Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
126,522
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
40


      Subuh keesokannya aku bangun dengan semangat yang berkobar – kobar.  Sambil bersiulan aku menyiapkan diri memakai pakaian yang kemas berserta wangian.  Mungkin aku perlu berhenti untuk membeli buah tangan atau bunga untuk Amelia dan keluarganya semasa ke stesen nanti.  Aku mengagak akan sampai sebelum pukul 9 pagi di Cambridge sekiranya aku bergerak sebelum matahari terbit.  Masih lagi dalam lingkungan waktu sarapan pagi.

      Tiba – tiba telefon bimbitku berdering.  Sebaik sahaja aku mengenakan butang kemeja polo hitam di hadapan cermin.

      Aku mencapai telefon tersebut.  Suara Dato’ Megat berkumandang di corong telinga.

      “Muhammad.  I dah aturkan pagi ini dengan pihak bank dan peguam.  Kebetulan mereka dapat luangkan masa untuk urusan kita.  I was up all night making this arrangement.”

      Dato’ Megat langsung tidak menunggu sebarang balasan daripadaku.  Dia meneruskan bicaranya dengan tergesa – gesa.

      “Dalam setengah jam lagi I akan singgah di hotel untuk bawa you ke mesyuarat di bank.  Singh akan tunggu kita di sana.  Susah betul I nak dapatkan pengurus bank semalam.  He has to postpone several meetings to accomodate us,” sambung Dato’ Megat lagi.

      “Tetapi Dato’, saya ada urusan pagi ini.  Memang tidak dapat dielakkan,” aku bersuara.  Bagaimana pula aku hendak memberi alasan kepada Amelia.  Takkan aku terpaksa mungkiri janjiku kepada Amelia sekali lagi.

      “Urusan apa itu, Muhammad?  Pentingkah?  I cannot afford to reschedule our meetings today.  You juga yang request for this arrangement,” suara Dato’ Megat mula meninggi.  Terpaksa pula aku tadah telinga pagi – pagi begini.

      “Urusan peribadi, Dato’.  Pagi ini saya perlu ke Cambridge.”

      “You buat apa pergi Cambridge?”

      “Itu urusan saya, Dato’,” aku menepis dengan sopan.

      “Muhammad.  I came here all the way to London so that we can work this thing together.  Dalam situasi begini, sebagai ketua syarikat you kena faham dan tahu keutamaan you di mana.  Kita berdua bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan usahasama syarikat kita.  Ini saat yang genting, Muhammad.  I am shitting in my pants right now.  We need to stay focused,” Dato’ Megat berceramah di telingaku.

      Panas pula telefon bimbit ini kurasa menekap di telinga.  Entahkan bahang suara Dato’ Megat ataupun bahang amarahku sendiri yang menyala - nyala.  Namun pada saat begini, aku harus berfikiran objektif dan tidak membiarkan emosi mengawal diriku.

      “I minta tolong pada you, Muhammad, kita selesaikan perkara ini secepat mungkin.  Tidak lama mana pun.  Mungkin sebelum tengahari kita boleh selesai.  Boleh tak?” desak Dato’ Megat lagi.  Meminta dipertimbangkan sewajarnya.

      Aku menganggukkan kepala.  Aku ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.  Tentu ayah tidak mahu aku berperangai kebudak – budakan dalam waktu seperti ini di mana syarikat menuntut aku membuat keputusan dan tindakan yang wajar.

      “Baiklah Dato’.  Saya jumpa Dato’ di lobi hotel Ibis London Euston dalam setengah jam.”

      “Tolong maklumkan juga kepada Rizal mengenai mesyuarat ini.”

      Aku mengangguk.

      Perbualan kami termati begitu sahaja.  Aku terduduk di birai katil memandang jendela kamar.  Langit di luar sudah mula kelihatan cerah.  Namun masih lagi kelabu.  Tidak biru seperti kebiasaannya.  Bunyi kenderaan lalu – lintas terdengar sayup di balik jendela.

