HASEF
duduk di sofa buruk di ruang tamu rumah kecil itu. Atas hajat itu, Rais setuju mengajak
Hasef masuk ke dalam rumah untuk berbincang. Semasa masuk tadi dia
tambah-tambah kasihan pada Zahra bila melihat keadaan rumah yang sangat daif
itu.
Rais
mengamati lelaki yang berpakaian kemas dengan kemeja biru dan seluar khaki.
Bajunya jenis mahal dan jam yang dipakai pula berjenama. Hati Rais pula
berbunga kerana dia sudah dapat membau keuntungan yang akan jatuh ke ribanya.
Kereta di luar sudah jadi satu petunjuk. Petunjuk yang dia mungkin akan dapat
wang yang banyak.
Namun,
dia tidak boleh nampak tamak sangat dan terburu-buru. Dia perlu ada strategi.
Dia memandang tegas pada Hasef. Dia mengamati pakaian dan penampilan lelaki
itu. Sah orang kaya. Siapa sangka Zahra dapat memerangkap lelaki kaya seperti
itu?. Siapa tahu nasib baiknya hari itu???
“Aku
tak mahu kahwinkan anak aku dengan kau.” kata Rais tiba-tiba menanti reaksi
lelaki itu. Hasef terpempan. Tadi nampak Rais seolah teruja sahaja sekarang tak
mahu pula?. Rais seperti bermain tarik tali pula. Hasef menarik nafas
menenangkan dirinya. Dia perlu berunding dengan baik.
“Pakcik…beginilah…kalau saya kahwin dengan anak
pakcik…saya boleh ringankan beban pakcik kerana tak perlu tanggung anak pakcik
lagi. Kehormatan anak pakcik pun terjaga kerana saya akan mengahwininya dengan
cara baik.” kata Hasef bersungguh. Dia mahu menyelamatkan gadis itu. Dia rasa
itu adalah jalan yang terbaik. Dia mengerling pada Zahra yang memandang padanya
dengan wajah masih tak percaya.
“Huh…itu
sahaja? Aku tak kisah tentang kehormatan budak ni. Kau perlu ada hajat yang
lebih menarik dari itu. Aku nak duit. Apa jaminan yang aku akan dapat duit dari
hajat kau tu?” tanya Rais tiba-tiba. Zahra yang berada di situ benar-benar
terkejut dan malu dengan kata-kata ayahnya itu. Duit??? Sekarang maruah Zahra
yang sedang dibincangkan dan ayahnya hanya berminat dengan duit???. Oh hinanya
dia terasa! Air mata terbit di mata. Jelas yang ayahnya tidak sayang langsung
padanya.
“Pakcik
tak kisah kehormatan dia? Dia kan anak pakcik? Tak bermaknakah dia pada
pakcik?” soal Hasef kehairanan. Sangkanya tadi boleh juga dia sedarkan lelaki
itu tapi ternyata sangkaannya meleset. Kehormatan bukan sesuatu yang dipandang
tinggi oleh Rais. Kalau tidak tak mungkin dia sanggup paksa Zahra bekerja
sebagai gadis escort. Hasef menjadi lebih simpati pada Zahra yang mempunyai
seorang ayah seperti itu. Dia melirik pada gadis itu yang kini berwajah sedih.
Simpatinya makin mencanak.
“Suka
hati akulah nak kisah atau tidak. Dia memang anak aku. Tapi…dah banyak dia
menyusahkan aku selama ini. Ini masa dia untuk bayar semuanya pada aku semula
setelah aku bersusah-susah payah membesarkannya,” jawab Rais. Hasef mengeleng-ngeleng
mendengar kata-kata lelaki itu.
“Apa
aku dapat kalau kahwinkan kau dengan dia? Kalau aku biarkan dia menjadi wanita
escort boleh juga aku dapat dalam satu ribu satu malam,” tambah lelaki itu
lagi. Memang lelaki itu tidak boleh disedarkan lagi.
Wajah
tua Rais direnungnya. Dengan mata merah dan bau yang meloyakan itu Hasef dapat
mengagak sama ada lelaki itu penagih dadah atau arak dan mungkin juga ada
masalah judi. Selalunya tiga kategori itu boleh menghapus perasaan kasih dan
sayang seseorang pada manusia lain hatta kepada anak atau ibu sendiri. Hasef sedikit
mengeluh tentang realiti kehidupan seperti itu. Realiti masyarakat.
