Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
126,190
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
26


       “Siapa nama boyfriend Amelia ini?”  Lelaki yang berusia itu bersuara. 

       Pandangannya masih tidak putus memerhatikan diriku yang cuba  menyembunyikan rasa kekok.  Di balik jaket kulit.  Atau di dalam saku seluar jeans ini.  Kiranya ia semudah itu.

      Muka Amelia terus berubah.  Kulitnya yang putih menjadi merah serta – merta.  Dia terus berpaling pada lelaki tua itu tadi.

      “Apa yang Uncle cakap ni?”  intonasi suara Amelia manja berbaur malu.  Ahli keluarga yang lain ketawa kecil melihat gelagat Amelia diusik lelaki yang dipanggil uncle ini.

      “Nama siapa?”  dia bertanya lagi sambil membetulkan kaca matanya.  Tangannya bersilang di dada.

      “Muhammad.  Nama saya Muhammad,” aku menjawab sambil menghulurkan tanganku kepadanya.  Dia menyambut tanganku serta – merta.

      “Sejuk tangan ni.  Kenapa tak masuk ke dalam restoran?  Kita ada makan – makan tadi,” lelaki berusia itu masih lagi memegang kejap tanganku.

      “Tak mengapa.  Saya baru sampai.”

      “Dari mana?”

      “Dari Edinburgh.”

      “Datang semata – mata nak jumpa Amelia?  Kasihannya.  Kenapa bebe tak ajak masuk?”  dia bertanya pada Amelia.  Tangannya masih berjabat denganku.  

      Amelia sudah tidak mampu menjawab.  Lelaki itu mengalihkan pandangan kepadaku semula.

      “Panggil saya Uncle Dollah.  Ini isteri saya, Aunty Norma.  Itu anak – anak saya, Linda dan Alya.  Yang belakang macam bouncer itu menantu saya, Jamil,” dia mengenalkan seluruh ahli keluarganya padaku kecuali seorang gadis yang memakai jaket labuh berwarna perang di belakang Amelia.  Wajahnya seakan iras wajah Amelia cuma lebih bulat dan pipinya kelihatan penuh.  Rambutnya juga lebih pendek daripada Amelia.

      “Yang belakang ini tak kenal?”  tanya Uncle lagi apabila melihat aku masih tercengang melihat gadis itu.

      “Ini Nadia.  Kakak saya,” Amelia terus menjawab.  Aku mengangguk dan melemparkan senyuman kepada mereka semua.  Kakak Amelia masih lagi memandangku dengan tajam.

      “Muhammad sudah makan?”  tanya Uncle itu lagi.  Kali ini tanganku sudah dilepaskan.

      Aku mengangguk.  Kalau diikutkan sebenarnya aku agak kelaparan kerana tidak menjamah apa – apa sebelum bertolak ke sini.  Aku berhasrat untuk membawa Amelia berjalan – jalan untuk kudapan malam.

      “Daddy, let’s go.  It’s getting cold,” salah seorang daripada anak Uncle Dollah bersuara.

      Mereka mulai bergerak meninggalkan bangunan restoran itu.  Melihatkan Amelia turut sama berjalan menyertai mereka, aku pun sama melangkah mengekori Amelia.  Kami berjalan beramai – ramai di kaki lima hadapan bangunan hotel – hotel mewah ini.  Amelia diapit rapat oleh kakaknya dan salah seorang anak Uncle Dollah.  Manakala aku berjalan di belakang sekali bersama – sama Uncle Dollah dan menantunya.

      “Muhammad sudah bekerja?”  tanya Uncle Dollah.

      “Sudah Uncle.”  Balasku dengan sopan.  Di sebalik pandangannya yang tajam pada awal pertemuan tadi, dia agak peramah rupanya.

      “Bekerja di mana? Di Edinburgh?”

      “Tidak, saya bekerja di Malaysia.  Ada persidangan bulan lepas di Frankfurt.  Saya singgah ke UK untuk melawat adik saya di Edinburgh sebelum pulang.”

      “Bekerja sebagai apa?”  Uncle Dollah bertanya lagi.

      “Saya menguruskan syarikat keluarga.  Sektor pembinaan.”

      “Family business? That’s good.  Boleh membantu orang tua.  Bapak masih bekerja lagi?”

      “Dia sudah bersara, Uncle.  Kesihatannya tidak berapa mengizinkan,” jawabku.  Teringat pula wajah ayah dengan ketayap putihnya pada waktu Subuh bersiap untuk ke masjid dengan ibu.

      “Berapa umur bapak?”

