Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
95,493
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 1


HANYA air mata yang mengalir keluar. Dadanya sebak. Melihat wajah mereka yang berada di dewan itu benar-benar menyayat hatinya. Mereka tinggal sehelai sepinggang. Tidak sempat menyambar atau menyelamatkan apa-apa barang milik mereka. Semuanya musnah begitu sahaja, melainkan rumah yang agak jauh dari punca kebakaran bermula. Nyawa lebih penting daripada segala harta benda yang hangus dijilat api. Mereka adalah jiran-jirannya.

Matanya liar mencari seseorang. Ke manakah dia? Bukankah tadi lelaki itu ada bersama-sama dengannya? Tidak perasan bila suaminya menghilangkan diri. Anak di sisi cepat-cepat dicempung dan dikendong. Dia bingkas bangun, berjalan sekeliling dewan mencari kelibat orang tersayang. Para penghuni dewan ada yang saling bercakap sesama sendiri.

Bercerita tentang kebakaran yang terjadi. Tidak kurang sudah pun melabuh mimpi. Mata yang kantuk, badan yang letih serta fikiran yang galau, lebih baik bawa berehat dan bertenang.

“Encik... nampak suami saya tak? Tadi dia datang dengan saya. Tapi, tiba-tiba dia hilang, Encik nampak tak?” Mata membuntang memandang wajah lelaki yang menjadi sukarelawan di dewan tersebut.

“Suami akak? Maaflah, kak... saya tak kenal suami akak. Mungkin akak boleh cuba tanya sukarelawan yang lain. Lagipun kami sudah daftarkan nama-nama mangsa. Akak pergi ke bahagian pendaftaran di hadapan pintu masuk dewan. Mungkin mereka boleh membantu,” beritahu lelaki itu.

“Kenapa, Mas?” tanya seorang perempuan tiba-tiba. Dia memandang wajah Mastura dengan penuh tanda tanya.

“Saya cari Abang Ashraf. Tiba-tiba sahaja menghilangkan diri,” jawab Mastura sedih.

“Mungkin dia pergi tengok rumah agaknya,” teka perempuan itu. Sekadar ingin menyedapkan hati wanita yang sedang bersedih di sisinya itu.

“Entahlah, Kak Timah. Saya sendiri tak tahu,” keluh Mastura. Dia menahan sebak.

“Kejap lagi baliklah dia tu. Nak ke mana lagi? Rumah kita sudah jadi abu, Mas,” sampuk seorang lelaki yang berada di belakang Mastura. Anak dan isterinya sudah pun lena di sisi.

“Harap-harap begitulah, Pak Abu. Risau saya.” Anak dikendong kemas di dalam pelukan. Nyenyak pula tidurnya. Apalah anaknya itu tahu tentang hati dan perasaan? Kalau lapar, sakit dan mengantuk, tangisan menjadi tempat berbicara.

“Sudahlah, Mas. Marilah tidur di sini. Tempat ini masih kosong. Pak Karim tidur dengan kawan-kawan dia di sebelah sana,” pelawa Kak Timah, jiran sebelah rumahnya.

“Terima kasih, Kak Timah. Puas saya cari tempat nak berehat tadi. Semuanya sudah dipenuhi orang. Apa yang tinggal hanyalah laluan untuk kita berjalan saja.”

Suara yang riuh-rendah tadi sudah semakin kurang. Masing-masing sudah melelapkan mata.

“Ke mana pula perginya Ashraf? Takkan dia pergi begitu saja? Kau dah makan?” tanya Kak Timah. Matanya tepat memandang wajah Mastura. Tangannya lembut membelai rambut anak kecil Mastura yang berusia lima tahun yang nyenyak lenanya.

“Entahlah, Kak Timah. Pelik juga rasanya. Mungkin kata Pak Abu ada benarnya. Dia kembali ke kawasan taman. Malam-malam ini apa yang nak dicari? Bukan nampak pun?”

“Sudahlah, tak usah difikirkan. Tahulah Ashraf ke mari,” pujuk Kak Timah.

Mastura hanya mengangguk. Dengan beralaskan tikar dan toto, Mastura terus merebahkan diri. Matanya mula berasa mengantuk. Pedih mencengkam anak matanya.

HARI sudah menjelang subuh.

“Dah bangun pun. Ini ada nasi lemak dan kopi panas. Kak Timah saja ambil lebih untuk Mas. Makan, ya?” Kak Timah menyerahkan dua bungkus nasi lemak dan segelas kopi panas kepada Mastura. Wajah wanita itu masih kelat sama seperti semalam.

