7
SELESAI
menggantung pakaian baru, Atirah mengemas beberapa buah majalah yang agak
berselerak di kaunter. Umi belum tiba lagi pagi itu. Oleh kerana semua kerja
telah diselesaikannya, dia membaca salah sebuah majalah Wanita yang sudah disusunnya
sebentar tadi. Dahulu, dia tidak punya peluang untuk membaca majalah seperti
itu. Hendak membeli beras pun, ada masanya dia tidak mampu, inikan pula hendak
membeli majalah. Tetapi semenjak bekerja dengan umi, pengetahuannya mula
berkembang sedikit demi sedikit. Baru sehelai dua majalah itu dibeleknya, pintu
utama butik itu ditolak seseorang.
“Umi mana, cik?”
“Umi? Mm, umi belum sampai lagi
encik. Tapi biasanya masa ni umi dah sampai,”
Lelaki yang memanggilnya cik itu
sudah berada di hadapannya. Orangnya kelihatan seperti dalam lingkungan dua
puluhan.
“Oh, kalau macam tu, saya tunggu
umi dekat sini, boleh kan?”
“Boleh,”
Jawab Atirah, ringkas. Tanpa
sempat dipelawa lelaki itu terus duduk di hadapannya. Majalah yang telah
disusunnya sebentar tadi diambil lelaki itu. Terpinga-pinga Atirah dibuatnya.
Lelaki itu nampak begitu bersahaja, tidak kelihatan seperti pelanggan atau
sahabat. Siapa lelaki itu sebenarnya? Anak umi? Jika lelaki itu anak umi,
kenapa dia tidak pernah melihat wajah itu bersama umi. Setakat ini, dia hanya
pernah bertemu dengan Dina, itupun cuma sekali, ketika mula-mula dia
menjejakkan kaki ke butik itu.
“Cik tengok apa? Saya pakai baju
terbalik ke?”
Tegur lelaki itu. Atirah tersentak
dan segera menundukkan wajahnya. Terasa bahang panas naik ke mukanya. Ketara
benar agaknya segala persoalan yang berlegar di dalam kotak fikirannya hingga kan lelaki itu
menyedarinya.
“Err...tak,”
“Oh, bukan ye? Cik baru kerja
dekat sini ke?”
Senyuman lelaki itu yang nampak
ikhlas membuatkan dia terus menundukkan kepalanya. Dia berasa kekok dengan
situasi seperti itu. Sukarnya untuk menjadi ikhlas seperti lelaki itu.
“Mm...saya baru kat sini,”
“Nampak macam muda lagi, baru
habis SPM ke?”
“Saya belajar tak tinggi tu pun,
encik. Setakat PMR aje,”
“Azlan! Anak umi!”
Belum sempat dia hendak membalas,
terdengar namanya diseru. Dia menoleh ke belakang dan wajah umi dengan senyuman
gembiranya nampak begitu ketara. Azlan bangun lalu mendapatkan uminya. Tangan
uminya itu dikucup sebelum dia memeluk uminya. Sudah lama benar dia tidak datang
menjenguk uminya. Baru hari ini kesempatan itu ada.
“Lan datang jugak jenguk umi,”
“Lan rindu kat umilah,”
“Kalau tak rindu, tak datang lah
ye?”
Tanya, Hajah Fatimah, sekadar
menguji anak lelakinya yang kedua itu. Jarak umur antara Badli dengan Azlan
hanya setahun tetapi mereka tidak begitu rapat.
“Bukan macam tulah umi,”
“Habis tu macam mana? Cerita sikit
dengan umi,”
“Mm...Lan kan anak umi, jauh mana pun Lan pergi, Lan
akan balik jugak pada umi,”
Hajah Fatimah hanya mengangkat
kening, tersenyum mendengar jawapan anak yang dirinduinya itu. Bahu anak
lelakinya itu dipaut lalu mereka berjalan beriringan menuju ke arah Atirah.
