Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 2 Tak Mengapa, Sayang

“DULU lagi aku suruh kau hantar adik-adik kau tu dekat rumah kebajikan, tapi kau tak nak! Degil! Kepala batu! Kononnya kau boleh bagi makan kat adik-adik kau! Tengok sekarang apa dah jadi? Dia curi ayam-ayam aku! Adik-adik yang kau bagi makan sendiri ni curi ayam aku!”

Marah Pak Samad, kuat. Atirah tidak mengangkat muka ketika Pak Samad menyerangnya dengan kata-kata yang menyakitkan hati di kedai Ah Sang. Dia yang sedang sibuk menimbang beras untuk seorang pelanggan terkejut apabila namanya dilaung sekuat hati sebentar tadi. Matanya pula terus terpaku pada tiga orang adik-adiknya yang berada bersama-sama Pak Samad ketika itu.

“Adik-adik saya bukan pencuri, Pak Samad! Arwah mak dengan ayah saya tak pernah ajar kami mencuri. Saya pun tak pernah ajar adik-adik saya mencuri. Kami memang miskin Pak Samad, tapi kami taklah sejahat tu!”

Balasnya, cuba membela keluarganya. Walaupun adik-adiknya dituduh mencuri ayam lelaki tua itu, namun dia tahu, sedegil adik-adiknya, mereka tidak pernah menimbulkan masalah atau sengaja menyusahkan orang lain. Bukan juga hendak memburukkan Pak Samad, tetapi lelaki tua, yang boroi dan berkulit gelap itu sering sahaja mencari kesalahan adik-adiknya. Ada sahaja yang tidak kena pada mata tua itu dan hari ini, kisah ayam pula yang dibawanya.

“Mak ayah kau tak pernah ajar, ya? Masa bila nak ajar? Mati pun masa muda. Anak-anak terbiar, jadi pencuri! Ni ayam hutan ni? Aku tangkap adik-adik kau dekat kebun aku! Kalau tak percaya, kau tanya sendiri adik kau tiga ekor ni!”

“Pak Samad, hormat lah sikit orang yang dah meninggal. Adik-adik saya pun Pak Samad tolong hormat jugak!”

Balas Atirah, kian tertekan dengan hinaan yang dilemparkan kepada keluarganya. Tambah memeritkan arwah emak dan ayahnya turut disabitkan dengan kesalahan yang diyakini sengaja diperbesarkan oleh lelaki tua itu.

“Atirah! Kau jangan nak ajar aku, ya! Sedar sikit kau tu budak-budak lagi. Hingus pun hijau lagi. Kau tahu apa pasal hormat? Aku tak kira! Aku nak kau selesaikan hal ni sekarang jugak! Kau bertiga, aku nak kau orang mengaku sekarang jugak kat kakak kau orang ni apa yang kau orang dah buat kat kebun aku. Kenapa kau curi ayam-ayam ni? Cakap cepat!”

Tengking Pak Samad sambil menampar kuat kepala Faizal. Firdaus juga turut menerima nasib yang sama. Mendidih perasaannya ketika itu. Jika dia tidak punya kekuatan, mahu sahaja ditampar lelaki tua itu semahu-mahunya.

“Pak Samad, budak bertiga ni adik-adik saya, jangan sesuka hati nak buat mereka macam anak sendiri, pukul sana sini!”

Marahnya sambil menarik adik-adiknya supaya dekat dengannya. Dia berlawan pandang dengan mata tua itu. Panas hatinya apabila adik-adiknya dilayan seteruk itu. Tuan punya kedai yang baru sahaja balik dari menghantar gas, melangkah pantas ke arah mereka. Dari raut wajah keduanya, dia dapat meneka pertengkaran telah berlaku. Setiap kali wajah Samad berada di kedainya, pertengkaran pasti akan berlaku. Penyudahnya, dia yang akan sakit kepala dengan pertengkaran itu.

“Atilah! Apa hal? Lu bikin kecoh lagi ka?”

Atirah menoleh sekilas ke arah pemilik kedai runcit itu. Pada saat marahnya sedang memuncak, dia tidak mampu lagi untuk menjawab pertanyaan yang datang dari tuan kedainya itu.

