Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 8

8

“EH, perempuan! Apa kau buat kat sini hah?”

Atirah terkejut dikala ada suara yang memekik di dalam butik itu. Ketika dia memandang, mencari kelibat tuan empunya suara itu, matanya terhenti pada kelibat Dina. Sejak dia bekerja di butik itu, ini kali pertama Dina datang ke situ. Sebenarnya dia tidak pernah terkejut dengan reaksi Dina melihatnya di situ. Dia hanya terkejut kerana kedatangan Dina tidak disedarinya.

“Cik cakap dengan siapa?”

“Alahai...bodohnya soalan. Ada perempuan lain ke kat sini selain kau?”

“Cik bukan perempuan ke?”

Dengan selamba Atirah menepis. Dia tahu tindakannya mengundang kemarahan Dina tetapi apakan daya, dia punya perasaan juga. Tiada silap dan salah, tiba-tiba dirinya ditengking sesuka hati.

“Aku tanya kau lah, bodoh. Buat apa nak tanya pada diri sendiri?!”

“Cik, saya ada banyak kerja lagi kat sini. Umi bayar gaji untuk saya kerja, bukan nak dengar maki hamun cik ni. Saya minta diri dulu, ya?”

Balas Atirah, lembut tapi tegas. Tanpa menunggu jawapan dari Dina, Atirah terus berlalu ke bahagian stor. Baginya memandang pakaian yang berwarna warni itu lebih menarik dari menatap wajah Dina yang penuh dengan kebencian itu.

“Budak ni! Kenapa kurang ajar sangat ni?Dah dapat kerja kat sini, kau nak besar kepala pulak, ya?!”

“Dina!”

“Apahal ni?”

Sayup-sayup terdengar suara Azlan menegur adiknya. Atirah hanya melepaskan nafasnya, panjang. Walaupun terasa berat hati, dia melangkah juga keluar dari stor itu. Menyesal pula kerana menjawab dengan Dina sebentar tadi. Alangkah elok jika dia berdiam diri sahaja tadi. Tak perlulah kemarahan Dina itu dihidu oleh abangnya pula.

“Menyampahlah macam ni! Abang ni pun satu, balik aje, tak pernah nak cakap elok-elok dengan Dina,”

“Apahal aku nak cakap elok-elok dengan kau? Kau dah cukup baik ke? Dah cukup belajar macam mana nak hormat orang lain? Dari dulu sampai sekarang, perangai tu tak pernah nak ubah,”

Atirah yang berada di situ terus masuk semula ke dalam stor. Dia tidak sepatutnya mendengar urusan keluarga majikannya, apatah lagi hal itu lebih kepada pergaduhan.

“Dina datang sini bukan nak bergaduh dengan abang tau...sakit hati betullah macam ni. Sanggup abang bela orang luar dari adik sendiri,”

“Kalau tak datang sebab nak bergaduh dengan abang, kau nak bergaduh dengan Atirah? Abang tak akan berat sebelah, Dina. Kalau kau salah, abang tak akan ragu-ragu nak tunding jari pada kau. Bukan abang tak tahu perangai kau macam mana...semua benda nak ikut kehendak kau. Tak pernah ambil kira apa perasaan orang lain,”

Kata-kata Azlan sangat menyakitkan hatinya. Setiap kali bertemu mata dengan abang keduanya itu, pasti mereka akan bertelagah. Selalunya dia akan menang apabila ayah campur tangan tetapi jika dia berseorangan, pasti akhirnya dia yang terpaksa mengalah.

“Buat apa nak peduli?”

“Orang sakit jiwa macam kau memang tak payah nak peduli hal orang lain,”

“Ni kenapa pulak ni...pantang berjumpa, asyik nak bercakaran. Macam anjing dengan kucing,”

Teguran Hajah Fatimah menyebabkan Atirah yang berada di dalam stor dengan perasaan yang tidak enak, terus keluar mendapatkan Hajah Fatimah. Dia ingin membetulkan duduk perkara yang sebenarnya. Jika bukan dia yang berani menjawab kata-kata Dina, pertelagahan itu tak mungkin berlaku.

“Umi...kenapa umi ambil budak miskin tu kerja dengan umi?”