“Tirah, kenalkan anak kedua umi,
Azlan, abang kepada Dina....Lan, umi kenalkan Atirah, walaupun dia kerja dengan
umi tapi umi sayangkan Tirah macam anak sendiri tau,”
Atirah mengangkat wajahnya
memandang ke arah Hajah Fatimah. Wajah Azlan hanya dilihatnya sekali imbas,
dengan sedikit senyuman, dia hanya mengangguk apabila dirinya diperkenalkan
dengan anak lelaki Hajah Fatimah. Terjawablah sudah segala persoalan mengenai
siapa lelaki itu.
“Oh, Atirah. Orangnya manis macam
namanya juga kan,
umi?”
Tersenyum Atirah mendengar usikan
lelaki itu. Hajah Fatimah juga begitu, senang dengan sikap ramah anaknya.
“Atirah ada lesung pipitlah umi!”
Atirah malu terus diusik begitu
oleh Azlan, lalu dia mengambil majalah dan pura-pura membaca majalah tersebut.
“Lan ni kuat sangat usik
Tirah...tengok tu, dia dah malulah tu,”
“Lan salah cakap ke umi? Betul kan Tirah ada lesung
pipit? Lan baru perasan,”
Atirah mendengar sahaja suara anak
lelaki Hajah Fatimah berbicara mengenai lesung pipitnya. Entah apa yang
istimewa dengan lekuk di kedua belah pipinya itu.
“Memanglah betul tapi Tirah tu
perempuan, Lan tu lelaki. Malulah dia, Lan usik macam tu,”
“Yelah
umi. Mmm, Lan lapar ni umi, kita pergi makan dulu, ya?”
“Kita
ajak Tirah sekali, ya?”
Hajah Fatimah memberi cadangan.
Atirah tersentak bila majalah yang sedang dibacanya itu ditarik perlahan oleh
Azlan. Hajah Fatimah hanya ketawa melihat telatah anak lelaki yang dirinduinya
itu.
* * * *
* * *
SETELAH
menjamah makan malam sebentar tadi, Atirah mendekati adik-adiknya yang sedang
sibuk mengulangkaji pelajaran. Hajah Asmah sudah lena sebentar tadi. Sejak
akhir-akhir ini, keadaan Hajah Asmah nampak semakin teruk. Puas diajak ke
hospital namun pendirian Hajah Asmah tidak pernah berubah walaupun Hajah Asmah
tahu sakitnya semakin menjadi-jadi. Sudah hampir dua minggu dia berada di rumah
Hajah Asmah. Walaupun berat hatinya juga hendak meninggalkan rumah peninggalan
arwah ayah dan emaknya, namun demi Hajah Asmah, diketepikan perasaan berat itu.
Hajah Asmah sudah terlalu banyak membantu Atirah dan adik-adiknya dan ini
merupakan masa untuk membalas jasa Hajah Asmah.
“Along, makcik dah tidur ke?”
“Dah, baru je kejap tadi,”
Jawab Atirah, ringkas sahaja namun
senyuman tetap terukir buat adik-adiknya.
“Kesian kat makcik, dah dekat dua
minggu sakit, tak baik-baik pun lagi. Siang malam batuk. Kadang-kadang abang
tengok makcik tersekat-sekat nak bernafas,”
Beritahu Firdaus sambil tangannya
terus menulis kerja sekolah yang diberikan untuknya. Memang itu yang berlaku
sejak dua minggu yang lalu. Dia tidak tahu bagaimana hendak memujuk Hajah Asmah
lagi. Bukan dia tidak sanggup hendak menjaga Hajah Asmah tetapi selain kasih
sayang, dia tidak punya apa-apa yang dapat membantu Hajah Asmah supaya kembali
sihat seperti dahulu.
“Along dah cuba pujuk
makcik pergi hospital tapi makcik tak mahu tinggalkan rumah ni.Tak
apalah, kita sama-sama doakan makcik cepat sembuh, ya!”
Ujar Atirah, perlahan sambil
menggosok bahu kedua adik lelakinya itu. Dalam mindanya ketika itu hanya
terbayang wajah Hajah Asmah. Entah bila agaknya dia dapat melihat Hajah Asmah
kembali bersemangat seperti dahulu.
“Along, esok angah dengan abang
nak balik rumah kita kejap. Nak bersihkan apa yang patut...boleh kan, along?”