“Lu buang saja ini budak, Sang! Dia dan keturunan dia sama pencuri. Esok lusa, kedai lu pulak kena kebas sama ini budak,”

“Pak Samad jangan nak melampau! Jangan nak sabitkan keturunan saya pulak! Apa? Pak Samad baik sangat ke? Orang, kalau mengaku diri baik, kalau datang dari keturunan mulia, tak ada nak serang anak yatim, tak tergamak nak pukul anak yatim, tak ada nak hina anak yatim depan orang ramai ni,”

“Eh, mulut tu jaga sikit, ya...jangan nak kurang ajar dengan aku!”

Tegang suara Pak Samad memberi peringatan namun tidak diendahkannya. Atirah sebaliknya merenung tajam wajah Pak Samad ketika itu. Tidak ada sedikit pun rasa gentar di hatinya bila ada orang memperlakukan adik-adiknya dengan teruk sesuka hati mereka.

“Haiya, Lu Samad, baliklah! Dengan budak pun lu mau gaduh ka? Bikin malu la...Bikin wasusah hati kalau ini macam hali-hali!”

“Atilah, lu pigi balik. Esok lu jangan datang sini lagi, manyak susah kalau ini macam,”

Putus Ah Sang apabila melihat Atirah dan Samad bagai hendak melancar perang saudara. Atirah kaget dengan keputusan yang dibuat secara tiba-tiba itu. Di hadapan Pak Samad maruah yang dijaga sekian lama bagai dipijak dengan keputusan itu. Atirah tidak mampu mempertahankan dirinya lagi di saat pemilik kedai itu memecatnya dan menyuruhnya pulang. Sedaya upaya dia cuba menahan air matanya dari mengalir namun dia bersumpah tidak akan menitiskan air mata untuk lelaki seperti Pak Samad.

“Baru puas hati aku! Tapi sebelum kau balik, aku nak kau bayar ganti rugi pada aku dulu!”

Balas Pak Samad, meminta haknya. Senyuman sinis lelaki tua itu amat menyakitkan hati namun dia tidak mahu kelihatan lemah. Atirah tidak menjawab sebaliknya dia mencengkam lengan Faizal dan Firdaus dengan kuat, melepaskan kemarahan yang tidak tertanggung itu. Tidak cukup dengan apa yang dilakukan terhadap mereka berempat, lelaki tua itu meminta ganti rugi pula. Pak Samad memang suka mengambil kesempatan.

“Lu amik ini luit Atilah! Wa manyak soli, lu bikin wa susah hati...esok, lu tak payah mali ini kedai lagi,”

“Lu Samad, lu punya pelangai banyak teluk. Sama ini budak pelempuan pun lu mau gaduh jugak ka? Haiya, bikin malu la,”

Bebelan taukeh kedai itu bagai angin yang lalu, tidak diambil peduli, baik dirinya atau lelaki tua didepannya itu. Atirah terus menyepikan diri di saat wang itu sudah berada di tangannya. Wajah Ah Sang yang banyak membantunya sebelum ini dan wajah Pak Samad yang ceria kerana dendamnya terbalas ditatap silih berganti.

“Terima kasih, taukeh! Atirah kenang jasa taukeh sampai mati!”

Ucap Atirah, keras. Sedaya upaya dia cuba menuturkan ayat itu bersama sebuah senyuman. Benar, dia kalah secara zahir namun dia tidak akan sekali-kali patah semangat di hadapan leaki tua berperut boroi itu. Dia tidak akan sekali-kali menitiskan air matanya di hadapan lelaki yang punya hati busuk itu.

“Wa manyak soli, Atilah!”

Dia mengangguk dan tersenyum walau hakikatnya dia ingin menangis semahu-mahunya

dengan segala kepayahan yang sedang dilaluinya ketika itu.

“Mana duit aku?”

Tanya Pak Samad dengan mata yang bulat memandang ke arah duit yang berada dalam genggamannya ketika itu. Atirah tidak menjawab. Sejak tadi dia cuba mengumpul seluruh kekuatan untuk menentang lelaki tua itu dan akhirnya, bibirnya menguntum senyuman sinis. Duit yang berada dalam genggamannya itu dicampak ke dalam lopak kecil yang berada tidak jauh dari kedudukannya ketika itu. Walaupun dia tidak mengira berapa banyak duit yang diterima dari Uncle Sang, namun, demi maruah keluarga, dia lebih rela berikat perut dari terus menjadi bahan cercaan lelaki itu. Biar kali ini dia berpuas hati di atas kekalahan itu.

“Nak sangat duit tu, kan? Ambillah!”

“Kurang ajar punya budak!”

“Jom, balik!”

