Home Novel Keluarga Tak Mengapa, Sayang
Bab 19

19

“ISTERI wajib mentaati suami pada segala yang dikehendaki oleh suami asalkan perkara-perkara itu tiada maksiat padanya. Terdapat banyak riwayat hadis dalam menentukan hak suami terhadap isterinya.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Mana saja wanita yang meninggal dunia, sedangkan suaminya redha terhadapnya maka ia akan masuk syurga.”

Sabdanya lagi:

“Apabila seorang wanita bersembahyang lima waktunya, berpuasa sebulannya, memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya nescaya ia akan masuk syurga yang disediakan oleh Tuhannya.”

Berkata Ibnu Abbas: Telah datang seorang wanita dari Khats’am kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: Saya ini seorang wanita yang janda dan saya akan berkahwin. Apakah haknya sebagai suami? Baginda menerangkan: Di antara hak suami ke atas isterinya, ialah apabila dia mengingini serta memujuk isterinya supaya menyerahkan diri sedang isteri suci dari haid, maka janganlah isteri menolaknya.

Isteri juga tidak boleh memberi apa-apa yang ada di dalam rumah kepada orang lain, melainkan dengan izin suami. Jika ia melanggar juga maka berdosalah isteri itu manakala suami mendapat pahala dari pemberian itu.

Isteri tidak boleh berpuasa secara sukarela, melainkan dengan izin suami, jika isteri melanggar juga, maka puasanya itu hanyalah lapar dan dahaga semata-mata, tanpa mendapat apa-apa balasan dari Allah.

Jika si isteri keluar dari rumah tanpa izin dari suaminya, maka malaikat akan melaknatinya sehingga dia kembali ataupun bertaubat.

Selesai membaca artikel mengenai hak suami ke atas isterinya, Badli menutup laman web yang dilawatinya itu. Jam di dinding menunjukkan angka satu dua puluh pagi tetapi matanya masih cerah, secerah bintang yang menyinari bentangan langit raya yang luas itu. Kemudian, Badli membaca semula akan terjemahan al-Quran dari surah Al-Baqarah, ayat 187:

187. Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) Dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa Yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), Iaitu waktu fajar. kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.

“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka…Maksudnya suami dan isteri ini seharusnya saling melengkapi antara satu sama lain, harus saling menjadi pendinding dan pelindung sesama mereka,”

Terjemahan ayat dari surah Al-Baqarah itu cuba difahaminya dengan betul tetapi dia bimbang jika mentafsirnya dengan salah. Badli menghela nafas buat sekian kalinya. Mungkin sudah tiba masanya dia mencari seorang guru agama yang dapat membimbingnya mengenai hal agama supaya dia dapat menjadi seorang ketua keluarga yang baik yang dapat membimbing isterinya pula.

“Seorang laki-laki pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah! Apakah hak seorang isteri terhadap suami? Maka beliau menjawab: engkau beri makan dia apabila engkau makan, dan engkau beri pakaian dia apabila engkau berpakaian, dan jangan engkau menampar mukanya, dan jangan engkau jelek-jelekkan, dan jangan engkau berpisah dengan dia melainkan dalam rumah." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban)

Oleh kerana itu seorang suami muslim tidak dibenarkan mengabaikan masalah nafkah dan pakaian isteri. Sebab Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: "Cukup berdosa seseorang yang mengabaikan orang yang menjadi tanggungannya."

(Riwayat Abu Daud, Nasa'i dan Hakim)

Dan tidak dibenarkan seorang muslim menampar muka isterinya kerana tindakan itu dianggap satu penghinaan, kerana muka ialah anggota yang menjadi pusat kecantikan seseorang.

Dan apabila diperkenankan seorang muslim untuk memberikan pendidikan terhadap isterinya yang derhaka, maka dia tidak diperkenankan memukul pada bahagian yang menyusahkan atau menampar muka atau tempat-tempat yang cepat membawa ajalnya.

Di samping itu tidak pula diperkenankan seorang muslim menjelek-jelekkan isterinya, baik dengan mengata-ngata atau ucapan-ucapan yang tidak patut didengar, seperti kata-kata: qabbahakillah (kamu orang jahat) dan sebagainya,”

Badli menutup matanya rapat-rapat. Bukan mudah memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Rupanya terlalu banyak yang belum diketahui berbanding apa yang terlalu sedikit dalam pengetahuannya. Tidak sewenang-wenangnya juga dia boleh menggunakan kuasa sebagai seorang suami terhadap isterinya hatta memberi didikan kepada isteri yang derhaka sekali pun. Akhirnya Badli terlena tanpa mematikan suis komputer ribanya.

* * * * * * * *

PERJALANAN ke Pulau Mabul baru mengambil masa lima minit. Atirah yang berada di sebelah hanya mendiamkan diri. Kerutan di dahinya jelas terlukis. Dia tahu apa yang berlaku terhadap Atirah sehingga isterinya memberi reaksi begitu. Bukan mudah hendak membiasakan diri dengan lambungan ombak yang tidak menentu itu.