“Boleh,
elok juga tu, tapi janganlah lama-lama sangat,”
Pesan Atirah. Belum sempat dia
hendak menambah pesanan kepada adik-adiknya, terdengar batuk Hajah Asmah, tidak
henti-henti. Atirah terus bergegas ke dalam bilik wanita itu.
“Makcik, kenapa ni? Minum air
sikit, ya?”
Tanya Atirah terlebih dahulu.
Kemudian Atirah menyuakan cawan berisi air masak itu ke mulut Hajah Asmah.
Dengan payah, Hajah Asmah meneguk air itu. Sekejap cuma, dan wanita itu kembali
pada peraduannya. Tidak sampai satu minit, tidur Hajah Asmah kembali nyenyak.
Atirah membetulkan selimut yang menutup kaki Hajah Asmah. Ditariknya selimut
itu perlahan, hingga menutup dada Hajah Asmah. Kemudian, dia duduk bersandar,
tekun memerhatikan Hajah Asmah sehingga tidak sedar malam semakin larut.
Akhirnya, dia tidur lena beralaskan dinding.
* * * *
* * *
BADLI
hanya tersenyum saat Lia membiarkan dirinya dipeluk erat. Dia tahu Lia tidak
peduli dengan apa sahaja yang bakal dilakukan ketika itu. Perlahan, bibirnya
merayap ke arah pipi wanita itu.
“You tau tak Badli, dah lama sangat I tunggu nak berdua dengan you
macam ni,”
“Really? Kan
Idah ada depan you ni...”
“Mmm...”
Balas Lia, manja. Dia sudah
bersedia untuk menghabiskan masa yang ada ini dengan Badli. Bukan senang hendak
mendapat peluang seperti ini. Maklum sahaja, selain dia, ramai lagi yang
berusaha mendekati Badli dan semuanya mempunyai raut wajah yang jelita selain
seksi dan bergaya. Dapat berada dalam dakapan lelaki itu buat seketika pun sudah
cukup baginya. Dan ketika ini, dia hanya membiarkan sahaja bibir lelaki itu
merayap di segenap inci wajahnya. Sukarnya hendak mempercayai apa yang sedang
berlaku ketika itu. Apakata jika dia mengatur sesuatu yang lebih menarik buat
lelaki itu. Lebar senyumannya ketika itu.
*
* * * * * *
SELESAI
menerima bayaran daripada pelanggan butik itu yang bernama Puan Rokiah, Atirah
segera mendapatkan seorang wanita pertengahan tiga puluh tahun yang sedang
membelek pakaian.
“Ada yang boleh saya tolong, puan?”
“Saya berkenan dengan baju kurung
ni, warna dia lembut betul,”
“Oh, baju ni? Ni koleksi yang
paling baru, puan. Ada
banyak lagi pilihan, macam warna ungu ni, warna hijau pucuk pisang...mmm,”
Beritahu Atirah sambil
mengeluarkan baju kurung dengan pilihan warna yang disebutnya tadi. Senyuman
wanita itu nampak semakin lebar. Atirah turut tersenyum.
“Cantiknya warna ni, dik...kalau
beli satu untuk mak akak pun, okay
juga kan?”
“Mmm...baju ni sesuai untuk
siapa-siapa pun, puan. Tapi saya rasa, kalau untuk mak puan, eloklah ambil
warna ungu ni. Saya tengok warna ni sesuai untuk wanita pertengahan umur,”
“Mmm, kan? Saya pun rasa macam tu juga. Kalau
macam tu, saya ambil dua ni lah ye?”
Atirah tersenyum menyambut dua
helai baju yang dihulurkan wanita itu. Semenjak bekerja di butik itu, senyuman
tidak pernah lekang dari wajahnya. Kata umi, senyum itu sedekah. Kalau kita
mahu orang lain senang dengan diri kita, jangan lokek untuk senyum.
“Saya bungkuskan dulu kak, ye?”
“Okay,”
Atirah segera membawa baju kurung
itu ke kaunter. Sehelai beg kertas dikeluarkan dan baju itu dimasukkan ke dalam
beg kertas itu.
