak sedar di untung. Aku tak pernah ada keturunan yang memalukan begini!” Marah Tan Sri Ghazali sudah tidak dapat ditahan lagi. Mukanya merah menyala. Puan Hajjah Salamah hanya mampu mengalirkan airmata.

“ Betul tu atuk! Kau ni tahu redah je. Sampai tukang gaji pun kau nak sapu juga. Iskh geli aku tengok perangai kau ni!” Kata Hanif sengaja menyimbah minyak ke dalam api yang sedang marak. Hatinya begitu puas. Rayyan yang sering mendapat pujian sudah mula dipandang hina oleh Tan Sri Ghazali. Hanif tahu perkara sebegini tidak boleh diterima oleh Tan Sri Ghazali.

Hannah menangis tersedu-sedu. Dia berasa kecil hati dengan bicara Hanif itu. Betapa hinanya dia di pandangan lelaki itu.

“ Saya tak tahu macamana boleh jadi begini. Saya tak sedar. Percayalah,” kata Hannah cuba membela dirinya.

“ Betul saya tak sedar!” Rayyan mengakuinya. Tetapi tidak mustahil ada yang mahu memerangkapnya. Mungkin Hannah yang mahu memerangkapnya. Lagi pun wanita ini adalah bekas pelacur. Pasti perkara yang mengaibkan ini sudah menjadi kebiasaan dalam dirinya.

“ Ya lah, dah sedap pandailah bagi alasan begitu. Jangan percaya cakap mereka ini atuk. Entah-entah dah lama diaorang buat perkara begini. Baru hari ini kita tahu,” kata Hanif lagi.

“ Hanif apa kau cakap ini?” Marah Rayyan yang geram dengan sikap Hanif yang tidak habis-habis mahu membakar kemarahan Tan Sri Ghazali.

“ Saya tak sedar….saya tak tahu apa yang terjadi kepada saya. Tolonglah saya. Mak cik….tolonglah saya,” tangis Hannah cuba meraih simpati Puan Hajjah Salamah.

Namun hanya sia-sia apabila Puan Hajjah Salamah hanya mampu menggeleng dan terus mengalirkan airmatanya.

“ Sudah aku tak nak dengar apa-apa lagi. Kau berdua akan aku kahwinkan dan mulai hari ini aku haramkan kau orang berdua untuk jejakkan kaki di rumah aku!”

Hannah semakin lebat airmatanya. Takdir apakah yang datang kepadanya secara tiba-tiba? Ya Allah, kenapa Kau beri ujian seberat ini kepadaku?

YOU nak ke mana, Irene?” Tanya Hanif sambil menghalang perjalanan Irene.

“ Apa yang bising tu?” Tanya Irene yang cantik memakai baju kurung sutera berwarna biru lembut.

Hanif tersenyum sinis apabila mendengarkan pertanyaan daripada wanita cantik di hadapannya itu. Dia berasa simpati dengan perempuan di hadapannya itu. Pasti Irene Natasya begitu kecewa dengan apa yang bakal disaksikannya nanti. Apatah lagi cinta yang sedang di anyam akan bersatu tidak berapa lama lagi dan sudah pasti apa yang bakal disaksikannya kelak akan memusnahkan perancangan yang telah dibuat oleh mereka.

“ I nasihatkan you supaya you tak payah tengok. Nanti you akan sakit hati,” kata Hanif selamba.

Irene Natasya mengerutkan dahinya. Dia tidak faham dengan bicara Hanif itu. Kenapa dia perlu sakit hati pula?

“ Malam ini you akan tahu siapakah Rayyan yang sebenarnya,” tambah Hanif lagi membuatkan Irene menggelengkan kepalanya. Pantas sahaja dia menolak tubuh Hanif yang sedang menghalang laluannya dan terus berlari ke arah bilik kecil yang berada bersebelahan dapur, tempat di mana tetamu yang hadir sedang berkumpul di situ.

Dari jauh Irene nampak dengan sejelas-jelasnya Rayyan yang sedang duduk di atas katil bersama dengan pembantu rumahnya. Keadaan mereka yang amat mencurigakan itu membuatkan hati Irene rasa begitu sakit sekali.

Tanpa di pinta airmata kesedihan mengalir laju ke pipinya. Sungguh dia begitu kecewa apabila menyaksikan sendiri kecurangan Rayyan itu. Tanpa menunggu sesaat lagi Irene terus berlari meninggalkan rumah yang telah merakamkan kecurangan Rayyan terhadapnya.

Previous: bab 16
Next: SINOPSIS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.