      Aku melepaskan keluhan yang berat.  Tidak tahu bagaimana hendak disampaikan kepada Amelia.  Apakah dia dapat memahami situasiku pada saat ini.

      Jari – jariku menekan papan kekunci telefon bimbit dengan lambat.  Sebaik sahaja kutekapkan corong telefon ke telinga, bunyi deringan menyambut pendengaranku.  Berkali – kali namun tidak diangkat.  Mungkin Amelia sedang bersiap sepertiku juga.

      Lantas aku menaip pesanan ringkas kepadanya.  ‘Amelia.

      Aku membiarkan paparan skrin itu padam sendiri.  Tidak mampu untuk menyusun ayat agar dia tidak berkecil hati kelak dengan berita yang ingin kusampaikan.  Tidak sampai satu minit, telefon bimbitku berbunyi menandakan pesanan ringkas masuk.

      ‘Mamat.  Maaf tidak sempat hendak menjawab panggilan.  Baru selesai solat.’

      ‘Lewatnya.’  Aku membalas.  Tersenyum mengusiknya.

      ‘Hahaha... tidaklah lewat sangat.  Tunggu mama dan papa untuk jemaah bersama.’

      Terasa sejuk hati membaca balasannya.

      ‘Kenapa? Mamat sudah menaiki keretapikah?’

      Aku tergamam.  Tidak tahu bagaimana hendak membalasnya.  Lama juga aku merenung paparan skrin telefonku.  Mungkin dia juga begitu menunggu jawapanku.

      ‘Amelia.  Saya perlu meminta maaf sekali lagi pada Amelia.  Pagi ini saya dikejutkan dengan jadual mesyuarat penting yang akan diadakan di bank.  Melibatkan beberapa pegawai bank dan peguam.  Saya sangkakan ianya boleh ditunda ke petang.  Tetapi kami kesuntukan masa dan pagi ini sahaja peluang yang kami ada.’  Aku menaip berjela – jela dengan harapan Amelia akan memahami tindakanku.

      ‘Tetapi kita sudah berjanji.  Mama hendak berjumpa dengan Mamat pagi ini.’

      Aku merasa bungkam apabila membaca balasan daripada Amelia.  Aku dapat merasakan hatinya menjadi rawan apabila janjinya dimungkiri lagi.

      ‘Saya minta maaf sangat – sangat Amelia.  Saya langsung tidak berniat untuk melukakan hati Amelia.  Tetapi saya perlu menghadiri mesyuarat pagi ini.  Selesai mesyuarat nanti, saya akan hubungi Amelia semula’.

       Buat seketika Amelia tidak membalas pesanan ringkasku.  Lama juga aku menunggu balasan daripadanya.  Seminit.  Dua minit.  Masuk lima minit.

      ‘Tidak mengapa kalau begitu.’  Pesanan ringkas daripada Amelia tiba.

      ‘Saya akan hubungi Amelia.  Kita berjumpa nanti.  Saya memang ingin bertemu mama dan papa Amelia.’

      ‘Baiklah.  Jaga diri.’  Balasnya pendek.  Aku terasa aneh membacanya.  Tidak manja seperti kebiasaannya.  Seolah – olah menyembunyikan sesuatu daripadaku.

       Namun aku berharap agar Amelia memahami dan aku berjanji pada diriku sendiri untuk menemuinya sebaik sahaja selesai mesyuarat.  Aku percaya sempat sebelum mereka sekeluarga bertolak ke Devon.  Dan sehingga tiba waktu itu, aku perlu bersiap semula sambil menukar kemeja dan seluar kerjaku untuk menghadiri mesyuarat pagi ini.  Sebentar lagi Dato’ Megat akan tiba di ruang lobi, getus hatiku sambil mencapai kemeja putih yang tergantung dalam almari.

Previous: 39
Next: 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.