“Atirah pening ya?”

“Mmm,”

“Nak makan ubat tahan muntah ke?”

Geleng.

“Nak minyak angin?”

Geleng lagi.

“Habis? Nak sampai jeti lambat lagi ni…boleh tahan ke?”

“Tak boleh tahan...”

Perlahan Atirah menjawab. Tidak sempat mencari posisi terbaik, dia menghamburkan isi perutnya lalu mengenai Badli.

“Apa ni kak?Kalau iya pun nak muntah, tala ke lautlah,”

“Ee, gelilah…Kotor! Main sembur-sembur aje,”

Atirah yang kepenatan langsung tidak berani mengangkat mukanya. Tidak hanya mereka, Atirah juga tidak senang dengan apa yang berlaku. Tetapi Badli hanya bersahaja. Badli mengambil air mineral yang terselit di tepi beg galasnya. Terdetik di hatinya hendak membeli beberapa botol besar air mineral sebelum bertolak tadi kerana dia tidak dapat menjangka bagaimana keadaan Atirah setelah menaiki bot laju. Nyata nalurinya tepat.

“Minta maaf ye, kakak abang…harapnya ini pertama dan terakhir-”

Belum sempat dia membangunkan Atirah, sekali lagi Atirah memuntahkan baki isi perutnya.

“Ee...bencilah macam ni!Gelilah!”

“Minta maaf kak, saya bawa isteri saya ke belakang,”

* * * * * * * *

ATIRAH berbaring sahaja di atas katil setelah membersihkan diri. Rasa kagum terhadap tempat penginapan mereka di Pulau Mabul berkubur begitu sahaja dek kepenatan akibat muntah di tengah laut.

“Atirah nak makan?”

“Belum lagi, belum ada selera,”

“Janganlah macam tu …nanti jatuh sakit pulak…Tadi dah keluar semua isi perut tau!”

Beritahu Badli, mengingatkan Atirah kembali. Dia sendiri tidak mahu memaksa sebenarnya tetapi disebabkan muntah, rasanya Atirah perlu mendapatkan kembali tenaganya yang hilang.

“Saya tak larat nak bangun…pusing aje rasa kepala ni,”

“Saya order makanan dulu, lepas makan nanti Atirah boleh makan ubat dan tidur, ya?”

“Bad, saya minta maaf ya! Kasihan awak, kena marah atas bot tadi...pakaian pun kotor disebabkan muntah saya tu,”

“Saya maafkan, tapi dengan syarat…Atirah kena cepat sihat supaya kita dapat berjalan-jalan, ada kampung nelayan dekat sini tau…rugi sakit di tempat yang cantik ni,”

Atirah senyum sahaja. Benar kata Badli, rugi jika dia menghabiskan masa bercuti mereka di atas katil akibat terlantar sakit. Selama ini dia tidak berpeluang melihat tempat orang, bila berpeluang sekali, dia patut menggunakannya dengan sebaik mungkin. Badli yang baru selesai memesan makanan untuk santapan mereka malam ini mendekatinya. Rambutnya diusap lembut. Ada senyuman yang terlukis di bibir suaminya.

“Lepas makan nanti, Atirah tidurlah ya..rehat secukupnya supaya pagi esok Atirah bertenaga semula,”

“Bad…”

“Mmm,”

“Macam mana rupa kampung nelayan tu? Saya selalu dengar masa sekolah dulu, teringin nak ke sana tapi tak ada peluang, tak ada duit…Boleh bawa saya ke sana?”

“Macam mana rupa? Pejam mata dan bayangkan dalam kepala…Boleh kalau Atirah sihat, tak boleh kalau tak sihat,”

“Tapi saya teringin betul nak ke sana,”

“Kita tengok esok macam mana, ya?”

Pujuk Badli lagi. Dia tidak ingin menjanjikan sesuatu yang tidak pasti tetapi permintaan Atirah tidak berat untuk ditunaikan malah dia sendiri mahu ke sana. Ada kenangan yang mencuitnya supaya ke sana dengan segera.

“Macam mana kalau esok saya tak bernyawa lagi, Bad?”

“Buah kalau…banyak yang boleh kita ceritakan tentang kalau, Atirah…Sesuatu yang diandaikan, yang belum tentu kesahihannya…Jika benar apa yang Atirah duga, dah cukup semua ‘bekalan’ ke sana? Hutang suami yang belum dibayar?”

“Hutang suami?”

“Iyalah, tuntutan batin suami…dah diberi?”