Atirah yang baru keluar dari stor hanya mendengar perkataan miskin itu dengan perasaan yang sebal. Perlahan-lahan, dia melangkah ke arah Hajah Fatimah.

“Umi perlu minta izin Dina ke untuk buat apa yang umi rasa perlu? Dina dah hebat sangat ke sampai nak cakap orang lain macam tu?”

“Umi, sebenarnya Dina tak salah. Tirah yang salah, umi!Tirah lawan cakap Dina tadi, sebab tu Dina marah. Tirah minta maaf ya, umi. Maafkan Tirah ya, Cik Dina,”

“Wah, hebat ni! Umi aku pun kau panggil umi juga.Bila masa kau lahir dari perut umi ni? Lepas tu, depan umi, depan abang Lan, kau tunjuk sopan pula, ya. Kenapa tak keluar perangai kurang ajar kau tadi tu?”

Atirah hanya menundukkan kepalanya. Ditelan sahaja sindiran Dina tadi kerana dia tidak mahu memanjangkan cerita walaupun perasaannya terasa mendidih.

“Dina!”

“Apa? Tak betul lagi apa yang Dina kata?”

Persoalan Dina tergantung begitu sahaja kerana selepas itu, Dina segera keluar dari butik Hajah Fatimah. Hajah Fatimah hanya memandang langkah Dina dengan nafas yang dilontar perlahan.

“Macam tu lah adik Lan, tak pernah berubah pun. Umi tak tahu lah Lan, kenapa macam tu jadinya Dina,”

“Tirah, umi minta maaf bagi pihak Dina ye? Umi tahu anak umi tu macam mana. Umi minta maaf lagi sekali pada Tirah. Umi tahu Tirah tak salah,”

“Tirah pun minta maaf umi...kalau Tirah tak menjawab tadi, takkan jadi macam ni pulak umi,”

“Tirah berhak pertahankan diri...Tirah jangan rasa bersalah, ya?”

Hajah Fatimah menenangkan Atirah sambil menarik anak itu ke dalam dakapannya. Azlan hanya memandang wajah uminya dengan rasa sayu. Dia tahu, uminya sering makan hati dengan tingkah adiknya yang seorang itu. Entah bila agaknya Dina akan berubah dan menjaga umi. Akhirnya, Azlan hanya menggosok bahu uminya dengan lembut. Berharap agar tindakan itu dapat menyejukkan perasaan uminya. Pada Atirah, simpati pada gadis itu makin menggunung. Dia tahu siapa yang bersalah dalam hal ini tetapi seperti biasa, Dina yang akan menang.

* * * * * * *

ATIRAH mengambil keputusan untuk menghubungi anak-anak Hajah Asmah. Bimbang benar dengan keadaan kesihatan Hajah Asmah ketika ini. Sudah banyak kali dia meminta kebenaran Hajah Asmah untuk menghubungi anak-anaknya tetapi Hajah Asmah tidak pernah mengizinkannya. Menurut Hajah Asmah, dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya yang sibuk bekerja di kota. Akhirnya, dia nekad menghubungi anak Hajah Asmah yang paling tua secara senyap-senyap, Hajar namanya. Puas dicari nombor telefon rumah anak sulong Hajah Asmah itu, dan akhirnya dia menemui nombor itu di dalam cawan yang disimpan di dalam almari perhiasan ruang tamu rumah itu. Pada awal perbualan, wanita itu enggan melayannya, tetapi setelah diyakinkan tentang kesihatan ibunya, akhirnya, anak itu bersetuju untuk pulang menziarahi ibunya pada hari esok. Sekurang-kurangnya Atirah dapat menarik nafas lega. Tidaklah perasaannya terbeban dengan rasa bersalah kerana tidak menyampaikan perkembangan kesihatan Hajah Asmah kepada anak-anaknya. Ketika dia sampai di rumah, adik-adiknya sudah menanti untuk makan malam. Sejak akhir-akhir ini, adik-adiknya banyak membantu. Ada ketika, abang atau angah akan memasak lauk yang ringkas tetapi cukup untuk membuatnya bersyukur kerana punya adik-adik yang memahami.

* * * * * * *

“ABANG dengar Mah ada ambil pekerja baru, ya?”