      “Enam puluh lebih,” aku cuba mencongak umur ayah.

      “Eh, muda lagi.  Sebaya dengan umur kawan Uncle, Dato’ Dr Hakim, bapanya bebe.  He’s a surgeon.  And he plays tennis,” jelas Uncle Dollah.  Amelia menoleh kepada kami.  Mungkin dia terdengar nama manjanya disebut.

      “Bapak main golf? Atau sports?”  Aku menggelengkan kepala.  Ayah menghadapi masalah dengan kesihatan jantungnya.  Sekarang pula dia mengalami sakit – sakit belakang.  Tubuhnya semakin hari semakin susut.  Tidak seperti semasa aku di sekolah dahulu, waktu itu kurasakan ayah seorang yang tegap dan tuntas berbicara menyebabkan dia dihormati oleh ramai rakan niaga.  Sekarang sesudah bersara, dia sering bercerita kepada kenalannya bahawa dia bertuah mempunyai anak lelaki sepertiku yang boleh membantu menguruskan perniagaan keluarga.  Katanya dia tidak lagi mampu meneruskan perniagaan ini sendiri.

      “Ajak bapak main golf.  Uncle suka main golf.  Tiap – tiap tahun Uncle akan datang ke sini semasa harijadi Alya dan bermain golf dalam dua minggu.  Ini tempat termasyur untuk sukan golf.  It is very historic,” jelasnya lagi dengan panjang – lebar.

      “Bila bapanya Amelia datang untuk menziarah, Uncle bawa dia main golf juga.  Tapi dia tak suka sebab selalu kalah dengan Uncle,” Uncle Dollah tergelak sendiri.

      Aku hanya tersenyum.  Aku tidak meminati sukan golf.  Hanya Rizal, rakan niagaku yang rajin menemani pelanggan atau orang – orang kenamaan yang berurusan dengan syarikat kami bermain golf.  Perbelanjaan sukan ini agak mahal terutama sekali apabila mereka meminta untuk bermain di luar negara.  Perbelanjaan tidak tertumpu pada sukannya sahaja, tempat penginapan malah teman untuk bermesra juga perlu diambil kira.  Itu tidak termasuk kos wang taruhan semasa permainan berlangsung.

      “Bebe, bila papa datang?  Is it next week?”  Uncle Dollah bertanya pada Amelia yang sudah berhenti di hadapan sebuah bangunan mewah yang dilitupi rerumput creepers.

      Amelia memandang pada kami dan tersenyum mengangguk.  Kakaknya Nadia yang di sebelah mengangguk juga.

      “Nanti Uncle akan jumpa dia di London.  Beritahu papa, Uncle nak challenge dia main golf.  Muhammad pun boleh join sekali,” ujar Uncle Dollah sambil menepuk bahuku.  Aku tersenyum pahit.  Usahkan bermain golf, dengar hendak berjumpa dengan papa Amelia pun aku sudah menjadi seram sejuk.

      “Ok, bang.  Come inside.  You need to leave that boy alone.”  Aunty Norma muncul tiba – tiba di sebelah kami. 

      “He wants to talk to Amelia.  Not you.  You orang tua,” ujar Aunty Norma lagi menyebabkan aku tersengih menahan ketawa.

      “I just want to get to know him, darling.  He is bebe’s friend,” sempat pula Uncle Dollah membela dirinya.                                                                                

      Aunty Norma memandangku dan melemparkan senyuman mesra.  “He is alright.  I can tell he is a good lad.”

      Aunty Norma tersenyum lagi sambil menjeling pada Amelia.  Aku tidak mampu berkata apa – apa.  Belum pernah lagi peribadiku dinilai sekilas itu, di depan khalayak ramai pula.  

      Uncle Dollah sekeluarga mengucapkan selamat malam sebelum memasuki pintu hotel mewah itu.  Anak perempuannya yang muda bernama Alya itu tidak menyertai mereka.  Dia bergerak menuju ke kereta VW Golf merah yang terletak di sebelah tiang lampu jalan.  Nadia, kakak Amelia, turut mengekorinya ke kereta.  Tinggal Amelia berdiri di hadapanku.  Tersenyum memandangku yang masih terkulat - kulat memahami situasi yang baru sahaja berlaku.

      “Mamat tidak apa – apa?”  tanya Amelia sambil tersenyum lembut.

      Aku mengangguk.  Tertawa kecil.  Aku pun kurang pasti apa yang aku rasa.

      “Uncle Dollah memang begitu.  Dia suka bergurau.  Mamat janganlah ambil hati,” ujar Amelia dengan nada yang memujuk.  Suaranya lembut menusuk kalbu.

