Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
95,457
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 3

Dia sampai di rumah ibunya setengah jam kemudian. Ibunya sudah pun menunggu kehadirannya. Tiada saudara-mara yang menemani. Ibunya selalu berkata, dia tiada sesiapa di dunia ini melainkan dia dan ibunya sahaja. Arwah ayah tirinya sudah beberapa tahun meninggal dunia. Dia tidak pernah bertanya lanjut tentang asal usul ibunya. Kata ibunya, itu semua tidak penting. Tinggalkan masa silam, hadapi masa hadapan. Dia akur. Kononnya ingin menjadi anak yang taat.

“Macam mana dengan Mastura? Dia tak syak ke?” tanya Halijah.

“Tak, ibu. Ashraf tinggalkan dia begitu saja.” Ashraf melabuhkan punggung di sofa kulit buatan Itali itu.

“Kalau Ashraf nak ibu terima kehadiran Mastura, Ashraf ikutlah cakap ibu.” Halijah mencebik.

“Okey, Ashraf ikut cakap ibu. Tapi, ibu kena berpegang dengan janji ibu untuk terima Mastura sebagai menantu ibu. Surat tukar milik harta warisan Ayah Din dah pun Ashraf tandatangan. Kalau ibu tukar fikiran, Ashraf tak teragak-agak tukar kembali wasiat itu. Ibu dengar tak? Tak mustahil Ashraf letak nama Mastura dan Maria sebagai pewaris harta ini. Bukan niat mengugut, ibu tapi Ashraf nak ibu pegang pada janji yang ibu sendiri katakan.” Ashraf memandang wajah ibunya dengan mata berkaca.

Halijah terkedu mendengarnya. Anaknya sedang bermain api. Sengaja hendak membakar dirinya yang telah disirami minyak, hanya tunggu terbakar sahaja. Dia tidak akan membiarkan harta itu jatuh ke tangan menantu dan cucu yang dibenci.

“Ashraf jangan bimbang, ibu tetap pegang pada janji.” Dia masih bermuka manis. Kata-kata Ashraf tadi ditolak ke tepi. Kalau dari dahulu Ashraf berkahwin dengan gadis pilihannya, pasti hubungannya dengan anaknya itu berjalan lancar. Ashraf pasti tinggal bersamanya. Tidaklah berjauhan seperti sekarang. Sudahlah semua harta milik arwah suaminya telah dinamakan dengan nama Ashraf. Salah dia juga terburu-buru buat keputusan. Kononnya untuk menjaga agar harta warisan itu kekal milik anaknya. Sedangkan kalau ikutkan Ashraf tidak layak menerimanya. Kerana dia hanya anak tiri arwah suaminya.

Majlis sudah dirancang sebulan yang lalu. Itu pun puas dia memujuk Ashraf menerima cadangannya itu. Akad nikah dilakukan di rumahnya begitu juga kenduri kendara. Kedua-dua orang tua perempuan masih di luar negara. Dialah yang menguruskan semuanya. Tidak mungkin dia menangguhkannya hanya kerana musibah yang menimpah keluarga anaknya itu. Hanya senyuman terukir di hati apabila diberitahu oleh Ashraf bahawa rumahnya telah hangus terbakar. Dia sudah sedia maklum apa yang berlaku.

Dia tidak peduli apa yang terjadi kepada anak dan isteri Ashraf. Segala persiapan telah dibuat. Tak mungkin dia membatalkannya. Buat malu sahaja. Biarlah Mastura selesaikan sendiri masalahnya. Nanti usai majlis perkahwinan itu jika Ashraf hendak pulang menjengah anak isterinya dipersilakan. Wah, baiknya hati dia! Jangan harap! Dia tidak akan membenarkan Ashraf ke sana lagi. Dia akan mengikat kaki dan tangan Ashraf di sini! Bodoh betul anaknya... lurus bendul. Ingat senang dia hendak menerima kehadiran Mastura?

Lagipun dia ada rancangannya sendiri. Harta warisan arwah suaminya akan dirampas kembali. Surat peralihan kuasa dan penukaran pemilik semua harta tersebut telah pun siap. Cuma tunggu tandatangan anak lelakinya itu sahaja.

Majlisberjalan lancar. Senyuman bahagia terukir di bibir Halijah. Harapan dan impiannya sudah tertunai.

Ashraf cuba berlagak riang. Namun hati dan fikirannya asyik teringkatkan anak dan isteri yang ditinggalkan sehelai sepinggang.

Malam pertama bagaikan tidak bererti. Badannya di situ, hatinya entah ke mana pergi. Resah dan gelisah. Isteri yang jelita, seksi dan mampu meruntuhkan perasaan kelelakiannya tidak langsung menggamit rasa. Malam berlalu tanpa suara. Tanpa rasa. Hiba menghimpit bagaikan menyesak nafasnya.

“Abang, kenapa? Muram sepanjang masa. Sepatah Rina tanya, sepatah abang jawab. Apa yang tidak kena? Kehadiran Rina tak menyenangkan hati abang ke?”

Lembut isteri barunya, Katrina bersuara. Ashraf menoleh sambil mendengus kasar. “Maafkan abang, Rina. Abang sebenarnya dah beristeri dan dah punya seorang anak. Sebelum abang ke mari, musibah menimpa. Rumah kami hangus terbakar. Demi janji, abang ke mari juga,” ceritanya. Dia tidak mahu menipu sesiapa. Hatta isteri sendiri, namun terpaksa.