“Ada bang, sekurang-kurangnya ringan sikit kerja dekat butik tu. Nak tinggalkan kedai untuk urusan lain pun senang,”

Jawab Hajah Fatimah ketika sedang menyiapkan kamar tidur mereka. Jam di dinding sudah menunjukkan jam sebelas setengah malam. Ketika suaminya mengutarakan soalan itu, dia sudah tahu bahawa cerita itu disampaikan oleh Dina kepada ayahnya. Entah apa pula yang diadu oleh Dina kali ini.

“Abang dengar budak tu panggil awak umi juga,”

“Saya yang minta dia panggil saya macam tu, abang.Saya suka dia, abang. Rasa macam anak sendiri.Lagipun dia anak yatim piatu,”

“Abang tak kisah awak nak ambil siapa pun kerja dengan awak, Mah. Apa awak kata tadi? Nak ringankan kerja awak? Tapi abang tak suka kalau dia pijak kepala awak, Mah...besar kepala, bergaduh pula dengan anak kita. Macam anak kita tu orang luar pula dibuatnya. Macam mana tu, Mah? Anak yatim piatu apa tu kalau tak sedar diri?”

Hajah Fatimah hanya mendengar ketika suaminya mengutarakan soalan bertubi-tubi kepadanya. Dan seperti yang dibayangkan, suaminya berpihak kepada Dina. Pantang baginya jika anak perempuannya yang seorang itu diusik sesiapa sahaja.

“Abang, Dina dah dua puluh dua tahun dah, bang. Dah dua puluh dua tahun abang manjakan dia, lebih dari abang manjakan anak-anak yang lain. Mah faham, bang. Dina satu-satunya anak perempuan abang, tapi Dina pun anak Mah juga, bang. Macam mana abang sayangkan Dina, macam tu juga Mah sayangkan Dina, bang. Abang rasa kenapa Azlan keluar dari rumah ni? Kenapa Badli selalu berangin dengan Dina? Mah minta maaf, bang. Mah terpaksa beritahu abang, abang terlalu manjakan Dina,”

“Abang tak kisah apa yang dia buat. Apa kesannya pada orang lain? Yang abang faham, Dina tak boleh diusik. Sebab tu sesuka hati dia herdik orang kan, bang? Sebab tu dia tak malu hina orang. Sebab dia tahu, abang ada untuk pertahankan dia. Apa sahaja yang dia buat, abang akan sokong dia,”

Perlahan sahaja Hajah Fatimah meluahkan perasaannya. Lama dia menanti peluang yang sesuai untuk bercakap mengenai anak perempuan mereka yang seorang itu. Baru kini peluang itu diperolehinya.

“Apa pun alasan, abang tak suka sesiapa usik Dina. Mah tahu, kan?”

“Keadaan tak semestinya berlaku macam yang abang nak. Anak kita tu macam mana, abang? Sebelum orang usik dia, macam mana layanan dia pada orang lain, bang? Abang dah tengok ke macam mana Dina hina orang? Ambil contoh yang dekat ajelah abang...Mah tegur dia pasal solat pun, dia hempas majalah atas meja,”

“Mah selalu marah dia, sebab tu dia jadi macam tu,”

Hajah Fatimah mendiamkan diri. Panjang nafas yang ditariknya. Entah bila agaknya perihal Dina akan selesai. Entah bila suaminya mahu membuka mata dan menilai semula sikap anak kesayangannya itu.

“Tak apalah abang, satu masa nanti, Mah harap abang akan nampak apa yang Mah cakap pada abang ni. Jangan sampai abang yang jadi mangsa, cukuplah,”

“Hai Mah, macam awak minta yang tak baik aje jadi pada abang...apa pun, abang tak mahu dengar lagi cerita Dina pasal pekerja awak tu. Pandai-pandailah awak macam mana nak kawal semua ni,”

Hajah Fatimah mula membetulkan bantal dan menarik selimut hingga menutup sebahagian dadanya. Suaminya juga sedang melakukan perkara yang sama.

“Abang...”

“Mm,”

“Mah nak jadikan pekerja Mah tu anak angkat Mah. Adik-adik dia pun Mah nak jadikan anak angkat Mah. Boleh kan, bang?”

“Lagi besar kepala lah budak tu kalau jadi anak angkat Mah...mengamuk si Dina tu nanti,”

Rosli memandang wajah isterinya dalam samar cahaya yang mencuri masuk ke dalam bilik itu. Hendak menolak, terasa kejam pula apabila selalu menidakkan permintaan isterinya.