      “Tidak, saya tidak ambil hati.”  Hanya hati Amelia sahaja yang ingin aku ambil.  Melebihi daripada segenap jasad - jasad yang bertaburan di dalam cakerawala.

      Amelia menoleh ke arah kereta yang sudah dihidupkan enjinnya.  Aku pula menjadi gusar.  Apakah Amelia perlu pulang sekarang? Aku langsung belum sempat meluangkan masa bersamanya.  Sia – sia sahaja aku menghabiskan masa dua jam lebih untuk menunggu bersama dengannya sekiranya dia perlu pergi sekarang.

      Amelia berpaling semula padaku.  Matanya yang bundar itu memandangku berharap.

      “Bila Mamat perlu pulang?”  Amelia bertanya.

      Aku cuma mengangkat bahuku. “Bila – bila.  Saya boleh pulang bila – bila.”

      Aku mengerling jam di tangan.  Masih lagi awal.  Bas terakhir dari stesen St Andrews bertolak pukul 10.30 malam.  Malahan aku telah bersedia untuk bermalam di bandar ini sekiranya perlu.  Kiranya itu yang patut aku lakukan untuk bersama Amelia.

      Amelia tersenyum.  Dia mengajakku menaiki kereta VW Golf merah.  Katanya mereka akan menuju ke asrama penginapan rakan – rakan Alya di Ayton Student Accomodation.  Menurut Alya, rakan – rakannya sudah menunggu di sana untuk bersama – sama meraikan sambutan hari lahirnya.  Aku hanya terdiam apabila gadis muda yang penuh dengan solekan di muka itu memandu keretanya dengan laju memasuki pusat bandar. 

      Di kiri kanan jalan pusat bandar ini kenderaan tersusun berhadapan dengan kedai – kedai yang terang.  Masih ramai lagi budak – budak muda yang berjalan di kaki lima.  Berseorangan.  Berkumpulan.  Ada juga yang berbasikal.  Mungkin mereka adalah pelajar – pelajar universiti St Andrews seperti Alya.  Hampir separuh daripada populasi bandar ini merupakan pelajar universiti, kata Alya lagi.  Jadi bandar ini selalunya lengang apabila tiba cuti semester kerana pelajar – pelajar akan kembali ke kampung halaman masing – masing.  Aku mengangguk sambil mengintai tingkah – laku mereka dari tingkap kereta. 

      Alya memberhentikan kereta di sebelah bangunan lima tingkat yang terletak di simpang jalan utama.  Kami keluar mengekorinya memasuki bangunan tersebut.  Aku bertanya juga kiranya ini merupakan kawasan larangan untuk pelawat lelaki sepertiku.  Terutama pada waktu malam begini.  Alya hanya tergelak mendengar pertanyaanku.  Katanya teman lelakinya berserta kawan – kawannya semua sedang menunggu di bilik.  Tiada masalah dengan kehadiran pelawat dan rakan – rakan yang berlawanan jantina disini.  Malah boleh sahaja kiranya ingin bermalam bersama.

      Langkahku terhenti.  Terasa serba salah berada di dalam situasi itu.  Tidak wajar bagiku berada di sini seperti remaja yang baru mengenal dunia terkinja – kinja keseronokan menyambut harijadi.  Aku berundur setapak.  Memberi isyarat kepada Amelia bahawa aku akan menunggu di luar. 

      Lalu aku berjalan keluar ke koridor dan bersandar pada jendela memandang ke laman bawah.  Beberapa orang pelajar masih bersidai dan berkumpul di bangku – bangku luar laman.  Malam masih muda.  Aku pun tidur adakalanya pukul 4 pagi sewaktu di universiti dahulu.  Kadang – kala kerana perlu menyiapkan tugasan.  Kadang – kala kerana leka bersantai dengan kawan – kawan.  Menonton cerita filem seram atau filem yang dipenuhi adegan - adegan yang menyeronokkan sehingga lewat pagi.  Menemani mereka menghisap ganja.  Keluar memandu pada waktu malam tanpa hala tuju yang pasti.  

      Namun zaman itu sudah berlalu.  

      Aku tidak punya kudrat untuk menempuh itu semua lagi.

      “Mamat.”

      Saat itu jua aku menoleh ke belakang.

      Memandang wajah Amelia aku kembali merasa lega.  Lantas tersenyum menyambut kehadirannya.

      “Saya perlu pulang kerana tidak berapa sihat.  Boleh awak temankan saya?”


Previous: 25
Next: 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.