“Berapa dik?”
“Mmm...sekarang ni tengah diskaun
kak, baju ni, lepas sepuluh peratus potongan...berapa ye?mmm... seratus
setengah, kak,”
“Dua-dua ni seratus setengah?”
Atirah mengangguk dengan senyuman.
Wanita itu juga menyambut senyumannya. Pantas sahaja wang dikeluarkan dari
dompetnya.
“Terima kasih ye, kak. Datang
lagi!”
“Sama-sama, dik!”
Jawab wanita itu sambil mencuit
dagunya sebelum berlalu dari situ. Atirah yang tidak menyangka akan dicuit
seperti itu, hanya menggeleng kepala sahaja sebelum mengukir senyuman lagi.
“Senyum seorang diri nampaknya!”
Atirah mengangkat muka apabila
terasa kata-kata itu ditujukan buatnya. Azlan melangkah riang menghampirinya
sedang Hajah Fatimah berjalan di belakang anaknya.
“Umi...”
Tegur Atirah, sambil mencapai
tangan Hajah Fatimah sebelum mengucupnya. Azlan yang sudah berada di hadapannya
tidak dipedulikan. Sejak seminggu ini, kerap juga Azlan datang membantu Hajah Fatimah
dan Atirah di butik itu. Kata umi, Azlan merantau ke Perak. Sekali sekala
sahaja, anaknya itu pulang menjenguknya, cuma kali itu sahaja anak itu bercuti
panjang. Sebab itulah Azlan sering menemani uminya di butik.
“Umi...kenapa Tirah ni sombong
sangat umi? Lan nak tengok lesung pipit dia aje umi. Esok lusa, Lan dah nak
balik, tak kesian Lan ke Tirah?”
Atirah pura-pura tidak mendengar.
Ketika dia memandang Hajah Fatimah, wanita itu hanya menepuk bahunya dengan
sebuah senyuman manis.
“Lan
nak kawan dengan Tirah tu. Boleh kan, sayang?”
Tanya Hajah Fatimah, seakan
memahami perasaan anaknya. Dia tahu perasaan Atirah yang takut hendak berkawan.
Apa yang dilalui oleh Atirah dan adik-adiknya membuatkan gadis itu sangat
berhati-hati. Walaupun Atirah tidak banyak bercerita tentang kisah hidupnya,
tetapi dari gerak geri dan tutur kata anak itu, dia tahu betapa banyak anak itu
terluka. Lama Atirah menatap wajah keibuan Hajah Fatimah, kemudian dia beralih
memandang Azlan. Lelaki itu bersandar di meja kaunter sambil memandangnya,
seakan meminta jawapan.
“Umi,
Tirah tak pandai nak kawan dengan orang,”
“Lan
boleh tolong Tirah. Umi pun boleh tolong Tirah, betul kan umi?”
Pantas, lelaki itu menjawab.
Atirah tidak terus bersuara. Bukan senang untuk dia menerima kehadiran seseorang
dalam hidupnya, walaupun hanya kehadiran seorang kawan. Selama ini dia tidak
pernah terfikir untuk menjalinkan persahabatan dengan sesiapa pun. Diri dan
keluarganya disisihkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehinggakan dia
sudah lali hidup tanpa kawan.
“Tirah, bukan semua orang teruk
macam yang Tirah sangka. Umi pernah cakap dengan Tirah kan? Dalam dunia ni, kat luar sana tu, ada ramai lagi
orang yang ikhlas nak berkawan dengan kita. Mungkin Tirah belum ada peluang nak
jumpa dengan kawan-kawan yang ikhlas tu, tapi apa kata Tirah lapangkan fikiran
Tirah, InsyaALLAH, orang yang baik akan dapat kawan yang baik juga,”
“Entahlah umi, Tirah tak biasa.
Selalunya, Tirah dengan adik-adik aje. Kalau ada yang ambil berat pasal kami
pun, Makcik Asmah tapi sekarang pun makcik Asmah tengah sakit. Makan minum pun
dah tak lalu. Puas diajak pergi ke hospital tapi makcik langsung tak mahu
tinggalkan rumah tu,”
Azlan hanya mendiamkan diri.