“Innalillah… jadi anak isteri abang macam mana?” tanya Katrina, ingin tahu. Terkejut dia mendengar berita itu. Walaupun hatinya tidaklah baik sangat tetapi jika seseorang menimpa musibah tidaklah perlu ketawa riang. Sekurang-kurangnya tunjukkanlah rasa simpati.

“Mereka selamat, cuma tak tahu bagaimana keadaan mereka sekarang,” luah Ashraf lagi.

“Rina dah tahu abang ada isteri dan anak. Rina setuju berkahwin dengan abang pun sebab hati dan perasaan Rina terhadap abang tidak pernah berubah. Walaupun abang pernah kecewakan Rina tapi apa boleh buat, waktu itu kita tidak ada jodoh. Rina tidak kisah jadi isteri kedua asalkan abang berlaku adil,” ujar Katrina. Lembutnya gigi dari lidah waktu mengungkapkan kata. Bermanis muka di hadapan suami, konon baiknya hati. Hidup perlu bijak jika inginkan sesuatu yang berharga.

Ashraf terkejut mendengarnya. “Rina...” Rasa terharu datang bertandang. Bekas tunangannya itu masih menyimpan perasaan terhadapnya, padahal perkara itu sudah lama berlalu. Masing-masing sudah lama tidak bertemu. Panggilan telefon daripada ibunya sebulan yang lalu menemukan mereka kembali dalam suasana yang jauh berbeza. Katrina masih seperti dahulu. Seksi dan manja. Dia pula sudah beristeri dan mempunyai seorang anak.

“Abang, pergilah balik. Tengok keadaan isteri abang. Rina akan tunggu kepulangan abang,” saran Katrina. Alah, tidak rugi sesen pun berlagak baik. Biar tertanam di hati suaminya... baiknya isteri keduaku. Katrina ketawa sendiri.

“Tapi...” Ashraf ragu-ragu. Benarkah yang berdiri di hadapannya Katrina tunangannya dahulu? Lain sungguh kata-kata dan tingkah laku.

“Pergilah, bang. Rina tidak apa-apa. Dah ambil hak orang, kenalah pandai-pandai bawa diri. Lebih-lebih lagi keadaan isteri abang tidak tahu bagaimana. Uruskan hal mereka sehingga selesai. Abang jangan bimbangkan Rina. Terangkan kepadanya yang abang sudah mempunyai seorang lagi isteri. Kalau dia dapat menerimanya, Alhamdulillah. Kalau tidak, pandai-pandailah abang memujuknya.”

“Terima kasih, Rina.” Ashraf memeluk isteri baharunya. Hatinya berbunga bahagia. Masalah ini selesai. Masalah di sana belum tahu bagaimana.

Seminggu masa diambil untuk dia memberanikan diri bersemuka dengan Mastura. Ashraf menunduk. Wajah Mastura yang masam mencuka tidak mampu ditenung lama. Dia tahu dia bersalah. Tetapi demi restu ibunya, dia terpaksa.

“Mas kena faham kenapa abang buat begini. Itulah syarat ibu. Dia nak abang berkahwin dengan gadis pilihannya, barulah dia dapat terima kehadiran Mas sebagai isteri abang, anak kita sebagai cucunya.”

“Ibu abang kejam. Siap telefon mak, beritahu abang dah bernikah lagi. Abang tinggalkan Mas dan Maria sehelai sepinggang. Rumah hangus. Abang pergi begitu sahaja. Apa yang ada dalam hati abang? Kerana janji ibu abang... entahkan benar, entahkan bohong... abang lupakan kami?” Mastura mengetap bibir. Kelat wajahnya, sekelat hatinya sekarang untuk menerima kehadiran orang lain dalam hidupnya dan Ashraf. Jika perempuan itu boleh menerima dia sebagai madu, belum tentu dia dapat menerima orang ketiga di dalam hidupnya dan Ashraf.

“Jangan cakap macam tu, Mas,” tegur Mak Yam. Walaupun dia kesal dengan apa yang berlaku. mungkin ada hikmahnya yang terbaik untuk anak menantunya.

“Pergilah abang balik ke rumah isteri muda abang. Biar Mas di rumah mak. Hati Mas masih belum dapat terima apa yang berlaku. Selama ini, hidup Mas bahagia saja walaupun tanpa restu ibu abang. Bergembiralah dia dengan menantu barunya tu. Abang boleh aje tolak kalau abang nak. Tapi… lelaki kan... Orang sudah tawarkan diri, kenapa nak ditolak?” kata Mastura, geram.

Ashraf terdiam lama. Seketika kemudian, dia bersuara, “Abang tak akan sia-siakan, Mas. Abang akan cuba berlaku adil antara Mas dan isteri baru abang. Maafkan abang kerana merahsiakan perkara ni daripada pengetahuan Mas dan keluarga.” Dia memandang ibu mertuanya. “Maafkan saya, mak.” Dia menghulurkan tangan bersalaman dengan emak mertuanya.

Tiada kata secubit pun keluar daripada bibir Mak Yam. Sudah kehendak ILAHI anaknya akan hidup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Suka atau tidak, itulah takdir yang telah tertulis.

Ashraf berharap Mastura akan terbuka hatinya. Dia ingin membahagiakan kedua-dua orang isterinya. Dia hanya ingin membahagiakan semua orang, terutama ibu tersayang. Salahkah tindakannya itu?

Mastura tidak mahu bertekak lagi dengan suaminya. Segalanya sudah terjawab. Segalanya sudah berlaku. Dia perlukan masa. Dia perlu menenangkan fikiran. ‘Di manakah suami aku?’ Hatinya sudah bercabang, hilang bersama orang lain. Dia menutup mata, setitis air jernih mengalir keluar tanpa dipinta.

Previous: BAB 1
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.