“Apa kata abang kenal dulu dengan budak-budak tu sebelum abang buat penilaian. Mah ikhlas nak ambil budak-budak tu jadi anak angkat Mah, bang,”

“Jadi anak angkat Mah aje, jangan nak paksa abang ambil budak-budak tu jadi anak angkat abang pula. Abang tak ada masa untuk semua tu. Satu lagi, abang tak mahu ada cerita lain pula yang timbul lepas ni disebabkan budak-budak tu. Jangan sampai Dina yang mengadu pada abang,”

Hajah Fatimah tersenyum ceria. Sekurang-kurangnya permintaannya yang satu itu telah ditunaikan. Itu sudah cukup untuk menggembirakannya. Tentang Dina atau anak-anaknya yang lain, itu akan difikirkannya kemudian. Pasti ada cara untuk mengatasinya. Dia yakin akan hal itu.

“Terima kasih, abang!”

* * * * * * *

BADLI menggeliat beberapa kali. Pinggang dan lehernya terasa kebas, mungkin kerana terlalu lama menghadap komputer sejak awal pagi lagi. Buat seketika, dia bersandar di kerusi itu sambil memejam matanya. Alangkah bagusnya jika ada seorang jelitawan yang sudi melegakan keletihannya tika itu. Dalam kepenatan itu, bibirnya sempat mengukir sebuah senyuman.

“Hoi, bangun!”

Sergahan yang tiba-tiba singgah di cuping telinganya membuatkannya tersentak lalu Badli menarik nafas panjang. Jantungnya terasa seperti hendak gugur saat itu. Kalau dia seekor harimau, ingin sekali dia membaham Hakim yang sedang ketawa gelihati sehingga lumat.

“Aku nak tidur ni. Kacau betul lah kau ni, Kim,”

“Bos bayar gaji bukan suruh kau tidur, bos suruh kau buat kerja,”

“Wah, kuliah subuh nampak!”

Sindir Badli, sambil matanya dipejam kembali. Malas dia hendak melayan Hakim ketika itu. Sahabatnya itu akan datang dan pergi bila-bila masa yang dimahukannya, sama seperti yang sering dilakukannya. Kerana itu dia tidak pernah gusar meninggalkan Hakim bersendirian di situ. Malah, ada ketikanya, mereka sama-sama tertidur di dalam bilik kerjanya itu jika terlalu kepenatan.

“Bad, lepas lunchnanti, bos suruh kau pergi tengok sitedekat Hartamas,”

Okay,

“Bos suruh kau pergi dengan Lim,”

Okay”

Hakim tersenyum gelihati melihat gelagat Badli yang nyata sedang keletihan ketika itu. Fikirannya berputar ligat ketika itu.

“Bos suruh kau berkenalan dengan anak tuan punya villa tu. Bos kata anak dia cantik,”

“Emm,”

“Bos kata kau kena kahwin dengan anak tuan punya villa tu, tahun ni jugak!”

Okay,”

“Badli oi!”

“Apa dia? Tak habis lagi ke?”

“Bos suruh kau bersanding dekat bulan, dalam mimpi,”

Badli membuka matanya, malas. Ledakan ketawa Hakim jelas kedengaran di segenap ruang bilik itu.

“Kau pernah tengok orang kena tendang sampai ke bulan tak?”

“Tak pernah, menarik bunyinya tu!”

“Kalau kau tak mahu jadi orang pertama yang kena tendang sampai ke bulan, baik kau biar aku tidur sekejap,”

Tegas Badli sebelum menutup kembali kelopak matanya. Selang beberapa saat, telefon tangannya menjerit-jerit minta dijawab. Badli memandang sekilas ke arah Hakim yang sedang seronok mentertawakannya sebelum menjawab panggilan tersebut.

“Masak aku!”

Kata Badli setelah selesai menjawab panggilan tersebut. Jam di pergelangan tangannya sudah menunjukkan hampir dua petang. Baru dia teringat akan janjinya dengan umi, itupun setelah diingatkan oleh uminya sebentar tadi.

“Aku pergi dulu, Kim. Jumpa malam ni, okay?”

Okay!

* * * * * * *

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.