Memang niatnya ikhlas hendak berkawan dengan Atirah, tetapi sedikit cerita dari
umi, dia tahu Atirah bukan mudah didampingi. Banyak yang pahit dalam hidupnya.
Umi sendiri sukar hendak mendekati Atirah.
“Atirah sebut pasal siapa? Makcik
Asmah? Yang Tirah pernah cerita pada umi tu ke? Dah lama ke dia sakit? Kenapa
Atirah tak pernah beritahu pada umi?”
“Tirah tak mahu susahkan umi,”
“Kalau macam tu, umi tak mahu
cakap panjang. Kita tutup kedai sekarang, umi nak tengok makcik Asmah. Lan, Lan
drive, boleh kan?”
* * * *
* * *
SELESAI
menyapu halaman rumah Hajah Asmah, Atirah duduk di muka pintu. Kira-kira
setengah jam yang lalu, Hajah Fatimah dan anaknya, Azlan baru pulang dari
menziarahi Hajah Asmah. Ketika sampai di rumah itu tengah hari tadi, Hajah
Asmah sedang duduk berehat di bawah pokok rambutan di halaman rumahnya. Sakit yang
dialami tiga minggu yang lalu seakan sudah menjauh dari wanita itu.
“Assalammualaikum, along!”
Atirah mendongak, tersenyum ke
arah Firdaus.
“Walaikumussalam, abang!”
Rambut adiknya itu diusap lembut
ketika tangannya dicapai lalu dikucup oleh Firdaus. Sekejapan sahaja, Firdaus
sudah duduk disebelahnya.
“Angah mana, long?”
“Angah balik rumah kita kejap.
Angah kata nak tangkap ikan sikit, buat makan malam ni,”
“Makcik macam mana, along?”
“Makcik dah elok sikit...tengah
hari tadi, makcik duduk elok aje kat bawah pokok rambutan tu,”
Firdaus memandang Atirah, lama,
seakan tidak mempercayai kata-kata kakaknya. Selama mereka berada di rumah itu,
Hajah Asmah tidak pernah menunjukkan perubahan positif sebaliknya hari demi
hari, sakit Hajah Asmah nampak semakin teruk tetapi kini, semuanya seakan
kembali seperti sedia kala.
“Betul ke, along? Makcik mana?
Kalau macam tu, kita dah boleh balik rumah lah ye lepas ni?”
“Mmm...makcik tengah baring dalam
bilik. Along rasa tak bolehlah abang. Kita kena duduk sini, jaga makcik. Along
tak nak kita abaikan makcik macam dulu lagi. Abang tahu kan, makcik dah banyak tolong kita. Makcik
tak ada sesiapa, cuma ada kita aje. Kalau apa-apa jadi, kita yang bersalah tau
abang, sebab kita abaikan makcik dan sebab kita pentingkan diri sendiri. Along
tak mahu macam tu, abang,”
“Abang rindu kat rumah kita,
long,”
Bahu adiknya dipaut dengan mesra.
Kalau adiknya rindu pada rumah mereka, dia berganda lagi rindu pada rumah
peninggalan arwah emak dan ayahnya tapi begitulah putaran hidup. Adakalanya,
kita terpaksa mengorbankan banyak perkara yang kita sayang.
“Assalammualaikum, along, abang!”
“Walaikumussalam!”
Atirah dan Firdaus menjawab hampir
serentak. Wajah itu jelas menggambarkan keceriaan. Apa tidaknya, di tangan
Faizal ada beberapa ekor ikan. Sekurang-kurangnya makan malam mereka hari ini
masih sempurna.
“Lama angah balik rumah,”
“Angah kemas rumah kita sikit,
along,”
“Terima kasih, angah. Baik hati
adik-adik along ni! Mmm, kita naik rumah dulu ye, dah pukul berapa ni. Kejap
lagi dah masuk maghrib,”
Ajak Atirah sambil mengambil ikan
yang diserahkan oleh Faizal kepadanya. Dia terus mendahului adik-adiknya masuk
ke dalam rumah.
* * * *
* * *