Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
126,497
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
4

     

     Aku terjaga apabila keretapi Eurostar ini mula memperlahankan halajunya semasa memasuki kota London.  Gerabak keretapi moden ini masih lagi dipenuhi penumpang – penumpang yang sedang menunggu sampainya destinasi sepertiku jua.  Pandangan mereka dibuang kosong keluar jendela menyaksikan panorama yang berulang di sepanjang landasan.  Seorang dua antaranya sibuk menyelak surat khabar berbahasa asing. Tidak kurang juga yang menatap telefon pintar.

      Langit di luar kelihatan mendung.  Lapisan tebal awan kelabu menyelimuti kotaraya London.  Kota ini terkenal dengan suasana cuaca yang suram dan hujan sentiasa.  Dan menjelang bulan November, hari mulai gelap dengan cepat menandakan penghujung musim luruh sudah bermula.  Menjadikan malam bertambah panjang dan siang semakin singkat.

      Akhirnya keretapi ini berhenti di salah sebuah platform stesen St Pancras International yang menempatkan beberapa belas landasan seperti di stesen Hauptbahnhof di Frankfurt. Bagasi kucapai dari atas rak penyimpanan dan beratur bersama – sama penumpang lain untuk keluar.  Terhenti sebentar untuk memberi laluan kepada sepasang penumpang warga emas yang sedang menarik bagasi mereka dengan perlahan.  Pakcik tua berbangsa Inggeris menghulurkan tangan kepada isterinya yang ketinggalan beberapa langkah di belakang.  Mungkin sudah berusia lebih tujuh puluh tahun.  Jauh lebih tua daripada usia kedua – dua orang tuaku. Namun masih lagi erat berpegangan tangan.

      Sejurus kemudian aku keluar mengekori langkah mereka keluar dari gerabak. Memerhatikan pasangan tua itu berjalan perlahan – lahan menuju ke arah ruang legar stesen.  Langkah mereka tampak tenang dan bersahaja.  Seolah – olah terkepung di dalam dunia mereka sendiri serta langsung tidak terganggu dengan hingar – bingar manusia di sekelilingnya.  Hanya apabila pasangan tersebut hilang dari pandangan barulah aku tersedar dan bergerak meninggalkan platform keretapi ini.

      Aku perlu berjalan menuju ke stesen keretapi Kings Cross untuk meneruskan perjalanan selanjutnya ke Edinburgh.  Jadual perjalanan keretapi Virgin Rail menunjukkan masih ada kurang sejam lagi untuk dihabiskan sementara menunggu masa berangkat pukul 6 petang.  Cukup untuk mencari multi– faith prayer room dan melaksanakan solat yang kian hampir di penghujung waktu. Dan mungkin berkesempatan untuk mengunjungi kafeteria sebentar bagi mengisi perutku yang kosong.

      Sewaktu leka bermundar – mandir di ruang legar stesen ini sambil meneka – neka selera makanku yang tenggelam – timbul setelah selesai solat, tiba – tiba aku terpandang seraut wajah gadis Melayu berjalan ke arahku.  Susuknya tinggi lampai di balik jaket putih dan tas tangan berwarna perang.  Matanya bundar dan berhidung mancung.  Rambutnya pula panjang kehitaman melepasi paras bahu.

      Pandangan kami bertaut seketika.

      Hatiku serasa terhenti berdegup pada saat itu.  Memandangnya aku teringat pada saat pertama aku menyaksikan salji turun dari langit. Pada subuh yang hening.  Pada suasana yang indah dan mendamaikan.

      Dunia keliling seakan terhenti berputar.

      Gadis itu mengalihkan pandangannya.  Malah dia langsung tidak menghiraukan aku yang seolah – olah terpukau melihatnya.  Dia berjalan terus melepasiku.  Membiarkan aku terpana sendiri.  Sedetik.  Dua detik.  Beberapa detik kemudiannya barulah aku berpaling kembali mencari susuk tubuh gadis tersebut.  Namun dia telah hilang tidak ubah seperti jelmaan bidadari yang hadirnya sekejap – sekejap cuma untuk menguji kewarasan.

      Lalu aku mengambil keputusan untuk duduk di ruang platform keretapi Virgin Rail.  Dihurung rasa sesal kerana mensia – siakan peluang pertemuan tadi.  Kaku seluruh tubuhku.  Langsung tidak berupaya menegur dan menghulurkan perkenalan.  Tidak tangkas merebut dan menambat tingkap waktu itu.