“Err…”

“Buah kalau Atirah...jangan bercerita kalau tak bersedia...buah kalau juga,”

Nasihat Badli, perlahan lalu meninggalkannya bersendirian di dalam bilik itu. Giliran Atirah pula bangun, mendekati jendela kaca lalu membuang pandang ke arah bentangan air laut di sekeliling penginapan mereka. Tercuit dengan soalan Badli, dia sendiri ragu-ragu dengan persediaannya. Nyata dan pasti, dia belum mampu menerima Badli yang baru dikenali beberapa ketika sebagai suami.

* * * * * * * *

LANGKAHNYA mati pada deretan rumah usang seperti kepunyaannya di Kampung Sri Tanjung. Hanya beza pada lautan air yang mengelilingi rumah-rumah itu sedangkan rumah usangnya didirikan di atas tanah. Bunyi riuh sekumpulan kanak-kanak bermain menggamit memori zaman kecilnya. Dahulu, dia juga seperti mereka, bermain, bersenda, bergelak ketawa dengan kawan-kawan tetapi kini, dia hanya bersendirian. Cuba meniti kehidupan baru bersama orang asing yang baru dikenali tetapi punya pertalian yang cukup rapat dengan dirinya. Sang suami.

Ketawa? Melodi ria itu telah lama hilang dari kepunyaannya.

“Bagi jajan aku!”

Rebut seorang kanak-kanak perempuan sambil melompat-lompat, mahu mencapai sesuatu dari tangan abangnya, mungkin, yang sengaja ditinggikan untuk mencuit marah si adik, barangkali. Atirah mengalih tumpuannya pada suara kecil yang kedengaran lantang itu.

“Kalau kau mahu, cubalah ambil dari tangan aku,”

“Kau tinggi, aku rendah...”

“Bukan salah aku, siapa yang suruh kau jadi budak ketot!”

“Kaulah yang ketot!”

“Liza ketot! Liza ketot! Liza ketot!”

“Kaulah ketot! Aku beritahu mak kau ejek aku!”

“Beritahulah…tak takut pun!”

Giat si abang, menambah marah sang adik. Rasa tercuit dengan perbalahan adik beradik itu, Atirah mendekati mereka perlahan-lahan. Bahu si perempuan kecil yang mungkin berusia enam tahun itu dicuitnya lembut. Berhenti melompat, dia menoleh ke arah Atirah.

Abangnya juga begitu. Pertelingkahan kecil itu mati begitu sahaja kerana masing-masing menjadi bisu bila terpandang wajah insan yang tidak dikenali, mungkin.

“Siapa nama adik?”

“Nama dia Liza,”

“Sibuk aje...kakak ni tak tanya kau pun,”

“Ikut akulah...mulut aku,”

Atirah ketawa kecil. Dapat dilihat jelingan si kecil itu, tajam menyilau pandangan.

“Siapa nama abang?”

“Nama dia Amad,”

“Hah, kau jawab untuk aku tak apa pulak?!”

“Siapa suruh kau jawab untuk aku dulu?”

“Kau ni memang ketotlah!”

“Amad dengan Liza janganlah gaduh-gaduh...rugi bergaduh dengan saudara sendiri tau...nanti tak ada kawan,”

Pesan Atirah, lembut sambil memegang kedua-dua belah tangan Liza. Kesan hitam pada pipi gebu si comel itu dikesatnya perlahan.

“Amad bukan saudara saya, kakak...Amad ni abang saya,”

Atirah mahu ketawa tetapi dia menekup mulutnya dengan cepat. Bukan salah Liza jika maksud yang ingin disampaikan tidak difahami. Dia mengusap lembut rambut panjang yang mencecah bahu itu. Teringat akan getah rambut biru yang sentiasa dibawa ke mana-mana, dia mengambilnya dari saku seluar denim pemberian Badli.

“Jom kita duduk di sana!”

Pelawa Atirah sambil menunjukkan sebuah bangku panjang yang sudah usang. Letaknya di luar sebuah gerai kecil. Tidak membantah, gadis kecil yang comel itu mengikut langkah kakinya.

“Kakak ikatkan rambut Liza, ya?”

Si kecil itu cuma mengangguk. Helaian rambut itu disatukan dengan cermat sebelum diikat. Kemudian dia menguis-nguis anak rambut yang menutupi mata ke belakang telinga. Sebuah senyuman dihadiahkan buat si kecil itu.

“Atirah di sini rupanya?!”

Mereka berdua memandang ke arah datangnya suara menyapa. Badli melepaskan penat lalu duduk di sebelah Atirah.

Krekkk.

Bunyi itu membuatkan mereka bertiga saling berpandangan. Tidak sempat bangun, kaki bangku itu patah lalu mereka bertiga jatuh. Atirah memegang punggungnya yang terasa sakit sedang bunyi ledakan tawa bergema di sekeliling mereka.

“Opps..sorry!”

Ucap Badli, pendek lalu ketawa bersama kanak-kanak yang lain. Atirah tidak menjawab sebaliknya dia menjeling geram sebelum mencubit lengan suaminya.

* * * * * * * *

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.