Wajah
Zahra yang sugul menambah simpati di hatinya. Dia nekad. Gadis itu perlu
dijadikan isterinya supaya selamat dari ketamakan ayahnya sendiri. Di kala itu
hatinya terasa begitu nekad untuk menyelamatkan gadis itu. Hanya dengan cara
itu sahaja dia dapat membantu gadis itu. Dan dia tidak kisah apa yang akan
berlaku selepas itu. Hasef menghela nafas.
“Baiklah….berapa pakcik mahu? Saya sanggup
bayar asalkan pakcik boleh lepaskan anak pakcik pada saya untuk saya kahwini.”
kata Hasef penuh yakin. Zahra terpempan. Wajah Hasef ditenung tepat.
Perasaannya berbaur.
“Aku
mahu 50 ribu. Kalau aku dapat 50 ribu, aku akan lepaskan dia pada kau.” ujar
Rais tanpa perasaan. Melihatkan kereta Range Rover Hasef yang terparkir di
hadapan dia tahu yang menghantar Zahra balik hari itu sudah pastilah seseorang
yang punya wang. Baik dia sesah lelaki itu cukup-cukup. Hah dapatlah dia bayar
hutang dan berjoli nanti dengan duit sebanyak itu. Tak sia-sia dia hantar Zahra
jadi escort. Dapat bawa balik orang kaya!.
Zahra
merenung Hasef dan ayahnya silih berganti. Biar benar. Mereka berdua sedang
berurusniagakan dirinya?? Oh Tuhan, apa yang dah berlaku ni??
“Saya akan bagi pakcik RM50,000.” kata Hasef seperti
bertawar pula. Hati Zahra terasa bersakar. Geram, sedih dan tersinggung semua
ada. Dia tak menyangka Hasef sanggup membayar untuk dirinya seolah seperti
barang dagangan. Buruk lagi nasib dirinya kerana mempunyai seorang ayah yang
lebih sayangkan wang dari dirinya.
“Aku
setuju!” tegas Rais lantas ketawa besar. Hati Zahra membuak geram. Ketawa yang
kedengaran menambah sakit hatinya. Tak boleh jadi! desis hati Zahra.
“Ayah!, saya ada harga diri. Kenapa ayah nak
jual saya?.” jerit Zahra pada ayahnya. Kemudian dia berpaling pada Hasef. “Hasef,
apa yang awak lakukan ni? Awak nak beli saya? Saya ada maruah. Saya tak mahu
duit awak! Simpan duit awak tu!!! Eh! Kamu berdua ingat saya ni apa? Barang
yang senang-senang dijual?” Hasef memandang wajah gadis itu yang menyinga. Dia
hairan kenapa gadis itu marah pula? Dia sedang cuba menyelesaikan masalah gadis
itu dan gadis itu marah? Hasef hairan. Wajah Zahra dipandang tepat.
“Dah…engkau Zahra jangan nak buat drama pulak.
Bertuahlah ada orang nak beli kau. Kalau tak duduklah kau di kelab escort tu! Banyak
hal pulak kau ye!. Tak sedar diuntung!!” tengking Rais marah.
“Tapi
ayah…” Zahra cuba membantah.
“Kau
jangan nak mengada. Kau kena ikut cakap aku. Kalau tak siaplah kau!!!” ugut
Rais dengan wajah bengis. Kecut hati Zahra. Belakang yang banyak kali dibalun
seolah terasa berdenyut-denyut. Tak sanggup dia kalau dibalun lagi dengan tali
pinggang. Yang ada pun sudah cukup tersiksa.
Zahra
terdiam. Manakah yang lebih buruk? Daripada dijual kepada tauke atau berterusan
kerja sebagai escort dan menghadap siksaan ayahnya atau menerima aturan lelaki
itu?. Wajah Hasef dipandang. Hasef yang perasan memandang kembali wajah gadis
itu. Zahra menghela nafas. Hatinya geram dan marah. Tapi benar juga. Dia harus
cari jalan keluar. Dan mungkin itulah jalan keluarnya. Tapi, bukan dijual
seperti itu!