Atirah menarik lengan adik-adiknya dengan kasar tanpa menoleh sedikit pun ke arah Pak Samad dan kedai itu lagi. Biarlah dia yang menanggung sendirian hati yang sedang terluka itu.

* * * * * * *

ATIRAH duduk di bawah pohon rambutan sejak matahari mula menampakkan wajahnya lagi. Dua hari yang lalu, berkali-kali adik-adiknya memohon maaf dan meminta pengertian darinya bahawa mereka bukan seperti yang diceritakan oleh Pak Samad. Dia pula hanya mendiamkan diri sahaja. Bukan dia tidak simpati melihat kesungguhan adik-adiknya yang cuba membuatkan dirinya membuka mulut tetapi itu satu pengajaran buat mereka. Walaupun dia yakin dengan gerak hati yang menyatakan bahawa adik-adiknya tidak bersalah, namun dia mahu adik-adiknya mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku.

Sudah beribu kali dia mengulang pesan yang sama. Dia tidak pernah melarang adik-adiknya bermain apatah lagi menghiburkan diri sendiri tetapi dia tidak mahu mereka melilau sehingga masuk ke kawasan penempatan penduduk kampung ini. Selain Hajah Asmah, memang tidak ada orang yang menyukai keluarganya. Dia maklum akan hal itu sejak dahulu lagi kerana bukan sekali dua orang menabur fitnah kepada adik-adiknya. Telinganya sendiri sudah lali menangkap sindiran dan cercaan mengenainya mahupun adik-adiknya. Dia akan cuba mempertahankan keluarganya selagi yang boleh. Andai menjawab dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung maka itulah yang akan dilakukannya kelak.

“Along, angah dengan adik datang nak minta maaf pada along, kami janji akan ikut cakap along lepas ni, kami janji takkan ke mana-mana lagi lepas ni. Angah menyesal, tapi angah berani sumpah, along, kami tak pernah curi pun ayam hutan tu! Ayam tu bukan ayam Pak Samad! Ayam tu-“

“Dahlah, Along tak mau dengar apa-apa lagi. Tak apalah, yang dah lepas tu, biarkanlah,”

“Adik minta maaf, along!”

Ucap si bongsu bersama tangisan ketika memeluknya. Atirah yang tidak menjangka tindakan adiknya itu terus menggosok lembut belakang Aiman. Hatinya tersentuh dengan gerak laku si kecil itu namun digagahkan juga dirinya supaya tidak menitiskan air mata di hadapan adik-adiknya. Tangan Faizal digenggamnya, mesra. Sebuah senyuman diukir buat Faizal.

“Adik jangan menangis lagi! Along dah maafkan adik, angah dan abang, ya?”

“Hari tu Pak Samad tampar muka adik. Lepas tu dia marah along pulak! Adik sedih,”

Tersentuh perasaannya mendengar aduan Aiman. Selama ini, dia tidak pernah menjentik adik-adiknya tetapi Pak Samad sudah melampaui batas seorang manusia. Anak-anak yatim ini yang dicerca dan dipukulnya.

“Adik kan lelaki, adik tak boleh menangis! Lagipun hari tu kan along dah marah dia balik,”

“Atirah!”

Dia mendongak ke arah tuan empunya suara saat namanya diseru. Hajah Asmah menghampiri mereka bertiga.

“Makcik apa khabar?”

Tanyanya, menghulur sebuah senyuman. Hajah Asmah sekadar mengangguk. Berita yang diterimanya malam semalam yang menggamitnya ke situ. Keluarga yatim piatu itu tidak pernah terlepas dari cercaan orang kampung. Ada sahaja yang mengambil kesempatan terutamanya Samad. Entah apa salah empat beradik itu terhadap mereka semua pun dia tidak tahu.

“Kenapa pulak si Aiman ni menangis?Aiman!”

Panggil Hajah Asmah, lembut. Bahu si bongsu itu dipegangnya namun tidak sedikit pun Aiman mengangkat mukanya.

“Mm...along, makcik, angah nak masuk dulu ni, kejap lagi angah nak ambil abang dekat sekolah,”

Atirah dan Hajah Asmah hanya mengangguk dan menghantar langkah Faizal dengan ekor mata masing-masing. Seketika kemudian, mereka saling berpandangan dan akhirnya pandangan mereka jatuh ke arah Aiman yang masih berada dalam dakapan Atirah. Hajah Asmah menarik tangan Aiman dan ketika si kecil itu berdiri di hadapannya dengan esakan yang masih belum berkesudahan, Hajah Asmah menyeka air mata si kecil itu.