“Terima kasih, Kak Timah. Ada Kak Timah nampak Abang Ashraf?” tanya Mastura sambil membuka bungkusan nasi lemak. Perutnya benar-benar lapar. Tidak sempat ke bilik air. Menggosok gigi pun tidak.

“Tak adalah pula. Mungkin masih di taman tak?” teka Kak Timah. Masih memikirkan perkara yang sama.

Mastura mengeluh. Kenapalah suaminya tidak ada juga pagi ini? Ke mana? Semakin berserabut perasaannya. Duit di tangan tiada. Pakaian sehelai sepinggang. Adik-beradik atau saudara-mara... sudahkah mengetahui akan kejadian yang telah menimpanya? Telefon bimbitnya tidak dapat diambil waktu kejadian. Semuanya berlaku sepantas kilat. Emaknya pun masih tidak kelihatan.

“Mas nak pergi mandi? Biar Kak Timah tengok-tengokkan Maria,” tawar Mak Timah. Matanya menyinggah ke wajah Maria.

“Nak mandi macam mana, Kak Timah? Saya keluar rumah sehelai sepinggang aje. Tak ada satu pun sempat dicapai,” ujar Mastura. Memang itulah yang berlaku. Hanya nyawa yang perlu difikirkan ketika itu.

“Hah, kau pakai baju Kak Timah ni.” Kak Timah simpati. Dia menyerahkan pakaiannya kepada Mastura. Sempatlah juga dia mencapai beberapa helai di ampaian sebelum menyelamatkan diri.

“Terima kasih, Kak Timah.” Mastura menghabiskan nasi lemak berlaukkan telur goreng. Kopi panas diteguk dengan berhati-hati.

“Pergilah mandi. Biar segar sikit badan dan kepala. Jangan fikir yang bukan-bukan,” nasihat Kak Timah. Bagaikan tahu apa yang sedang bergelora di hati Mastura.

“Saya ke bilik air dulu ya, Kak Timah? Tolong tengok-tengokkan Maria.” Mastura terus melangkah ke bilik air. Hampir sejam dia beratur di situ. Resah menghimpit, tetapi apakan daya... bukan dia seorang di situ. Terlalu ramai. Kenalah mengikut giliran. Mandi seadanya agar segar sikit badannya.

MASTURA melangkah kembali ke tempat dia meninggalkan Maria. Seraya berjalan, matanya liar memerhati. Manalah tahu terserempak dengan suaminya. Kekecewaan menghambat hati. Bukan sahaja batang hidung, bayang suaminya pun tidak kelihatan.

“Sudah bangun anak mama.” Dia mendekati Maria yang sedang menjamah nasi lemak sambil ditemani Kak Timah yang setia di sisi. Pak Karim, suami Kak Timah turut berada di situ. Dia melemparkan senyuman.

“Ashraf tak jumpa lagi, Mas?” tanya Pak Karim. Mungkin Kak Timah sudah menceritakan apa yang berlaku.

Mastura menggelengkan kepala. Mengingatkan suaminya membuatkan hatinya diusik pilu.

“Tak tahu dia pergi ke mana, Bang Karim.” Wajah Mastura mencuka. Suram mendekati, mendung bagaikan tidak mahu berlalu.

Dahi Pak Karim berkerut. Sewaktu dia kembali ke kawasan taman tadi, tidak pula nampak kelibat jirannya itu. Ke mana pula perginya? Dalam keadaan begini takkan pergi bekerja? Dia sendiri bingung memikirkannya.

“Tunggu sampai tengah hari, mungkin dia akan datang,” pujuk Pak Karim. Simpati pula dengan keadaan Mastura, suami menghilangkan diri secara tiba-tiba.

SUDAH 24 jam dia berada di dewan orang ramai tersebut. Bayang suaminya masih tidak kelihatan. ‘Ke manakah kau, suamiku?’ detik hati kecil Mastura. Dia tetap mahu suaminya berada di sisi. Ke manakah dikau, perkataan itu bermain-main dibenaknya.

Tidak henti-henti mulutnya bertanya tentang suaminya. Manalah tahu ada yang ternampak suaminya di mana-mana. Namun jawapan yang diterima amat menghancurkan hatinya. Tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang melihat kelibat suaminya. Tidak mungkin suaminya menjadi halimuman. Hatinya dihenyak kesakitan yang amat sangat. Sakit mengetuk kepalanya.

“Abang Ashraf masih tak nampak kelibatnya, Kak Timah. Penat sudah saya menunggu dan menanti. Ahli keluarga saya pun tak datang menjengah. Keluarga mertua... jangan haraplah. Terasa diri saya dibuang dan terbuang.” Air mata merembes keluar dari kelopak mata Mastura.