      Seperti binatang hutan pandangan mataku merayau keliling mencari – cari wajah gadis itu.  Apakah mungkin dia juga menaiki keretapi di platform yang berdekatan ini.  Mungkin sekiranya aku menggagahkan diri mencari jejaknya boleh jadi aku sempat menemui dirinya lagi.  Barangkali aku boleh tanyakan namanya.

      Tinggalnya di mana.

      Pekerjaannya.

      Minatnya.

      Apakah sudah berpunya.

      Tetapi mungkin juga dia seorang yang sombong.  Mengguyur sangkaan – sangkaan rambang menusuk pemikiranku seperti bilah – bilah pedang yang tajam.  Ingin mematikan segala rasa yang berselingkuh dalam benakku.  Dia langsung tidak melemparkan sebarang senyuman, hasut bilah tajam itu lagi.  Hanya berlalu begitu sahaja membiarkan aku ternganga sendiri.

      Ternganga dan alpa.

      Wajah gadis itu menjadikan aku lupa pada keadaan sekeliling.

      Aku mencapai telefon bimbitku dan memeriksa peti suara serta pesanan ringkas.  Pesanan ringkas masuk bertalu – talu dari pejabatku dan daripada Dato’ Megat.  Semuanya berkisar mengenai isu dan masalah penyerahan projek yang belum selesai.  Aku mengenepikan semua pesanan ringkas tersebut.  Masa terlalu singkat untuk kubalas setiap satunya.  Melainkan untuk menaip sebuah pesanan kepada adikku Zharif memberitahunya aku akan menaiki keretapi menuju ke Edinburgh dalam beberapa minit sahaja lagi. 

      Waktu sudah tiba untuk aku bergerak menuju ke gerabak keretapi koc C yang terletak di hujung landasan menghala ke utara.  Pintu gerabak terbuka luas.  Melangkah masuk ke dalam gerabak yang masih kosong rata – ratanya.  Hanya beberapa orang penumpang perempuan dan satu keluarga berbangsa Timur Tengah yang sedang mengambil tempat duduk mereka.  Menuturkan beberapa patah bahasa Arab yang tidak kufahami. 

      Aku menemui tempat dudukku bernombor 39 terletak di sebelah tingkap.  Aku tanggalkan jaket kulit dan menyarungkan sweater berwarna hitam lusuh ke atas kemeja tee.  Sudah seharian aku memakai kemeja tee ini, tidak berkesempatan untuk mandi dan menukar pakaian.  Untunglah siapa yang duduk di sebelahku kelak.

      Sambil menunggu gerabak ini dipenuhi penumpang lain, pandanganku melilau dan membelek wajah – wajah yang melintasi luar tingkap ini.  Manalah tahu kiranya terpandang semula kelibat gadis sombong tadi.  Berambut panjang dan berjaket putih.  Aku memeriksa pemandangan keliling platform.  Terkinja– kinja diamuk harap.  Tetapi peluang sebegitu amat tipis sekali.  Dalam seribu manusia yang berhimpun dan berpergian di stesen keretapi ini, pertemuan seperti itu hanyalah sebuah jendela waktu yang berlaku sekadar kebetulan.

      Pesanan ringkas daripada Zharif mendadak masuk ke telefonku.  Menyatakan bahawa dia akan menungguku di stesen Edinburgh kerana dia akan habis shift bekerja lebih kurang pada waktu yang sama.  Aku mengiyakan sebelum mematikan telefon bimbit.  Entah berapa lama lagi detik waktu yang perlu diharung sebelum keretapi ini bergerak meninggalkan landasan.  Jemu mengupas kulit – kulit masa.

      Aku menutup mata.  Memejam rapat – rapat dunia luar.  Perut pun sudah mula menyanyikan irama keroncong. Apalah agaknya rupa hidangan makanan yang bakal disediakan di atas keretapi ini.

      Tiba – tiba aku tersedar dan membuka mata.  Terasa seolah – olah diperhatikan.  Dari hujung mata aku menangkap sesusuk tubuh yang tinggi lampai berdiri berdekatan dengan kerusiku.

      Aku menoleh.  Wajah gadis sombong tadi memandangku tepat dengan rasa tidak percaya.  Kami saling berpandangan sebelum dia meletakkan tas tangannya di atas kerusi sebelahku.

      Aku tergamam.  Dan seperti selalunya kehilangan kata – kata.

Previous: 3
Next: 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.