“Kenapa sedih sangat ni? Aiman menangis sebab apa ni?”

“Adik sedih! Hari tu Pak Samad tampar adik. Pak Samad cakap adik curi ayam dia tapi adik tak curi pun! Lepas tu Pak Samad bawa adik dengan abang pergi kedai Uncle Sang...”

“Pak Samad marah along!”

Jelas Aiman, tersekat-sekat dan sesudah menghabiskan ceritanya, tangisan Aiman menjadi lagi. Hajah Asmah segera menarik Aiman ke dalam dakapannya. Hatinya hiba mengenang nasib yang menimpa empat beradik itu tiga tahun kebelakangan ini.

“Samad tu melampau betul! Dia tuduh anak-anak aku ni curi ayam dia?! Tak masuk akal betul! Aku jumpa dia nanti, nahas dia!”

“Biarlah dia makcik...Tirah dah marah dia pun! Dah penat esok, dia berhentilah ganggu Tirah adik-beradik,”

Pujuk Atirah sambil meletakkan tangannya di atas peha Hajah Asmah. Sebenarnya dia cuba memujuk diri sendiri, mengawal rasa marah dan pilu yang mengusik tangkai hatinya.

“Orang macam tu tak boleh biar, Tirah!”

* * * * * * *

“HATI kau ni busuk betul, Samad!”

“Eh, yang kak Mah nak mengamuk tak tentu pasal ni kenapa? Salam tak bagi, apa pun tak...tiba-tiba nak serang saya. Apa hal ni?”

Samad yang sedang menukar minyak hitam motornya mendongak ke arah tetamu yang tidak diundang itu. Hajah Asmah tersenyum, sinis.

“Salam? Tak payahlah, buat tambah dosa aku je...yang kau sakit hati sangat dengan anak-anak arwah Hamidon tu kenapa? Besar sangat dosa dia orang pada kau sampai kau buat macam tu kat anak-anak yatim tu?”

Soalan Hajah Asmah tidak dipedulikan sebaliknya dia sibuk mengelap motor kesayangannya itu. Bukan dia tidak tahu apa tujuan Hajah Asmah datang mencarinya pagi itu tetapi sengaja pula dia berbasa basi dengan Hajah Asmah.

“Padan sangatlah dengan muka budak-budak tu! Siapa suruh mencuri?”

“Kau cakap sikit dengan aku, benda apa yang budak-budak tu curi dari kau?”

“Dia curi ayam hutan saya! Takkan kak Mah tak dengar cerita ni lagi?”

“Sejak bila pulak kau pandai bela ayam ni, Samad? Setahu aku, anak-anak ayam pun kau tak pernah pegang, ini pulak nak bela?! Tiba-tiba pulak ada bela ayam hutan! Ayam yang liar tu?!”

Sergah Hajah Asmah. Bulat matanya memandang Samad yang tidak ada sedikit pun rasa bersalah itu.

“Mana akak tahu saya tak ada bela ayam hutan? Akak jaga tepi seluar saya ke selama ni? Yang akak sibuk sangat bela budak-budak jahat tu buat apa? Bukan anak akak pun!”

“Budak jahat kau panggil? Kau tu lagi jahat, Samad! Sudahlah kau tuduh budak-budak tu mencuri benda yang bukan hak kau. Lepas tu kau ambil pulak duit anak yatim tu! Esok-esok kau pandailah jawab dengan Allah, Samad! Kau dah aniaya anak-anak yatim tu...dosa besar kau, Samad!”

“Dahlah. Akak jangan nak bersyarah pulak dengan saya! Kubur kita masing-masing kak. Hah, ada satu lagi! Kalau akak suka sangat bagi ceramah, tu, forum perdana tu, akak jadilah ahli panel kat situ! Bangga jugak saya, orang kampung Seri Tanjung masuk tv!”

“Budak-budak tu dah tak boleh nak ajar lagi. Tunggulah, saya nak telefon orang Kebajikan Masyarakat. Tahulah nasib budak-budak tu!”

Hajah Asmah tidak membalas kata-kata Samad sebaliknya nafasnya turun naik dengan kencang. Berkali-kali dia mengingatkan diri supaya tidak menyimpang dari jalan yang sepatutnya.

“Kau jangan cuba sekali pun, Samad! Kau jangan cuba pun!”

“Akak peduli apa?! Sudahlah, saya naik dulu!”

* * * * * * *

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.