Kak Timah tidak mampu berbuat apa-apa. Dia hanya mampu bersimpati dan meminta Mastura bersabar. Dia mengusap belakang Mastura untuk menenangkannya.

“Jangan cakap macam tu, Mas. Mungkin Ashraf ada kerja di luar. Itu sebab dia tidak sempat beritahu apa-apa.”

“Kerja luar? Tanpa sepatah kata? Dalam keadaan begini?” Mastura mengesat air matanya. Semakin difikir semakin terasa pedihnya.

“Sabarlah, Mas.”

“Entahlah, Kak Timah. Hairan sungguh saya. Suami hilang tiba-tiba. Tak ke pelik?”

“Nanti dia baliklah tu.” Kak Timah hanya mampu memujuk.

“Tak tahu nak buat apa lagi, Kak Timah. Duit tak ada di tangan. Dalam bank adalah. Tapi nak ke sana tu, dalam keadaan sehelai sepinggang macam ni... Kad pengenalan pun tak sempat saya selamatkan.” Mastura meluahkan isi hati. Kalau dapat mengambil beg duitnya tidaklah terasa beban berat sangat.

“Tak apa... nanti pakai dahulu duit Kak Timah.”

“Saya sudah banyak menyusahkan akak dan suami.”

“Kita kan berjiran? Apa salahnya saling membantu?” Kak Timah mengusap belakang Mastura.

“Kak Timah nak tinggal di mana?”

“Mungkin tinggal di rumah anak akak.”

“Alhamdulillah...” Mastura melemparkan senyuman. Matanya sudah sembap dek banyak menangis. Menangisi nasib diri dan anaknya. Kejam sungguh suaminya. Pergi ketika dia dalam kesusahan.

Dua hari berlalu. Senyuman sudah tidak mahu lagi singgah di bibir. Kekusutan fikiran membuatkan dirinya berserabut. Wajahnya asyik berkerut, masam dan kelat silih berganti. Leka memikirkan suaminya sehingga tidak perasan akan kehadiran emaknya sendiri.

“Kenapa lambat sangat mak nak datang ke mari?” tanya Mastura, meluahkan isi hati.

“Ada urusan yang perlu mak selesaikan. Maaflah terlambat jenguk Mas dengan Maria,” kata Mak Yam. Dia memandang wajah pucat anaknya. Dia mengeluh. Apa yang harus diberitahu kepada ibu beranak satu itu? Tidak tergamak rasanya. Dia sendiri terkejut mendengar berita yang mampu menghancurkan hati anaknya. Hendak beritahu, takut pula berlaku perkara yang tidak diingini. Dapatkah anaknya menerima berita tersebut?

“Mak, kenapa? Gelisah saja.” Mastura mengerutkan dahinya memerhatikan emaknya. Ada galau di hati emaknya. “Kenapa, mak? Ada yang ganggu mak ke?” tanyanya sekali lagi.

“Mak ada perkara nak beritahu Mas.” Perlahan suara Mak Yam.

Mastura duduk menghadap Mak Yam. Maria masih lagi bermain bersama rakannya di sudut dewan tersebut. Biarlah.

“Apa dia, mak?” Dia tidak sabar ingin mengetahuinya.

“Harap Mas sabar, ya?”

“Kenapa, mak?” Pelik Mastura melihat sikap emaknya.

“Ashraf, suami kau,” Mak Yam diam seketika. Hati Mastura semakin tidak keruan.

“Cakap ajelah, mak,” desak Mastura.

“Dia dah berkahwin lagi!” beritahu Mak Yam.

Bagai dipanah penih, Mastura tergamam. Terdiam. Matanya memandang tepat wajah Mak Yam, tidak berkelip. Adakah dia salah dengar?

“Mak cakap apa ini?” Dia cuba memaksa bibirnya mengukirkan senyuman, namun kelat. Sekelat hatinya ketika itu.

“Mak mentua kau yang beritahu. Takkan mak nak bohong pula?” kata Mak Yam.

Mastura memandang ke arah Maria yang masih bermain. Setitis demi setitis mutiara jernih mengalir keluar di pipi.

Suasana di dalam dewan yang semakin kurang penghuninya dipandang sekeliling dengan mata yang berkaca. Di manakah suamiku? Hanya itu yang mampu dikatakan di dalam hatinya. Bagaikan air terjun yang mengalir laju seusai hujan, begitulah air matanya ketika itu. Dadanya berat, sakit dan perit. Benarkah berita yang diterimanya tadi? Suara jiran tetangga yang bertanya khabar, tidak langsung singgah di telinganya. Sudahlah jatuh, kemudian ditimpa tangga pula. Suamiku, di manakah kau?

Previous: BAB 2
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.