Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
126,475
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
49


      Aku menoleh kehairanan.  Dia sedang berdiri di hadapan sebuah lukisan yang indah warnanya.  Rimbunan kuning keemasan.  Aku hampiri Aisya dan lukisan itu.  Sebuah pemandangan musim luruh.  Coretan warna pada setiap inci kanvas tersebut jelas terang dan bersungguh.  Terasa ingin kusentuh terbitan warna yang hidup di atas kanvas itu.  Seolah ada sesuatu yang membuai perasaan.  Sebuah kehidupan yang kuinginkan.

      “Pungguk?” tanyaku lagi kehairanan.

      Di tengah – tengah pemandangan musim luruh itu, terdapat figura seorang lelaki yang berdiri di hadapan sebuah bangku di bawah rimbunan pokok.  Memakai jaket kulit hitam dan berseluar jeans.  Wajahnya tidak jelas mendongak memandang langit yang biru.  Seolah mengharap pada sesuatu.  Seolah terperangkap dalam waktu.

      Dengan tidak semena – mena, hatiku dibanting dengan rasa debaran yang hebat.

      “Aneh.  Sosok lelaki itu persis abang,” suara Aisya tenggelam – timbul dengan gema yang berpalu di dalam hatiku.

      Lukisan itu kurenung lagi.  Mengejip – ngejipkan mata meneliti figura di tengahnya yang berdiri sayu di dalam warna indah musim luruh.  Tidak jauh dari tempat dia berdiri ada sebuah lampu lanskap tinggi berdekatan dengan bangku itu.  Daun – daun luruh berserakan di perdu pokok.  Dan di sekitar figura lelaki itu berdiri.

      Hatiku seakan terhenti berdegup apabila terbaca tandatangan pelukis pada bucu lukisan tersebut.


      Amelia Hakim.

      London 2016.


      Terasa gugur jantung ini.  Menggosok mata berkali – kali memastikan apa yang kupandang bukan sekadar ilusi.  Di bawah bingkai lukisan ini tertampal tajuknya seperti yang disebutkan oleh Aisya tadi.


      Pungguk.


      Kisah dongengku kepada Amelia pada malam wajahnya disimbah cahaya bulan.  Sewaktu dia menceritakan impiannya.  Sewaktu aku meraih jari – jemarinya dengan seribu harapan.  Mendakapnya dalam pelukan dan menjanjikan hari esok.

      Dia datang rupanya.

      Pada hari aku menunggunya buat kali terakhir.

      Amelia datang untuk menyaksikan pemergianku dari jauh.

      Figura lelaki itu berona kesedihan.  Amelia menyampaikan isi hatinya dengan garis warna yang sayu pada figura tersebut.  Sebuah perasaan yang tidak terungkap, ujarku kepadanya sewaktu ditemani sinaran mentari petang di Edinburgh.

      Mataku berlinang dengan tiba – tiba.

      Akulah pungguk yang merindukan bulan.  Bukan semua kisah cinta berakhir dengan kebahagiaan, ujarku lagi kepadanya pada malam kami berjalan ditemani gemersik suara ombak menghempas pantai di St Andrews.

      Akulah pungguk itu.

      Sebuah kisah sedih, katanya.

      Bahuku ditepuk dari belakang.  Aku kembali tersedar.  Ibrahim berdiri di belakangku.  Rupanya Aisya sudah lama menunggu di pintu pameran.  Entah bila dia bergerak pergi aku tidak perasan.

      “Mari abang, kita pergi solat Jumaat,” ujar Ibrahim memandangku.  Wajahnya yang keanak – anakan tersenyum ceria.  Aku mengangguk.

      Sewaktu melangkah keluar dari ruang pameran itu, aku menoleh kembali kepada lukisan tersebut.  Wajah Amelia tersenyum lembut terbayang di mataku.  Dia telah meluahkan bicaranya padaku.  Setahun kemudiannya.  Dan aku terima dengan hati yang terbuka.  Persoalan terjawab akhirnya setelah sekian lama.  Bersama – sama kenangan lalu di musim luruh.




TAMAT



Previous: 48
Next: *

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.